Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada mukmin

"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman (mukmin), jiwa dan harta benda mereka dengan memberikan syurga kepada mereka, disebabkan mereka berjuang di jalan Allah, …. Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan dan itulah kemenangan yang seagung-agungnya". (At-Taubah: 111)

Perjalanan kehidupan seseorang menuntut kepada suatu perjuangan yang terkandung didalamnya nilai pengorbanan. Seseorang pejuang sudah pasti mengimpikan suatu kejayaan yang memerlukan pengorbanan. Seiring dengan pengorbanan itu sudah pasti perlukan ketabahan, keyakinan, semangat dan matlamat kejayaan yang jelas dan jitu demi memastikan kejayaan yang dimiliki akan membuahkan kebahagiaan kepada si pejuang. Sesungguhnya kehidupan adalah memberi bukan sekadar menerima...ia juga untuk dimanfaatkan sebagai bekalan kehidupan abadi.

“Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kebodohanku, sikapku yang melampaui batas dalam urusanku, dan semua dosaku yang Engkau lebih mengetahui mengenainya daripada diriku sendiri. Ya Allah, ampunilah kesungguhanku, kelalaianku, kesalahanku dan kesengajaanku yang semua itu ada pada diriku.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Thursday, March 30, 2017

Bila sunyi meracuni keluarga bahagia

Erti sunyi 


Masuk rumah. Semuanya senyap sunyi.

Suami tak bercakap. Isteri tak bercakap. 


Apabila isteri mahu bercakap, suami sudah keluar rumah 'ngeteh' bersama kawan-kawan.


Apabila suami mahu bercakap, isteri sudah tidur di bilik keletihan. 


Anak-anak? Disuruh buat kerja rumah. Tiada siapa meneman. 


Akhirnya buku ditolak ke tepi, layan Insta di iPhone 7 plus lebih menarik. 

Dari mana belajar 'duckface'? Tengok gambar Insta kawan-kawan.


Abah duduk 'pulau' lain.

Mama hidup 'pulau' lain.

Anak-anak terdampar 'pulau' lain.

Masing-masing ada 'pulau' sendiri.


Katanya kita keluarga?


Suami ada masalah, tak terasa nak berbincang dengan isteri.


Isteri ada masalah, tercari-cari dengan siapa mahu dikongsi.


Anak ada masalah, terasa hidup sebagai anak tiri. 

Hidup sendiri-sendiri.


Keluarga bahagia? Jauh. Lebih jauh dari Kuala Lumpur ke Miri.


Buka surah At-Taubah. 


Kaab bin Malik dan beberapa orang sahabat Nabi dipulaukan kerana tidak turut serta dalam Perang Tabuk. 


Betapa mereka hidup dalam resah gelisah. 


Pulau bukan perkara kecil. Itu hukuman 'paling kejam' untuk manusia.


Jika penjara. Orang sudah terkurung. Memang tiada siapa lagi dapat dilihat dari dalamnya.


'Pulau' lebih sadis. Lebih dari penjara. 


Kita nampak manusia lalu lalang di hadapan kita, tetapi tidak ada seorang pun mahu membuka mulut memulakan bicara. 

Mereka yang memandang, terus memaling muka. 

Nampak kita bergerak ke arah mereka, satu saat lagi mereka lesap hilang tiada.


Kita ada, tapi tidak wujud bagi mereka.

Itulah 'Pulau'.


Betapa Allah rekodkan dalam Quran. Perasaan Kaab bin Malik.


Walaupun dunia ini sangat luas. Tetapi semuanya terasa sangat sempit menyesakkan jiwa. 

Apabila mereka dipulau manusia.


Dan segelintir kita?

Sengaja mencipta 'pulau' sendiri dalam rumah.


Bayangkan perasaan isteri yang tidak dapat bercakap walau sepatah kata dengan suami dalam satu hari.


Pergi ke dapur, hanya dia dan kuali.

Pergi ke ruang tamu, hanya dia dan TV.

Pergi ke bilik, hanya dia dan anak-anak.


Mencari suami. Di mana suami.


Bayangkan sesaknya dada seorang suami yang perlukan srikandi untuk 'menyelimuti'.


Pergi ke dapur, hanya dia dan maggi.

Pergi ke ruang tamu, hanya dia dan kucing parsi.

Pergi ke bilik, hanya dia dan Samsung Galaxy.


Mencari isteri. Di mana isteri.


Bayangkan anak-anak yang perlukan mama dan abah untuk ceritakan kehidupan sekolah sepanjang hari.


Pergi ke bilik, dari dalam berkunci.

Pergi ke ruang tamu, kosong sunyi.

Pergi ke dapur, hanya ada makanan bawah tudung saji.


Abah mama mana?


Kita ada seluas dunia dan seisinya untuk menikmati hidup, tetapi ada yang memilih untuk tinggal di 'pulau' sendiri-sendiri.

Rugi.


Perkongsian dari FB



Sent from my iPhone

Wednesday, March 29, 2017

Isu Keistimewaan Bulan Rejab

BULAN REJAB: KEMULIAAN DICEMARI KEPALSUAN


Oleh:

Dr.Arieff Salleh bin Rosman,

Felo Fatwa

 

Bulan Rejab merupakan salah satu daripada 'al-Ashur al-Hurum' (bulan-bulan haram) selain bulan Muharram, Zulkaedah dan Zulhijjah. Bulan-bulan haram merupakan bulan mulia sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 36, yang bermaksud, "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi. Antaranya empat bulan haram (yang dihormati). Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya)...." Abu Bakrah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, "Sesungguhnya masa itu beredar sebagaimana hari Allah mencipta langit dan bumi iaitu setahun itu ada dua belas bulan. Antaranya ada empat bulan haram (yang dihormati) iaitu tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram. Seterusnya Rejab iaitu antara bulan Jamadilakhir dan Sya'ban." (Hadis sahih direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).

 

Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan, maksud Rejab ialah agung (Lata'if al-ma'arif, hlm. 117). Oleh sebab itu, bulan Rejab adalah bulan yang agung dan mulia. Antara keistimewaan bulan Rejab ialah berlakunya peristiwa Isra' dan Mikraj yang menurut majoriti ulama' ia berlaku pada 27 Rejab.

 

Namun isu yang timbul ialah kemuliaan bulan Rejab sebagai salah satu bulan haram telah dicemari dengan pengagungan yang bersumberkan kepada laporan/hadis palsu yang direka-reka yang diistilahkan dalam ilmu hadis sebagai hadis maudhuk.

 

Mengagungkan bulan Rejab bukanlah satu persoalan yang baru. Ia telah pun wujud pada zaman Jahiliyyah; sebelum kedatangan Islam. Masyarakat Arab Jahiliyah begitu mengagungkan bulan Rejab sehingga mereka menjadikannya sebagai perayaan. Antara amalan popular yang dilakukan oleh sebahagian orang Islam di Malaysia apabila datangnya bulan Rejab ialah mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan puasa sunat Rejab dan menghidupkan malam dengan sembahyang sunat Rejab.


Umat Islam di Malaysia khususnya dan dunia umumnya; kini dan dahulu, telah disajikan dengan pelbagai janji manis jika melakukan sesuatu amalan khusus di bulan Rejab. Satu kebenaran yang perlu dijelaskan kepada umat Islam ialah tiada amalan khusus dalam bulan Rejab yang dilaporkan daripada Rasulullah SAW dari hadis sahih. Amalan tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah di bulan Rejab adalah sebahagian kecilnya bersandarkan kepada hadis lemah (daif) dan kebanyakkannya adalah hadis palsu (maudhuk).

 

Isu mencemarkan bulan Rejab dengan janji-janji daripada sumber yang palsu ini sudahpun wujud sekian lama. Antara ulama terdahulu yang membongkar usaha golongan pemalsu hadis yang membuat pembohongan terhadap Nabi Muhammad saw berkaitan kelebihan bulan Rejab dan amalan khusus padanya, antaranya ialah Imam ahli hadis Abu al-Khattab 'Umar bin Hasan ibn Dihyah (w. 633H) yang mengarang buku yang bertajuk 'Ada' ma wajab min bayan wad' al-wadda'in fi Rajab (Melaksanakan apa yang wajib dengan menerangkan pemalsuan yang dilakukan oleh pembohong berkaitan Rejab)' dan Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani (w. 852H) yang mengarang risalah yang bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi ma warada fi fadhl Rajab (Menjelaskan perkara yang pelik berkaitan dengan apa yang disampaikan tentang kelebihan Rejab)'.

 

'Ata; seorang ulama tabi'in menjelaskan, Nabi Muhammad saw melarang daripada berpuasa penuh sebulan bulan Rejab agar ia tidak dijadikan sebagai perayaan sebagaimana yang dilakukan oleh orang Arab Jahiliyyah (Ibnu Rajab, Lata'if al-ma'arif, hlm. 11). Ibnu Hajar al-'Asqalani menjelaskan, "Larangan daripada berpuasa sebulan penuh pada bulan Rejab adalah berkaitan dengan individu yang melakukannya kerana terpengaruh dengan amalan orang Arab jahiliyyah yang begitu mengagungkan bulan Rejab.

 

Tetapi jika seseorang itu berpuasa sunat sama seperti bulan lain tanpa menganggap puasa bulan Rejab adalah lebih utama daripada bulan lain, tidak mengkhususkan puasa hari tertentu bulan Rejab bagi mendapat ganjaran tertentu, maka amalan itu tidak menjadi kesalahan. Begitu juga dengan individu yang menghidupkan malam bulan Rejab dengan beribadah sebagaimana dia beribadah pada malam bulan lain. Tetapi jika seseorang beribadah sunat hanya pada bulan Rejab sahaja dengan anggapan ia khusus untuk bulan Rejab, maka ia adalah amalan yang dilarang." (Tabyin al-'ajab, hlm. 49).

 

Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani menjelaskan tujuan beliau mengarang risalah yang bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi ma warada fi fadhl Rajab' : "Telah berulang-ulang soalan yang dikemukakan tentang kelebihan bulan Rejab, tentang berpuasa dan solat sunat padanya. Serta untuk menjelaskan yang mana hadis yang sahih dan yang palsu." Kesimpulan daripada analisa yang dilakukan oleh Imam Ibnu Hajar ialah, "Langsung tidak terdapat hadis sahih yang boleh dijadikan hujah tentang kelebihan bulan Rejab, puasa sunat khusus Rejab, juga solat sunat qiyamullail khusus Rejab...namun begitu terdapat sebahagian ulama yang membenarkan menerima hadis yang menjelaskan tentang kelebihan bulan Rejab walaupun hadis itu daif, tetapi tidak boleh diterima jika ia hadis mauduk."

 

Antara kelebihan bulan Rejab dan amalan khusus padanya yang bersumberkan laporan/hadis PALSU ialah:


i. Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari Qiamat Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.

 

ii. Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Syaaban bulanku, dan bulan Ramadhan bulan umatku. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu Bakar Muhammad bin Hasan al-Naqqash. Dalam rantaian pelapor hadis ini juga terdapat individu yang tidak dikenali seperti al-Kassa'i.

 

iii. Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Quran atas segala zikir. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.

 

iv. Sesiapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya pahala berpuasa sebulan. Sesiapa yang berpuasa tujuh hari ditutup baginya tujuh pintu neraka. Sesiapa berpuasa lapan hari, Allah membuka baginya lapan pintu syurga. Sesiapa berpuasa setengah bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya memperoleh keredaanNya, sesiapa yang ditulis baginya keredaanNya, orang itu tidak akan diazab. Sesiapa yang berpuasa sebulan Rejab, Allah akan menghisab orang itu di padang Mahsyar dengan hisab yang mudah. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Aban bin Abi 'Iyash. Laporan-laporan lain yang menjelaskan kelebihan berpuasa mengikut bilangan hari di bulan Rejab juga laporan palsu, antaranya direka oleh Uthman bin Matar, Harun bin 'Antarah, dan Farrat bin al-Sa'ib.

 

v. Sesiapa sembahyang maghrib pada hari pertama bulan Rejab, kemudian selepas itu dia bersembahyang sunat 20 rakaat dengan sepuluh kali salam, setiap rakaat dibaca surah al-Fatihah dan selepas itu membaca surah al-Ikhlas sekali, adakah kamu tahu pahalanya? Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu al-Husayn bin Ibrahim. Terdapat laporan palsu lain yang direka menjelaskan kelebihan tertentu jika bersembahyang sunat dengan bilangan rakaat tertentu dengan bacaan tertentu pada bulan Rejab. Antara individu lain yang bertanggungjawab membuat laporan palsu tersebut ialah Ali bin Abdullah bin Jahdam, Aban bin Abi 'Iyash. Sembahyang tersebut juga diistilahkan sebagai sembahyang sunat Ragha'ib.

 

vii. Bersedekah pada bulun Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pereka hadis iaitu Aban bin Abi 'Iyash.

 

HARAM MENYEBAR HADIS PALSU

 

Al-Mughirah bin Syu'bah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, "Sesungguhnya pembohongan yang dilakukan ke atasku adalah tidak sama dengan pembohongan yang dilakukan ke atas orang lain. Sesiapa yang membuat pembohongan terhadapku dengan sengaja, maka bersedialah dia dengan tempat duduknya di dalam api neraka." (Hadis sahih direkod oleh Imam al-Bukhari).

 

Syeikh Abu Asma' Ibrahim bin Ismail Ali 'Asr menjelaskan dalam pendahuluannya kepada suntingan karya Imam Ibn Hajar al-'Asqalani yang bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi ma warada fi fadhl Rajab', ramai dalam kalangan pendakwah, penceramah, guru agama, khatib yang tidak sensitif terhadap hadis maudhuk, sehingga mereka menyampaikannya kepada masyarakat tanpa berusaha mengenalpasti status sesuatu hadis. Perkara merbahaya ini boleh menceburkan mereka dan anggota masyarakat yang menyebarkan hadis palsu dalam ancaman Nabi, "Sesiapa yang berdusta terhadapku, maka bersedialah tempatnya di dalam api neraka". Walaupun mereka tidak berniat untuk melakukan pendustaan terhadap Rasulullah, tetapi dengan tindakan mereka menyebarkan hadis palsu sedangkan mereka sudah dijelaskan kepalsuan hadis itu, mereka telah terjebak dalam melakukan pendustaan terhadap Rasulullah saw.

 

Abu Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, "Cukuplah seseorang itu sudah dianggap berdosa dengan dia menyebarkan segala berita yang didengar tanpa disiasat terlebih dahulu." (Hadis sahih direkod oleh Imam Muslim).

 

Umat Islam tidak perlu disajikan dengan pahala dan fadhilat untuk melakukan amalan khusus hanya di bulan Rejab sahaja, sedangkan ia bersumberkan laporan/hadis palsu yang merupakan pembohongan terhadap Nabi Muhammad saw. Adalah amat baik kita dapat melazimi diri dengan melaksanakan amal ibadah secara berterusan yang bersumberkan dalil yang benar daripada al-Quran dan hadis sahih; tentang kelebihan menghidupkan malam dengan solat sunat seperti tahajud dan witir, puasa sunat isnin khamis, puasa sunat hari ke 13, 14, dan 15 setiap bulan, puasa sunat selang sehari seperti cara puasa Nabi Daud.

 

Marilah sama-sama kita memelihara kemuliaan bulan haram seperti bulan Rejab ini daripada dicemari dengan hadis palsu.

 

Wallahu a'lam.



Sent from my iPhone

Wednesday, March 22, 2017

Kitabullah

"Janganlah membelek Kitabullah hanya untuk mengajar dan hanya mengajar semata-mata. 


Jangan membelek Kitabullah hanya untuk mencari hukum dan hanya mencari hukum.


Beleklah kitabullah untuk mencari HIDAYAH untuk dirimu sendiri. 


Seseorang boleh mengetahui makna sesuatu ayat dari pelbagai kitab tafsir, namun seseorang itu belum tentu mendapat hidayah."


Terima kasih Syekh Dr Muhammad al-Rabi'ah atas tazkirah yang terlalu bermakna pada diriku ini. 


"Seseorang yang mahu melakukan tadabbur mestilah sedaya upaya melakukan tilawah dengan baik terlebih dahulu, membaiki cara bacaannya agar selari dengan bacaan baginda Rasul. 


Selepas TILAWAH, seseorang itu mestilah membelek TAFSIRAN ayat kerana tadabbur tidak akan berlaku tanpa bersandarkan pada tinggalan ilmu dari generasi yang dihadapkan wahyu itu sendiri iaitu Rasulullah, para Sahabah dan mereka yang mempelajari dari para Sahabah. 


Selepas tilawah barulah TADABBUR. Namun selepas tadabbur, apakah ada lagi hak al-Quran ke atas diri kita ?


Ya, TAZKIYAH. Berapa banyak kalimah tazkiyah di dalam al-Quran yang membuktikan bahawa itulah perjuangan utama baginda Rasulullah. 


Berapa ramai yang mampu melakukan tadabbur namun dia tidak menjadi "ahli" kepada apa yang ditemui dan dikaji makna-maknanya. Dia tidak beramal dengan apa yang difahaminya. Maka apa yang ditemuinya menjadilah ia untuk akalnya namun tidak pada hatinya.


HIDAYAH al-Quran hanya untuk mereka yang berjaya mencapai kedudukan TAZKIYAH."


Ya Allah, golongkan kami dari golongan yang mampu TILAWAH, TAFSIR, TADABBUR dan TAZKIYAH hati kami dengan al-Quran.


Petukan perkongsian dari Ust Syaari Rahman.



Sent from my iPhone

Tazkirah

Tazkirah


🍃Berfikir sejenak:

1)Kenapa kekusutan di fikiranku tak pernah hilang?

2)Kenapa aku rsa letih yang berpanjangan?

3)Kenapa aku sering merasakn spt  penyelesaian yang tiada akhirnya?


Kata Ibnu Al Qayyim; org yang mencintai dunia  tidak akan terlepas dari 3 kerosakan & penderitaan di atas.


Tanpa kita sedar, kita sdg diuji oleh Allah dengan kesibukan, sehingga hati kita merasakan tiada masa untuk Al Quran.. Malangnya kita msih ada msa utk mukabuku, whatsapp dll..bayangkan suatu hari Al Quran menolak kita dgn alasan kita slalu xda masa utknya ketika dunia


Kita bekerja keras mencari harta utk anak dan isteri tapi kita lupa utk didik mereka mencintai Al Quran..sampai suatu saat kita akan menangis menyesal melihat ahli keluarga kita lebih mencintai dunia dari memikirkan akhirat




Sent from my iPhone

Sunday, March 19, 2017

Tazkirah

PESANAN AL-QURAN YANG SENTIASA BERSESUAIAN SETIAP ZAMAN 1 :


Wasiat turut memainkan peranan yang penting di dalam berdakwah. 'Bapa' memikul tugas yang amat berat untuk memelihara kebahagiaan keluarga yang terdiri dari isteri dan anak-anak. Kita telah dihidangkan oleh Al Quran bagaimana Luqman al-Hakim mendidik anaknya. 


Dan sebagaimana yang dimaklumi sebuah surah khusus di dalam Al Qurandiberi nama dengan nama Surah Luqman.


Ramai di kalangan umat Islam tidak mengetahui bahawa 'wasiat' yang diberikan oleh Luqman kepada anaknya itu merupakan salah satu 'teknik' di dalam berdakwah.Sekiranya teknik ini diamati lalu dipraktikkan di dalam kehidupan seharian,nescaya anak-anak akan lahir sebagai muslim yang beriman dan bertaqwa kepada Allah s.w.t.. Bertuahlah sebuah keluarga yang mempunyai anak-anak seperti mereka. 


Mempunyai generasi yang diibaratkan umpama purnama yang menerangi kegelapan malam. Wahai ayah dan ibu,wasiatkan kepada anak-anakmu sepertimana wasiat yang diajar olehLuqman al-Hakim!


Petikan dari media whatsapp.



Sent from my iPhone