SIAPA YANG BUAT KEPUTUSAN SEBENARNYA?
#NotaBroSyarief
Orang-orang musyrik di era dakwah Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam berterusan berusaha menentang dan menghalang dari lebih ramai terpengaruh dengan ajaran Islam.
Dituduh baginda sebagai tukang sihir. Dituduh baginda sebagai pemecah belah. Digunakan pelbagai helah untuk berusaha mematahkan hujah-hujah dari al-Quran.
Barangkali kerana datang idea untuk mempersoalkan keabsahan al-Quran, mereka pun timbulkan satu lagi argumen, sebagaimana ia dirakam di dalam al-Quran:
وَقَالُوا لَوْلَا نُزِّلَ هَٰذَا الْقُرْآنُ عَلَىٰ رَجُلٍ مِّنَ الْقَرْيَتَيْنِ عَظِيمٍ
"Mereka mempersoalkan: Kenapa al-Quran ini tidak diturunkan kepada orang yang hebat dari dua kawasan ini (yakni: Mekah & Thaif)?"
[Az-Zukhruf(43):31]
Menjadi kebiasaan bagi satu-satu komuniti akan ada seorang tokoh yang menonjol dari sudut kepimpinan, memiliki karisma, banyak berjasa, dan sebagainya.
Jadi mereka melihat ianya satu keganjilan untuk Tuhan memilih seseorang yang tidak dikenali ketokohannya, berbanding orang-orang yang dilihat hebat seperti al-Walid ibn al-Mughirah dan 'Utbah ibn Rabi'ah.
Mereka menjadikan rasional mereka sebagai asas penilaian kadar relevan terhadap keputusan Tuhan memilih utusan untuk dihantarkan kepada mereka.
Cerdikkah tindakan mereka itu?
Lihat bagaimana Allah menempelak mereka, sekaligus mesej teguran Allah itu mencapah kepada setiap insan yang sering mempersoalkan apa yang telah Allah tetapkan pada perbezaan kedudukan insan sesama insan.
Allah subhanahu wa ta'ala menjawab balas persoalan mereka juga dengan soalan sentap yang berat, di mana firmanNya:
أَهُمْ يَقْسِمُونَ رَحْمَتَ رَبِّكَ
"Adakah mereka yang (membuat keputusan) membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu?
نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُم مَّعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا
(Hakikatnya) Kami yang membahagikan di antara sesama mereka, bahagian kehidupan mereka di dunia!
وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِّيَتَّخِذَ بَعْضُهُم بَعْضًا سُخْرِيًّا
Kami angkat kedudukan sebahagian mereka di atas sebahagian (yang lain) beberapa darjat, supaya sebahagian mereka dapat berkhidmat bagi sebahagian yang lain.
وَرَحْمَتُ رَبِّكَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ
Dan rahmat Tuhanmu itu jauh lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan..!
[Az-Zukhruf(43):32]
Nabi diutus sebagai rahmat ke sekalian alam. Siapa yang sebenarnya memegang kunci keputusan untuk memilih siapa yang hendak diutuskan? Demikian mudah argumen rapuh mereka dipatahkan.
Demikian juga keadaannya dari zaman berzaman. Kita melihat di sekeliling kita, di mana segelintir insan yang tidak kering fikirannya dari sentiasa merasa tertekan dengan apa yang Allah berikan kepada orang lain.
Dipersoalkan: Kenapa Allah beri mereka sekian? Kenapa tidak aku? Kenapa Allah murahkan rezeki mereka? Kenapa Allah jadikan mereka mempunyai kelebihan? Kenapa ini? Kenapa itu? Segalanya dilihat tidak adil di mata fikirannya.
Baca kembali jawab balas Allah kembali terhadap persoalan ni:
أَهُمْ يَقْسِمُونَ رَحْمَتَ رَبِّكَ
"Adakah mereka yang (menetapkan keputusan) membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu?"
Siapa yang buat keputusan kepada pembahagian dan perbezaan ini semua? Kalian ke? Mereka ke?
Ternyata tindakan mempersoalkan keputusan Allah, bukan sekadar tidak cerdik, malah ianya kejahilan yang melampau. Nampak macam cerdik, tapi malah sebaliknya.
Lebih teruk lagi persoalan ditimbulkan sebagai sekadar hijab menutup aib kemalasan diri untuk mengiktiraf kelemahan diri dan berusaha memperbaiki keadaan.
Allah tekankan hakikat pembahagian dan perbezaan ini semua adalah rahmat dariNya, dan rahmat dariNya pasti selama-lamanya jauh lebih baik dari apa yang kita cuba bandingkan dengan apa yang mereka kumpulkan.
Ia menuntut kita untuk sentiasa memikirkan betapa terhadnya kemampuan kita menilai, dan meletakkan sebulat keyakinan terhadap ketetapan Allah terhadap pembahagian dan perbezaan kurniaan sesama insan.
Syukurlah di atas nikmat rahmatNya. Bersangka baiklah terhadap segala keputusanNya.
__
#صحح_لي_إن_كنت_مخطئاً
#BroSyariefShares
No comments:
Post a Comment