Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada mukmin

"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman (mukmin), jiwa dan harta benda mereka dengan memberikan syurga kepada mereka, disebabkan mereka berjuang di jalan Allah, …. Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan dan itulah kemenangan yang seagung-agungnya". (At-Taubah: 111)

Perjalanan kehidupan seseorang menuntut kepada suatu perjuangan yang terkandung didalamnya nilai pengorbanan. Seseorang pejuang sudah pasti mengimpikan suatu kejayaan yang memerlukan pengorbanan. Seiring dengan pengorbanan itu sudah pasti perlukan ketabahan, keyakinan, semangat dan matlamat kejayaan yang jelas dan jitu demi memastikan kejayaan yang dimiliki akan membuahkan kebahagiaan kepada si pejuang. Sesungguhnya kehidupan adalah memberi bukan sekadar menerima...ia juga untuk dimanfaatkan sebagai bekalan kehidupan abadi.

“Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kebodohanku, sikapku yang melampaui batas dalam urusanku, dan semua dosaku yang Engkau lebih mengetahui mengenainya daripada diriku sendiri. Ya Allah, ampunilah kesungguhanku, kelalaianku, kesalahanku dan kesengajaanku yang semua itu ada pada diriku.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Thursday, October 12, 2017

Didik Anak dengan Solat Awal Waktu

Didik Anak dengan Solat Awal Waktu
Orang pertama yang mengajar kita apa itu keibubapaan atau ‘parenting’ adalah ibu ayah kita sendiri.
Jika ditakdirkan ibubapa kita sendiri gagal memberikan contoh yang baik, hingga kita sendiri terikut berbuat silap, tidak mengapa.
Lihatlah contoh terbaik dari Rasulullah SAW.
Segelintir yang mengadu dengan saya bimbang bergelar ‘single parent’ dengan cabaran yang ada sekarang ini.
Sebenarnya kita tidak perlu bimbang. Selagi kita menjaga Allah. Dia pasti menjaga kita. 
Bagaimana kita jaga Allah? Salah satunya menjaga Allah adalah solat di awal waktu. Dalam keaadaan bagaimana pun bila kita sudah berazam untuk solat awal waktu maka kita pasti akan berjaya.
Contoh bila mahu keluar rumah, kita akan pastikan aktiviti itu selepas solat. Jika azan berkumandang, maka kita akan berhentikan dulu tugasan untuk solat. Jika di perjalanan, kita akan berhenti di mana-mana masjid mencari tempat untuk solat.
Banyak cara untuk mendidik anak-anak dengan terbaik, biarpun tanpa pasangan. Apa yang penting jaga diri kita, pastikan ikut syariat. Amal makruf nahi mungkar mesti diikuti.
Saya kongsikan bagaimana bonda saya mendidik anak-anak tak lain dengan menjaga solat. Bonda bergelar ibu tunggal (balu) dengan 6 orang anak di usia 36 tahun. Waktu itu saya berumur 8 tahun. Dan beliau tidak pernah berkahwin semula. Misi beliau hanya mahu membesarkan anak-anak.
Apa yang bonda saya lakukan adalah memastikan kami wajib solat awal waktu. Jika subuh hari beliau sudah mengejutkan kami sebelum azan berkumandang.
Bahkan hingga sudah ada menantu dan anak cucu, begitulah bonda saya. Sentiasa memastikan solat diutamakan. Bonda sangat tegas dalam hal ini.
Bonda saya sendiri kehilangan ibu sewaktu usia beliau 2 tahun dan tinggal bersama ibu tiri. 
Jadi jika anda ditakdirkan tidak dibesarkan ibu ayah, tiada contoh yang baik. Tidak mengapa. Mohonlah hidayah dan taufiq dariNya agar memandu kita ke jalan benar.
Jangan gundah bila sendirian. Allah sentiasa bersama dengan kita. Sepanjang masa. Mohon dan mengadu padaNya.
Wallahuaalam.
Dr Sakinah Salleh

No comments:

Post a Comment