Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada mukmin

"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman (mukmin), jiwa dan harta benda mereka dengan memberikan syurga kepada mereka, disebabkan mereka berjuang di jalan Allah, …. Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan dan itulah kemenangan yang seagung-agungnya". (At-Taubah: 111)

Perjalanan kehidupan seseorang menuntut kepada suatu perjuangan yang terkandung didalamnya nilai pengorbanan. Seseorang pejuang sudah pasti mengimpikan suatu kejayaan yang memerlukan pengorbanan. Seiring dengan pengorbanan itu sudah pasti perlukan ketabahan, keyakinan, semangat dan matlamat kejayaan yang jelas dan jitu demi memastikan kejayaan yang dimiliki akan membuahkan kebahagiaan kepada si pejuang. Sesungguhnya kehidupan adalah memberi bukan sekadar menerima...ia juga untuk dimanfaatkan sebagai bekalan kehidupan abadi.

“Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kebodohanku, sikapku yang melampaui batas dalam urusanku, dan semua dosaku yang Engkau lebih mengetahui mengenainya daripada diriku sendiri. Ya Allah, ampunilah kesungguhanku, kelalaianku, kesalahanku dan kesengajaanku yang semua itu ada pada diriku.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Wednesday, March 2, 2016

Apresiasi Bakat

Bismillah,



Alhamdulillah, hari ni keputusan peperiksaan SPM telah pun diketahui. Tahniah pada yang berjaya, bagi yang kurang bernasib baik in sya Allah pasti ada hikmah disebaliknya. Ia bukan satu penamat. SPM sekadar permulaan. Ibu bapa pula pasti ada yang gembira dan ada yang bersedih.

Hakikatnya berapa banyak A bukanlah satu jaminan. Bagus jika berjaya cemerlang. A perlu juga hadir bersama dengan kemahiran. Ada ramai A student namun bila memasuki bidang pekerjaan mereka tidak berjaya menjadi pekerja yang hebat. Bahkan pelajar yang dulunya biasa-biasa muncul menjadi pekerja yang lebih bagus. Mereka ini berjaya mendaki tangga demi tangga belajar dan membina kemahiran diri. Hasilnya jika mereka awalnya hanya pelajar yang memperoleh C atau D sahaja, namun mereka lebih berjaya dalam pekerjaaan. Mereka mampu mencipta nama dan kehebatan tersendiri.

Oleh itu bagi ibu bapa yang anak-anak meraih keputusan biasa-biasa, janganlah kecewa hingga melukakan hati si anak. Belajarlah bersyukur. Binalah satu kejayaan berpandukan road map yang sesuai bagi anak-anak mengikut tahap kebolehan mereka. Jika sebelum ini anak-anak dipaksa untuk menghadiri tusyen, belajar tanpa henti semata-mata mahu mengejar jumlah A, maka belajarlah untuk membuat perubahan. Tidak salah berusaha, untuk mencipta kejayaan dalam akademik, tetapi perlu juga melihat bakat yang ada pada anak-anak.

Bagi yang mendapat kejayaan yang luar biasa pula, kekalkan momentum, ciptalah lebih banyak kejayaan, banyakkan mempelajari pelbagai bidang ilmu. Dengan anugerah akal yang diberi ia perlu digunakan secara optimum dan maksimum bagi memastikan kita menjadi orang yang lebih bagus dan menguasai banyak bidang atau cabang ilmu.

Wallahualam

Monday, February 29, 2016

Membina Skrip Jualan.

Membina Skrip Jualan.

Antara persoalan yang dihadapi oleh penjual baik secara online atau offline adalah prospek tidak memberikan respon yang positif apabila dimaklumkan harga produk atau servis yang ditawarkan.

Dilemma biasanya apabila mendapat nombor telefon prospek yang berminat untuk tahu tentang produk namun mereka tidak memberi respon bila mengetahui harga.

Bagaimana mengatasi masalah ini?

Realitinya semua penjual sentiasa berdepan cabaran yang sama.

Ada pelbagai faktor yang membuatkan prospek masih belum bersedia untuk memberi respon atau membuat keputusan untuk membeli produk serta menerima tawaran.

Ada dua faktor utama.

+ Kepercayaan belum wujud antara penjual dan pelanggan.

+ Nilai tawaran dalam pertimbangan pelanggan.

Solusi terbaik, apabila mendapat peluang untuk berkomunikasi dengan prospek yang belum dikenali kita jangan cepat atau terlalu excited untuk berkongsi tentang produk.

Langkah pertama yang perlu diambil adalah membina kepercayaan pelanggan secara berperingkat.

Ini boleh dilakukan dengan bertanyakan soalan-soalan yang tidak memberikan rasa selesa kepada pelanggan.

Soalan-soalan tersebut hanya memerlukan komitmen kecil dari prospek. Soalan-soalan perlulah sesuai untuk membina rapport bersama prospek. (Ingatan pada semua agar elakkan soalan yang menyentuh peribadi pelanggan)

Contoh skrip;

"Adakah berminat untuk tahu tentang Kopi Cap X ini? Saya amat berbesar hati mahu berkongsi manfaatnya pada puan. Tetapi sebelum itu saya perlu pastikan adakah puan sesuai atau tidak mengunakan produk ini.

Adakah puan memang ada masalah Y atau masalah lain yang berkaitan dengan masalah Y?

Jika puan boleh memperuntukkan masa bagi menjawab soalan ini, maka saya berbesar hati untuk membantu."

Skrip di atas adalah kaedah berbual bersama prospek untuk memberikan tarikan kepada mereka sekaligus dapat membantu membina nilai dan kepercayaan prospek antara penjual dan prospek..

Peluang untuk berkomunikasi dengan prospek adalah peluang keemasan. Oleh itu penjual perlu memastikan ia tidak disia-siakan dengan sikap penjual yang tidak sabar mahu memastikan produk tersebut laku.

Memahami kehendak pelanggan serta menyelesaikan masalah mereka adalah keutamaan. Pastikan kita berbual untuk memahami pelanggan dan bukannnya berbual mahu mengambil kesempatan.

Bila pelanggan telah tertarik, kepercayaan terbina dan nilai diperoleh, mereka mungkin bukan membeli sekali, bahkan berkali-kali.

#akademijualan
#skripjualan


Sunday, February 21, 2016

Resepi Kuah Laksam

Bismillah,

Sudah begitu lama teringin makan laksa kuah Kelantan. Kebiasaannya hanya menempah dari penjual yang biasa mengambil tempahan laksam. Namun untuk makan laksa original seperti tanah tumpah darah ku pasti tidak akan dapat diperoleh. Awal minggu baru ni kebetulan ziarah bonda yang tidak sihat di kampung berpeluang ke pasar Pasir Putih.

Tiba-tiba terjumpa dengan peniaga yang menjual laksa dan laksam. Apalagi terfikir dalam kepala, elok juga beli lebih sikit nanti boleh jamu anak beranak yang ada di KL. Boleh juga jamu orang surau  depan rumah.

Tiada rezeki, jika ikut perancangan mahu menempah kuah dengan peniaga sedia ada. Tetapi ada sahaja masyaqahnya. Maka laksa dan laksam tersadai dalam peti ais. Dalam keadaan kesibukan tidak dapat untuk menempah kuah apalagi menyediakannya. Terfikir, sayang pula dengan laksa dan laksam berkilo-kilo, mulut pula terliur mahu makan laksa kuah lemak versi Kelantan.

Pagi ini tanpa berlengah terus ke kedai Acheh membeli barangan untuk kuah laksa. Ikan sardin, santan pekat segar, bawang merah , bawang putih, lada hitam adalah bahan-bahan yang diperlukan.
Bagi 3 kg laksam dan 3kg laksa kuah yang banyak lebih sedap. Memandangkan sudah bertahun tidak membuat kuah laksa saya hanya menggunakan resepi agak-agak sahaja.

2 kg santan pekat
1 1/2kg ikan tamban
1 sudu besar lada hitam yang dikisar halus
8 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
garam secukup rasa
secubit belacan
5 kepig asam gelugur

Ikan direbus dan dikisar hingga hancur. Semua bahan ini dimasukkan ke dalam periuk, dimasak hingga mengelegak. Masukkan sedikit garam dan gula secukup rasa. Bila sudah mengelegak maka sudah bersedia untuk dihidangkan.

Bagi ulam-ulaman boleh gunakan timun, kacang, taugeh dan daun kesum. Selain kuah lemak ada sedikit ikan yang lebih saya juga membuat kuah laksa penang. Ia permintaan anak yang gemar kuah penang berbanding kuah lemak.

Alhamdulillah dapat juga merasa laksa lemak air tangan sendiri. Pemmbaca boleh mencuba jika tidak pernah makan kuah laksa lemak ala-ala Kelantan. Pasti nak lagi.

Wallahuaalam.

Tuesday, February 16, 2016

Erti syukur

Aku melihat hidup orang lain begitu nikmat,
Rupanya dia menutup kekurangannya tanpa perlu berkeluh kesah.

Aku melihat hidup teman-temanku tak ada duka dan kepedihan,
Rupanya dia pandai menutup dukanya dengan bersyukur dan redha.

Aku melihat hidup saudaraku tenang tanpa ujian,
Rupanya dia begitu menikmati badai hujan dlm kehidupannya.

Aku melihat hidup sahabatku begitu sempurna,
Rupanya dia berbahagia dengan apa yang dia ada.

Aku melihat hidup jiran tetanggaku sangat beruntung,
Ternyata dia selalu tunduk pada Allah untuk bergantung.

Setiap hari aku belajar memahami dan mengamati setiap hidup orang yang aku temui..
Ternyata aku yang kurang mensyukuri nikmat Allah..
Bahawa di satu sudut dunia lain masih ada yang belum beruntung memiliki apa yang aku ada saat ini.

Dan satu hal yang aku ketahui, bahawa Allah tak pernah mengurangkan ketetapan-Nya.
Hanya akulah yang masih saja mengkufuri nikmat suratan takdir Ilahi.

Maka aku merasa tidak perlu iri hati dengan rezeki orang lain.

Aku tak tahu dimana rezekiku. Tapi rezekiku tahu dimana diriku berada.

Dari lautan biru, bumi dan gunung, Allah telah memerintahkannya menuju kepadaku.

Allah menjamin rezekiku, sejak aku dalam kandungan ibuku lagi.

Amatlah keliru bila bertawakkal rezeki dimaknai dari hasil bekerja.
Kerana bekerja adalah ibadah, sedang rezeki itu urusan-Nya..

Melalaikan kebenaran dan gelisah dengan apa yang dijamin-Nya, adalah kekeliruan berganda..

Manusia membanting tulang, demi angka simpanan gaji, yang mungkin esok akan ditinggal mati.

Mereka lupa bahawa hakikat rezeki bukan apa yang tertulis dalam angka, tapi apa yang telah dinikmatinya.

Rezeki tak selalu terletak pada pekerjaan kita, Allah menaruh sekehendak-Nya.

Siti Hajar berulang alik dari Safa ke Marwah, tapi air Zam-zam muncul dari kaki anaknya, Ismail.

Ikhtiar itu perbuatan. Rezeki itu kejutan.
Dan yang tidak dilupakan, setiap hakikat rezeki akan ditanya kelak, "Dari mana dan digunakan untuk apa"

Kerana rezeki hanyalah "hak pakai", bukan "hak milik"...

Halalnya dihisab dan haramnya diazab.
Maka, aku tidak boleh merasa iri pada rezeki orang lain.

Bila aku iri pada rezeki orang, sudah seharusnya juga iri pada takdir kematiannya..

Tanpa nama
WhatsApp Group


Sent from my iPhone

Monday, February 1, 2016

Selamat Ulangtahun Ain


Bismillah

Hari ini 2 Februari genaplah 18 usia permata hati Ummi dan Baba,  Ain Syafia yang lahir pada 2 Feb 1996 bersamaan 4 Syawal 1418 Hijrah.  Ain lahir awal dua minggu dari jangkaan. Kelahiran yang penuh bermakna, kerana lahir di tanah tumpah Ummi. Kelahiran yang memberi banyak hikmah dalam perjalanan Ummi dan Baba membina kehidupan.

Waktu Ummi masih dalam pantang Allah menguji Baba diberhentikan kerja. Alasan gawat menjadi penyebab. Ummi bertuah selepas habis cuti bersalin, bonda menawarkan untuk menjaga Ain. Ia satu pengorbanan paling besar bonda lakukan. Melepaskan perniagaan kedai runcit yang sudah bebrpuluh tahun diusahakan.

Disebalik pengorbanan ini, Ummi merupakan insan yang paling hebat rasa bersalah. Ia tidak lain rasa bersalah kerana menyusahkan bonda untuk datang menjaga Ain. Ummi dan Baba sambung belajar. Bonda merasakan satu tanggungjawab baginya kerana Ain masih kecil. 

Ain anak yang aktif, namun sejak kecil Ain sudah ada masalah dengan mata. Sering bertahi mata menyebabkan Ummi dan Baba risau. Waktu Ain berumur tidak sampai setahun, Ain sudah dibawa berjumpa pakar mata terkenal Dr Shukri untuk mengenal pasti apakah puncanya.

Bonda menjaga Ain genap dua tahun. Selepas itu bonda memilih untuk tinggal di pondok. Ain menjadi cucu kesayangan, hingga sekarang jika jumpa Bonda masih makan bersuap dan tidur bersama. 

Usia lima tahun Ain dibawa berjumpa pakar surgery untuk mengetahui risiko tanda yang ada dihidungnya. Ia kesan sampingan yang terjadi bila Ummi jatuh dari tangga sewaktu mengandungkan Ain. Paling tragis juga bila 10 tahun selepas itu baru Ummi tahu bahawa tulang belakang Ummi patah. Ia menjejaskan kesihatan hingga hari ini.

Dari penelitian xray juga doktor memaklumkan buah pinggang Ain kecil sebelah. Jadi Ain sentiasa kerap ke bilik Air. Segala nasihat doktor kami ikuti. Namun Ain berdepan pelbagai masalah kesihatan kerana masalah selsema yang tidak pernah baik. Tisu menjadi rakan setia. Masalah mata Ain tidak hanya berhenti disitu, usia 8 tahun Ain masih tidak tahu membaca kamus. 

Peristiwa yang banyak memberi pengajaran kepada kami suami isteri. Umur 8 tahun barulah kami dapat ketahui bahawa Ain ada masalah Lazy Eye. Baba mengetahui Ain tidak dapat mencari makna perkataan dalam kamus kerana Ain tidak nampak apa yang tertulis. Hakikatnya bukan Ain tidak pandai, rupanya tidak nampak tulisan tertera.

Sejak itu Ain dirujuk kepada pakar mata Prof Dr Muhaya. Ummi dan Baba mahukan Ain dapat rawatan terbaik. Namun masalah yang Ain hadapi tidak boleh menggunakan laser. Rawatan yang ada hanyalah terapi. 

Ain perlu memakai kaca mata khas, bagi memastikan ia lebih nipis, Ummi sanggup berbelanja lebih agar Ain dapat yang terbaik. Namun di sekolah Ain sentiasa diejek rakan. Matanya bulat, tanda di hidung juga makin membesar. Ejekan-ejekan ini membuatkan self esteem Ain menurun. Sebagai ibu, ia satu hikmah bila Ummi memilih bidang Kaunseling Psikologi. Ummi perlu pastikan Ain anak hebat, miliki pelbagai kelebihan. 

Fizikal bukan penanda aras kehebatan sesorang. Ain bangkit sedikit demi sedikit. Dia tidak pernah dibandingkan antara anak yang lain. Walau dia sering rasa rendah diri, namun hakikatnya kakak dan Iman selalu mengalah dengan Ain. Bahkan gelaran adik masih menajadi panggilan manja dari Ummi, Baba dan Kakak. Panggilan K Ngah adalah satu panggilan yang special dari Iman. 

Sewaktu ke sekolah menengah, Ummi sangat keberatan mahu menghantar Ain sekolah asrama. Ummi bimbang Ain tidak boleh menahan cabaran, bimbang jika Ain jatuh sakit. Namun Ain bertuah, ada guru-guru yang sangat prihatin. Selama 5 tahun di sekolah menengah, Ummi bangga dengan segala pencapaian Ain. 

Hakikatnya Ain sangat pandai berdikari dan bijak membawa diri di kalangan rakan-rakan. Bahkan Ain pernah dinobat pelajar bersyahsiah tinggi untuk tahun tersebut. 
Biarpun pencapaian akademik tidak sehebat rakan baik namun bagi Ummi apa yang diraih sudah cukup membahagiakan Ummi.

Ain sentiasa di uji. Kemalangan sewaktu mewakili sekolah diacara merentas dewasa adalah satu peristiwa yang tragis. Kemalangan itu menyebabkan gigi Ain patah, kecederaan dibahagian mulut dan kaca mata Ain juga rosak teruk. Sekali lagi Ummi dan Baba berdepan cabaran. Bukan mudah menepis emosi saat ini. Apapun sekali lagi Ain membuktikan jiwa Ain sudah kental dengan cabaran.

Sebulan yang lalu, sekali lagi Ummi dikejutkan dengan masalah kesihatan Ain. Benar jika berlaku sedemikian Ummi orang pertama yang tidak dapat menahan kesedihan. Tetapi Allah masih saangkan Ain. Terlalu banyak dugaan yang dilalui menyebabkan kita lali dan sudah boleh menerima apa jua yang mendatang.

Hari ini Ain sudah berusia 18 tahun. Kelahiran Ain banyak memberi kebahagiaan kepada Ummi dan Baba. Sifat Ain yang ceria, suka menyakat kakak dan Iman, tidak mengeluh dengan cabaran bahkan Ain jarang melihatkan sikap putus asa memberi banyak pengajaran pada Ummi sendiri.

Kelahiran Ain biarpun diuji dengan pelbagai ujian, masalah kesihatan, Baba diberhentikan kerja, namun ia pembuka kepada pintu-pintu rezeki yang lain. Ummi dan Baba diberi peluang berjaya membuka 3 syarikat yang mengendali 3 perniagaan yang berbeza, ia mengambil sempena nama Ain Syafia Qutreenie iaitu Qutreen Niaga Sdn Bhd, Qutreen Enterprise dan Qutreen Consulting and Motivation. 

Alhamdulillah, setiap perkara ada hikmahnya. Ummi membina diri dari pengalaman membesarkan Ain. Belajar untuk menerima setiap ketentuan Allah. Hari ini, bersempena usia Ain yang ke 18 tahun, Ummi mendoakan agar Ain menjadi Mukminah Solehah yang sentiasa meletak Allah dan Rasul di tempat teratas, menjadikan cara hidup Islam sebagai rutin kehidupan, akhlak yang baik menjadi hiasan diri, syariat dan aqidah sentiasa dijaga. Allah satukkan semua di syurga diMu. Amen. 


Friday, January 29, 2016

Wasiat Sebelum Kematian


Bismillah,

Kematian adalah topik yang biasa diperbincangkan bagi yang sedar detik masa yang berganjak setiap saat menunjukkan detik kematian juga semakin hampir. Kebimbangan akan banyak lagi yang belum selesai membuatkan diri akan terasa takut dengan panggilan tersebut, walau hakikatnya mati itu sendiri adalah tempat istirehat bagi segala persoalan dan masalah di dunia ini.

Sahabat saya berkongsi tentang kisah bagaimana, anaknya yang berumur 18 tahun datang bertanyakan padanya satu soalan yang membuatkan dirnya terpaku. Kata si anak;

" Papa bagaimana jika papa mati nanti? Apa akan jadi dengan kami? Ramai papa kawan-kawan yang mati secara tiba-tiba"

Si ayah mengambil masa yang lama untuk menjawab; " Bila Papa mati nanti, di sini Papa sediakan apa sahaja keperluan yang perlu, dokumen penting dan segala apa yang berkenaan".

Perbualan antara anak dan ayah berlangsung dengan masing-masing faham bila tiba waktunya, si anak tahu apa yang perlu dilakukan. Anak tidak perlu cemas, kerana si ayah sudah memberi wasiat.

Hakikatnya tidak ramai yang bersedia dengan soalan ini. Bahkan tidak ramai anak-anak yang mengambil pusing persoalan kematian melainkan bila tiba masa. Waktu itu anak-anak sibuk mencari dokumen, sibuk memikirkan apa yang perlu dibuat, siapa yang perlu dipanggil dan lain-lain hal.

Namun bagi anak yang matang dan cepat belajar mereka mudah menerima bahkan adakala memberi peringatan kepada ibu bapa. Bagi ibu bapa, menulis wasiat juga perlu diamalkan agak tidak berlaku perbalahan dikemudian hari. Terutama jika berlalku perebutan harta dan sebagainya. Bagi anak-anak yang tahu matlamat kehidupan pastinya tidak akan timbul perkara sedemikian, namun mwmbuat wasiat itu adalah digalakkan.

Bahkan Rasulullah pernah bercerita tentang seorang sahabat yang bakal menjadi ahli syurga. Bila ada sahabat yang menyelidik bagaimana sahabat ini boleh masuk syurga sedang amalannya biasa-biasa sahaja. Namun satu perkara yang dibuat adalah membuat wasiat setiap kali sebelum pejam mata. Katanya tiduk tahu esok masih ada kesempatan lagi atau tidak hanya Allah yang tahu.

Penulis sendiri sentiasa mengingatkan anak-anak apa yang harus dilakukan bila tiba saatnya. Bahkan wasiat secara lisan juga sering dikongsikan dengan anak-anak. Dan yang paling pasti, sebolehnya penulis mahu anak sendiri yang menguruskan jenazah andai ditakdir Allah tiba masa mengadap yang Maha Esa.

Wallahuaalam.



Sunday, January 24, 2016

Tip peniaga kecil membeli rumah

Tip peniaga kecil membeli rumah

Orang makan gaji mudah mendapatkan pinjaman perumahan dari bank. Mereka mempunyai slip gaji. Dari situ bank dapat mengira jumlah pinjaman yang selamat diberikan kepada orang makan gaji.

Peniaga kecil tidak mempunyai slip gaji! Inilah faktor yang menyebabkan banyak peniaga kecil sukar memohon pinjaman perumahan dari bank.

.

Peniaga-peniaga yang berjaya membeli rumah dengan pinjaman bank melakukan ini:

+ Daftarkan bisnes di SSM.

+ Kemukakan laporan untung rugi tahunan kepada LHDN.

+ Bayar cukai keuntungan.

+ Kemukakan resit pembayaran cukai keuntungan LHDN kepada bank. Itulah bukti sohih yang bank mahu tengok!

Oleh : Pn Ainon Mohd
Chairman Ainon Business School Holdings

Rawatan Islam ; Doa Rukyah

السلام عليكم ورحمة الله...
Renungan hari ini :

Pengubatan, Sakit Dan Ruqyah 

 عَنْ عَائِشَةَ، زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَنَّهَا قَالَتْ: كَانَ إِذَا اشْتَكَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَقَاهُ جِبْرِيلُ، قَالَ: «بِاسْمِ اللهِ يُبْرِيكَ، وَمِنْ كُلِّ دَاءٍ يَشْفِيكَ، وَمِنْ شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ، وَشَرِّ كُلِّ ذِي عَيْنٍ»

Dari Aisyah isteri Nabi SAW dia berkata; "Bila Rasulullah SAW sakit, Jibril datang meruqyahnya. Jibril mengucapkan; 'Bismillaahi yubriika, wa min kulli daa-in yusyfika, wa min syarri hasidin idza hasad, wa syarri kulli dzi 'ainin.' (Dengan nama Allah yang menciptakanmu. Dia-lah Allah yang menyembuhkanmu dari segala macam penyakit dan dari kejahatan pendengki ketika ia mendengki serta segala macam kejahatan mata jahat semua makhluk yang memandang dengan kedengkian).

HADIS : MUSLIM(No.4055)
KITAB  : SALAM
BAB     : Pengubatan, Sakit Dan Ruqyah


Friday, January 22, 2016

Menghayati Zuhud

ZUHUDKU - ZUHUDKU
Hasan Basri ditanya: Apa rahsia zuhudmu di dunia ini? Beliau menjawab: aku tahu rezekiku tidak akan diambil orang lain, kerana itu hatiku selalu tenang.

Aku tahu amalku tidak akan dikerjakan orang lain, kerana itulah aku sibuk beramal soleh.

Aku tahu ALLAH Ta'ala selalu memerhatiku, kerana itulah aku malu jika ALLAH melihatku sedang dalam maksiat.

Dan aku tahu kematian itu sudah menungguku, kerana itulah aku selalu menambah bekal untuk hari pertemuanku dengan ALLAH.

Sahabat2 ku:
Jangan tertipu
dengan usia MUDA
kerana syarat Mati
TIDAK harus TUA.

Jangan terpedaya dengan
tubuh yang SIHAT
kerana syarat Mati
TIDAK mesti SAKIT

Jangan terperdaya dengan
Harta kekayaaan
Sebab
Si kaya pun tidak pernah
menyiapkan Kain Kafan
buat dirinya
meski cuma selembar.

Mari terus berbuat BAIK,
berniat untuk BAIK,
berkata yang BAIK-BAIK,
Memberi nasihat yang BAIK
Meskipun TIDAK banyak orang
yang mengenalimu dan
Tidak suka dgn nasihatmu

Cukup lah اللهِ yang
mengenalimu lebih dari
pada orang lain.

Jadilah bagai Jantung
yang tidak terlihat,
Tetapi terus berdenyut
setiap saat hingga kita
terus dapat hidup, berkarya
dan menebar manfaat
bagi sekeliling kita
sampai diberhentikan
oleh NYA

Sahabat2ku:

"Waktu yang kusesali adalah
jika pagi hingga
matahari terbenam,
'Amalku tidak bertambah
sedikitpun,
padahal aku saat ini
umurku berkurang"
(Ibnu Mas'ud r.a)

Wednesday, January 20, 2016

Jauhi Sifat "ANA KHAIRUN MINHU"

Jauhi Sifat "ANA KHAIRUN MINHU"

RENUNGAN SUBUH 19 Januari 2016 Selasa 9 Rabiul'akhir 1437H
اَللَّهُمَّ صَلِّ َعلى سيدنا مُحَمَّدٍ
وَ عَلَى آِل سيدنا مُحَمَّد
Jauhi Diri Dari Sifat "ANA KHAIRUN MINHU"(Aku lebih baik dari dia)
Sebaik mana pun diri kita, sebanyak mana pun amalan kita, setinggi mana pun kedudukan kita, jangan sampai kita mempunyai walau sebesar zarah pun perasaan bahawa kita lebih baik daripada orang lain..
Hari ini, ramai org bersolat di masjid, membaca Al-Quran, memberi sedekah, menunaikan solat sunat, menuntut ilmu serta menyampaikn ilmu.. Tetapi ramai juga dalam masa yang sama terdetik di dalam hatinya bahawa dia lebih baik daripada sahabat-sahabatnya yang tidak melakukan apa yang dia lakukan..
Jika kita mempunyai perasaan seperti ini, berwaspadalah.. Sesungguhnya perkataan ANA KHAIRUN MINHU (aku lebih baik daripadanya) merupakan perkataan yang telah menukarkan iblis laknatullah daripada seorang hamba Allah yang paling MULIA di sisi-Nya kepada makhluk yang paling HINA sehinggalah ke hari kiamat..
Iblis yang dahulunya lebih tinggi darjatnya daripada para malaikat, setelah melafazkan perkataan ANA KHAIRUN MINHU, kini menjadi makhluk paling dilaknati Allah.. Hanya kerana merasakan dirinya lebih baik dan lebih suci daripada Adam a.s. dan enggan tunduk hormat kepadanya..
Maka, fikirkanlah sehina mana martabat kita di sisi Allah yang sudah sedia kala hina lagi apabila kita merasakan diri kita lebih baik daripada sahabat-sahabat kita, walaupun ilmu dan amalan kita lebih banyak daripada mereka-Wasallam

-Dipetik dari media

Thursday, January 14, 2016

Persahabatan


Kita ada beribu kenalan, kita ada ramai rakan taulan,
kita mungkin miliki sahabat, hakikatnya ia SATU dalam seribu....
***********
Nota: 
Sahabat keberadaannya saat susah dan senang.
Menarik kita saat jatuh.
Mengambil berat bila musibah.
Memberi tanpa syarat.
Ikhlas dalam perhubungan.

INTEGRITi


Kisah 1
Umar Abdul Aziz bila lalu tepi orang yang jual minyak wangi ditutup hidung. Bila ditanya, kerana minyak wangi itu dari manfaat baitulmal. Dia tidak layak menciumnya.
Kisah 2
Bila diberi epal, Umar hanya mencium baunya sahaja lalu dipulangkan epal tersebut kepada pemberinya. Bila ditanya, dia bimbang itu adalah satu bentuk suapan.
Pentas Dakwah
TV Hijrah

Muhasabah Jiwa dan Minda


Bismillah,

Al Quran mukjizat terbesar buat insan. Membacanya sahaja walau sepatah perkataan sudah mendapat pahala, apalagi membaca sentiasa, menghayati dan mengikut segala sarananya pastinya lebih berganda ganjaran dari Allah.

Al Quran tidak semata-mata sebagai bahan bacaan, namun ia menjadi petunjuk kehidupan. Al Quran menjadi kompas saat diri hilang arah. Al Quran kompas diri agar insan tidak tersasar dari jalan kebenaran.

Al Quran bukan menjadi hiasan dinding, tidak juga menjadi peneman saat kita rasa perlu dan disisih saat tidak perlu. Hakikatnya Al Quran perlu dijadikan pegangan hidup, panduan setiap saat kehidupan, menjadi pemacu dan penunjuk arah yang tepat.

Sayangnya dikalangan kita, Al Quran sekadar disebut, menjadi label dan slogan. Ilmu yang ada tidak diperguna, bahkan ada yang lebih berani mempertikaikan isi kandungannya dan menidakkan suruhan yang termaktub.

Jika melayan Al Quran ibarat kain buruk, dibuang sayang disimpan tiada guna, malangnya hidup seorang insan. Hidup berkeluh kesah, hati tidak pernah berdamai, jiwa resah tiada bahagia. Puncanya kerana kita mengabaikan Al Quran.

Sibuk dengan kehidupan, sibuk dengan media sosial. tiada masa untuk membaca walau sepotong ayat. Oleh itu tidak pelik hati rungsing, jiwa kelam. Ruh ketandusan makanan rohani. Tiada santapan membuat ruh tidak berfungsi, lalu jiwa akan tidak pernah tenang. Apa yang ada seperti tidak bermakna.

Oleh itu kembali kepada ajaran. Belek Al Quran, fahami isi kandungan, merataplah dengan Allah. Adulah kepadanya. Moga dengan itu kita kembali mendapat rahmah dan barakahlah. Moga dengan membaca ayat-ayatnya hati akan kembali tenang, bahagia hakiki dapat diraih, redha Allah dapat dicapai. Hidup dapat memenuhi matlamat sebagai Hamba menuju alam abadi.

Wallahuaalam.

Saturday, January 9, 2016

Menjaga Hak Jiran



Bismillah,

Menjaga hak jiran adalah satu kewajipan. Ia termaktub dalam maqasid syariah. Bila setiap jiran menjaga hak-hak jiran maka sudah pasti kejiranan tersebut akan seronok didiami, bahkan ia mendatangkan rahmat dan barakah.

Segelintir jiran walaupun tidak semua ada, ada perasaan hasad dengki. Bila ada sifat PHD maka akan timbul perkara yang tidak baik. Ada juga jiran yang pentingkan diri sendiri tanpa mempedulikan perasaan jiran-jiran lain. Sebagai contoh perking kereta sesuka hati, membuat bising dan pelabagai lagi. Ini boleh membawa kepada masam muka dan pergaduhan.
Perkara yang paling perlu dielakkan dalam hidup berjiran adalah saling mengadu domba. Jika dilihat senario sekarang ramai yang lebih suka membuat hal sendiri. Hingga tidak kenal dan tidak bertegur sapa dengan jiran. ini tidak digalakkan dalam Islam. Namun bila sudah kenal sesama sendiri, janganlah pula membuat fitnah, mengumpat, mencaci dan mencela jiran kita.

Hidup berjiran juga perlu ada batasnya, jangan kita terlalu mengambil kesempatan atas kebaikan jiran. Bila diberi kebaikan maka balaslah dengan kebaikan. Kita perhatikan bagaimana akhlak para sahabat Nabi Muhammad. Mereka sering meletakkan kepentingan orang lain lebih dari kepentingan diri sendiri. Maka di sinilah wujudnya kasih sayang sesama jiran. Ukhuwah akan menjadi utuh. Nabi bersabda bahawa sesiapa yang tidak mengasihi saudaranya maka ia tidak beriman. Maka jika kita tidak menjaga hak-hak jiran kita akan tergolong dalam kalangan orang yang tidak beriman.

Wallahuaalam.

Friday, January 1, 2016

Tahun Baru 2016


Bismillah,

Alhamdulillah hari ni tanggal 1. Januari. 2016, kita masih dberi peluang oleh Allah Azzawajalla bernafas dan meneruskan kehidupan. 2015 ditinggalkan dengan penuh kenangan pahit dan manis. Bertambahnya setahun usia maka bertambah juga pengalaman hidup.

Bagaimana pula dengan pertambahan amalan? Apakah impian 2015 telah tercapai atau perlu dibawa ke 2016?

Apapun kedatangan 2016 pastinya menjanjikan pelbagai cabaran dan pengalaman. Minda perlu bersedia menerima apa jua yang bakal tiba. Ekonomi yang suram tidak mengapa, yang pasti jadikan rumahtangga sentiasa ceria dan bahagia.

Mengejar impian dan cita-cita 2016 pastikan ada sebahagiannya bagi kemantapan rohani untuk keluarga dan diri. Tahun yang bertambah bukan semata menambah harta, namun perlu menambah ilmu supaya kita dapat beramal dengan cara yang betul. Percambahan ilmu perlu dipergiat baik dengan cara berguru atau mengikuti kelas-kelas ilmu yang dijalankan.

Semoga tahun ini  dan tahun-tahun sebelumnya memberkan seribu manfaat buat kita semua, usia yang diberkati dan amal yang diterima, Amin.