Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada mukmin

"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman (mukmin), jiwa dan harta benda mereka dengan memberikan syurga kepada mereka, disebabkan mereka berjuang di jalan Allah, …. Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan dan itulah kemenangan yang seagung-agungnya". (At-Taubah: 111)

Perjalanan kehidupan seseorang menuntut kepada suatu perjuangan yang terkandung didalamnya nilai pengorbanan. Seseorang pejuang sudah pasti mengimpikan suatu kejayaan yang memerlukan pengorbanan. Seiring dengan pengorbanan itu sudah pasti perlukan ketabahan, keyakinan, semangat dan matlamat kejayaan yang jelas dan jitu demi memastikan kejayaan yang dimiliki akan membuahkan kebahagiaan kepada si pejuang. Sesungguhnya kehidupan adalah memberi bukan sekadar menerima...ia juga untuk dimanfaatkan sebagai bekalan kehidupan abadi.

“Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kebodohanku, sikapku yang melampaui batas dalam urusanku, dan semua dosaku yang Engkau lebih mengetahui mengenainya daripada diriku sendiri. Ya Allah, ampunilah kesungguhanku, kelalaianku, kesalahanku dan kesengajaanku yang semua itu ada pada diriku.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Tuesday, December 29, 2015

Impian 2016



Bismillah,

Sudah dua minggu ia terfikir-fikir di minda. Lalu penulis suarakan pada anak-anak. Tidak ada perkataan kalau, cuma mahu memastikan bagaimana merealisasikan agar ia menjadi kenyataan.

Ia bermula bila penulis merasakan satu kepayahan dan menuntut masa apabila perlu menghantar anak ke perpustakaan. Pertanyaan juga menerjah di minda apabila terfikir alangkah baik jika ada disekitar tempat tinggal.

Maka bermulalah satu impian mahu mengadakan perpustakaan awam. Kebetulan ada tanah kosong, ia sudah terbiar belasan tahun. Jika tanah itu tidak dimanfaatkan alangkah rugi. Ia berdekatan dengan sekolah rendah dan menengah. Bersebelahan surau dan KAFA. Tempat yang amat strategik.

Maka bermulalah impian penulis mahu membuat kerja amal bagi merealisasikan impian ini. Ia tidak boleh berserorangan sahaja, perlukan team atau pasukan. Semuanya tidak mustahil bukan? Apabila ada impian pasti ada perancangan.

Allah maha mendengar apa yang ada dalam hati. Perkara yang baik pasti dipermudahkan. Amin.


Monday, December 21, 2015

Menghitung Detik

Menghitung Detik

Malam ini,
terasa amat panjang
detik jarum seperti perlahan

dan...
mata ini seperti tidak mahu pejam
hati tidak berhenti bergurindam
jiwa tidak putus bermadah zikir,
bulan semakin beredar melirik senyuman,

lalu...
malam makin berlabuh
menuju subuh,
tasbih jiwa kian panjang
munajat kepada Illahi
ampuni dosa kami,
terimalah amalan ini.


Ummu Iman
9 Rabiul Awal

Bergelar anak yatim adalah tarbiah buat diri dari Ilahi


Bismillah,

Berita 5 sekeluarga yang mati lemas di Kuala Berang sewaktu mandi air terjun itu amat menjentik hati dan perasaan. Apalagi yang tinggal seorang anak lelaki yang berusia sembilan tahun. Sendirian dan sebatang kara. Ia mengingatkan kisah diri sendiri yang kematian ayah di usia tersebut. Bezanya penulis masih ada ibu dan kakak-kakak yang menyantuni kehidupan menuju kedewassan.

Namun hakikat kehidupan anak yatim itu sangat sunyi. Ada ketika terasa rindu pada insan yang telah pergi tidak dapat diterjemahkan. Seolah-olah mereka masih ada bersama. Anak kecil ini pastinya akan berada dalam trauma. Biarpun akan ada yang menjaga makan pakai beliau, ia pastinya tidak akan sama dengan ibu ayah dan kakak-kakak di sisi.

Maka tidak pelik begitu banyak ayat al Quran mengingatkan kepada semua agar berbuat baik kepada anak yatin. Harta benda mereka perlu dijaga dan diserahkan bila mereka sudah baligh dan mampu berdikari. 

Betapa banyak penjaga yang mengutip keuntungan dan memakan harta anak yatim yang mereka jaga. Tanpa ada rasa takut akan azab Allah. Namun harta yang diperoleh secara tidak berkat tidak akan kekal lama. Bahkan ia juga membawa porak peranda dalam keluarga sendiri.

Waspadalah diri, jangan tamak dengan harta dunia. Bagi yang mahu mencari barakah dalam hidup, berusahalah untuk memberi kepada yang bergelar yatim piatu dna orang yang susah. Bahagia dan ketenangan ada saat bantuan dihulur. Ada ketika mereka tidak meminta harta benda namun hanya sedikit keperihaitnan dari kita.

Ada juga dikalangan kita yang ada ibu ayah, ibarat seperti yatim bila mereka tidak peduli dan sibuk mencari harta semata. Jika masih ada mereka, hargailah saat ibu ayah masih  bernyawa. Taati dan santuni mereka saat masa masih berbaki.

Bagi yang bergelar yatim atau yatim piatu pula,  jangan menyesali nasib diri. Kita adalah insan terpilih. Hakikatnya insan yang berjaiwa besar adalah insan yang kenal diri dan tahu hakikat kehidupan. Menjadi yatim itu adalah satu anugerah kerana ia tarbiyyah dari Ilahi agar mampu berdikari dan bijak membuat keputusan dalam hidup. Itulah juga Sirah Nabawaiyah yang ditelusuri betapa Baginda Rasulullah yang menjadi piatu sejak kecil telah merintis jalan terlebih dahulu. 

Wallahuaalam.



Sunday, December 20, 2015

Cerita Kehidupan

Cerita Kehidupan

Hidup Kita Cuma Dalam 3 Hari

1. Semalam - Sudah menjadi sejarah.
2. Hari Ini - Apa yang sedang kita lakukan.
3. Esok - Hari yang belum pasti.

Hisablah hari pertama semoga hari yang kedua kita lebih baik dari hari yang pertama? Jangan mengharap hari yang ketiga kerana mungkin ajal kita pada hari yang kedua.

HIDUP KITA CUMA DALAM 2 NAFAS :

1. Nafas Naik
2. Nafas Turun

Hargailah nafas yang naik kerana udara yang disedut adalah pemberian Allah secara percuma dan carilah keredhaan-Nya dalam menggunakannya.

Bertaubatlah dalam nafas yang kedua kerana mungkin itu nafas yang terakhir keluar dari tubuh bersama nyawa dan roh untuk meninggalkan dunia yang fana ini.

HIDUP KITA CUMA ADA 2 PILIHAN:

1. Hidup dalam keredhaan Allah.
2. Hidup dalam kemurkaan Allah.

HIDUP KITA YANG ABADI CUMA ADA 2 TEMPAT:

1. Kekal didalam Neraka.
2. Kekal didalam Syurga.

Semoga kita sentiasa dalam rahmat Allah. Sentiasa dipermudahkan segala urusan. Sentiasa dimurahkan rezeki. Sentiasa diberi kesihatan yang baik.

Aamiin...

Dipetik dari media internet

Thursday, December 17, 2015

Makna Bahagia

Bismillah.

Jika KEKAYAAN membuat orang BAHAGIA, tentunya ADOLT MERCKLE, orang TERKAYA dari JERMAN, tidak akan menyerahkan badannya ke KERETA API...

Jika KEMAHSYURAN membuat orang BAHAGIA, tentunya MICHAEL JACKSON, penyanyi TERKENAL di USA, tidak akan meminum UBAT TIDUR hingga OVERDOSE...

Jika KEKUASAAN membuat orang BAHAGIA, tentunya G. VARGAS, Presiden BRAZIL, tidak akan menembak JANTUNGNYA...

Jika KECANTIKAN membuat orang BAHAGIA, tentunya MARLIN MONROE, artis CANTIK dari USA, tidak akan meminum ALKOHOL dan UBAT DEPRESI hingga OVERDOSE...

Jika KESIHATAN bisa membuat orang BAHAGIA, tentunya THIERRY COSTA, Doktor terkenal dari PERANCIS, tidak akan membunuh dirinya akibat acara di TELEVISION..

Ternyata, BAHAGIA atau tidaknya hidup seseorang itu, BUKANNYA ditentukan oleh seberapa KAYA, FAMOUS, CANTIK, BERKUASA, SIHAT atau BERJAYA hidupnya.

Tapi yang membuat seseorang itu BAHAGIA adalah DIRINYA SENDIRI... mampukah dia MENSYUKURI semua yang sudah dimilikinya dlm segala hal.

"Kalau KEBAHAGIAAN boleh DIBELI, pasti orang² kaya akan MEMBELI KEBAHAGIAAN itu... kita tidak akan dapat KEBAHAGIAAN kerana sudah DI BORONG oleh merekα."

"Kalau KEBAHAGIAAN itu ada di suatu TEMPAT, pasti belahan lain di bumi ini akan KOSONG kerana semua orang akan kesana berkumpul dimana KEBAHAGIAAN itu berada ."

Untungnya KEBAHAGIAAN itu berada DI DALAM HATI setiap manusia.
Jadi kita tidak perlu MEMBELI atau pergi MENCARI KEBAHAGIAAN itu.

"Yang kita perlukan adalah HATI yang BERSIH dan IKLAS serta FIKIRAN yang JERNIH, maka kita boleh menciptakan rasa BAHAGIA itu bila2, dimana2 dan dalam apa jua keadaan pun."

KEBAHAGiAAN itu hanya dimiliki oleh "Orang² yang BERSYUKUR".

"JIKA KAMU TIDAK MEMILIKI APA YANG KAMU SUKAI, MAKA SUKAI LAH APA YG KAMU MILIKI SAAT INI"......

Waalahuaalam.

Dipetik dari media internet


Sent from my iPhone

Uniform baru vs Semangat baru



Bismillah,

Jom ke sekolah sudah bermula. Ibu bapa pastinya akan sibuk menyediakan keperluan anak-anak untuk kembali ke sekolah. Ibu bapa juga akan terpaksa memastikan duit ringgit mencukupi bagi menyediakan keperluan ini. Dalam keadaan ekonomi yang gawat sudah pasti menambah beban. Barangan yang dulu lebih murah akan meningkat harganya. Namun sebagai pengguna barangan keperluan ia tiada pilihan.

Bagi menyediakan keperluan sekolah anak-anak, ibu bapa perlu bijak memastikan apa yang penting dan apa yang tidak penting. Mungkin ada yang masih boleh diguna pakai maka ia tidak perlu dibeli dahulu. Sebagai contoh jika uniform lama masih boleh dipakai, maka ia tidak perlu dibeli baru.

Penulis masih
ingat kenangan waktu persekolahan di mana hampir setiap tahun dari sekolah rendah dan sekolah menengah, baju baru tidak berganti kerana penulis mempunyai 5 orang kakak, dua darinya jarak usia kami tidak jauh beza. Maka selagi ia tidak koyak dna masih boleh dipakai maka selagi itu tiada baju baru. Itulah keindahan menjadi anak bongsu dari keluarga biasa seperti kami. Biarpun begitu, penulis tidak terasa sedih tanpa baju baru atau kasut baru.

Mungkin keadaan agak berbeza sekarang ini, anak-anak pastinya mahukan baju, beg sekolah dan sebagainya berganti baru. Bahkan baju baru dilihat sebagai motivasi untuk ke sekolah. Hakikatnya mungkin tidak semua begitu. Jika di pedalaman ramai pelajar susah mampu berjaya kerana motivasi bukan baju sekolah baru, tetapi motivasi belajar adalah kerana mahu berjaya dan melepaskan diri dari kepompong kesusahan.

Oleh itu dalam keadaan gawat begini, ia masa untuk melatih dan mengajar anak-anak berjimat dan menerima apa seadanya. Apa yang penting bukan baju baru tetapi SEMANGAT BARU!

WALLAHUAALAM.

Monday, December 14, 2015

PT3

Bismillah,

Hari ini PT3 telah diumumkan. Pastinya ada yang gembira dan ada juga yang sedih bila menerima keputusan. Tahniah bagi yang berjaya, bagi yang kurang berjaya usah berduka, masih banyak kejayaan yang boleh dikutip sepanjang kehidupan.

Sebagaimana penulis sering kongsikan sebelum ini, kejayaan akademik amat bermakna buat anak-anak dan juga ibu bapa. Namun ia lebih bermakna jika kejayaan akademik ini diimbangi juga dengan kejayaan akhirat.



Tuesday, December 1, 2015

Melakar Bahagia; Kita saling memerlukan


Bismillah,

Apabila seseorang merasa diri mereka sudah hebat, maka mereka tidak lagi perlukan orang lain. Tanpa orang lain di sisi mereka tahu yang mereka tetap dan akan berjaya.

Ada satu lagi situasi di mana, manusia merasakan tidak perlu kepada orang lain sehinggakan mereka hanya mengharap pada Allah semata-mata. Keadaan ini disebabkan mereka sedar manusia tidak dapat membantu dan menolong mereka. 

Supaya kita faham hakikat kehidupan, ada ketika kita perlukan orang sekeliling kita, namun ada ketika kita perlukan hanya Allah. Pun begitu, kita tetap perlukan insan lain agar mendoakan kesejahteraan kita.

Jadi, adakah kita perlukan orang lain?

Hakikatnya kita insan memang saling perlu dan memerlukan. Tiada yang hebat hidup tanpa insan lain. Walau kaya sekalipun jika jatuh sakit, tetap perlukan pertolongan. Hatta jika kematian, kita masih perlukan orang untuk mandikan, kafankan, kuburkan. Malah mendoakan agar ruh diampunkan.

Apapun, keperluan kepada orang lain itu bergantung kepada situasi. Ada masa kita perlukan ruang untuk menyendiri. Beruzlah dan mendekati Rabbi.

Wallahuaalam


Sunday, November 29, 2015

Motivasi 3i ; Detik Kematian



Bismillah,

Kematian sering mrnghantui kehidupan. Walau ajal maut ditangan Tuhan. Saat diri berfikir bagaimanakah pengakhiranku nanti. Ia tiada jawapan bagi persoalan BILA dan BAGAIMANA. Semua itu adalah dari Allah yang Maha Esa. Persediaaan dari insan adalah amalan. Setiap kematian adalah terjemahan dari amalan yang dilakukan.

Berkata perkara yang baik, mengajak manusia berbuat kebaikan, melakukan amal seikhlas daya. Namun segalanya adalah kembali kepada Allah sama ada menerima atau sebaliknya. Ikhlas dan sempurna ibadat itu adalah semestinya bagi memastikan penerimaan di sisi Allah. Selebihnya kita insan, sekadar mampu berdoa agar Allah ampunkan dosa dan menerima setiap amalan.

Kematian insan silih berganti membuatkan diri juga tertanya, setiap kali giliran orang lain, maka bilakah giliranku. Mati itu pasti. Bila dan bagaimana itu membawa diri didekat kepadanya. Sebagai ibu, Penulis tentunya ada  banyak pesanan pada anak-anak agar mereka menjadi tali hayat sewaktu di alam sana.

Muda atau tua, sakit atau sihat, kaya atau miskin, semuanya akan bertemu mati. Ramai disekeliling kita sibuk merancang pelbagai agenda kehidupan hingga ada ketika mereka terlupa merancang kematian.

Merancang kematian bukan semata memastikan amalan, bahkan berpesan kepada insan yang bakal kita tinggalkan.
Pernah satu ketika saya bersembang pada anak, pesanan saya itu membuatkan beliau bertanya, " Ummi nak pergi mana?". Terkedu seketika mahu menjawab, hakikatnya saya berkata-kata dalam hati, pesanan ini seandainya ummi tiada nanti. Akhirnya saya menjawab " Ummi tidak ke mana-mana, sekadar berpesan, mengingatkan".

Hakikatnya, anak-anak adalah penyambung zuriat, bahkan mereka adalah harta cukup berharga. Anak yang soleh pula adalah salah satu bekalan menuju kematian.

Maka persediaan kematian adalah memastikan, anak-anak kita dididik dan ditarbiyyah dengan cara hidup Islam. Anak-anak perlu menjadikan Islam sebagai wadah perjuangan. Anak yang soleh yang mendoakan ibu bapanya adalah aset yang berharga.

Penulis menyatakan pada anak lelaki yang satu, sewaktu itu kami sedang menonton TV bersama. "Iman, jika Ummi mati, Iman mandikan Ummi". Kata saya. Jawabnya bersahaja, "Iman solatkan, Ummi suruh K Ngah mandikan". Jawapan Iman itu membuatkan saya senyum.

Itu adalah muqadimah untuk saya membuat pesanan demi pesanan pada anak-anak. Ia ibarat seolah diri akan mati esok hari. Benar, kematian itu tidak diketahui bila saatnya, maka tidak perlu menunggu untuk menyatakan apa jua pada anak-anak. Pesanan umpama satu wasiat. Jangan menangguhkan wasiat termasuk nasihat.

Sebelum mata pejam, sebelum nyawa dihalkum, kita masih ada ruang dan kesempatan. Belum terlambat membuat amal kebajikan. Moga Allah ampuni dosa kita semua.

Mengingatkan diri sendiri yang ada tikanya lalai dan para pembaca sekalian bahawa, SETIAP KETIKA DAN SAAT KITA MENDEKATI KEMATIAN.

Wallahuaalam.


Saturday, November 28, 2015

Kelebihan Solat Jemaah

Kelebihan Solat Jemaah

Solat subuh berjamaah banyak fadilat dan kelebihannya. Khususnya buat seorang lelaki.

Lelaki yang sering gagal untuk bangun subuh dan menghadirkan diri berjamaah di masjid merupakan insan yang sering gagal mencari rahmat dan keberkatan daripada Allah dalam kehidupannya.

Jika dia memimpin keluarga, dia gagal menjadi suami dan bapa yang berusaha mencari rahmat dan sakinah di awal pagi kehidupan.

Jika dia pemimpin masyarakat, dia gagal memulakan kehidupannya dengan mempersembahkan diri di hadapan seruan keberkatan di awal-awal lagi.

Bagaimanakah mungkin dia menjadi pemimpin yang diberkati?

Selepas solat subuh, insan hendaklah berusaha berzikir, beristighfar dan memohon kurniaan Allah untuk hari tersebut.
keadaan ibadah, di masjid sebagai rumah ibadah, di awal hari yang dimulakan dengan ibadah dan dalam hening pagi yang mengkhusyukkan diri untuk menumpukan kepada Allah.

Maka di sinilah turunnya keberkatan, rahmat dan kemustajaban doa. Pohonlah segala kebaikan untuk kehidupan ini. Amiin.

Dipetik dari perkongsian WA

Mengejar impian


Bismillah,

Impian adalah satu perkara penting dalam hidup. Bahkan dengannya individu mendapat inspirasi dan motivasi bagi bertindak. Namun impian itu penting untuk dinilai, apakah ia realistik atau sebaliknya.
Dengan kata lain, biarlah impian itu satu perkara yang mampu kita capai dan mampu direalisasikan.

Umpama impian mahu mengubah dunia, bukan tidak boleh berimpian sebegitu, impian biarlah dalam satu skop yang agak spesifik dan dalam jangakuan. Jika setakat mahu menyatakan dibibir, maka sudah pasti banyak impian boleh disebut.

Tiada satu yang mustahil dalam hidup. Maka tidak salah mahu berimpian. Impian yang realistik akan ada bersamanya satu roadmap bagi memastikan ia boleh dilakukan dan berhasil. Roadmap itu perlu disusun terbaik agar kita tahu apa cabaran yang bakal kita depani.

2016 sudah makin menjelma dan 2015 bakal meninggalkan kita. Adakah kita sudah mencapai impian 2015, atau masih dalam suasana suram. Apalagi mahu mencipta dan berazam dengan impian baru. Impian pastinya ada yang jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Bagi memberi motivasi kepada diri, pastikan impian yang kecil dapat digapai.

Susun langkah dengan bijak dan lakukan dengan betul agar sedikit demi sedikit impian jangka panjang dilakukan, agar ada pergerakannya. Satu ketika tidak mustahil kita mampu merealisasikan apa yang dimahukan dalam hidup. Amen.

Wallahuaalam.


Monday, November 23, 2015

Keluarga menuju syurga ;Cita-cita menjadi Hafizah


Bismillah,

Benar janji Allah bila kita mahu maka di situ ada jalan. Sama juga bila kita berimpian akan satu-satu perkara. Lambat laun jika kita gigih berusaha dan berdoa serta berserah padanya, ia bakal menjadi kenyataan.

Saya mahu berkongsi dengan para pembaca, pengalaman ini. Moga jika ada kalangan pembaca punyai impian yang sama, maka ia tidak mustahil. Satu ketika dalam tulisan sebelum ini, ada saya berkongsi tentang bagaimana hasrat hati mahu salah seorang anak saya bergelar Hafiz, atau setidaknya mendalami al Quran bukan setakat menghafal.

Dalam masa yang sama saya juga berkongsi, bagaimana Allah memperlihatkan pada saya betapa saya silap hanya meletakkan hasrat tersebut hanya pada anak-anak, dan tidak pada diri sendiri. Hinggalah ada satu wake-up call untuk saya menyebabkan saya sedar, saya sendiri perlu melantik dan memilih serta membuat tindakan yang sama.

Disebalik usaha saya menghafal kembali surah-surah yang pernah jadi hafalan sebelum ini sewaktu di sekolah dan universiti serta menambah hafalan yang baru, rupanya, Allah mencatit setiap gerak-geri. Tanpa saya sedar saya secara tidak langsung telah memberi satu teladan pada anak-anak.

Dua hari yang lepas, anak ke-dua iaitu Ain menyatakan pada saya hasratnya mahu memasuki Darul al Quran selepas mendapat SPM. Ia satu perkara yang memeranjatkan bagi saya. Ini kerana ia tempat yang tidak pernah ada dalam list buat Ain. Apa yang ada diperbualan saya dan suami sama ada Ain memilih masuk UIA atau UiTM sebagaimana kakaknya jika ada rezeki dalam SPM nanti.

Bila Ain menyatakan dia mahu menghafal al Quran terlebih dahulu, dan kemudian menyambung ke UIA, saya rasa ma sya Allah, Allahu Akbar sungguh benar janji Allah, dia Maha mendengar segala doa dan isi hati.

Hakikatnya jika sebelum ini saya terfikir yang banyak perkara saya terlambat, contohnya menghantar Ain ke sekolah SAM tetapi tidak sekolah Tahfiz, rupanya semua ini ada hikmah tersendiri. Bahkan saya percaya ada hikmah buat dirinya, kerana apa yang dibuat adalah dari pilihan dan cita-citanya sendiri.

Jika sebelum ini, impian saya agar Iman akan berjaya keluar sebagai Hafiz, namun kali ini saya akan lebih kuat memanjatkan doa kepada Allah, agar seluruh ahli keluarga kami semuanya menjadi Hafiz/Hafizah. Lambat atau cepat itu tidak penting, apa yang penting adalah cita-cita dan tindakan serta usaha ke arah merealisasikannya.

Ya Allah semoga cita-cita Ain akan termakbul. Moga Allah permudahkan jalan ini buat kami, dan menjadi asbab untuk kami semua masuk ke Syurga. Amen.

Friday, November 20, 2015

People who you loves makes you




Bismillah,

"People who you loves, makes you"
Kata-kata di atas petikan dari cerita The Fortune Theory. Ada benarnya kata-kata ini.

'Orang yang kita sayang menjadikan kita hari ini.'
Siapakah orang yang kita sayangi?


Pengalaman adalah universiti terbaik


Bismillah,

http://travelogempayarjiwa.blogspot.my/2015/09/upsr-apa-yang-kita-impikan-sebenarnya.html

Link di atas adalah tulisan saya sepurnama yang lalu sewaktu anak-anak berada di gerbang peperiksaan. Tiga hari yang lalu para pelajar berkenaan telah mendapat keputusan masing-masing. Ada yang berjaya cemerlang, ada yang biasa-biasa dan ada juga yang corot.

Maka sudah pasti ada yang gembira dengan kejayaan dan ada yang bersedih dengan pencapaian. Segelintir seperti tidak percaya kerana berjaya cemerlang, ada juga yang terlalu memberi harapan, namun sebaliknya yang diperoleh tidak seberapa. Pun begitu ada juga yang berkata 'you deserve it". Dengan lain bahasa itulah yang hasil dari usaha selama ini.

Hakikat kejayaan itu adalah satu perjalanan yang panjang. Ia sangat subjektif. Tidak mendapat satu pun A bukan bermakna kita bakal gagal lagi, mendapat 5 A juga bukan bermakna tiket mudah untuk berjaya lagi selepas ini, namun setidaknya ia pencetus semangat untuk meraih kejayaan yang seterusnya.

Kejayaan akademik juga bukan bermakna kejayaan 100% dalam kerjaya atau sebagainya. Akademik hanya satu bahagian dari banyak lagi bahagian-bahagian kejayaan. Anaologinya, ibarat sebiji kek. Ia hanya satu potangan dari beberapa potongan kek. (In sya Allah di kesempatan yang lain akan saya kongsikan berkenaan ini dengan lebih lanjut).

Bagi yang gagal memperoleh 5A, gagal pula mahu memasuki sekolah terpilih. Jangan kecewa. Ada hikmah terbaik yang bakal kita peroleh. Setiap hikmah yang mampu  dihadam adalah 'lesson learn' buat diri. Setidaknya kita berazam untuk buat lebih baik selepas ini.

Ini juga pengalaman yang saya lalui. Saya bukan pelajar terbaik di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah. Bahkan ada ketika sewaktu di sekolah menengah saya terpaksa turun kelas kerana keputusan tidak cukup baik, manakala persaingan di kalangan pelajar pula begitu sengit.

Ia tidak memutuskan semangat. Saya akui, cara belajar saya silap. Saya tiada mentor, membaca hanya waktu mahu masuk periksa, tiada strategi belajar yang betul. Saya pelajar anak yatim yang cuba berdikari serta masih tercari- cari identiti diri.

Namun berbekal sekelumit impian mahu masuk universiti, mahu bergelar lulusan PhD. Maka saya memulakan langkah dan azam baru sewaktu menjejak kaki ke universiti. Saya sedarkan diri bahawa saya bukan pelajar terbaik, namun tidak mustahil saya boleh jadi terbaik mengikut ukuran saya sendiri.

Bermula dari situ, saya tidak menoleh ke belakang. Saya hanya melihat matlamat. Biarpun ada pelbagai cabaran untuk sampai ke garis penamat, namun saya percaya dengan usaha, ikhtiar, tawakkal, doa yang tidak putus serta yakin Allah tidak akan mengagalkan hambaNya yang berusaha seikhlas. Akhirnya saya berjaya memperoleh apa yang dihajati. Kejayaan itu pula bukan dari diri saya sendiri, ia banyak dari sokongan insan sekeliling.

Melalui pengalaman tersendiri, maka saya percaya, individu yang gagal memperoleh kejayaan bukan gagal, sebaliknya mereka belum menemukan strategi dan cara betul dalam mengulang-kaji pelajaran. Saya percaya 'work hard work smart' adalah formulanya. Selain kuasa dan takdir serta rezeki dari Allah

Benarlah kata pujangga, PENGALAMAN ADALAH UNIVERSITI TERAIK DI DUNIA. Bermula dari situ saya bertekad untuk berkongsi dengan seramai mungkin tentang konsep Smart Learning, baik untuk pelajar sekolah mahupun universiti. Semoga ia menjadi teladan buat mereka yang mahu mencedok ilmu dan belajar dari pengalaman orang lain.

Wallahuaalam.


Thursday, November 19, 2015

Umur kita, Modal Kita

Umur kita, Modal Kita

Mengerjakan solat sunat subuh dua rakaat lebih baik dari seluruh isi dunia.

Menurut ulama, amalan kita adalah umur kita. Ibrah adalah apa amalan dari tempoh tersebut.

Ibarat buah yang diperah untuk mendapatkan jus yang asli, maka umur panjang pendek, namun kualiti ibadat yang kita buat.

Contoh amalan yang berpanjangan kerana mengajarkan ilmu, mengerjakan kebajikan, membuat amalan sedekah dan mempunyai anak soleh.

Walaupun sudah meninggal, namun pahala tetap berkekalan. Hadis Rasulullah menyebut;
"Muslim yang sempurna adalah Muslim yang diberi umur yang panjang dan banyak pula amal kebaikannya.

Ruh 
Imam Qurtubi menyebut ruh tiada tempoh hidup tertentu. Tujuan jasad ini adalah untuk menikmati.

Jasad ada tempoh, ia tiada pengakhiran. Dari alam ruh, alam rahim, alam dunia, alam barzakh, hingga alam akhirat.

Dalam menentukan umur dunia "Umur dunia 7 hari dari hari akhirat" ini adalah hadis Maudhuk. 

Kiamat amat dekat, perumpamaan kehidupan sebagai pengembara yang berhenti di bawah pokok untuk melepas lelah. Ini menurut Rasulullah. Maka ia ibarat berhenti di RnR.

Firman Allah " Sesungguhnya satu hari di sisi Allah menyamai seribu tahun"

Perjalanan bumi ke langit dan langit ke bumi 500 ribu tahun, maka jumlahnya adalah 1000 ribu tahun

Berdasarkan perkiraan, umur dunia amat singkat. Oleh itu umur kita perlu dilabur ditempat terbaik, jika tidak semuanya akan lebur.

Allah jadikan hari kelahiran, namun hari kematian dirahsiakan. Hikmahnya ada dan tersendiri. Surah Al Mulk " Allah mahu lihat siapa paling terbaik amalannya"

Dunia seperti medan pertandingan, hadiahnya adalah syurga.

الست بربكم قالوا بلى

Setiap orang berbeza, selaras dengan hikmah bila. Pilihan masa akan datang adalah masa yang kita laburkan untuk masa yang lagi.


Tuesday, November 17, 2015

Tabarruk

Tabarruk

Tabarruk ada dua, pertama dengan al Quran
Tabarruk dengan perkara yang hissi contoh ilmu, malaikat.

Jangan tabarruk dengan benda yang tidak syarie, seperti cincin, permata,
Ia perbuatan tahyol, bidaah dan khurafat.

Cinta Ilmu
TV Hijrah

Sunday, November 15, 2015

Fenomena Vape dan isu-isu Halal Haram


Bismillah

Isu vape isu yang kritikal. Ia membawa banyak mudarat kepada generasi kini dan akan datang. Sebentar tadi saya melihat sekumpulan pelajar yang ponteng sedang menghisap vape. Ia umpama satu FENOMENA.
Bagi yang menggunakan hujjah bahawa perniagaan Vape sebagai satu sumber ekonomi Bumiputra, boleh baca buku 10 Tokoh Usahawan Muslimah.
Buku ini bukan semata berkongsi tentang tokoh-tokoh usahawan berjaya, namun antara isu utama yang diketengahkan juga adalah pemahaman tentang konsep BERNIAGA DALAM ISLAM. Antaranya;
+ Memahami konsep perniagaan dalam Islam.
+ Prinsip dan Falsafah perniagaan dalam Islam.
+ Etika perniagaan Islam.
+ Untung dan rugi dalam perniagaan.
+ Menguruskan perniagaan cara Rasulullah.
+ Akhlak Rasulullah dalam berniaga
+ Strategi dalam perniagaan.
+ Perniagaan dan perlaksanaan tanggungjawab
+ Berusaha bagi berjaya.
+ Formula bisnes yang berjaya.

Nota : Berniaga bukan semata mahu kaya di dunia tapi lebih penting kaya di akhirat. Bimbang kita muflis di akhirat tiada gunanya.

Monday, November 9, 2015

Bagaimana memanfaatkan cuti


Bismillah,

Cuti di Malaysia memang ada pelbagai. Cuti perayaan, cuti sekolah, cuti jerebu, cuti banjir dan pelbagai lagi cuti baik yang sudah ada dalam kalendar tahunan mahupun yang diambil kerana darurat.

Hari ini cuti perayaan Deepavali. Sudah pasti cuti bagi surirumah bukan masa untuk berehat, apa lagi bagi yang bekerja, waktu inilah masa untuk mengemas rumah, memasak, membasu baju, mengosok dan sebagainya.

Cuti yang terbaik adalah apabila kita dapat memanfaatkannya bagi melakukan perkara yang berfaedah. Baik bersama keluarga atau memenuhi undangan kenduri, menghadiri majlis ilmu atau apa sahaja, pastikan cuti tersebut menjadi cuti yang penuh kualiti.

Mungkin ada yang menjadikan cuti sebagai masa istirehat. Menqada masa tidur, menonton movie, bertemu rakan-rakan pastikan ia dapat memberikan manfaat. Masa cuti bukan untuk berhibur tapi cuti yang ada masa untuk menambah ibadat. Sibuk bekerja ada ketika tidak sempat berjemaah di surau, maka inilah masa untuk berkunjung dan bermasyarakat bersama ahli qariah.

Bagi surirumah mungkin waktu cuti bertambah beban kerja kerana ada ahli keluarga yang pulang, terpaksa memasak lebih dari biasa. Namun pastinya setiap kepenatan ada kepuasan yang tersendiri. Apalagi memenuhi kesukaan suami dan anak-anak, ia motivasi yang tidak surut walau penat dan lelah.

Cuti dan cuti. Bagi memberikan kualiti pada cuti, maka perlulah dirancang lebih awal agar kita dapat memastikan agenda berjalan lancar. Semoga cuti ada meriah dan menambah memori yang manis untuk dikenang.

Wallahuaalam.

Thursday, November 5, 2015

Kenali karakter anak-anak


Bismilllah,

Berkongsi kisah dan ragam anak-anak pastinya akan ada pelbagai kisah dan cerita. Ia satu perkara yang indah dalam kehidupan saat kita meniti usia yang semakin lanjut. Setiap anak akan ada karakter berbeza. Bahkan itulah yang menambah unik dan warna warni dalam keluarga.

Disebabkan watak atau personaliti dan karakter berbeza maka sudah pasti cara melihat masalah juga berbeza. Miliki dua orang anak perempuan yang berbeza banyak perkara sudah pasti banyak yang saya juga pelajari sebagai ibu. Ia membantu diri untuk belajar pelbagai pendekatan bila mereka berdepan masalah.

Salah seorang dari mereka bila tiba masa exam, maka dia akan panik, semua serba tak kena, banyak menangis kerana risau dan lebih parah bila kita terpaksa melayan setiap masa perasaan gundah tersebut. Walhal dia dilihat sudah bersedia, tapi kerisauan melampau untuk berdepan peperiksaan dan keputusan menyebabkan perasaan panik itu datang.

Manakala seorang lagi, tidak pernah ada perkataan negatif. Bila ditanya semua Alhamdulillah. Bahkan boleh dikatakan minda positifnya yang kuat itu terpercik kepada diri saya sendiri. Lalu saya tidak merasa risau kerana beliau miliki perasaan yang cukup kental melawan rasa bimbang, risau, takut dan pelbagai lagi emosi.

Disebabkan itu beliau tidak manja bahkan banyak berdikari dan pandai membuat keputusan sendiri berbanding yang seorang lagi. Pun begitu hati seorang ibu tetap juga risau, kerana tidak mahu anak meletak harapan. Namun sejak dulu beliau sangat pasrah dengan apa sahaja.

Hari ini bila mereka sudah dewasa, sudah terbit kematangan, nun jauh disudut hati saya bersyukur dengan anugerah Allah. Setiap kelebihan dan kekurangan yang ada pada anak-anak, ada hikmah buat ibu ayah. Tidak membandingkan pencapaian atau kejayaan juga amat penting kerana setiap mereka adalah unik dan punyai kelebihan tersendiri jika ibu bapa mampu menilai dengan mata hati.

Allah berikan kejayaan dunia dan akhirat buat anak-anak semua. Amin.

Monday, November 2, 2015

Reformasi Diri : Betul dan Berbeza

Bismillah,

Bagi membuat reformasi pada diri, cuba fikirkan apa yang telah kita berjaya lakukan. Tanyakan persoalan ini;

1. Apakah perkara betul yang kita lakukan hingga membawa kepada kejayaan?

2. Jika kita dapat mengulangi semula kejayaan tersebut, apakah perkara berbeza yang akan kita lakukan?

3. Apakah perkara betul dalam situasi tersebut?

4. Apakah tindakan berbeza yang di ambil pada lain masa?

Semua persoalan ini perlu disenaraikan jawapannya agar menampakkan kepada kita apa yang betul yang kita lakukan, serta bagaimana mahu memastikan kejayaan sama dapat dicipta bahkan ia lebih berjaya.

Reformasi diri menuntut individu untuk sentiasa membuat introspeksi pada diri dan keadaan sekelilingnya, ini membantu mereka untuk membuat tindakan serta keputusan yang terbaik.


Sunday, November 1, 2015

4 perkara membawa ke syurga

4 perkara membawa ke syurga

Bismillah,

Ucapan Rasulullah pertama kali masuk ke Madinah sewaktu hijrah Baginda ialah:

1.Sebarkan salam.
2.Berilah makan.
3.Jaga hubungan silaturahim.
4.Solat malam saat orang tidur.

-Insan yang memberi salam sudah pasti tiada perasaan dendam dan marah.

-Bila Muhajirin datang maka yang menyantuni mereka adalah golongan Ansar. Bila mendapat kebaikan maka akan ada penghargaan serta wujud kasih sayang. Tiada istilah pentingkan diri sendiri.
Surah Al Insan menjelaskan betapa insan yang memberi makan golongan miskin adalah takut kepada Allah.

-Memahami untuk menyambung silaturrahim mampu mengukuhkan ikatan dan menlenyapkan perasaan dendam.

-Qiam saat orang lain tidur maka hubungan kita dengan Allah didengari.

3 perkara pertama adalah hubungan dengan manusia. Ia dapat membangkitkan sifat yang baik dalam diri insan.
Seterusnya bila yang terakhir ada hubungan dengan Allah maka individu akan bahagia.
Mereka yang melakukan 4 perkara ini akan memperoleh syurga.

Wallahualam

Cinta Ilmu
TV Hijrah

7 Kunci Kehidupan Sihat dan Cergas

7 Kunci Kehidupan Sihat dan Cergas

1. Makan makanan berkhasiat
(Elakkan 3 racun putih; tepung yang dilunturkan, gula putih, garam putih)
2. Jaga berat badan
3. Kawal corak pemakanan
4. Amalkan senaman
5. Rehat yang cukup dan banyakkan riadah
6. Mengambil makanan tambahan
7. Pupuk minda positif dengan elakkan fikiran negatif

Saturday, October 31, 2015

Reformasi Diri : Motivasi Kerjaya


Bismillah,

Kerjaya ia adalah cita-cita atau impian sewaktu kecil yang diungkap sewaktu tadika atau sekolah rendah bila ditanya guru-guru, besar mahu jadi apa? Realitinya bila diri meningkat dewasa dan masuk ke alam universiti, apa yang diimpikan tidak menjadi kenyataan. Kenapa demikian?

Ia ada banyak faktor. Jika dulu mahu jadi doktor tapi masa sekolah kita tidak ambil jurusan sains. Mahu jadi guru sekolah tapi akhirnya kita sekadar menjadi pekerja kilang kerana tiada kelulusan. Banyak juga cita-cita sekadar menyebut mahu BERJAYA tanpa spesifik menyatakan berjaya dalam apa? Akhrinya kita tidak menjadi apa-apa. Hidup menjadi tiada matlamat. Sekadar buat melepaskan makan minum.

Lalu apa jadi dengan impian kerjaya hebat sebelum ini? Mahu jadi orang kaya raya dan berjaya. Pudar sudahkah impian? Terlambat sudahkah mengejar cita-cita yang belum kesampaian? Adakah kesilapan masa lalu boleh diubah semula?

Jawapannya, yang lepas itu pengajaran. Banyak perkara boleh diperbetulkan jika kita mahu berubah dan bangkit menyusun semula strategi membina matlamat. Ingat, ada ramai yang berada di tangga kerjaya yang hebat, namun apabila di buang kerja dan sebagainya, akan ada dua keadaan. Ada yang putus asa dan terperuk dalam masalah, namun ada yang mengambil sesuatu yang positif dan belajar sesuatu yang baru dari pengalaman silam dan keadaan yang berlaku. Mereka berjaya mencipta kerjaya yang cemerlang lebih baik dari sebelumnya.

Maka di mana anda sekarang? Ayuh mulakan reformasi diri. Cipta kerjaya hebat. Masih belum terlambat memulakan sesuatu. Buat dan bertindak! Jangan persiakan bakat. Cungkil dan gilap apa yang ada dalam diri anda. Permata itu akan bersinar.

Wallahuaalam

Thursday, October 29, 2015

Reformasi Diri : Why Me vs Why Not?


Bismillah,

Seringkali bila berdepan dengan sesuatu cabaran yang tidak diduga, individu akan mempersoalkan
" Why Me " atau bahasa mudahnya, Kenapa AKU?

Apakah malangnya diri menerima nasib begini?
Tuhan tidak adil kerana memberikan ujian ini?
Adakah diri ini berdosa?
Kenapa diri ini yang sering menerima nasib buruk?
Apakah salah diri ini?
Adakah semua ini karma?

Pendek kata ada pelbagai lagi persoalan yang merujuk kepada Kenapa Aku? Realitinya persoalan ini tidak akan membawa kita ke arah solusi atau mempertingkatkan prestasi dan semangat diri. Sebalikbya diri akan lebih banyak mahukan simpati dan menjadi lemah serta secara tidak langsung akan mengharapkan orang lain untuk bangkit dari kegagalan.

Oleh itu mari menukar WHY ME? kepada WHY NOT?
Yea! Mengapa tidak?

Allah tidak pernah zalim kepada hambaNya, bahkan manusia yang sering menzalimi diri sendiri. Apabila mereka gagal maka mereka akan menyalahkan orang lain dan meletakkan kegagalan itu pada bahu orang lain tanpa mahu melihat dan mengambil pengajaran dari setiap peristiwa yang berlaku.

Mari sama-sama kita muhasabah diri. Jika tidak datang ujian kepada kita, kemungkinan kita tidak sedar dari kesilapan. Kita tidak dekat kepada Allah, kita lupa orang sekeliliing. Maka apabila datang satu perkara dari situ ia memberi hikmah.

Serendipity.
Ia kisah yang dikongsikan agar dapat membantu kita melihat bahawa apa jua yang berlaku ada hikmah tersendiri jika kita mahu menyedari.

Seorang hamba Allah yang cemerlang dalam kerjayanya, tiba-tiba beliau diberhentikan kerja tanpa sebab dan alasan yang kukuh oleh majikan. Lalu dari situ dia terpaksa mencari rezeki dengan pelbagai cara. Dari kerja kelas atasan dia terpaksa bekerja kelas bawahan. Selain bekerja beliau mencari peluang dengan menyambung belajar secara sambilan. Pekerjaan yang diusahakan sendiri akhrinya membuahkah hasil lumayan hingga beliau mampu membina bisnes yang berjaya, bahkan beliau juga memperolehi ijazah tanpa perlu menunggu biasiswa. Keluarganya juga gembira dengan pencapaian barunya.

Disini kita lihat ia satu perkara yang hebat. Jika dia tidak diberhentikan kerja, mungkin dia tidak akan sambung belajar, dia tidak akan tahu apa ertinya berdikari dan belajar tentang dunia bisnes. Bahkan pengalaman saat jatuh menjadika beliau insaf, maka bila dia berjaya dan kaya raya, dia menjadi seorang yang sangat dermawan dan prihatin dengan golongan susah. Kata beliau " hidup susah mengajar erti hubungan dan kasih sayang".

Berdasarkan kisah di atas mari muhasabah kisah sendiri. Apa hikmah disebalik yang terjadi pada diri? Pasti ada sesuatu yang mungkin tidak kita sedari. Ubah kehidupan dengan mengubah perkataan WHY ME kepada WHY NOT.

Masa untuk meneruskan MISI.



Gaya Hidup Sihat

Gaya Hidup Sihat

Bismillah,

Hari ini masuk hari ke-5 saya berjaya mengekalkan konsistensi memperuntukkan masa bagi riadah.

Ia bukan suatu yang boleh lagi dibanggakan, kerana saya perlu memastikan cukup 40 hari baru ia menjadi rutin. Dengan kata lain tabiat baik.

Sebelum ini biasanya riadah hanya bila ada masa. Paling tidak saya membelai tanaman di sekitar rumah.

Motivasi untuk menjadikan senama sebagai rutin harian apabila saya sendiri terasa yang berat badan semakin bertambah. Mungkin saya belum tahap
obes atau terlebih berat namun apa yang saya fikirkan adalah perlunya mempunyai gaya hidup sihat. Apalagi dengan usia yang semakin meningkat, bukan hanya pemakanan yang perlu dijaga, bahkan fizikal badan juga perlu dititik beratkan.

Awal tahun baru ini saya membeli sebuah lagi basikal untuk kegunaan kami. Ia memudahkan kami untuk beriadah bersama.

Masalahnya untuk mengayuh basikal sendirian saya rasa segan dan tidak berasa selamat untuk mengayuh agak jauh sedikit. Maka masa untuk berbasikal saya terpaksa menunggu ada anak-anak atau suami menemankan.

Pergi ke Gym ikuti Aerobik atau yang sewaktu dengannya saya tidak berminat, sementelah masa yang ada amat terhad. Maka pilihan yang ada tidak banyak.

Hari minggu baru ni saya berbasikal bersama Enche Suami, tiba-tiba tayar pula pancit. Terpaksa saya mengelek basikal hampir satu kilometer. Berpeluh juga berjalan sambil mengheret basikal.

Anak saya mencadangkan agar saya saya melihat video yang banyak di youtube untuk bersenam cara yang betul. Alhamdulillah, salah satu yang saya ikuti adalah bersenam 25 minit sehari.

Setelah beberapa hari mengikuti video tersebut saya dapat merasakan badan agak ringan. Mencuri masa yang ada sebelum ke ofis atau selepas balik ofis sebenarnya boleh kita lakukan.

Bersenam bukan semata untuk menurunkan berat badan. Apayang penting kita bersenam agar kita dapat mengekalkan badan yang sihat. Selain itu, penting juga menjaga pemakanan yang seimbang kerana ia juga menyumbang kepada kesihatan.

Apa jua yang dilakukan untuk kekal sihat, pastikan juga kesihatan jiwa dititik beratkan.

Sihat fizikal, cerdas minda, kuat rohani.

Wallahuaalam.

Monday, October 26, 2015

Reformasi Diri Siri 1



Bismillah,

Mengubah diri atau dengan kata lain membuat reformasi pada diri sendiri adalah sama konsep dengan hijrah diri. Ia maksud yang hampir sama, yang membezakan mungkin pendekatan yang berbeza.

Dalam konteks membuat reformasi pada diri sendiri ia memerlukan individu membuang terlebih dahulu perasaan negatif yang ada dalam diri. Perasaan negatif seperti sering menyalahkan diri sendiri,  merasa diri sebagai mangsa keadaan, selalu menerima kritikan,terasa seperti tidak disayangi dan pelbagai lagi bentuk perasaan negatif.

Sangkaan buruk terhadap sesuatu ini menyebabkan diri terperangkap dalam masalah. Kesannya akan menyebabkan berlaku low self esteem. Rasa rendah diri dan merasakan diri tidak lagi dapat bangkit. Bila perasaan sakit maka secara tidak langsung ia memberi kesan kepada kesihatan fizikal.

Bagi membuang perasaan negatif (suu' zon) dalam diri, individu perlu hadirkan perasaan ceria dan gembira. Mula bertindak melakukan perkara yang kita suka dan bukan kerana orang lain suka. Belajar mengatakan tidak pada sesuatu yang perlu. Tidak ada kata-kata mahu mengambil hati walhal diri tidak ikhlas. Ini kerana kesannya akan membuat perasaan tidak gembira.

Bahkan kita tanpa sengaja akan mengharapkan balasan dari kebaikan yang diberi. Harapan akan membawa kepada kekecewaan bila tidak dipenuhi. Maka belajar untuk berbuat sesuatu tanpa mengharapkan apa-apa. Ini dapat mengelakkan diri terasa hati, kecewa, putus asa dan sedih.
Apabila tiada lagi perasaan negatif maka lebih mudah elemen postif dapat diterapkan dalam diri.




Thursday, October 22, 2015

Ayat- ayat Cinta

Bismillah,

Bila kita bakal menutup mata, pergi ke alam yang lain, kita telah banyak kali diperingatkan bahawa kubur itu gelap, kelam, sunyi dan menakutkan. Bahkan kita telah pun diberi SOALAN BOCOR berdasarkan dari hadith Rasulullah apa yang bakal di soal oleh malaikat.

Malangnya soalan bocor itu tidak boleh dihafal jawapannya. Buatlah bagaimana pun kita tidak akan dapat menjawab melainkan dengan cara kita bersedia dengan amalan.

Soalan pertama yang ditanya nanti adalah " Siapa Tuhan Kamu". Ia akan ditanya dalam Bahasa Arab. Maka yang menjawabnya adalah amalan kita selama ini. Berapa kali kita mengucapkan perakauan kita akan kepercayaan pada Allah. Adakah segala suruhan Allah kita lunaskan? Maka yang mampu menjawab apabila kita menjadi Hamba yang mendapat redha Allah atas segala amal di dunia.

Soalan ke-dua pula adalah " Siapa Nabi Kamu". Lalu biar berbuh di dunia menghafal nama Muhammad Rasulullah, ia tidak akan dapat menjawab soalan tersebut bila kita tidak mengikut ajaran Nabi. Kita tinggalkan segala sunnah Baginda. Bahkan kita tidak kenal Baginda apalagi membasahkan lidah dengan selawat. Cara hidup kita bertentangan dengan syariat yang diajarkan oleh baginda.

Lalu jika dua soalan pertama sudah tidak mampu dijawab apalagi dengan soalan ke-dua? Kita banyak menghabiskan masa berinternet, membaca Whatsap, Telegram, Instagram dan pelbagai lagi media baik TV mahupun radio tanpa ada rasa membaca AL Quran. Walhal, itulah yang bakal menerangi kubur kita yang kelam. Al  Quran yang menjadi peneman selama mana kita di situ.

Lalu jadikanlah al Quran sebagai nadi. Setiap hari ia perlu dibaca, dihayati, difahami, diikuti dan perlu disebarkan ajarannya. Ayat-ayat al Quran umpama AYAT-AYAT CINTA yang jika sehari tidak dilafaz maka diri tidak tenang.

Perbanyakkan ibadat yang lain agar ia menjadi penyelamat untuk kita sewaktu disoal di alam kubur. Kita tidak tahu apa yang ada di sana dan berapa lama masanya maka berusahalah untuk mempersiapkan diri agar kubur kita menjadi satu dari taman-taman syurga.

Wallahuaalam.

Wednesday, October 21, 2015

Peringatan dari Surah An Naba


Bismillah,

Surah An Naba ayat 23 menyebutkan yang manusia yang dimasukkan dalam neraka kerana derhaka, akan hidup berkurun-kurun lamanya. Allahu Akbar. Tidak terbayang bagaimana menanggung seksaan. Jika kita boleh mengira bayangkan berapa juta tahunkah berkurun-kurun itu?

Bayangkan jika satu hari di akhirat bersamaan 1000 tahun di dunia, dan rata-rata manusia hidup sekitar 70 tahun, jarang-jaranng yang 100 tahun. Jadi ada berapa billion tahun di akhirat tidak dapat dikira. 

Maka apa yang ada sekarang? Ya, ia masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk kita menuju alam yang kekal. Moga dengan bekalan itu kita dapat masuk ke syurga Allah, berjaya di tempatkan bersama orang Soleh dan Wali Allah.

Al Quran mengajak insan untuk kembali pada ajaran, 
Al Quran banyak kali dan berulang-ulang memberi peringatan
Al Quran menyeru manusia mengenal Tuhan
Al Quran memberi hidayah ke arah kebenaran

Mari sama-sama muhasabah, di mana kita, ke mana kita akan pergi? Saat mati tidak diketahui, walau ia sudah tersurat, tapi belum terlewat selagi ada hayat. Ayuh kita sama-sama bangkit, perbanyakkan amal ibadat, zikir dan berselawat, bersedekah dan berzakat, yang penting jaga dan jangan tinggal solat, dapatkan rezeki yang berkat.

Wallahuaalam.

Petikan Surah An Naba

Mereka tinggal di dalamnya berkurun-kurun lamanya.
(An-Naba' 78:23) |


Tuesday, October 20, 2015

Erti memberi bagi yang mengerti


Bismillah,

Benarlah insan yang mencari bahagia dalam hidup caranya tiada lain, iaitu dengan memberi. Berilah terlebih dahulu dan kita akan mengecapi nikmatnya. 

Apa yang mahu diberi? Banyak yang kita boleh memberi, iaitu;


  1. Kasih sayang
  2. Tenaga,
  3. Idea dan buah fikiran
  4. Harta benda
  5. Duit ringgit
  6. Sokongan moral
  7. Pujian
  8. dan lain-lain bentuk pemberian.

Segala pemberian yang ikhlas dari sanubari tanpa mahukan pembalasan atau tanpa rasa menunjuk-nunjuk akan menerbitkan rasa kepuasan dan kebahagiaan kepada si pemberi. Benarlah tangan yang di atas itu lebih mulia dari yang di bawah, apa lagi bila memberi, tangan kanan menghulur tangan kiri tidak tahu.

Ramai yang tanpa sedar lokek memberi, walhal itulah tali hayat kita di alam fana nanti. Saat kita menikmati hidangan lazat pernahkah kita terasa mahu memesan lebih agar boleh memberi pada yang dirasakan tidak mampu membayar harganya.

Bila kita masuk ke tandas, atau terserempak dengan tukang cuci, tukang jaga, tukang sapu atau sewaktu dengannya, adakah kita terasa mahu menghulur seberapa yang ada? 

Sewaktu di depan pagar sekolah saat mengambil anak, pernahkah kita terdetik menghulurkan pada pak/mak guard yang setia menjaga keselamatan dengan imbuhan yang tidak seberapa.

Pendek kata untuk memberi banyak caranya. Soalnya adakah hati kita bersedia. Adakah kita ada sifat prihatin. Adakah hati tidak merasa resah bila sehari kita tidak memberi. 

Saat insan memohon pertolongan adakala kita menolak mentah-mentah dengan alasan pelbagai, tanpa kita sedar, Allah menghantar mereka untuk memberikan kita pahala. 

Memberi indah bila kita menghayati, ia bukan kerana kita memiliki tetapi ia kerana kita menyedari apa ertinya memberi. Semoga Allah jadikan insan PEMBERI sehebat Saidina Ali dan Sadatina Fatimah hingga kisah mereka disebut di dalam al Quran. Moga dengan menjadi pemurah ia menjadi asbab kita ke syurga. Ameen.

Wallahuaalam.



Sunday, October 18, 2015

Cantik dan kecantikan



Bismilllah,

Wanita amat sinonim dengan kecantikan. Bahkan itulah isu yang hangat. Bagaimana mahu cantik, makan apa untuk kurus, kosmetik apa untuk kulis licin mulus, apakah cara untuk kekal langsing, tip awet muda dan pelbagai lagi persoalan tentang cantik.

Wanita juga sangat obses dengan semua ini hingga membawa kepada tekanan, rendah diri, malu, tersisih dan pelbagai lagi masalah emosi yang berkait.

Tidak salah untuk kekal cantik. Bahkan kecantikan itu sendiri satu anugerah. Namun jangan kerana mahu cantik kita tewas dengan perasaan negatif. Jangan kerana mahu cantik kita korban segala demi untuk memilikinya.

Saturday, October 17, 2015

Kejujuran

Kejujuran

Dari Ibnu Mas'ud r.a katanya: "Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya)":

"Sesungguhnya kebenaran itu membawa kepada kebaikan, dan sesungguhnya kebaikan itu membawa ke syurga. Sesungguhnya orang yang sentiasa bersikap benar akan dicatat di sisi Allah sebagai orang yang benar. Sesungguhnya dusta itu akan membawa kepada keburukan, dan sesungguhnya keburukan itu akan membawa kepada neraka. Sesungguhnya orang yang sentiasa berdusta akan dicatat di sisi Allah sebagai pendusta.'"

[Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari & Muslim]

Keterangan:
Hadis ini menerangkan terpujinya sikap jujur dan tercelanya sikap dusta. Bersikap jujurlah dalam apa jua urusan seharian kita baik dari urusan keluarga, perkerjaan dan masyarakat........Wallahu'Alam

(Ringkasan Riyadhus Shalihin Imam An-Nawawi)

Bagaimana menjernihkan hati dan jiwa

Bagaimana menjernihkan hati dan jiwa

Hati yang sejahtera tanda keadaan kita di sisi Allah. Bagi mendapat hati yang jernih dan tenang caranya adalah:

1. Baca quran dengan tadabbur, cuba fahami dan hayati. Kita akan terbimbing dari kitab suci.

2. Kosongkan perut. Bahagi pada 3 bahagian makanan, minuman dan pernafasan. Boleh amalkan berpuasa.

3.Qiamullail. Bermunajat pada sepertiga malam merayu pada Allah, mengadu kepadaNya.

4. Bangun untuk istighfar kepada Allah, minta ampun kepada Allah.

5. Sentiasa berdamping dengan orang soleh. Mukmin laksana cerminan pada orang lain. Musuh kita juga ada kelebihan bila mereka memberitahu keburukan kita.

6. Makan makanan yang halal.


P/S: Menyakiti jiran boleh membawa kita ke neraka.

Perkongsian :
Prof Madya Dr Fauzi Deraman
Cinta Ilmu
TV Hijrah

Thursday, October 15, 2015

Musim yang pergi

Musim yang pergi

dan...
musim luruh datang lagi
meninggal pergi musim bunga
warna jingga berserakan
tiada lagi indah warna pelangi

tapi...
musim luruh kali ini
tidak seperti musim dulu
gugur dedaun bersarat sendu
menanti dingin salju

Namun...
biar musim sentiasa berganti
datang dan pergi
diri tetap utuh berdiri
berpegang janji
yang dulu dimeterai

Nukilan:
Ummu Iman Ihsan
1 Muharam 1437H

Warkah Cinta

Warkah Cinta

Antara kita berdua
bila tidak lagi percaya
punah janji setia
payah mahu kekal bercinta
apalagi bila terlalu banyak dusta
menambah luka dan kecewa

maka bagaimana kita
bolehkah terus bersama
atau kita hidup pura-pura
hingga akhir usia...
hingga pejam mata

Ummu Iman Ihsan
3 Muharam 1437H

Tip Kejayaan : Restu Ibu Ayah


#spiritualmotivation
#restuibubapa

Kelmarin sewaktu program motivasi bersama ibu bapa, pada akhir sesi saya meminta anak-anak datang dan memeluk ibu ayah memohon restu, moga Alah memudahkan mereka bagi menghadapi peperiksaan.

Merakam peristiwa itu menyebabkan saya juga hampir menitiskan airmata.
Teringat kenangan masa pesekolahan, ayah sudah tiada, ibu sibuk bekerja mencari sesuap nasi bagi menyara kehidupan keluarga. Bertuahlah bagi yang masih punya ibu dan ayah. Hargai mereka ketika masih ada.

Benarlah dalam kehidupan kita ibu bapa merupakan pendorong utama. Doa mereka sentiasa bersama mengiringi kita dalam apa jua yang kita lakukan. Ibu bapa tidak pernah putus mendoakan kejayaan anak-anak.

Semoga kita sebagai anak tidak lupa untuk membuat yang terbaik dalam hidup dan membalas jasa kedua ibu bapa selagi mereka masih bernafas, selagi mana mereka masih ada buat apa sahaja yang mampu membahagiakan mereka


Wallahuaalam

Monday, October 12, 2015

Belajar melupai lebih baik dari mencintai

Bismillah,

"Cerai itu sakit tapi ia beri rahmat". Topik yang dibincangkan dalam majalah Wanita bulan ini.
Buku Apabila Jodoh Menyapa ada juga mengupas isu ini.

Realitinya tidak semua mahukan perceraian. Ia kadang menambah sukar apalagi kepada yang bergelar ibu.
Namun adakala pilihan terpaksa dibuat. Mungkin ia alternatif terbaik. Ya, ada hikmah disebaliknya.


Ini adalah posting saya semalam di mukabuku. Ia terdetik untuk dikongsi apabila melihat mukadepan majalah Wanita yang dikirimkan oleh sahabat kepada saya.

Belajar melupai adakala lebih baik dari mencintai....

Benar. Itu juga hakikat yang ramai tidak dapat diterima oleh kita. Maka jadilah individu berada dalam duka dan sengsara yang berpanjangan.

Perhatikan saban waktu ada sahaja terpampang dimedia berapa ramai pasangan yang didera mental dan fizikal namun masih mampu mempertahankan rumahtangga atas alasan masih cinta dan sayang.
Ia hingga mengabaikan kebajikan diri sendiri dan anak-anak.

Cinta pada manusia ada batasnya. Ia tidak sepatutnya melebihi kecintaan kita kepada Allah SWT. Perceraian itu tidak digalakkan dalam Islam bahkan sekiranya dapat mempertahankan rumahtangga itu lebih baik sekiranya ia tidak memberi mudarat.

Ada pasangan yang mendera anak-anak bahkan ada yang sampai tahap anak dibunuh walaupun ada juga yang tanpa niat. Namun pasangan masih boleh berdiam dan memaafkan. Ini menunjukkan kecintaan telah membutakan nilai kasih sayang.

Ada yang sanggup mempertahankan kekasih yang mendera anak sendiri lantaran cinta dan sayang tidak bertepi. Bahkan ada yang sanggup menjadikan diri sebagai korban apabila orang yang dicintai menjadikan mereka sebagai keldai dadah.

Alasan cinta itu tidak boleh diterima. Kita ada akal untuk berfikir dengan matang bagi menilai baik dan buruk. Janganlah kerana cinta kita sanggup menggadai agama dan maruah.

Belajar melupai itu lebih baik dari mencintai...

Betul, ia tidka mudah, tetapi jika itu terbaik, lakukanlah. Belajarlah untuk melupakan cinta yang tiada nilai harga.
Cintai sesuatu yang lebih memberi manfaat kepada kita dari membuang masa mencintai perkara yang sia-sia.

Betul, sia-sia mencintai orang yang memberi derita dan bukannya bahagia.
Cinta perlu ada 'give and take' bukan 'take advantage'.
Kasih sayang yang tulus berdiri atas dasar kesetiaan, saling mengohormati dan saling memberi.

Muhasbah diri, apakah kita salah memberi cinta bila si dia menagih perkara yang tidak sepatutnya. Ada yang memberi mahkota keremajaan pada masa yang tidak sepatutnya atas dasar cinta.

Ada yang sanggup meninggalkan keluarga hanya kerana membuktikan cinta...
Kemudian terbukti cinta dia itu palsu, dan kita masih berpegang pada janji itu.
Alangkah kita sebenarnya menipu diri sendiri.

Oleh itu...
Belajar melupai adakala lebih baik dari mencintai....
Sukar untuk dilunasi
namun ada manisnya nanti
pasti ada hikmah tersendiri
untuk kita lalui
bagi mengenal diri
kenal Ilahi


Wallahualam



Sunday, October 11, 2015

Merakam peristiwa



"Capture the moment" atau dengan kata lain merakam peristiwa. Itulah detik semalam yang dirakam.
Semalam selesai program motivasi keibubapaan dan pecutan akhir peperiksaan di SMA AsSaadah. Ia program kerjasama Al Ihsan Training and Motivation dan Yayasan Peramah bersama pihak sekolah bagi membantu kecemerlangan pelajar.

Oleh kerana ia program tajaan maka pihak sekolah amat berbesar hati bahkan pihak PIBG juga turut merasakan saya dan team perlu diraikan. Pengetua menyarankan kepada seorang ajk agar memberkan bunga kepada kami, kebetulannya beliau yang dipanggil Mokku memiliki nursery.

Saya pada mulanya menolak, namun kata mereka ambillah sebagai cenderahati dan tandamata datang ke tempat mereka. Jamu mata dan  melihat-lihat, kata Mokku pada saya. Lalu sewaktu tengahri break untuk proram, saya singgah ke teratak Mokku bersama pengetua dan Tuan kadi yang membuat perasmian penutup untuk program motivasi tersebut. (Gambar di atas, pengetua bersama Tuan Kadi)

Bila sampai di kawasan rumah Mokku, lamannya penuh dengan pasu dan bunga-bunga, termasuk pokok herba dan pelbagai orkid, bougenvilla serta rose. Semuanya cantik belaka. Saya yang merupakan peminat setia flora dan fauna tidak mampu menolak.

Pada mulanya menolak namun akhirnya saya memilih jua. Orkid adalah pilihan kerana ia senang dibawa untuk naik kapal terbang. Pada mula saya memilih yang sudah besar dan berbunga, namun terfikir ia bukan semata susah dibawa bahkan, ia lebih baik dijual kepada pelanggan.

Lalu saya katakan pada Mokku, bagi yang kecil sahaja, tidak perlu besar, nanti saya tanam sendiri. Tanpa berlengah diambil empat anak orkid berbeza warna, diberikan pasu dan juga sabut kelapa termasuk besi untuk digantung nanti, terpana saya dibuatnya. Saya katakan cukup sahaja dengan bunganya.

Tapi itulah insan yang tidak lokek mahu memberi apa sahaja, ia sebagai tanda penghargaan buat saya. Tidak cukup dengan itu diambil bougenville yang bergantung cantik warna warni dihulurkan kepada saya, kata Mokku ini untuk mereka berdua. Ma sya Allah tidak terkata-kata dari saya, hanya ucapan terima kasih dapat saya katakan.

Ditanya lagi apa yang saya mahu maka saya ambil sepohon pokok durian belanda untuk diberikan pada ibu, ditanam ditanah pusaka. Lalu ditambah satu menjadi dua oleh Mokku. Katanya tidak cukup satu. Pulang saya ke Kuala Lumpur sarat muatan. Orkid dan bougenville serta rose jepun diisi kotak menaiki udara.

Benarlah, ia momen yang dirakam. Bunga ini sebagai tanda. Segala pemberian dibalas pemberian. Ia pengalaman kali pertama yang bakal tersimpan menjadi memori. Benarlah kita adalah apa yang kita beri.

Wallahualam

(Mokku didalam gambar bertudung peach)