Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada mukmin
"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman (mukmin), jiwa dan harta benda mereka dengan memberikan syurga kepada mereka, disebabkan mereka berjuang di jalan Allah, …. Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan dan itulah kemenangan yang seagung-agungnya". (At-Taubah: 111)
Perjalanan kehidupan seseorang menuntut kepada suatu perjuangan yang terkandung didalamnya nilai pengorbanan. Seseorang pejuang sudah pasti mengimpikan suatu kejayaan yang memerlukan pengorbanan. Seiring dengan pengorbanan itu sudah pasti perlukan ketabahan, keyakinan, semangat dan matlamat kejayaan yang jelas dan jitu demi memastikan kejayaan yang dimiliki akan membuahkan kebahagiaan kepada si pejuang. Sesungguhnya kehidupan adalah memberi bukan sekadar menerima...ia juga untuk dimanfaatkan sebagai bekalan kehidupan abadi.
“Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kebodohanku, sikapku yang melampaui batas dalam urusanku, dan semua dosaku yang Engkau lebih mengetahui mengenainya daripada diriku sendiri. Ya Allah, ampunilah kesungguhanku, kelalaianku, kesalahanku dan kesengajaanku yang semua itu ada pada diriku.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)
Thursday, March 26, 2015
ILMU MU HANYA SETITIS AIR DARI 7 LAUTAN
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (Luqman [31:27]) pada 24 Mac 2015. Antara isunya adalah gambaran luasnya ilmu Allah.
Nabi Musa AS ditegur Allah kerana mengatakan dirinya paling berilmu dan tidak menyandarkan "YANG MAHA BERILMU DAN MAHA MENGETAHUI" kepada Allah. Pun begitu, ini teguran manja. Buktinya Allah tidak menghukum Musa sebaliknya memberitahu bahawa ada manusia yang lebih berilmu dari Musa dan lelaki itu tinggal di tempat pertemuan 2 laut. Musa pula tidak sombong, segera mahu dicari lelaki itu demi cintanya pada ilmu. Jika manusia pilihan sehebat Musa AS pun sanggup merendah diri dan mengembara demi ilmu, apatah lagi kita (al-Kahf ([18:60-82] dan Sahih al-Bukhari).
Ini antara gambaran luasnya ilmu Allah:
قُلْ لَوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَنْ تَنْفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا
Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan" (al-Kahf[18:109]).
Dalam surah Luqman pula Allah berfirman:
وَلَوْ أَنَّمَا فِي الْأَرْضِ مِنْ شَجَرَةٍ أَقْلَامٌ وَالْبَحْرُ يَمُدُّهُ مِنْ بَعْدِهِ سَبْعَةُ أَبْحُرٍ مَا نَفِدَتْ كَلِمَاتُ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Ertinya: Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (Luqman [31:27]).
7 lautan? Dalam huraian ulama' 7 lautan dalam ayat Luqman itu tidak bermaksud angka yang hakiki kerana orang Arab biasa menggambarkan sesuatu yang luar biasa banyaknya dengan bilangan 7 (Tafsir al-Razi). Bukan setakat 7, 70 (al-Tawbah [9:80]) dan 700 (al-Baqarah [2:261]) juga menggambarkan jumlah yang besar. Seolah dimaksudkan jika lautan yang sedia ada diulang tambah berjuta kali ganda sekalipun, ilmu Allah masih belum habis dikaji dan ditulis. Ilmu itu bukan hanya ilmu agama bahkan merangkumi segala ilmu yang wujud di alam ini.
Sesetengah manusia tertipu. Baru dipinjamkan sedikit ilmu, terus disangka dirinya paling berilmu mengalahkan "Allamah." Baru kenal sedikit "istilah" ilmu sudah mendongak ke langit mengalahkan Mufti dan Professor. Sedangkan Ilmunya hanyalah "sebutir debu halus" yang berterbangan di antara 7 gurun padang pasir di seluruh dunia. Tahunya pula hanya sekadar setitis air dari limpahan 7 lautan dunia. Inilah yang disebut Khidir kepada Musa ketika mereka memulai pengembaraan:
فَانْطَلَقَا يَمْشِيَانِ عَلَى سَاحِلِ الْبَحْرِ لَيْسَ لَهُمَا سَفِينَةٌ فَمَرَّتْ بِهِمَا سَفِينَةٌ فَكَلَّمُوهُمْ أَنْ يَحْمِلُوهُمَا فَعُرِفَ الْخَضِرُ فَحَمَلُوهُمَا بِغَيْرِ نَوْلٍ فَجَاءَ عُصْفُورٌ فَوَقَعَ عَلَى حَرْفِ السَّفِينَةِ فَنَقَرَ نَقْرَةً أَوْ نَقْرَتَيْنِ فِي الْبَحْرِ فَقَالَ الْخَضِرُ يَا مُوسَى مَا نَقَصَ عِلْمِي وَعِلْمُكَ مِنْ عِلْمِ اللَّهِ إِلَّا كَنَقْرَةِ هَذَا الْعُصْفُورِ فِي الْبَحْرِ
Ertinya: Lalu mereka berdua berjalan di tepi lautan…..kemudian sebuah sampan bersetuju menumpangkan mereka berdua tanpa bayaran. Tiba-tiba bertenggeklah seekor burung pada hujung sampan dan membenamkan paruhnya meminum air barang sekali atau dua patukan. Khidir berkata: "WAHAI MUSA, TIDAK LANGSUNG MENJEJASKAN ILMU ALLAH DENGAN (BANDINGAN) ILMU-KU ATAU ILMU-MU MELAINKAN SEPERTI (AIR YANG BERBAKI) PADA PATUKAN (SELAMAN PARUH) SI BURUNG INI" (Sahih al-Bukhari).
Ya Allah! Kurniakan kami kesedaran untuk menuntut ilmu dan hiasilah hati jantung kami dengan sifat rendah diri.
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl
Sent from my iPhone
No comments:
Post a Comment