Anak Yatim Amanah Buat Penjaga
===========================
Isu 'makan harta anak yatim' yang menjadi viral sekarang memberi peringatan kepada kita semua betapa berat hukuman yang Allah janjikan.
Surah Al Fajr ayat 16-17 yang bermaksud;
"Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!"
"Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang-orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu TIDAK MEMULIAKAN ANAK YATIM, (malah kamu menahan apa yang Ia berhak menerimanya."
Memberi makan anak yatim pahalanya amat besar, apalagi bila kita sendiri mengambil tanggungjawab membela dan membesarkan mereka.
Sebagai individu yang menjadi anak yatim sewaktu masih kecil sudah pasti saya merasakan semua orang perlu peka dan prihatin. Saya antara insan yang bertuah biarpun menjadi anak yatim.
Kenapa?
Ada banyak sebab. Apabila ayah meninggal dunia, pakcik saya iaitu arwah Cikgu Mohd Isa mengambil saya tinggal bersama beliau. Saya dididik oleh Pakcik dan Makcik (Cikgu Halimah seperti anak sendiri).
Setahun sebelum ayah meninggal, nenek saya telah memberikan semua harta kepada arwah ayah. Malangnya tidak lama ayah meninggal dunia, adik beradik kami semuanya perempuan. Maka sebahagian harta jatuh kepada abang tiri ayah.
Bonda saya mengandung ketika ayah meninggal, Allah berikan anugerah lahirlah adik lelaki kami. Tetapi Allah berikan nikmat kasih sayang hanya seketika, adik kami meninggal tidak sampai 40 hari dilahirkan.
Kesedihan bonda saya pastinya berganda. Namun beliau insan paling tabah yang saya kenali. Menjadi ibu Mithali untuk saya contohi apabila yang disayangi pergi silih berganti (salah satu sebab tesis PhD saya membuat kajian tentang ibu tunggal)
Pakcik biarpun mempunyai hak ke atas harta kami, tidak satu sen pun harta dan tanah diambil, bahkan arwah sangat pemurah dan banyak berbudi kepada kami sekeluarga.
Setiap kali mahu membayar yuran untuk peperiksaan yang besar seperti SMu, SPM beliau akan membayarkan yurannya. Bila saya berjaya ke universiti, beliaulah yang menghantar dan melunaskan yuran pendaftaran.
Bahkan bila saya sudah berkahwin pakciklah yang menjadi wali. Bila saya mendapat zuriat, anak-anak perempuan saya dibelikan cincin emas, di belikan loket emas oleh makcik. Iman juga tidak terkecuali dibelikan hadiah cincin suasa.
Namun usia pakcik juga tidak lama. Beliau meninggal dunia sewaktu saya melahirkan anak kedua. Namun hubungan tidak pernah putus. Makcik saya anggap seperti ibu kandung sendiri. Sepupu-sepupu saya juga sudah jadi seperti adik beradik.
Pernah satu ketika saya perlukan modal bagi memulakan perniagaan, makciklah yang menghulurkan modal 5 angka. Bila saya mahu membayarnya makcik menolak duit tersebut. Ia diberikan sahaja sebagai hadiah kerana janjinya mahu pakcik berikan saya sebidang tanah.
Pakcik dan makcik menjadi inspirasi kepada saya bagaimana memperlakukan anak yatim. Mereka diberi rezeki melimpah ruah kerana sangat pemurah dengan sesiapa sahaja. Amat mengambil berat pada sesiapa sahaja yang datang meminta dan memerlukan pertolongan.
Pakcik pernah dinobatkan sebagai Tokoh Guru Negeri Kelantan. Ia menjadi inspirasi kepada saya sebagai pendidik.
Bukan sekadar makcik dan pakcik menjadi yang inspirasi bahkan sewaktu di MMP saya sekali lagi diberi anugerah oleh Allah bila dari awal berpijak di bumi MMP ada seorang ustazah yang begitu prihatin, baik budi dan mengambil berat tentang saya dan kakak saya.
Beliau yang digelar Ustazah Salamah adalah guru contoh buat saya Prihatin beliau pada anak yatim dan bagaimana beliau menjaga ibunya yang sakit mentarbiyah diri saya sendiri.
Dua tahun saya tinggal bersama ustazah. Banyak jasa yang ustazah curahkan. Bersyukur Allah hadirkan saya insan-insan yang baik. Mereka menjadi cermin untuk saya.
Allah berikan sebaik ganjaran kepada mereka. Satukan kami di syurgaMU. Amin.
No comments:
Post a Comment