Jentayu Siri 1
Simbahan cahaya pagi menerangi bilik asrama
Mawaddah. Bunyi suara riuh dan bising mula kedengaran saat azan subuh mula
kedengaran lantaran semua penghuninya mula bergegas untuk bersiap ke surau
untuk solat berjemaah. Hanim turun dari katil dua tingkatnya perlahan sambil
mendapatkan tuala yang tergantung di tepi katil. Sambil melangkah menuruni
tangga ke bilik air, perasaan hati Hanim masih berkocak teringat kisah semalam. Degup
jantungnya makin terasa bergetar. Hari ini adalah hari penentuan buat dirinya.
“Hanim jangan lupa pertemuan kita esok,
nanti Ustazah cuba cari masa terluang untuk sesi kita”. Pesanan Ustazah Huda
menerjah ingatannya.
Hanim tenggelam dalam pemikirannya hingga
saat bas sekolah sampai diperkarangannya. Bergegas menarik beg sekolahnya,
Hanim berlari anak ke kelas 5 Amanah. Masa pertama pelajaran adalah Cikgu Ayub
yang mengajar Sejarah, mata pelajaran yang paling tidak disukainya. Namun sikap
Cikgu Ayub yang tegas pasti tidak akan membenarkan sesiapa sahaja pelajarnya
main-main atau memberikan alasan tidak minat, boring atau apa saja.
Sedang kyusuk mendengar penerangan Cikgu
Ayub, tiba-tiba terjengol wajah Ustazah Huda di depan pintu kelas. “ Hanim, jumpa ustazah di bilik kaunseling
lepas rehat ye.” Kata Ustazah Huda mengingatkan temu janji. Berdegup jantung Hanim mendengar ingatan Ustazah Huda.
Bagaimana nanti mahu dimulakan ungkapan. Apa
nanti pandangan Ustazah jika benar apa yang berlaku. Suara Cikgu Ayub semakin
tenggelam timbul bersilih ganti dengan suara-suara yang dating dalam
pemikirannya.
“Hanim, Ibu tak mampu nak sentiasa berada
di sisi Hanim. Rasanya ini yang terbaik ibu rasakan”. Lembut suara Ibu memberi pandangan pada Hanim.
Alangkah bagus jika ibu mampu mendengar
luahan hati Hanim. Hanim tak kisah, tapi berat rasanya hati untuk meninggalkan
rumah peninggalan arwah ayah ini. Meninggalkan adik-adik menjadi tempat
bergurau senda. Tapi dia tak punya pilihan, ibu juga terpaksa melakukan sesuatu
yang pastinya bakal memberikan sesuatu yang terbaik buat dirinya. Tersepit
dengan keinginan dan keterpaksaan. Loceng rehat berbunyi menyedarkan Hanim
dari lamunan.
“Hanim nak berkongsi tentang apa yang Hanim
katakana pada Ustazah minggu lepas?” Aju Ustazah Huda saat Hanim sudah melabuhkan badan di kerusi bilik kaunseling.
Hidup rasa tertekan, rasa tidak selamat,
setiap kali bapa tirinya di rumah. Hanim perlu sentiasa berwaspada. Bilik air
yang kecil beratapkan zink itu seringkali diraguinya, takut ada mata jalang
yang mengintai dari celah-celah lubang. Percubaan bapa tiri sewaktu ibunya
keluar bekerja dapat dielakkan sebelum ini. Namun adakala ketakutan pada saat
genting tidak dapat ditepisnya. Hanim tidak mahu pisang berbuah dua kali.
Sejak ayahnya meninggal dunia waktu usianya
lapan tahun, meninggalkan Hanim dan adiknya yang berusia lima tahun bersama ibu, yang tidak mempunyai pekerjaan. Ayahnya pula sekadar mengambil upah membersih
kebun. Tanpa mata pencarian yang kukuh menyebabkan ibu menerima lamaran Zabidi, duda tanpa anak yang bercerai dengan isterinya sejak hampir dua tahun. Zabidi
yang sebelum ini memang agak dikenali dengan gelaran kasanova. Namun dia
sendiri tidak memahami mengapa ibunya perlu berkahwin dengan Zabidi. Hanim
sendiri tidak pernah merasakan Zabidi seperti bapanya sendiri. Sekarang ini
ibunya telah menpunyai zuriat yang baru sejak berkahwin dengan Zabidi.
Kata-kata ibu menerjah ingatannya. “Hanim,
sewaktu kecil ibu tiada pilihan, selepas ayah Hanim meninggal, ibu memilih
untuk berkahwin semula demi kerana ingin membesarkan Hanim dan adik. Jika tidak
ibu terpaksa memberhentikan Hanim dari bersekolah”.
Hanim tahu Zabidi berjasa dalam
membesarkannya hingga sekarang. Tapi bukan bermakna dia juga perlu membalas
jasa itu dengan cara yang begitu tidak bermaruah. Zabidi yang dianggapnya
sebagai bapa sanggup melakukan sesuatu yang tidak dijangkanya. Bapa tempat
bergantung hidup dan menumpang kasih dan sayang. Namun ternyata ibarat
mengharapkan pagar, pagar makan padi. Zabidi seringkali cuba untuk melakukan
sesuatu yang tidak baik terhadap dirinya.
Sejak usianya meningkat remaja, Hanim bukan
lagi budak hingusan. Dia menjelma menjadi remaja yang cantik. Ramai ibu bapa
bimbang bila remaja meningkat dewasa kerana ramai yang mula lupa diri dan
inginkan kebebasan. Hanim biarpun begitu sebaliknya. Dia tahu akan asal usulnya.
Ramai kawan-kawan Hanim sendiri masing-masing sudah mempunyai teman lelaki. Teman yang
bukan setakat teman bahkan berpasangan seperti suami isteri. Ada juga
kawan-kawan yang menggangap remaja seperti Hanim sebagai kolot jika mereka masih lagi menjaga kehormatan mereka. Anggapan mereka zaman sekarang tidak
perlu risau tentang teruna atau dara. Semua itu zaman datuk nenek moyang
mereka.
Bagi Hanim biar apapun anggapan
teman-teman yang ternyata tidak sedar akan kehidupan sebenar. Dia percaya
dirinya akan dilindungi tuhan. Hanim percaya segala yang dilalui dikehidupan
ini bukan semata demi keseronokan. Arwah ayahnya sewaktu terlantar sakit
seringkali menasihatkan dirinya untuk sentiasa menjaga maruah diri, menjadi
orang yang berjaya, meninggalkan amnaat untuk sentiasa menghormati dan
mendengar pesan ibu. Ternyata amanat itu dipegang sehingga sekarang.
“Hanim, ustazah tahu yang Hanim perlu
mendapat ruang untuk ditempatkan di asrama Darul Saadah, Insya Allah, ustazah
akan cuba berunding dengan pihak sekolah dan juga jawatankuasa Darul Saadah.
Segala apa yang Hanim kongsikan tadi Ustazah faham”.
Perasaan Hanim lega dengan segala luahan
yang terpendam, ternyata Ustazah Huda memahami akan masalah yang dihadapinya.
Betapa berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.
“
Ustazah, terimakasih banyak, InsyaAllah jika di asrama nanti saya mempunyai
peluang untuk belajar. Tahun ini SPM saya akan berusaha gigih untuk berjaya,
segala yang berlaku saya akan lupakan dan fokus kepada pelajaran. Ibu juga
mungkin akan gembira dengan keputusan ini dan tidak lagi bimbang jika keputusan untuk saya tinggal di
asrama dapat dipertimbangkan.
Bersambung......
No comments:
Post a Comment