Bismillah,
Menghitung hari untuk berangkat ke tanah suci membawa ibu tercinta. Kali terakhir ke sana bersama ibu pada tahun 2004 sewaktu kami sama-sama menunaikan haji. Selepas itu ibu tidak mahu lagi ikut serta, katanya bawa pula orang lain yang belum merasa ke sana. Saya percaya jauh disudut hati beliau mahu sentias ke sana, namun kekangan duit ringgit pasti jadi penyebabnya. Dia tidak mahu menyusahkan saya.
Pada diri saya pula, nyawa tidak pasti, kita atau dia boleh dipanggil Allah bila-bila masa. Lalu terfikir kali ini mahu memberikan kebahagiaan buat ibu. Ibarat kata duit boleh diusahakan asal ada kemahuan. Kali ini ibu sangat teruja. Pada saya pula, hadiah untuk umrah kali ini tidak terlalu besar dibanding pengorbanan ibu sendiri. Doa yang sentiasa dipanjatkan buat diri. Kakak-kakak yang tinggal di kampung yang sentiasa ada saat ibu memerlukan sudah pasti pengorbanan mereka tidak terkira dalam menjaga ibu.
Lalu diri sering tertanya sumbangan apa yang lebih bermakna? Sedaya upaya kita mahu buat terbaik untuk ibu tercinta, pun diri yang kerdil ada ketika tidak mampu buat banyak perkara. Ibu saat ada di depan mata kita jarang mahu menghargai, bila tiada baru menyesal dan berkira-kira mahu membalas jasa. Sungguh pengorbanan yang besar tidak dapat dibalas, sebagai anak bahagiakan dia selagi nyawa dikandung badan.
Hidup ini seketika sahaja. Masa yang ada manfaatkan untuk memberi bukan sentiasa mahu menerima. Ibu insan paling berharga, tanpa ibu kita tiada apa-apa. Betapa kita mengharap keredhaan Allah dari keredhaan dua ibu bapa.
Ya Allah. Moga pemergian kali ini ke tanah suci bakal mengubat rindu ibu pada lambian Kaabah. Moga ada peluang lagi selepas ini untuk berkali-kali menunaikan ibadat, Moga ibadat kami di terima olehNya. Ampunkan kami Ya Allah.
No comments:
Post a Comment