Bismillah,
Sudah masuk dua minggu saya berada dalam dilemma. Jawapan kemasukan Iman ke tingkatan satu telah diperoleh sewaktu saya di Mekah lagi. Impian mahu ke SBPI Rawang untuk Tahfiz Sains tidak kesampaian kerana Iman mendapat tawaran di SBPT Labu. Pada mulanya saya agak serba salah, terasa juga kecewanya kerana impian sebenar mahu masukkan Iman ke sekolah tahfiz. Iman satu-satunya anak lelaki yang saya ada, maka harapan besar untuk beliau menjadi seorang hafiz itu sentiasa menjadi cita-cita murni bagi seorang ibu seperti saya. Slogan satu rumah satu hafiz itu sudah dihafal di dalam minda.
Sewaktu Iman menghadiri interview kemasukan ke SBPI Rawang saya amat terharu bila dalam perjalanan pulang Iman memperdengarkan bacaan yang dihafal dari surah At Taubah. Biarpun hanya berjaya menghafal lapan ayat dari sepuluh yang diberikan dalam masa dua puluh minit, namun bagi seorang ibu saya bersyukur dan bahagia mendengar ayat-ayat yang dibaca. Airmata gugur saat mendengar ayat-ayat itu dibacakan.
Kini dilemma itu bersarang. Sungguh membuat pilihan tidak mudah. Sewaktu perjalanan pulang dari ofis saya terdetik membuka radio ikim.fm. Dari corong radio terdengar perkongsian Ustazah Hafizah tentang perlunya mengambil peluang untuk menghafal Al Quran tidak kira usia, walau sudah dipenghujung usia namun insan yang cekal pasti berjaya, Menurut beliau ada yang berusia 50 tahun baru belajar membaca namun kerana cekal masa 5-7 tahun dapat menghafal 30 juzuk al Quran. Ia juga tidak mengira latar belakang atau siapa kita. Beliau berkongsi kisah bagaimana kanak-kanak buta di Mesir bernama Muaz menjadi Hafiz. Saya pernah melihat you tube Muaz di wawancara. memang ia satu perkongsian yang sangat menginsafkan.
Kisah Muaz menjadi inspirasi buat saya. Beliau buta dari sejak lahir, namun ayahnya mahu beliau menjadi hafiz lalu dia sanggup menghantar anaknya Muaz untuk belajar dengan seorang Sheikh yang tinggal ajak jauh dari rumah mereka. Perjalanan dengan motorsikal mengambil masa hampir 45minit-1 jam untuk sampai ke rumah guru tersebut. Adakala bila sampai masa pengajian sudah tamat, ada ketika hanya boleh tasmik datu ayat sahaja. Bapa Muaz seorang yang bercita-cita tinggi dan mempunyai harapan yang besar agar anaknya berjaya menghafal al Quran. Menjadi buta bukan penghalang. Beliau akan menulis ayat-ayat dan di tampal pada skrin depan motosikalnya, dalam perjalanan ke rumah guru apabila Muaz memperdengarkan bacaan, dia akan merujuk pada ayat-ayat yang ditampal itu. Muaz ketika diwawancara ditanyakan oleh pengacara apa yang beliau mahu sekiranya dia boleh melihat kembali, kata Muaz, dia tidak mahu melihat kerana dia mengharapkan apabila bertemu dengan Allah nanti dia akan mendapat ganjaran dari Allah kerana takut kepada Allah sekiranya mata melihat perkara mungkar.
Perkongsian ini ibarat bom jangka pada saya. Ia adalah 'wake up call'. Tersedar akan kealpaan. Kenapa saya berimpian hanya untuk Iman Ihsan menjagi hafiz? Kenapa tidak pada diri sendiri dan anak-anak yang lain. Betapa saya seorang yang lalai dan menzalimi diri sendiri kerana selama di sekolah Maahad Muhammadi serta masuk ke UIA diri perlu sentiasa menghafal Al Quran mengikut silibus yang ditetapkan. Namun bila usia berganjak, diri pula sibuk dengan urusan dunia ia semakin menghakis memori. Airmata tidak henti mengalir, insaf dengan kelemahan diri dan betapa saya insan yang lupa dna lalai, maka saya bertekad pada hari itu juga untuk meletakkkan impian saya dan semua anak-anak menghafal Al Quran. Ia belum terlambat untuk saya selagi nyawa dikandung badan.
Malamnya saya kumpulkan anak-anak selepas solat Maghrib berjemaah. Saya kongsikan cita-cita dan impian ini kepada anak-anak. Maka pada malam itu kami mulakan tasmik mengikut tahap masing-masing. Selesai semua anak untuk tasmik maka giliran saya Iman membantu saya untuk tasmik. Bermula hari itu saya mendapat jawapan kepada apa yang dilemma saya selama ini. Saya nyatakan pada Iman biarpun tiada program tahfiz saya akan mencarikan ustaz yang boleh tasmik untuk Iman, kami akan sama-sama berlumba menghafal dan setiap kali cuti kami akan sama-sama memperdengarkan bacaan masing-masing.
Saat untuk Iman mendaftarkan diri akhrinya tiba, SMAP Labu menjadi pilihan dengan harapan Iman akan pulang sebagai seorang Hafiz dengan cara belajar sendiri. Sewaktu di sekolah SMAP saya bertemu seorang ustaz bertanyakan program tahfiz, lalu guru menyatakan ada makmal huffaz, namun ia dikendalikan oleh PIBG. Saya katakan tidak mengapa jika perlu dikenakan bayaran, saya akan membayar. Ustaz menyatakan saya perlu tunggu selepas minggu oreintasi kerana pelajar akan disaring semula.
Seminggu masa berlalu tiada panggilan telefon dari Iman menyebabkan saya resah. Rindu pada Iman hanya Allah yang tahu. Kami jarang berpisah apalagi saya terfikir bagaimana minggu orentasi Iman. Hari minggu saya, suami dan Anis berangkat ke SMAP untuk bertemu Iman. Ternyata ia menjadi drama airmata. Rindu yan bersarang, terubat jua. Melihat Iman berkopiah putih berbaju merah terasa sejuk hati dan jiwa.
Saat bertanya khabar Iman memaklumkan beliau sudah pertukar kelas. Beliau dapat masuk kelas khas Al-Quran belajar tajwid, tarannum dan hafal Al Quran. Masa belajar akan lebih dibanding pelajar lain. Katanya hanya 15 orang pelajar lelaki yang terpilih dan Iman salah seiorang darinya. Lidah kelu untuk berkata, syukur pada Allah. Setelah saya redha dan Allah menemukan jawapan kepada diri ini maka dia memberikan kembali harapan yang dicitakan.
Doa seorang ibu agar Iman akan keluar sebagai Hafiz yang bakal menjadi Daie menegakkan syair Islam. Doa juga buat diri sendiri agar impian menjadi Hafizah mampu tercapai. Masa akan menjadi penentu. Allah mudahkan kami semua agar cita-cita ini akan dapat direalisasikan ia tiada lain melainkan untuk mencari redhaMu. Allah satukan hati kami agar sentiada berada di jalan yang Engkau redhai dan berkati. Ameen.
Wallahuaalam.
No comments:
Post a Comment