BERSEDEKAHLAH KERANA IA PASTI BERGANTI
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Jumaat (Saba' [34:39]) pada 21 Februari 2015. Antara isunya adalah jaminan sebarang sedekah bakal diganti oleh Allah.
"Berilah sedekah, rezekimu pasti bertambah!" Ayat itu tampaknya tidak logik kerana pemberian akan mengurangkan harta yang dimiliki. Lazimnya itulah pandangan manusia yang kelabu matanya dari sifat Allah al-Razzaq atau Yang Maha Memberi Rezeki.
Analoginya, sebuah sungai yang tertahan aliran airnya akan mengundang banyak mudarat. Kualiti airnya menurun, baunya busuk menusuk hidung dan tidak sihat untuk diminum. Tak banyak manafaat diperolehi dari kewujudannya. Paling malang adalah "ALIRAN AIR BARU DARI HULU TERHALANG DARI MENGALIR MASUK." Harta yang terbelenggu di hati si bakhil akan menambah penyakit hatinya, meningkatkan geram kesumat si miskin, membusukkan nama si bakhil dan paling utama "MENGHALANG ALIRAN REZEKI BARU" kerana Pemilik Khazanah Alam ini murka dengan sifat bakhilnya.
Setelah sekatan aliran sungai dibuang, aliran baru menerjah masuk dengan deras dan menghapuskan segala macam penyakit. Bila sungai sudah sihat, semua akan gembira. Beginilah perihalnya dengan manusia pemurah yang rajin bersedekah. Bukan setakat namanya harum, cinta "Pemilik Khazanah Alam" kepadanya juga mencanak naik. Bila Raja Alam Semesta sudah sayang, hidupnya serba kena dan serba indah. Benarlah firman Allah ini:
قُلْ إِنَّ رَبِّي يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَيَقْدِرُ لَهُ وَمَا أَنْفَقْتُمْ مِنْ شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ
Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan Ia juga yang menyempitkan baginya; "DAN APA SAHAJA YANG KAMU DERMAKAN MAKA ALLAH AKAN MENGGANTIKANNYA; DAN DIA LAH JUA SEBAIK-BAIK PEMBERI REZEKI" (Saba' [34:39]).
Gantian dijanjikan Allah ini adalah gandaan pahala bernilai "10, 700 dan infiniti:"
مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا وَمَنْ جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزَى إِلَّا مِثْلَهَا وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ
Ertinya: Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), MAKA BAGINYA (BALASAN) SEPULUH KALI GANDA (DARI KEBAIKAN) YANG SAMA DENGANNYA; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun) (al-An'am [6:160]).
Firman Allah:
مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِئَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Ertinya: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti "SEBIJI BENIH YANG TUMBUH MENERBITKAN TUJUH TANGKAI; TIAP-TIAP TANGKAI ITU PULA MENGANDUNGI SERATUS BIJI. DAN (INGATLAH), ALLAH AKAN MELIPAT GANDAKAN PAHALA BAGI SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA," dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya (al-Baqarah [2:261]).
Walaupun begitu, gantian Allah itu boleh sahaja datang dalam rezeki lain yang lebih luas jenisnya. Rezeki ketenangan, keteguhan jiwa, keluarga yang harmoni, Negara yang aman, pemimpin yang baik, tubuh yang sihat, jiran sahabat handai yang baik dan sebagainya.
Yakinlah pada "janji gantian tersebut" kerana Rasulullah SAW menyebut Allah berfirman dalam sebuah hadith Qudsi:
قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ أَنْفِقْ أُنْفِقْ عَلَيْكَ
Ertinya: Allah berfirman; bersedekahlah (wahai anak Adam), sudah pasti Aku akan bersedekah (merahmati dan membuka rezekimu) (Sahih al-Bukhari dan Muslim).
Juga sabda baginda SAW:
مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيهِ إِلَّا مَلَكَانِ يَنْزِلَانِ فَيَقُولُ أَحَدُهُمَا اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا وَيَقُولُ الْآخَرُ اللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا
Ertinya: Setiap pagi yang dilalui seorang hamba akan diiringi oleh dua malaikat yang turun. Satu malaikat akan berdoa: Ya Allah! Berikan GANTIAN KEPADA SETIAP YANG BERSEDEKAH (dan berbuat baik). Satu malaikat lagi akan berdoa: Ya Allah! Berikan KEMUSNAHAN KEPADA SETIAP YANG BAKHIL (dan sukar berbuat baik) (Sahih al-Bukhari dan Muslim).
Bersedekahlah seikhlas hati kerana sedekah kita kepada orang lain sebenarnya adalah "BANTUAN-SISWA atau REZEKI-SISWA" Allah kepada kita sendiri. Jangan pula sedekah itu disempitkan hanya pada "RINGGIT MALAYSIA" sahaja tetapi ia merangkumi banyak perkara lain. Akhlak yang baik juga sedekah. Menjaga kelestarian alam sekitar juga sedekah. "MELETAK KERETA TANPA MENGHALANG LALUAN ORANG KETIKA SOLAT JUMAAT JUGA SEDEKAH". "TIDAK MEMOTONG BARISAN KETIKA KESESAKAN JALAN RAYA JUGA SEDEKAH." Aduhai! Banyak sekali sedekah yang mampu menggandakan gantian pahala kepada kita. Cukuplah sabda Rasulullah SAW ini menutup bicara sedekah saya pada kali ini:
تَبَسُّمُكَ فِي وَجْهِ أَخِيكَ لَكَ صَدَقَةٌ وَأَمْرُكَ بِالْمَعْرُوفِ وَنَهْيُكَ عَنْ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ وَإِرْشَادُكَ الرَّجُلَ فِي أَرْضِ الضَّلَالِ لَكَ صَدَقَةٌ وَبَصَرُكَ لِلرَّجُلِ الرَّدِيءِ الْبَصَرِ لَكَ صَدَقَةٌ وَإِمَاطَتُكَ الْحَجَرَ وَالشَّوْكَةَ وَالْعَظْمَ عَنْ الطَّرِيقِ لَكَ صَدَقَةٌ وَإِفْرَاغُكَ مِنْ دَلْوِكَ فِي دَلْوِ أَخِيكَ لَكَ صَدَقَةٌ
Ertinya: Senyumanmu pada wajah saudaramu adalah suatu sedekah untukmu, menyuruh yang baik serta mencegah yang mungkar juga sedekah untukmu, menunjuk jalan kepada lelaki yang tersesat juga sedekah untukmu, engkau melihat (memimpin) bagi pihak orang yang rabun (buta) juga sedekah untukmu, engkau membuang batu, duri dan tulang di jalanan juga sedekah untukmu, engkau menuang air dari timbamu ke dalam timba saudaramu juga sedekah untukmu (Sunan al-Tirmidhi, Sahih Ibn Hibban).
Dipetik dari group WA
No comments:
Post a Comment