Bismillah,
Benar janji Allah bila kita mahu maka di situ ada jalan. Sama juga bila kita berimpian akan satu-satu perkara. Lambat laun jika kita gigih berusaha dan berdoa serta berserah padanya, ia bakal menjadi kenyataan.
Saya mahu berkongsi dengan para pembaca, pengalaman ini. Moga jika ada kalangan pembaca punyai impian yang sama, maka ia tidak mustahil. Satu ketika dalam tulisan sebelum ini, ada saya berkongsi tentang bagaimana hasrat hati mahu salah seorang anak saya bergelar Hafiz, atau setidaknya mendalami al Quran bukan setakat menghafal.
Dalam masa yang sama saya juga berkongsi, bagaimana Allah memperlihatkan pada saya betapa saya silap hanya meletakkan hasrat tersebut hanya pada anak-anak, dan tidak pada diri sendiri. Hinggalah ada satu wake-up call untuk saya menyebabkan saya sedar, saya sendiri perlu melantik dan memilih serta membuat tindakan yang sama.
Disebalik usaha saya menghafal kembali surah-surah yang pernah jadi hafalan sebelum ini sewaktu di sekolah dan universiti serta menambah hafalan yang baru, rupanya, Allah mencatit setiap gerak-geri. Tanpa saya sedar saya secara tidak langsung telah memberi satu teladan pada anak-anak.
Dua hari yang lepas, anak ke-dua iaitu Ain menyatakan pada saya hasratnya mahu memasuki Darul al Quran selepas mendapat SPM. Ia satu perkara yang memeranjatkan bagi saya. Ini kerana ia tempat yang tidak pernah ada dalam list buat Ain. Apa yang ada diperbualan saya dan suami sama ada Ain memilih masuk UIA atau UiTM sebagaimana kakaknya jika ada rezeki dalam SPM nanti.
Bila Ain menyatakan dia mahu menghafal al Quran terlebih dahulu, dan kemudian menyambung ke UIA, saya rasa ma sya Allah, Allahu Akbar sungguh benar janji Allah, dia Maha mendengar segala doa dan isi hati.
Hakikatnya jika sebelum ini saya terfikir yang banyak perkara saya terlambat, contohnya menghantar Ain ke sekolah SAM tetapi tidak sekolah Tahfiz, rupanya semua ini ada hikmah tersendiri. Bahkan saya percaya ada hikmah buat dirinya, kerana apa yang dibuat adalah dari pilihan dan cita-citanya sendiri.
Jika sebelum ini, impian saya agar Iman akan berjaya keluar sebagai Hafiz, namun kali ini saya akan lebih kuat memanjatkan doa kepada Allah, agar seluruh ahli keluarga kami semuanya menjadi Hafiz/Hafizah. Lambat atau cepat itu tidak penting, apa yang penting adalah cita-cita dan tindakan serta usaha ke arah merealisasikannya.
Ya Allah semoga cita-cita Ain akan termakbul. Moga Allah permudahkan jalan ini buat kami, dan menjadi asbab untuk kami semua masuk ke Syurga. Amen.
No comments:
Post a Comment