Menjadi penulis, sangat ramai yang berjaya menulis di mukabuku, blog, IG dan pelbagai media. Namun ramai juga yang ada cita-cita bergelar penulis buku. Mimpi demi mimpi namun sering kali ia terkandas di perjalanan. Impian hanya tinggal impian. Bahkan bukan sedikit yang mengikut kursus penulisan baik yang berbayar mahupun percuma. Ada yang sanggup berhabis ratusan dan ribuan demi mendapatkan ilmu penulisan.
Ada ketika banyak yang mahu dikongsi tetapi jari jemari tidak mampu menuturkan kata di helaian kertas atau screen kompter. Lalu bagaimana memastikan penulisan dapat dihasilkan? Ada masa idea buntu, ada ketika displin menulis celaru, akhirnya segala yang mahu disudahkan tersadai menjadi naskah bisu tatapan sendiri.
Bagaimana mahu berjaya menjadi penulis? Saya bukanlah penulis yang hebat lagi berjaya. Bahkan tidak pernah terfikir untuk berjaya menulis buku dan dilamar oleh penerbit yang berpengalaman serta popular seperti PTS. Sebagai penulis apa yang boleh saya kongsikan, saya sebenarnya tidak pernah belajar secara khusus seperti mengikuti kursus penulisan atau sebagainya. Saya belajar menulis dengan hanya menulis dan menulis apa sahaja yang terfiir dibenak fikiran. Perkara yang paling banyak menyumbang kepada kejayaan menulis adalah banyak membaca dan mencedok ilmu.
Tujuan penulisan juga satu asbab kejayaan kita menulis. Niat menulis sangat penting. Jelaskan kenapa anda mahu menulis? Bagi saya diri sendiri, tujuan penulisan tidak ada niat lain, mahu berkongsi idea dan fikrah, menyebarkan kebaikan. Pandangan yang ingin diketengahkan itulah yang saya tulis. Selain itu saya fikirkan segala hasrat yang ada dalam pemikiran dan diterjemahkan dalam bentuk penulisan tiada lain melainkan agar ia dapat dibaca oleh anak cucu.
Motivasi menulis pula tidak lain ia sebagai satu uslub dakwah bagi menyampaikan maksud tersirat. Usia kita mungkin singakt, maka penulisan yang ada bakal menjadi kesinambungan pada wadah yang mahu disampaikan. Ada yang meletakkan penulisan sebagai sumber pendapatan, ia tidak salah. Ia juga boleh menjadi motivasi penulisan.
Bagi yang mahu berjaya merealisasikan menulis buku sehingga menjadi buku pada saya kunci utama tiada yang lain, melainkan niat yang ikhlas, DARI ALLAH DAN KERANA ALLAH. In sya Allah pasti Dia akan mempermudahkan kita dan memberikan ilham.Menulis bukan untuk jenama, bukan juga mencari glamer, jauh sekali ada kepentingan diri. Itulah yang dikatakan ikhlas, moga dengannya apa yang ditulis mendapat manfaat bukan semata pada pembaca, tetapi kita yang menulis juga memperoleh pahala.
Buku 3i Islam Iman Ihsan Formula Kejayaan Hakiki dan Abadi adalah buku pertama. Ia menyusul tidak lama dengan buku kedua. Diterbitkan dalam masa yang sama oleh PTS. Alhamdulillah keduanya diulang cetak tidak sampai sebulan. Salah satu buku tersebut terpilih untuk Pesta buku di Frankfurt. Bahkan buku tersebut menjadi buku 'bestseller'. Ia di luar dari kotak pemikiran sendiri. Allah Maha Pemurah. Royalti yang saya peroleh tahun pertama menulis buku mencecah hampir 5 angka. Satu perkara yang tidak diduka. Benarlah ia rezeki dari Allah.
Hakikatnya ilmu dan ilham itu dari Allah. Dia yang memberi keduanya. Banyakkan meminta pada Allah, berdoa agar kita dapat berkongsi kebaikan demi dakwah. Demi menyampaikan apa yang baik dan bermakna. Lebih penting penulisan adalah peringatan untuk diri sendiri yang juga banyak kelemahannya. Mulakan menulis. Gunalah apa sahaja media yang dirasakan sesuai. Ia tidak semestinya menjadi buku, jika mahukan pahala. Mulakan dengan niat yang tulus DARI ALLAH DAN KERANA ALLAH. Satu masa tak mustahil dari penulisa di media sosial bakal menjadi buku anda yang pertama.
Wallahuaalam
Dr Sakinah Salleh
Ibtighaai Mardhatillah
#diaripenulis
No comments:
Post a Comment