Bismillah
Hari ini 2 Februari genaplah 18 usia permata hati Ummi dan Baba, Ain Syafia yang lahir pada 2 Feb 1996 bersamaan 4 Syawal 1418 Hijrah. Ain lahir awal dua minggu dari jangkaan. Kelahiran yang penuh bermakna, kerana lahir di tanah tumpah Ummi. Kelahiran yang memberi banyak hikmah dalam perjalanan Ummi dan Baba membina kehidupan.
Waktu Ummi masih dalam pantang Allah menguji Baba diberhentikan kerja. Alasan gawat menjadi penyebab. Ummi bertuah selepas habis cuti bersalin, bonda menawarkan untuk menjaga Ain. Ia satu pengorbanan paling besar bonda lakukan. Melepaskan perniagaan kedai runcit yang sudah bebrpuluh tahun diusahakan.
Disebalik pengorbanan ini, Ummi merupakan insan yang paling hebat rasa bersalah. Ia tidak lain rasa bersalah kerana menyusahkan bonda untuk datang menjaga Ain. Ummi dan Baba sambung belajar. Bonda merasakan satu tanggungjawab baginya kerana Ain masih kecil.
Ain anak yang aktif, namun sejak kecil Ain sudah ada masalah dengan mata. Sering bertahi mata menyebabkan Ummi dan Baba risau. Waktu Ain berumur tidak sampai setahun, Ain sudah dibawa berjumpa pakar mata terkenal Dr Shukri untuk mengenal pasti apakah puncanya.
Bonda menjaga Ain genap dua tahun. Selepas itu bonda memilih untuk tinggal di pondok. Ain menjadi cucu kesayangan, hingga sekarang jika jumpa Bonda masih makan bersuap dan tidur bersama.
Usia lima tahun Ain dibawa berjumpa pakar surgery untuk mengetahui risiko tanda yang ada dihidungnya. Ia kesan sampingan yang terjadi bila Ummi jatuh dari tangga sewaktu mengandungkan Ain. Paling tragis juga bila 10 tahun selepas itu baru Ummi tahu bahawa tulang belakang Ummi patah. Ia menjejaskan kesihatan hingga hari ini.
Dari penelitian xray juga doktor memaklumkan buah pinggang Ain kecil sebelah. Jadi Ain sentiasa kerap ke bilik Air. Segala nasihat doktor kami ikuti. Namun Ain berdepan pelbagai masalah kesihatan kerana masalah selsema yang tidak pernah baik. Tisu menjadi rakan setia. Masalah mata Ain tidak hanya berhenti disitu, usia 8 tahun Ain masih tidak tahu membaca kamus.
Peristiwa yang banyak memberi pengajaran kepada kami suami isteri. Umur 8 tahun barulah kami dapat ketahui bahawa Ain ada masalah Lazy Eye. Baba mengetahui Ain tidak dapat mencari makna perkataan dalam kamus kerana Ain tidak nampak apa yang tertulis. Hakikatnya bukan Ain tidak pandai, rupanya tidak nampak tulisan tertera.
Sejak itu Ain dirujuk kepada pakar mata Prof Dr Muhaya. Ummi dan Baba mahukan Ain dapat rawatan terbaik. Namun masalah yang Ain hadapi tidak boleh menggunakan laser. Rawatan yang ada hanyalah terapi.
Ain perlu memakai kaca mata khas, bagi memastikan ia lebih nipis, Ummi sanggup berbelanja lebih agar Ain dapat yang terbaik. Namun di sekolah Ain sentiasa diejek rakan. Matanya bulat, tanda di hidung juga makin membesar. Ejekan-ejekan ini membuatkan self esteem Ain menurun. Sebagai ibu, ia satu hikmah bila Ummi memilih bidang Kaunseling Psikologi. Ummi perlu pastikan Ain anak hebat, miliki pelbagai kelebihan.
Fizikal bukan penanda aras kehebatan sesorang. Ain bangkit sedikit demi sedikit. Dia tidak pernah dibandingkan antara anak yang lain. Walau dia sering rasa rendah diri, namun hakikatnya kakak dan Iman selalu mengalah dengan Ain. Bahkan gelaran adik masih menajadi panggilan manja dari Ummi, Baba dan Kakak. Panggilan K Ngah adalah satu panggilan yang special dari Iman.
Sewaktu ke sekolah menengah, Ummi sangat keberatan mahu menghantar Ain sekolah asrama. Ummi bimbang Ain tidak boleh menahan cabaran, bimbang jika Ain jatuh sakit. Namun Ain bertuah, ada guru-guru yang sangat prihatin. Selama 5 tahun di sekolah menengah, Ummi bangga dengan segala pencapaian Ain.
Hakikatnya Ain sangat pandai berdikari dan bijak membawa diri di kalangan rakan-rakan. Bahkan Ain pernah dinobat pelajar bersyahsiah tinggi untuk tahun tersebut.
Biarpun pencapaian akademik tidak sehebat rakan baik namun bagi Ummi apa yang diraih sudah cukup membahagiakan Ummi.
Ain sentiasa di uji. Kemalangan sewaktu mewakili sekolah diacara merentas dewasa adalah satu peristiwa yang tragis. Kemalangan itu menyebabkan gigi Ain patah, kecederaan dibahagian mulut dan kaca mata Ain juga rosak teruk. Sekali lagi Ummi dan Baba berdepan cabaran. Bukan mudah menepis emosi saat ini. Apapun sekali lagi Ain membuktikan jiwa Ain sudah kental dengan cabaran.
Sebulan yang lalu, sekali lagi Ummi dikejutkan dengan masalah kesihatan Ain. Benar jika berlaku sedemikian Ummi orang pertama yang tidak dapat menahan kesedihan. Tetapi Allah masih saangkan Ain. Terlalu banyak dugaan yang dilalui menyebabkan kita lali dan sudah boleh menerima apa jua yang mendatang.
Hari ini Ain sudah berusia 18 tahun. Kelahiran Ain banyak memberi kebahagiaan kepada Ummi dan Baba. Sifat Ain yang ceria, suka menyakat kakak dan Iman, tidak mengeluh dengan cabaran bahkan Ain jarang melihatkan sikap putus asa memberi banyak pengajaran pada Ummi sendiri.
Kelahiran Ain biarpun diuji dengan pelbagai ujian, masalah kesihatan, Baba diberhentikan kerja, namun ia pembuka kepada pintu-pintu rezeki yang lain. Ummi dan Baba diberi peluang berjaya membuka 3 syarikat yang mengendali 3 perniagaan yang berbeza, ia mengambil sempena nama Ain Syafia Qutreenie iaitu Qutreen Niaga Sdn Bhd, Qutreen Enterprise dan Qutreen Consulting and Motivation.
Alhamdulillah, setiap perkara ada hikmahnya. Ummi membina diri dari pengalaman membesarkan Ain. Belajar untuk menerima setiap ketentuan Allah. Hari ini, bersempena usia Ain yang ke 18 tahun, Ummi mendoakan agar Ain menjadi Mukminah Solehah yang sentiasa meletak Allah dan Rasul di tempat teratas, menjadikan cara hidup Islam sebagai rutin kehidupan, akhlak yang baik menjadi hiasan diri, syariat dan aqidah sentiasa dijaga. Allah satukkan semua di syurga diMu. Amen.
No comments:
Post a Comment