Oleh: Prof.Dato' Dr Siddiq Fadzil (Presiden Kolej Darul Hikmah, Kajang Selangor Darul Ehsan)
Kekalutan bersaing mencapai kecemerlangan akademik dan obsesi terhadap permintaan pasaran kerja telah mengakibatkan sistem pendidikan kita kehilangan visi, lalu terjebak dalam sindrom shorttermism sehingga mengabaikan misi asasi pembinaan dan pengutuhan insan.
Yang dipentingkan bukan lagi apa yang perlu untuk memperbaiki kemanusiaan atau insaniyyah anak didik, tetapi yang lebih dipentingkan adalah memenuhi permintaan semerta atau immediate demand mereka.
Mungkin ungkapan judul buku Harry R. Lewis tentang bencana kependidikan yang sedang menimpa Universiti Harvard, Excellence Without a Soul (Kecemerlangan Tanpa, Roh), tepat untuk menggambarkan gelala global – krisis pendidikan yang kehilangan esensi, erti hakiki dan misi asasinya.
Justeru, yang didedahkan oleh Harry R. Lewis, Profesor yang pernah menjadi Dekan di Harvard itu, pada hakikatnya bukan hanya kepincangan Harvard, tetapi kepincangan universiti-universiti di seluruh dunia umumnya. Sejak terbitnya buku Excellence Without a Soul, Harry R. Lewis banyak memenuhi undangan universiti-universiti di pelbagai rantau dunia, dari Hong Kong hingga ke New Haven. Tema pembicaraannya tidak lain adalah tentang Universiti Harvard yang kehilangan roh atau without a soul itu. Tetapi yang dirasakan oleh para professor dan khalayak pendengarnya bukan hanya sebuah kisah tragedi kependidikan di Harvard. Bagi mereka Harry R.Lewis sesungguhnya telah berbicara tentang hakikat universiti mereka sendiri dengan sangat tepat dan sekaligus sangat menakutkan, “described their situation with frightening accuracy”.
Gejala Kehilangan Arah
Memang demikianlah hakikatnya, gejala aimlessness, bencana kehilangan arah telah mengglobal. Apa yang terjadi kepada Harvard adalah cerminan apa yang terjadi kepada IPT dunia.
Justeru, Harvard adalah university tertua, terkaya dan ternama yang selalu dilihat sebagai model terunggul universiti kelas dunia. Benar, institusi-institusi pengajian tinggi umumnya berjaya memberikan pengetahuan dan kemahiran, tetapi ternyata gagal melaksanakan misi asasi pendidikan – pengutuhan dan penyempurnaan insan.
Dalam konteks Harvard, Harry R.Lewis menyatakan bahawa mereka telah melupakan “the fundamental job of undergraduate education, tanggungjawab dasar terhadap anak didik”, termasuk, “…to help them grow up, to learn who they are, to search for a larger purpose for their lives, and to leave college as better human beings.”
Pidato-pidato pimpinan universiti umumnya lebih banyak berkisar pada masalah-masalah dunia, kepentingan ilmu, kerja kuat dan kejayaan; tetapi sedikit sekali menyentuh persoalan tentang kekuatan peribadi, integriti, kasih-sayang, kerjasama dan bagaimana untuk hidup dalam dunia yang lebih baik.
Semakin besar universitinya, semakin sengit pula ia bersaing meraih kemenangan di kancah pasaran dan di lahan perebutan dana penyelidikan, tetapi ketika itu jugalah mengurangnya pembicaraan yang serius tentang pembinaan watak pelajar, “…about their development into people of good character who will know that they owe something to society for the privileged education they have received.” Demikianlah pengakuan jujur orang dalam, seorang profesor Harvard, tentang penyakit yang sedang membarah di tubuh universiti tersohor itu.
Dua tahun selepas terbitnya Excellence Without a Soul (2006), muncul pula seorang graduan Harvard Business School dengan bukunya yang berjudul What They Teach You at Harvard Business School, Philip Delves Broughton merakamkan pengalaman kesiswaannya di institusi yang terkenal dengan ijazah MBAnya yang berprestij itu, institusi yang disebutnya sebagai the cauldron of capitalism atau kawah besar kapitalisme, where capitalism goes, the MBA follows.
Dengan latar pencitraan sedemikian, tidak ada siapa pun yang hairan jika ramai graduannya menjadi kapitalis yang barbarik, menjadi binatang ekonomi yang materalistik, mementingkan diri, rakus dan boros. Orientasi kebendaannya memang kental sekali sehingga Philip Delves Broughton hanya mampu mengeluh bahawa yang selalu menjadi pokok pembicaraan masyarakat siswanya bukan lagi soal pengajian, ilmu, atau persiapan menghadapi dunia kerjaya; tetapi lebih banyak tentang ambitions dan nafsu besar – mahu pangkat apa, mahu gaji berapa, mahu jadi sekaya siapa, dan mahu gaya hidup semewah mana.
Ternyata Harvard Business School (HBS) dan banyak sekolah-sekolah bisnes lainnya telah kehilangan misi moral dan sosialnya. Para graduannya dirangsang merajai dunia bisnes dan berlumba mengaut kekayaan tanpa mempedulikan batasan-batasan etik dan moral. Subjek Business Ethics yang diajarkan di sekolah-sekolah tersebut jelas sudah tidak berdaya lagi mengawal polah-tingkah para usahawan kapitalis rakus dan curang sehingga mengakibatkan leluasanya pelbagai skandal korporat kelas multi-nasional, dan akhirnya meledakkan krisis kewangan dunia dengan segala bencana kemanusiaan bawaannya. Memang demikianlah kenyataannya, ramai dari kalangan mereka yang muncul sebagai orang kaya yang kehilangan kepedulian sosial. Mereka selalu melakukan pelbagai helah untuk mengelak cukai, malah apa yang disebut CSR (corporate social responsibility) itupun seringkali dilakukan hanya untuk mengelak cukai. Kesedaran kemasyarakatan memang telah sirna sejak lama. Yang tinggal hanya sisa-sisa perhatian yang terbatas pada hal-hal yang mereka berminat (sukan, hiburan dsb), dan itu pun seringkali dilatari motif kepentingan.
Justeru, sebagai universiti paling berpengaruh di dunia, kerosakan Harvard boleh merosakkan dunia seluruhnya, termasuk kita, khususnya orientasi pendidikan kita. Harvard sudah menjadi kiblat pengajian tinggi di mana-mana, dan keghairahan meniru Harvard sudah mewabak meratai jagat. Dominasi Harvard tidak terbatas hanya dalam bidang bisnes, tetapi sudah merempuh bidang-bidang lain, termasuk politik, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan.
Philip Delves Broughton mencatatkan bahawa sepanjang pengajiannya di HBS (2004-2006), para alumni HBS telah menempati pelbagai posisi strategik termasuk Presiden Amerika Syarikat, Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Presiden Bank Dunia, Datuk Bandar New York, dan sejumlah yang tidak terkira CEO badan- badan korporat gergasi. Beliau juga mencatatkan bahawa alumni HBS menguasai 2O% tiga jawatan teratas di 500 buah syarikat yang disenaraikan oleh Fortune.
Sementara itu, sejak tahun 2000, para pemegang ijazah MBA yang menempati pejabat kepresidenan Amerika Syarikat (Oval Office) telah membuat keputusan-keputusan besar tentang pelbagai masalah dunia dengan segala implikasi kemanusiaan dan kesejarahannya.
Broughton seterusnya merumuskan bahawa semua orang dalam bidang apa pun seharusnya memprihatinkan segala yang sedang terjadi di HBS kerana, “The language, practices, and leadership styles taught in MBA course affect all of us. Business schools no longer produce just business leaders. MBAs determine the lives many of us will lead, the hours we work, the vacations we get, the culture we consume, the health care we receive, and the education provided to our children. … And it has ambitions to matter even more.” Pendeknya, orang bisnes memang sangat bernafsu untuk menguasai segala-gala.
Misi Penyempurnaan dan Pengutuhan lnsan
Latar dunia pengajian tinggi yang sedemikian rupa menambah keyakinan kita terhadap kerelevanan kita sebagai pengembang misi pengutuhan dan penyempurnaan insan. Sesungguhnya kehadiran kita bukan suatu piIihan, tetapi suatu kewajipan kemanusiaan dan keagamaan. Kita harus memikul tanggungjawab melaksanakan pendidikan keinsanan dalam erti pengembalian insan kepada kemurnian dan keunggulan fitrinya sebagai makhluk sebaik-baik kejadian (ahsani taqwim) yang dimuliakan Allah (al-takrim al-Ilahiy) dengan hembusan ruh penciptaan-Nya (al-nafkh al-Ilahiy). Insan bukan sekadar makhluk tanah (tin) yang rendah. la telah diangkat darjatnya dengan hembusan ruh Ilahi, yang kerananya para malaikat rela sujud menghormatinya.
Di sinilah kegagalan iblis mempersepsikan insan secara utuh – tanah dan hembusan ruh Ilahi. Bagi iblis, insan hanyalah makhluk tanah, semata-mata tanah; dan kerana itu pulalah ia membantah perintah sujud.
Fungsi pendidikan tidak hanya sekadar memelihara ke-tanah-an insan, tetapi lebih daripada itu ialah untuk memelihara hembusan ruh Ilahi yang merupakan asetnya yang termahal, martabat keunggulannya, dan sumber potensi kesempurnaan insaniahnya.
Hakikat inilah yang diserlahkan oleh Qadi Abu Bakr ibn al-‘Arabiy dalam huraiannya tentang insan sebagai makhluk ahsani taqwim:
“Tiada makhluk Allah yang lebih baik daripada manusia, kerana Dia telah menganugerahkannya kadar tertentu daripada sifat-sifat ketuhanan-Nya seperti: hayyan, ‘aliman, qadiran, mutakalliman, sami’an, basiran, mudabbiran dan lain-lainnya.”
Memang, tidak ada makhluk Tuhan yang penciptaannya Iebih baik daripada insan. Justeru, Tuhan telah mengurniakannya cebisan daripada sifat-sifat rabbaniyyah-Nya, yang dapat dikembangkan hingga sejauh yang terjangkau oleh kudrat insaniahnya, dan sekaligus dapat menjulang martabatnya mengungguli segala makhluk lain.
Hakikat inilah juga yang diungkapkan oleh al-Shaykh ‘Abd al-Karim al-Jiliy dalam tulisannya al-Insan al-Kamil fi Ma’rifat al-Awakhir wa al-Awa’il Ketika menjelaskan makna hadith nabawi bahawa Allah menciptakan Adam ‘a.s. menurut gambaran-Nya (‘ala suratih), al-Jiliy mengatakan:
“Sebagaimana yang diketahui, Allah bersifat Hidup, Berilmu, Berkuasa, Berkehendak, Mendengar, Melihat, Berkata-kata, maka demikian jugalah manusia – hidup, berilmu dan sebagainya.”
Manusia yang penciptaannya sedemikian rupa memang seharusnya mampu menghayati sifat-sifat Rabbaniy, dan itulah sebenarnya ukuran kesempurnaan dan kebahagiaannya yang disebut oleh al-Ghazaliy:
“Bahawa kesempurnaan dan kebahagiaan manusia (hamba Allah) terletak pada kesediaan dan keupayaannya berakhlak dengan akhlak Allah.”
Jelmaan kesempurnaan paling ideal yang disebut al-Insan al-Kamil sebagaimana yang dikonsepsikan oleh al-Jiliy adalah Muhammad (s.’a.w.).
Dalam kaitan ini, pendidikan sebagai proses pengutuhan dan penyempurnaan insan harus menjadikan al-Insan al-Kamil sebagai model keinsanan terunggul.
Keinsanan dengan segala keunggulannya yang berpangkal dari kurnia hembusan ruh Ilahi dengan segala implikasinya itu pada hakikatnya adalah amanah berat yang tidak terpikul oleh langit, bumi, gunung atau makhluk-makhluk lain segagah mana pun. Amanah inilah yang selalu dilupakan sehingga mengakibatkan kejatuhan martabat insan dari puncak ahsani taqwim merudum ke jurang asfala safilin.
Demikianlah mesej firman Ilahi:
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”
(Al-Ahzab: 72)
Al-Insan disebut zalum dan jahul (zalim dan jahil). Ia zalum kerana selalu menzalimi diri sendiri dengan menjatuhkan martabat diri dari ketinggian darjat keinsanannya; dan ia juga jahul kerana tidak tahu tentang hakikat dirinya sebagai pengembang amanah keinsanan. Bukankah gejala zalum dan jahul ini yang menimpa masyarakat dunia, termasuk mereka yang dianggap kaum terpelajar? Gejala zalum dan jahul adalah sejenis dehumanisasi yang melahirkan generasi yang hilang keinsanannya. Ayat tersebut sebenarnya membawa pesan kependidikan yang sangar penting; bahawa pendidikan harus melaksanakan misi penyelamatan insan dari menjadi zalim dan jahil dalam pengertian tersebut.
Misi Ummatik: Pembinaan Khayriyyat al-Ummah
Demi maruah dan martabat, sistem pendidikan kita harus berorientasi khayriyyah (keunggulan) yang berteraskan iman, komitmen terhadap nilai-nilai kemakrufan, dan semangat melawan gejala kemungkaran, sesuai dengan ayat khairiyyat al-ummah dalam surah Ali ‘Imran. Khayriyyat al-ummah bukan ketuanan warisan. Ia adalah wawasan Qur’ani yang terbuka kepada semua umat yang sanggup memenuhi syarat, tanpa, mengira asal usul keturunan. Ia adalah keunggulan bersyarat yang harus dicapai dengan perjuangan kependidikan membangun watak umat, menegakkan prinsip-prinsip iman, menghayati nilai-nilai murni dan membasmi gejala maksiat. Faktor keturunan bukan jaminan keunggulan, tanpa cirri-ciri khayriyyat al-ummah, keturunan siapapun akan mengalami kehinaan senasib dengan kasut, “dari atas diinjak kaki, dari bawah ditusuk duri, sudah usang dibuang orang”. Tepat sekali ungkapan Dr.Muhammad ‘Imarah bahawa ia adalah shurut muktasabah, la ‘unsuriyyahy mawruthah (syarat yang dicapai, bukan perkauman yang diwarisi).
Pendidikan Kewarganegaraan
Selain pendidikan keumatan, sistem pendidikan yang baik juga melaksanakan pendidikan kewarganegaraan, mempersiapkan anak-didik menjadi rakyat yang bertanggungjawab, rakyat negara Malaysia yang demokratik, dan berbilang kaum.
Akibat obsesi yang berlebihan terhadap pengkhususan dalam disiplin ilmu tertentu, semangat kewarganegaraan, kesedaran sivik dan kepedulian politik seringkali terabai. Institusi Pendidikan seolah-olah sudah, menjadi sebuah pulau. Masyarakat sekitar tidak mendapat pencerahan darinya. Lebih setengah abad mengamalkan demokrasi, namun erti demokrasi belum difahami secara meluas. Bagi sebilangan rakyat, demokrasi hanya bererti pilihanraya, dan tidak lebih daripada itu. Mereka seharusnya sudah memahami demokrasi bukan hanya pilihanraya, tetapi yang lebih mendasar adalah prinsip-prinsip dan nilai-nilainya, yang harus dipelajari, dihayati dan dibudayakan.
Institusi Pendidikan seharusnya mampu membina manusia demokrat yang murni, matang dan berjiwa besar. Tetapi jika dilihat bagaimana demokrasi dilaksanakan di kampus-kampus, ternyata banyak Institusi Pendidikan yang gagal memberikan pendidikan demokrasi di kalangan warganya. Pilihanraya kampus seringkali dicemari sikap undemocratic dan unethical pihak pentadbiran yang memaksakan kemahuannya memenangkan kelompok tertentu dan mempastikan kekalahan kelompok yang lain.
Demikianlah berlakunya tragedi kematian nilai-nilai demokrasi di kampus-kampus yang seharusnya menjadi model masyarakat demokratik yang sihat dan menginspirasikan. Apakah ini bukan suatu pengkhianatan terhadap amanah pendidikan kewarganegaraan?
Misi Perubahan
Institusi Pendidikan yang dibina di atas kesedaran dakwah pembebasan manusia dari kegelapan kepada kecerahan, selamanya komited terhadap misi perubahan. Mungkin ada yang berfikir, bahawa kita sebenarnya hanya bermimpi. Perubahan apalah yang dapat dilakukan oleh orang kecil seperti kita. Mungkin benar, ketika ini kita sedang bermimpi. Tetapi syukurlah, kita masih berani bermimpi. Siapa tahu sewaktu-waktu mimpi menjadi realiti.
Jangan lupa kita sebenarnya masih memiliki potensi kekuatan raksaksa yang berupa generasi muda yang enlightened. Gelombang perubahan yang menerjang seluruh Dunia Arab ketika ini adalah sepenuhnya hasil kebangkitan anak-anak muda, maka kerananya ia mendapat nama Thawrat al-Shabab (Revolusi Pemuda). Majalah The Economist (2 April 2011) menyebut mereka sebagai, “… a new generation of young idealists, inspired by democracy, united by Facebook and excited by the notion of opening up to a wider world,…”.
Gelombang kebangkitan yang mencengangkan itu telah dilakukan oleh anak-anak muda yang selama ini sudah dianggap lost generation, generasi yang sudah hanyut entah ke mana. Mereka adalah Facebook generation pencipta keajaiban, merubah sejarah. Dalam tempoh hanya tiga minggu mereka melakukan suatu yang tidak mampu dilakukan oleh bapa-bapa mereka selama tiga puluh tahun!
lstiqamah Sebagai Manusia Berprinsip
Kita tidak akan kecewa andainya anda lupa sebahagian daripada kurikulum pengajian tetapi kita akan sangat kecewa andainya anda gagal meninggalkan institusi pengajian sebagai better human being (manusia yang lebih baik). Justeru, pendidikan keinsanan adalah misi terbesar kita. Kita akan sangat berbahagia menyaksikan para graduan menjadi al-insan al-salih atau yang disebut orang Melayu sebagai orang baik. Konsep orang baik dalam pemikiran Melayu sebenarnya dipadankan dari sabda nabawi, khayru ‘n-nas anfa’uhum li ‘n-nas (orang terbaik adalah yang paling berguna kepada orang lain). Sabda inilah yang mengilhami pengungkapan konsep manusia serba guna dalam warisan kepujanggaan bangsa:
Bagaikan kayu besar di tengah padang,
Rimbun daunnya tempat berteduh,
Kuat dahannya tempat bergantung,
Kukuh batangnya tempat bersandar,
Besar akarnya tempat bersila.
Untuk bersikap istiqamah sebagai orang baik, ternyata tidak mudah, terlalu banyak goda dan pesonanya, lebih-lebih lagi pada zaman penuh kegilaan seperti sekarang ini yang sudah menepati ciri Jaman Edan era pujangga R.N. Ronggowarsito. Pada zaman gila, orang gila membolot segalanya, sehingga tidak tersisa untuk yang tidak gila atau yang tidak mahu ikut jadi gila. Kehidupan manusia berjalan di atas hukum: tak gila, tak merasa (ora edan, ora keduman).
Dalam suasana seperti itulah terujinya ketahanan orang baik. Ronggowarsito meninggalkan pesan kepujanggaan yang menyuntikkan semangat hidup berprinsip, “seuntung mana pun orang yang gila, lebih beruntung orang yang beringat dan berwaspada”. Orang baik tidak perlu iri hati terhadap orang gila, sebagaimana kita tidak perlu iri hati melihat gagak berlagak merak, atau kera memakai mahkota. “Jangan Jemu Menjadi Orang Baik”.
Copypaste dari Group WhatsApp