Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada mukmin

"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman (mukmin), jiwa dan harta benda mereka dengan memberikan syurga kepada mereka, disebabkan mereka berjuang di jalan Allah, …. Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan dan itulah kemenangan yang seagung-agungnya". (At-Taubah: 111)

Perjalanan kehidupan seseorang menuntut kepada suatu perjuangan yang terkandung didalamnya nilai pengorbanan. Seseorang pejuang sudah pasti mengimpikan suatu kejayaan yang memerlukan pengorbanan. Seiring dengan pengorbanan itu sudah pasti perlukan ketabahan, keyakinan, semangat dan matlamat kejayaan yang jelas dan jitu demi memastikan kejayaan yang dimiliki akan membuahkan kebahagiaan kepada si pejuang. Sesungguhnya kehidupan adalah memberi bukan sekadar menerima...ia juga untuk dimanfaatkan sebagai bekalan kehidupan abadi.

“Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kebodohanku, sikapku yang melampaui batas dalam urusanku, dan semua dosaku yang Engkau lebih mengetahui mengenainya daripada diriku sendiri. Ya Allah, ampunilah kesungguhanku, kelalaianku, kesalahanku dan kesengajaanku yang semua itu ada pada diriku.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Friday, November 20, 2015

Pengalaman adalah universiti terbaik


Bismillah,

http://travelogempayarjiwa.blogspot.my/2015/09/upsr-apa-yang-kita-impikan-sebenarnya.html

Link di atas adalah tulisan saya sepurnama yang lalu sewaktu anak-anak berada di gerbang peperiksaan. Tiga hari yang lalu para pelajar berkenaan telah mendapat keputusan masing-masing. Ada yang berjaya cemerlang, ada yang biasa-biasa dan ada juga yang corot.

Maka sudah pasti ada yang gembira dengan kejayaan dan ada yang bersedih dengan pencapaian. Segelintir seperti tidak percaya kerana berjaya cemerlang, ada juga yang terlalu memberi harapan, namun sebaliknya yang diperoleh tidak seberapa. Pun begitu ada juga yang berkata 'you deserve it". Dengan lain bahasa itulah yang hasil dari usaha selama ini.

Hakikat kejayaan itu adalah satu perjalanan yang panjang. Ia sangat subjektif. Tidak mendapat satu pun A bukan bermakna kita bakal gagal lagi, mendapat 5 A juga bukan bermakna tiket mudah untuk berjaya lagi selepas ini, namun setidaknya ia pencetus semangat untuk meraih kejayaan yang seterusnya.

Kejayaan akademik juga bukan bermakna kejayaan 100% dalam kerjaya atau sebagainya. Akademik hanya satu bahagian dari banyak lagi bahagian-bahagian kejayaan. Anaologinya, ibarat sebiji kek. Ia hanya satu potangan dari beberapa potongan kek. (In sya Allah di kesempatan yang lain akan saya kongsikan berkenaan ini dengan lebih lanjut).

Bagi yang gagal memperoleh 5A, gagal pula mahu memasuki sekolah terpilih. Jangan kecewa. Ada hikmah terbaik yang bakal kita peroleh. Setiap hikmah yang mampu  dihadam adalah 'lesson learn' buat diri. Setidaknya kita berazam untuk buat lebih baik selepas ini.

Ini juga pengalaman yang saya lalui. Saya bukan pelajar terbaik di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah. Bahkan ada ketika sewaktu di sekolah menengah saya terpaksa turun kelas kerana keputusan tidak cukup baik, manakala persaingan di kalangan pelajar pula begitu sengit.

Ia tidak memutuskan semangat. Saya akui, cara belajar saya silap. Saya tiada mentor, membaca hanya waktu mahu masuk periksa, tiada strategi belajar yang betul. Saya pelajar anak yatim yang cuba berdikari serta masih tercari- cari identiti diri.

Namun berbekal sekelumit impian mahu masuk universiti, mahu bergelar lulusan PhD. Maka saya memulakan langkah dan azam baru sewaktu menjejak kaki ke universiti. Saya sedarkan diri bahawa saya bukan pelajar terbaik, namun tidak mustahil saya boleh jadi terbaik mengikut ukuran saya sendiri.

Bermula dari situ, saya tidak menoleh ke belakang. Saya hanya melihat matlamat. Biarpun ada pelbagai cabaran untuk sampai ke garis penamat, namun saya percaya dengan usaha, ikhtiar, tawakkal, doa yang tidak putus serta yakin Allah tidak akan mengagalkan hambaNya yang berusaha seikhlas. Akhirnya saya berjaya memperoleh apa yang dihajati. Kejayaan itu pula bukan dari diri saya sendiri, ia banyak dari sokongan insan sekeliling.

Melalui pengalaman tersendiri, maka saya percaya, individu yang gagal memperoleh kejayaan bukan gagal, sebaliknya mereka belum menemukan strategi dan cara betul dalam mengulang-kaji pelajaran. Saya percaya 'work hard work smart' adalah formulanya. Selain kuasa dan takdir serta rezeki dari Allah

Benarlah kata pujangga, PENGALAMAN ADALAH UNIVERSITI TERAIK DI DUNIA. Bermula dari situ saya bertekad untuk berkongsi dengan seramai mungkin tentang konsep Smart Learning, baik untuk pelajar sekolah mahupun universiti. Semoga ia menjadi teladan buat mereka yang mahu mencedok ilmu dan belajar dari pengalaman orang lain.

Wallahuaalam.


No comments:

Post a Comment