Tulus dan Telus itu Prioriti dalam berniaga.
Saya orang yang sering berpegang kepada konsep kebenaran. Selain itu tidak mahu menganiya orang lain.
Alkisah beli cat untuk rumah kakak saya. Beliau mahu mengecat rumah kerana bakal adakan kenduri. Saya diberikan nombor oleh pegawai pemasaran jenama cat X untuk menghubungi agen beliau di Kelantan. Katanya saya akandapat harga diskaun bila nyatakan nama beliau. Kali pertama saya mahu ke kedai cat tersebut, saya telah menelefon dahulu pemilik kedai tersebut dan meminta diberikan lokasinya.
Lalu beliau memaklumkan lokasi. Sebelum itu saya bertanya adakah beliau ada di premis. Bila dimaklumkan beliau ada maka saya bersetuju untuk terus pergi dengan ditemani oleh anak-anak. Bila sampai di kedai tersebut saya dimaklumkan kedai cat di sebelah kedai hardware. Ada dua jalan masuk. Sebelumnya saya sudah pun ke pintu utama tapi ia diselak dari dalam. Maka kami terpaksa berpatah balik dan melalui pintu kedai hardware yang bersambung dengan kedai cat.
Lalu seorang anak muda menyantuni kami. Saya perkenalkan diri bahawa saya yang menelefon sebelum ini. Maka bermula perbincangan kami tentang cat yang mahu dibeli. Mahu beli cat kali ini tidak susah kerana saya hanya beri nombor cat sahaja. Ia kerana cat sedia ada tidak mencukupi. Beliau pujuk saya untuk ambil jenama lain, saya tidak berminat kerana sudah percaya dengan jenama tersebut. Prinsip saya mudah, 'alah membeli menang memakai'.
Selesai membuat pilihan dan bersetuju dengan harga yang diberi, saya diminta untuk membuat bayaran di kaunter yang terletak dibahagian kedai hardware. Apabila selesai saya maklumkan mungkin akan datang lagi bila perlu. Lalu beliau memberikan nombor telefon beliau sambil memaklumkan beliau sebenarnya adalah pembantu kepada owner tersebut. Sangkanya yang menyantuni saya pemilik kedai yang saya hubungi sebelum ini.
Kata beliau " Jika mahu berurusan tentang cat, akak hubungi saya".
Saya bertanya, "Mana owner?"
"Tadi beliau ada, sekarang dia sudah keluar". Jawab staf tersebut.
Saya terdiam. Terfikir agaknya ownernya tidak berminat mahu mengenali siapa pelanggan mereka. Sementelah dia tidak kenal saya pun. Hanya pelanggan yang dirujuk oleh HQ. Mungkin sudah ada ramai pelanggan hingga tidak menang tangan untuk beliau berkenalan. Biasa la bila ada pekerja, tak kan tauke yang kena layan pelanggan. Lain la kalau yang datang tu kontraktor kelas A. Tak gitu? Apapun puas hati kerana saya dapat harga yang diberi sedikit diskaun walaupun tidak sama dengan harga di KL.
Selang sehari selepas itu, saya singgah lagi ke kedai tersebut membawa kakak saya yang mahu membeli cat. Kami mula membuat pilihan jenama cat mana yang kami mahu. Kakak saya memilih jenama yang sama cuma warna yang sedikit berbeza. Setiap kali kami nyatakan pilihan, pekerja tersebut akan membuat kiraan dan memaklumkan kami harga.
Memandangkan cat X ada grednya, maka kakak saya memilih cat yang lebih murah sedikit memandangkan bajet beliau yang terhad. Setelah dimaklumkan harga, pekedai tadi masuk ke dalam untuk membancuh cat. Kami pula menunggu dengan sabar. Memandangkan ada 3 jenis cat berlainan warna maka ia mengambil sedikit masa. Untuk pembelian kali ini tiada diskaun untuk kami. Kata beliau : " Jika bawa Puan T.... pun tidak akan dapat harga diskaun".
Maka kami akur dengan harga tersebut kerana cat jenama itu yang kami mahu. Lagipun kami datang dari jauh untuk sampai ke kedai beliau.
Akhirnya beliau datang dengan membawa resit dan memaklumkan total semuanya RM7xx.xx. Saya dan kakak amat terkejut kerana iut perkiraan kami sebelum ini harganya hanya RM4xx.xx.
Saya maklumkan beliau yang rasanya tadi kami sudah bersetuju untuk memilih gred 2. Beliau berkeras menyatakan kami yang minta gred 1 sebelum ini. Peliknya beliau sudah buat kira-kira untuk kami. Bila kami bersetuju baru beliau masuk ke dalam untuk buat banchuan.
Katanya jika kami tidak mahu mengambil cat ini dia akan dipotong gaji ini kerana beliau yakin beliau tidak silap. Manakala kami berdua juga amat yakin dengan pilihan kami. Bayangkan kami 3 orang pada waktu tersebut saya, kakak dan anak lelaki saya. Dia senang-senang menyatakan kami yang setuju untuk memilih gred 1.
Saya katakan " Tadi bukan awak sudah kira semuanya? Kenapa boleh tersilap?
" Tidak saya ikut apa yang akak nak tadi" Jawab beliau.
Herannya dua kali sebelum ini saya datang, pembayaran dibuat di kaunter, Bahkan orang yang sebelum kami juga bila selesai buat bancuhan cat dia akan maklumkan ke kaunter. Kali ini dia siap datang pada kami dengan membawa bil dan cat. Nampak sangat dia mahu menutup kesilapan.
Disebabkan saya tidak mahu bertekak, saya juga tidak mahu memarahi beliau, bahkan saya percaya orang yang benar Allah akan gantikan dengan yang lebih baik. Lalu saya keluarkan duit tanpa banyak soal dan hulurkan kepada beliau. (Saya yang membuat bayaran kerana saya mahu hadiahkan cat itu pada kakak saya. Maka bertabahlah. Ada hikmah yang Allah berikan) Beliau kemudiannya mengangkat cat tersebut ke kereta. Kakak saya dalam kereta masih tidak puas hati, katanya:
" Kita mati-mati dah maklumkan yang kita mahu yang gred 2, ini mesti dia khayal pastu lupa. Entah-entah juga itu stok lama".
"Entah yea, heran juga dua kali beli sebelum ini kena bayar di kaunter, ini peliknya dia yang keluar bagitahu jumlah, lagi best siap bawa resit sekali. Pelikkan? Nampak sangat dia tak nak mengaku silap, orang sebelum kita pun dia minta pergi ke kaunter". Jawab saya.
" Tak mengapalah, biarlah dia menjawab dengan Allah, di pihak kita pula, kita tidak mahu menganiya orang lain" sambung saya lagi.
Sebenarnya cat yang kami beli itu beliau juga yang cadangkan, kononnya ramai yang orang pilih cat ni. Saya pula bersetuju dengan cadangan beliau, maklumlah dia orang yang arif pastinya bila dah biasa deal dengan cat. Bila kami gunakan cat tersebut, ternyata cat itu tidaklah sebagaimana yang dinyatakan. Trend sekarang warna kelabu, beliau pula berikan kami warna biru laut.
Bila dikira jumlah kesemua cat yang kami beli hampir 2k juga. Ia mungkin jumlah yang kecil bagi beliau untuk menjaga pelanggan seperti kami. Nun jauh di sudut hati saya tahu, dia tidak telus dengan kami. Dia mungkin tidak tahu saya orang bisnes dah masak dengan orang sebegini. Dia tidak tahu saya ada networking yang besar, bayangkan berapa ramai saya boleh kenalkan premis beliau pada kenalan saya. Dia juga tidak tahu saya bakal beli bertong-tong lagi cat jika impian jadi kenyataan (Huhuhu dia ingat perempuan tak cukup inci macam mana ada gaya jadi kontraktor).
Kesian dia. Mungkin itu kali terakhir saya ke premis tersebut. Bagi saya lebih baik harga yang tiada diskaun dibanding orang yang tidak telus dan menipu dalam urus niaga.
Nota: Ramai peniaga buat silap yang kecil tapi hakikatnya memberi kesan yang besar pada perniagaan. Apalagi bila tidak telus sebenarnya tiada barakah.
No comments:
Post a Comment