Hari Ulangtahun Kelahiran Iman Ihsan
Post yang setahun lalu muncul di mukabuku. Ummi sebenarnya sudah lupa.
Hari ini genap usia Ieman Ihsan 15 tahun mengikut tahun masehi. Tarikh yang sama kelahiran Iman Najmi.
Airmata pagi ini tiba-tiba tumpah. Rindu dan banyak kenangan dengan Iman. Mengandung dan melahirkan Iman banyak mengubah landskap kehidupan Ummi dan Baba.
Pengalaman yang cukup warna warni hingga terbit buku pertama Motivasi 3i ( Islam Iman Ihsan) Formula Kejayaan Hakiki dan Abadi.
Terima kasih PTS Publication yang menerbitkan buku ini dan buku-buku yang seterusnya.
Alhandulillah, syukur padaMu Ya Allah. Memberikan permata ini. Tempoh 15 tahun terasa sangat cepat masa berlalu. Jika boleh tidak mahu Iman membesar. Mahu sentiasa melihat Iman sebagaimana Iman dalam dunia kanak-kanak.
Namun jauh disudut hati mahu melihat Iman menjadi seorang daie. Satu ketika bila Ummi dan Baba menuju usia, Iman pula bakal menjaga kami pula.
Teringat perbualan di meja makan sebelum Iman pulang ke asrama tiga hari yang lalu. Ummi percaya Iman tidak lupa, namun sekadar ingatan ummi titipkan pesanan ini sekali lagi.
"Iman siapa pun yang Iman ingin jadi satu hari nanti baik doktor, engineer, ustaz, bussinesman atau apa sahaja Ummi tidak kisah, asalkan Iman sentiasa jaga solat, jaga aqidah, doakan sentiasa Ummi dan Baba, jangan lupa Al Quran mesti selalu dibaca, yang dihafal mesti dingatkan sentiasa".
Iman seperti biasa, sejak dulu dan kini tidak banyak percakapan. Tanda faham beliau adalah diam. Suruh apa sahaja, dia diam, tapi bangkit melakukan. Tiada bantahan.
Bersama kakak-kakak Iman yang akan mengalah.Iman tidak pernah ada permintaan. Menerima apa sahaja pemberian walau ada ketika lebih banyak menolak.
Anakku Iman, menuju dewasa ada banyak cabaran. Dunia remaja adalah dunia 'storm & stress'. Ummi percaya bila Iman meletakkan Allah dan Rasul dihadapan, Iman akan melepasi cabaran dengan jaya dan tenang.
Biarpun Iman tiada FB, namun Ummi percaya bila Iman baca Ummi mahu ingatkan sekali lagi " Jagalah Allah, Allah menjagamu".
Indahkan Islammu, Iman dan akhlakmu sehebat nama mu anakanda Iman Ihsan❤️. Peluk cium dari Ummi, tiada hadiah yang lebih bermakna selain doa moga Iman berjaya dunia akhirat, jadi anak soleh wa musleh💕.
بالتوفيق والنجاح
#travelogempayarjiwa
#imanihsan
Sent from my iPhone
No comments:
Post a Comment