Bismillah,
Kematian sering mrnghantui kehidupan. Walau ajal maut ditangan Tuhan. Saat diri berfikir bagaimanakah pengakhiranku nanti. Ia tiada jawapan bagi persoalan BILA dan BAGAIMANA. Semua itu adalah dari Allah yang Maha Esa. Persediaaan dari insan adalah amalan. Setiap kematian adalah terjemahan dari amalan yang dilakukan.
Berkata perkara yang baik, mengajak manusia berbuat kebaikan, melakukan amal seikhlas daya. Namun segalanya adalah kembali kepada Allah sama ada menerima atau sebaliknya. Ikhlas dan sempurna ibadat itu adalah semestinya bagi memastikan penerimaan di sisi Allah. Selebihnya kita insan, sekadar mampu berdoa agar Allah ampunkan dosa dan menerima setiap amalan.
Kematian insan silih berganti membuatkan diri juga tertanya, setiap kali giliran orang lain, maka bilakah giliranku. Mati itu pasti. Bila dan bagaimana itu membawa diri didekat kepadanya. Sebagai ibu, Penulis tentunya ada banyak pesanan pada anak-anak agar mereka menjadi tali hayat sewaktu di alam sana.
Muda atau tua, sakit atau sihat, kaya atau miskin, semuanya akan bertemu mati. Ramai disekeliling kita sibuk merancang pelbagai agenda kehidupan hingga ada ketika mereka terlupa merancang kematian.
Merancang kematian bukan semata memastikan amalan, bahkan berpesan kepada insan yang bakal kita tinggalkan.
Pernah satu ketika saya bersembang pada anak, pesanan saya itu membuatkan beliau bertanya, " Ummi nak pergi mana?". Terkedu seketika mahu menjawab, hakikatnya saya berkata-kata dalam hati, pesanan ini seandainya ummi tiada nanti. Akhirnya saya menjawab " Ummi tidak ke mana-mana, sekadar berpesan, mengingatkan".
Hakikatnya, anak-anak adalah penyambung zuriat, bahkan mereka adalah harta cukup berharga. Anak yang soleh pula adalah salah satu bekalan menuju kematian.
Maka persediaan kematian adalah memastikan, anak-anak kita dididik dan ditarbiyyah dengan cara hidup Islam. Anak-anak perlu menjadikan Islam sebagai wadah perjuangan. Anak yang soleh yang mendoakan ibu bapanya adalah aset yang berharga.
Penulis menyatakan pada anak lelaki yang satu, sewaktu itu kami sedang menonton TV bersama. "Iman, jika Ummi mati, Iman mandikan Ummi". Kata saya. Jawabnya bersahaja, "Iman solatkan, Ummi suruh K Ngah mandikan". Jawapan Iman itu membuatkan saya senyum.
Itu adalah muqadimah untuk saya membuat pesanan demi pesanan pada anak-anak. Ia ibarat seolah diri akan mati esok hari. Benar, kematian itu tidak diketahui bila saatnya, maka tidak perlu menunggu untuk menyatakan apa jua pada anak-anak. Pesanan umpama satu wasiat. Jangan menangguhkan wasiat termasuk nasihat.
Sebelum mata pejam, sebelum nyawa dihalkum, kita masih ada ruang dan kesempatan. Belum terlambat membuat amal kebajikan. Moga Allah ampuni dosa kita semua.
Mengingatkan diri sendiri yang ada tikanya lalai dan para pembaca sekalian bahawa, SETIAP KETIKA DAN SAAT KITA MENDEKATI KEMATIAN.
Wallahuaalam.