Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada mukmin

"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman (mukmin), jiwa dan harta benda mereka dengan memberikan syurga kepada mereka, disebabkan mereka berjuang di jalan Allah, …. Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan dan itulah kemenangan yang seagung-agungnya". (At-Taubah: 111)

Perjalanan kehidupan seseorang menuntut kepada suatu perjuangan yang terkandung didalamnya nilai pengorbanan. Seseorang pejuang sudah pasti mengimpikan suatu kejayaan yang memerlukan pengorbanan. Seiring dengan pengorbanan itu sudah pasti perlukan ketabahan, keyakinan, semangat dan matlamat kejayaan yang jelas dan jitu demi memastikan kejayaan yang dimiliki akan membuahkan kebahagiaan kepada si pejuang. Sesungguhnya kehidupan adalah memberi bukan sekadar menerima...ia juga untuk dimanfaatkan sebagai bekalan kehidupan abadi.

“Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kebodohanku, sikapku yang melampaui batas dalam urusanku, dan semua dosaku yang Engkau lebih mengetahui mengenainya daripada diriku sendiri. Ya Allah, ampunilah kesungguhanku, kelalaianku, kesalahanku dan kesengajaanku yang semua itu ada pada diriku.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Thursday, November 23, 2017

Tawakkal

Tawakkal
Tawakkal! Ramai yang boleh menyebut kalimah itu. Bahkan ramai yang menjadikannya hiasan bibir. Namun, hakikat tawakkal iaitu pergantungan segala harapan hanya kepada Allah tidaklah mudah untuk dihayati. Ia memerlukan ketelusan jiwa dan asuhan rabbani. Duka dan derita mampu mengasuh insan agar menyerahkan diri kepada Allah Yang Memiliki segala-galanya. 
Tawakkal adalah keajaiban. Ramai yang tidak dapat melihat keajaiban tawakkal kerana mereka tidak memiliki jiwa yang benar-benar bertawakkal. Walaupun mulut mungkin menyebut bergantung kepada Allah, namun jantung hatinya masih bergantung dan berharap kepada selain Allah. 
Tawakkal tidak menafikan usaha. Tetapi usaha yang dinaungi hati nurani yang bertawakkal tiada lain melainkan Allah sahaja pergantungannya. Usaha hanya sebab, Allah penentu segalanya. Apabila insan sampai ke peringkat yang indah itu, maka di situ terlaksananya firman Allah: 
وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُۥٓۚ 

(maksudnya): “..sesiapa bertawakkal kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya” (Surah al-Talaq, 3).
Kepayahan, kesukaran dan derita mampu membawa insan yang beriman ke darjat yang kudus ini. Ketika itu kehidupan ini akan dilihat dari dimensi yang berbeza yang hanya dapat difahami oleh sesiapa benar-benar bertawakkal.

Apabila kita melihat ke langit kita rasa kehidupan ini luas, kalau kita hanya lihat ke bumi kita rasa kehidupan ini sempit. Sebab itu syurga itu seluas langit dan bumi…dan kita akan berjalan diatas muka bumi ini dengan penuh rahmat Tuhan…dan kita percaya rahmat itu boleh datang dalam berbagai-bagai keadaan. Macam-macam rahmat yang Allah bagi saban hari…sebahagian yang kita miliki daripada kebaikan-kebaikan yang kita ada pada hari ini tidak juga kerana usaha kita dan tidak juga dahulu tersenarai dalam harapan kita. Tetapi Allah telah munculkan ia dalam hidup kita apa yang kita tidak sangka, dan kita pun tahu apa yang kita tidak sangka itulah sebenarnya merupakan harapan kita…dan inilah kehidupan. 

Saudara sedang berjalan, menuju ke destinasi yang akhir seperti mana juga saya. Sehinga kadang-kadang kita letak kepala kita dibantal kita terfikir “bila aku akan berhenti berlari atau pun berjalan?”…dan setiap hari kita berjalan kita menemui pengalaman yang baru serta cerita yang baru, tetapi bila kita balik kepada diri kita semata-mata kita hanyalah hamba Allah…dan kita akan pulang kepadaNya tanpa semua hal ini, tanpa pangkat kedudukan, sijil-sijil, anugerah-anugerah serta wang ringgit…”Walaqad ji’tumuunaa furaada kamaa khalaqnaakum ‘aw wala marratin…Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya” (Al-An'aam 6:94)

“Ya Haiyyu, Ya Qayyum, dengan rahmatMu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata” (Riwayat al-Nasai, dinilai sahih oleh al-Albani).
Jika Allah yang menguruskan urusan kita, tentu aturan yang ditentukan itu akan begitu hebat merentasi andaian mana-mana insan. Namun jika hidup ini hanya bergantung kepada orang lain, kita sering menjadi mangsa. Jika bergantung kepada diri semata, banyak perkara yang kita akan gagal mengendalikannya. Namun, apabila kita serahkan agar Allah membantu, tanpa ditinggalkan kita walaupun sekelip mata, keajaiban hidup akan berlaku.

Berlari dan berjalanlah kita dalam kehidupan ini untuk menuju destinasi kita masing-masing serta pada garis penamat yang kita pun tidak tahu. Tetapi percayalah selagi mana kita bertawakal kepada Allah kita akan mendapati kehidupan ini sangat luas dan jalan serta ruang untuk kita hidup itu ada didalam pelbagai warna dan rupa selagi mana kita sentiasa berkata “Ya Rabb…tolonglah aku…Wahai Tuhan..tolonglah aku”

Petikan tuliasan Dr Maza.

No comments:

Post a Comment