Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada mukmin

"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman (mukmin), jiwa dan harta benda mereka dengan memberikan syurga kepada mereka, disebabkan mereka berjuang di jalan Allah, …. Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan dan itulah kemenangan yang seagung-agungnya". (At-Taubah: 111)

Perjalanan kehidupan seseorang menuntut kepada suatu perjuangan yang terkandung didalamnya nilai pengorbanan. Seseorang pejuang sudah pasti mengimpikan suatu kejayaan yang memerlukan pengorbanan. Seiring dengan pengorbanan itu sudah pasti perlukan ketabahan, keyakinan, semangat dan matlamat kejayaan yang jelas dan jitu demi memastikan kejayaan yang dimiliki akan membuahkan kebahagiaan kepada si pejuang. Sesungguhnya kehidupan adalah memberi bukan sekadar menerima...ia juga untuk dimanfaatkan sebagai bekalan kehidupan abadi.

“Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kebodohanku, sikapku yang melampaui batas dalam urusanku, dan semua dosaku yang Engkau lebih mengetahui mengenainya daripada diriku sendiri. Ya Allah, ampunilah kesungguhanku, kelalaianku, kesalahanku dan kesengajaanku yang semua itu ada pada diriku.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Sunday, March 27, 2016

Pengurusan Masa

Pengurusan Masa

Masa itu rezeki; masa adalah amanah; dan masa juga mengandungi Taqdir Allah SWT. Hadith Marfu':
عَنِ الْحُسَيْنِ بْنِ قَيْسٍ , عَنْ عَطَاءٍ , عَنِ ابْنِ عُمَرَ ، عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , قَالَ :لا تَزُولُ قَدَمَا الْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ أَرْبَعٍ : عَنْ عُمْرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ , وَعَنْ شَبَابِهِ فِيمَا أَبْلاهُ , وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَا أَنْفَقَهُ , وَعَنْ عِلْمِهِ مَاذَا عَمِلَ فِيهِ

[Tidak terlepas kedua kaki seorang hamba (Allah) di hari Qiamat nanti sehinggalah ditanya dgn 4 soalan: tentang UMURNYA bagaimanakah dia habiskan, tentang masa MUDANYA bagaimana dia pergunakannya, tentang HARTANYA dari mana sumbernya dan ke mana dihabiskannya, dan tentang ILMUNYA bagaimana dia beramal dengannya]




Sent from my iPhone

Ciri-Ciri Insan Istimewa di sisi Allah

Ciri-Ciri Insan Istimewa di sisi Allah

Insan luar biasa & teristimewa di sisi Allah SWT (inshaAllah), iaitu:
(a) Orang yg tetap mengasihi dan membuat kebaikan terhadap mereka yg berbuat jahat terhadapnya;

(b) Orang yg berhubung dan menjalinkan silaturrahim kpd mereka yg memutuskan hubungan;

(c) Orang yg sentiasa memberi/ menyumbang kpd mereka yg tiada memberi apa2 kpdnya;

(d) Orang yg memberi ketenangan (sentosa) kpd mereka yg memberi ketakutan kpdnya;

(e) Orang yg berkata/ menegur kpd mereka yg tidak bertegur sapa; dan

(f) Orang yg memuliakan mereka yg menghinanya.


Sent from my iPhone

Tip Mendidik Anak-Anak

Tip Mendidik Anak-Anak

Wajib bagi seorang suami mengajar ilmu tauhid, fiqh dan tasawuf kepada isteri- isterinya dan juga anak-anaknya.
(rujuk matan Kitab Fathul Qarib wal Mujib)

حَدَّثَنَا آدَمُ حَدَّثَنَا ابْنُ أَبِي ذِئْبٍ عَنْ الزُّهْرِيِّ عَنْ أَبِي سَلَمَةَ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ كَمَثَلِ الْبَهِيمَةِ تُنْتَجُ الْبَهِيمَةَ هَلْ تَرَى فِيهَا جَدْعَاءَ

Telah menceritakan kepada kami Adam telah menceritakan kepada kami Ibnu Abu Dza'bi dari Az Zuhriy dari Abu Salamah bin 'Abdurrahman dari Abu Hurairah radliallahu 'anhu berkata; Nabi s.a.w bersabda:
"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kemudian kedua orang tuanyalah yang akan menjadikan anak itu menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi sebagaimana binatang ternak yang melahirkan binatang ternak dengan sempurna.
Apakah kamu melihat ada cacat padanya?"
(Saheh Bukhari No. 1296 )
.
Hadith tentang pengaruh ibu bapa terhadap pendidikan anak, lafadz
كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ
ertinya, 'Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah.'
sebagai kata kunci menganalisa perbahasan ini. Erti fitrah mengikut bahasa adalah sifat asal, kesucian, bakat, dan pembawaan; tetapi secara istilah tauhid fitrah adalah tabiat semulajadi yang menerima agama Islam.
Mengikut teori pendidikan, fitrah mengandung implikasi convergent kerana fitrah mengandungi makna kejadian yang di dalamnya berisi potensi dasar beragama yang benar dan lurus iaitu Islam. Namun potensi dasar ini boleh diubah oleh syasana persekitarannya.
Sesuai dengan hadith di atas, fitrah merupakan modal seorang bayi untuk menerima agama tauhid dan tidak akan berbeda antara bayi yang satu dengan bayi lainnya. Maka, ibu bapa dan pendidik berkewajiban memberikan pendidikan dengan cara berikut :

1. Membiasakan anak untuk mengingat kebesaran dan nikmat ALlah, serta semangat mencari dalil dan mengesakan ALlah melalui tanda-tanda kekuasaan-Nya dan menginterpretasikan berbagai gejala alam melalui penafsiran yang dapat mewujudkan tujuan pengokohan fitrah anak agar tetap berada dalam kesucian dan kesiapan untuk mengagungkan ALlah.

2. Membiasakan anak-anak untuk mewaspadai penyimpangan-penyimpangan yang kerap membiasakan dampak negatif terhadap diri anak, misalnya tayangan filem, berita-berita dusta, atau gejala kehidupan lain yang tersalurkan melalui media informasi. Anak- anak harus diberi pemahaman tentang bahaya kezaliman, kehidupan yang bebas, dan kebobrokan perilaku melalui metod yang sesuai dengan kondisi anak, misalnya dengan melalui dialog, cerita, atau pemberian contoh yang baik. Melalui cara itu, anak-anak akan terhindar dari peyahudian, penasranian, atau pemajusian seperti yang diisyaratkan hadits di atas.

-Petikan dari Prof Saifudin Mashudi


Sent from my iPhone

Thursday, March 24, 2016

Pahala Iktikaf

Pahala Iktikaf

Jumu'ah Mubarakah...
Kalaulah mereka tahu sesiapa yang ber i'tikaf di masjid akan dapat pahala solat berterusan dan didoakan Mala'ikat keampunan dirinya, saya yakin tiada siapa yang akan bergegas bingkas bangun dari sejadah mereka selepas soLat.
.
Inilah cabaran saya yang paling sukar untuk memujuk para jema'ah Malaysia.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَزَالُ أَحَدُكُمْ فِي صَلَاةٍ مَا دَامَ فِي مَجْلِسِهِ يَنْتَظِرُ الصَّلَاةَ وَالْمَلَائِكَةُ يَقُولُونَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ مَا لَمْ يُحْدِثْ

Dari Abu Hurairah r a. berkata; RasuluLlah s.a.w bersabda: "Salah seorang dari kamu akan sentiasa berada didalam pahala solat selama masih ditempat soLatnya untuk menunggu datangnya solat yang berikutnya, dan para malaikat berdoa untuk dia;
'Ya ALlah, ampunilah dia, Ya ALlah sayangilah dia, '
iaitu selama ia belum berhadas."
(HR Ahmad No: 8756)
:
Pengunjung Masjid Bukti Keimanan

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا رَأَيْتُمْ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسَاجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ

Dari Abi Said al-Khudri daripada RasuluLlah s.a.w , baginda bersabda: Apabila kamu melihat seseorang lelaki sentiasa mengunjungi masjid, maka saksikanlah yang ia adalah seorang yang beriman"
(HR Ibn Majah No : 794)

Pengajaran:
1. Masjid adalah rumah ALlah untuk di imarahkan melalui solat lima waktu dan majlis ilmu.

2. Orang yang sentiasa mengunjungi masjid, (untuk mengimarahkan) kunjungan itu menjadi bukti keimanannya

3. Orang yang mengunjungi dan menghidupkan masjid-masjid ALlah adalah orang yang beriman dan bertaqwa kepada ALlah. Firman ALlah:
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ

Hanyasanya yang layak (berhak) memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid ALlah itu ialah orang-orang yang beriman kepada ALlah …
(At-Taubah: 18)

Mari kita hidupkan rumah-rumah ALlah.

-Catatan Prof Saifuddin Masudi



Sent from my iPhone

KEWAJIBAN BELAJAR

KEWAJIBAN BELAJAR

سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَاا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
"Maha suci Engkau (Ya ALlah) !
Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana"
(al-Baqarah: 32)

Wajib ke atas orang lelaki untuk belajar ilmu agama (ya'ani tauhid, fiqh dan tasawwuf) dan mengajar isteri-isteri serta anak-anak perempuan mereka.
(Kitab Fathul Qarib wal Mujib)

firman Allah Ta'ala,

وَقُلْ رَبِّ زِدْنِي عِلْمًا

"Dan katakanlah,'Wahai Tuhan-ku, tambahkanlah kepadaku ilmu'".
(Surah Ta ha [20] : 114)

Maka Sheikh Ibnu Hajar Al-Asqalani rahimahullah berkata,
"Firman ALlah Ta'ala (yang artinya),
'Wahai Rabb-ku, tambahkanlah kepadaku ilmu' mengandung dalil yang tegas tentang keutamaan ilmu kerana sesungguhnya ALlah Ta'ala tidaklah memerintahkan Nabi sallaLlahu 'alaihi wa sallam untuk meminta tambahan sesuatu kecuali (tambahan) 'ilmu. Adapun yang dimaksud dengan (kata) 'ilmu di sini adalah 'ilmu syar'i iaitu 'ilmu yang akan menjadikan seorang mukallaf mengetahui kewajibannya berupa masalah-masalah 'ibadah dan mu'amalah, juga 'ilmu tentang ALlah dan sifat-sifatNya, hak apa saja yang harus dia tunaikan dalam beribadah kepada-Nya, dan mensucikan-Nya dari berbagai kekurangan".
(Fathul Baari, 1/92)
.
Adab berguru;
1. Tulus niat orang yang menuntut ilmu

2. Hormat dan Santun terhadap Guru

3. Dimulakan dan di akhiri dengan Do'a; contohnya; di awal proses belajar :

اللهم ارْزُقْنِى فَهْمً النَّبِيِّيْنَ وَحَفِظَ الْمُرْسَلِيْن وَاِلْهَامَ الْمَلَائِكَةِ مُقَرّبِيْنَ
" Ya ALlah, berikanlah aku rezki berupa pemahaman seperti pemahamannya para nabi, hafalan seperti hafalannya para Rasul dan ilham seperti para ilhamnya para Malaikat Mukarrabin "

Dan, do'a yang kita baca setelah selesai kita belajar adalah :

اَللّهَمّ اَرِنَ الْحَقَّ حَقّاً وَرْزُقْنَا التِّبَا عَهُوَاَرِنَأ الْبَاطِلَ باَطِلاً وَارْزُقْنَااجْتِنَابَهُ
" Ya ALlah perlihatkanlah kebenaran kepada kami, dan berikanlah kami kekuatan untuk bisa mengikutinya, perlihatkanlah kepada kami kebathilan dan berikanlah kepada kami untuk menjauhinya"
.
آمين.. آمين.. يا مجيب السائلين

Catatan Prof Saifudin Mashudi


Sent from my iPhone

Tuesday, March 22, 2016

Disebalik tabir kehidupan

Kisah Kehidupan
Rezeki ada di mana-mana. Semuanya pemberian Allah. Dia yang menentukan untuk siapa, bila, banyak mana. Itulah yang perlu kita yakini. Mendengar kisah insan lain memberikan inspirasi dan menginsafkan diri.
Cerita 1
Berkongsi kisah seorang anak muda yang dilihat sangat gigih. Beliau berusaha untuk berniaga. Memilih pasar malam sebagai platform. Katanya beliau hanya meminjam tapak dari orang lain. Namun teramat susah dengan kerenah birokrasi pihak majlis bandaran. 
Bila ditanya beliau berniaga apa, katanya beliau berniaga kasut. Melihat kegigihan beliau mencari rezeki saya percaya beliau boleh pergi lebih jauh dalam perniagaan. Beliau seorang yang tidak putus asa.
Realitinya ramai anak muda kita mahu berjaya.
Cerita 2
Setiap kali lalu pastinya saya akan singgah di gerai buah sepasang suami isteri. Harga buah tempatan seperti pisang, nenas, belimbing jauh lebih murah berbanding pasaraya, selain 'fresh dari ladang'. 
Semalam saya singgah sekali lagi, kali ini beliau berniaga di bawah payung. Di belakangnya ada satu van yang agak lama usianya.
Sambil memilih buah saya ajukan soalan, di mana ke gerai kayu beliau sebelum ini. Jawab si isteri wanita yang sudah agak berumur, " gerai kami sudah dirobohkan kerana berniaga dibahu jalan".
Allahu terasa sentap hati apabila mendengar gerai kayu beliau dirobohkan. Herannya sebuah lagi rumah tidak dirobohkan. Simpati dan empati saya tidak bertepi pada pasangan ini.
Mahu sewa kedai dengan hanya jual buah tempatan seperti pisang, ubi dan lain-lain pasti tidak berbaloi. Saya terfikir nun dihujung jalan yang sama ada belasan peniaga membuka gerai. Bahkan gerai-gerai tersebut membuat kesesakan bila waktu pulang kerja. 
Dua majlis perbandaran yang berbeza. Maka peluang juga berbeza. Saya doakan agar pasangan ini diberi rezeki yang berkat dan dipermudahkan urusan.

Strategi tingkatkan kejayaan

Bismillah,
Apa jua yang kita lakukan, produktiviti perlu diutamakan.  Bagi meningkatkan produktiviti ada strategi yang perlu dilakukan. Antaranya memastikan ;
1. Perkara yang segera dan penting
2. Perkara yang penting dan tidak segera
3. Perkara yang tidak penting tetapi segera.
4. Perkara yang tidak penting dan tidak segera.
Apabila banyak kerja perlu dilaksanakan, ini membuatkan kita keliru dan terfikir yang mana satu mesti didahulukan. 
Bagi memastikan semua ini, caranya adalah kita perlu mengasing atau membuat klasifikasi kerja yang perlu diselesaikan itu ke dalam 2 kategori. Senaraikan keduanya. Buat pecahan sebagaimana di atas. 
-Kerja yang penting
-Kerja yang segera
Jika kita berjaya membuat semua ini , maka kerja akan lebih tersusun, produktiviti dapat dipertingkatkan.
.

Kisah Si Kaloi

KALOI
~~~~
Ada dan tiada itu silih berganti.
Datang dan pergi ia perkara lumrah.
Apa yang lumrah itu adakalanya membuatkan kita sedih.
Yang pergi itu selalunya kita tangisi.
Kerana yang tinggal itu mengenang,
yang pergi itu membawa seribu kenangan.

🌹
🌹🌹🌹🌹
Hari ini ikan yang dipelihara sekian lama, sudah sampai penamat kehidupannya.
Mungkin ada yang kata, alah ikan je pun nak bersedih. Bagi yang tiada naluri cintakan haiwan mesti akan pelik. 
Pada saya ia bukan sekadar ikan biasa. Ikan kaloi ini sudah hampir 14 tahun usianya. Saya mula membelanya hanya di atas kanvas.
Sewaktu itu kami belum ada kolam. Biarpun kaloi sifatnya pemangsa, namun saya biasakan dari kecil kaloi ini hidup bersama guppy dan molly.
Molly dan guppy membiak sehingga ratusan, dan kaloi membesar mengikut kesesuaiannya.
Makin kaloi ini membesar saya besarkan sedikit kolamnya. Makanannya adalah pokok air, bayam liar dan juga kangkung. 
Roti adalah makanan kegemaran. Bila saya masak sayuran, korat, lobak, sawi itu menjadi habuan si kaloi.
Pendek kata bunyi percikan air sudah diketahui betapa aktifnya kaloi. Belalang besar yang hinggap di pokok air akan jadi tangkapan. Menunjukkan fitrahnya sebagai kaloi. 
Adakala kelakar melihat kaloi berebut roti dengan guppy yang banyak disekilingnya. Ikan yang unik, mesra, pemalu namun kenal akan tuannya. 
Ramai yang berkunjung ke rumah sentiasa pelik bagaimana pemangsa boleh hidup bersama dengan ikan-ikan kecil. 
Saya bela dari ikan ini separuh tapak tangan. Saya wujudkan persekitaran yang mana dia seolah bukan pemangsa, maka si kaloi menjadi vegetarian.
Ia sama dengan kehidupan kita, memberi tarbiyyah yang baik pada anak-anak memerlukan persekitaran atau biah yang sesuai. Rasanya ikan-ikan ini pun sama.
Tiada yang pelik bila kita memelihara dengan kasih sayang. Teringat kaloi arwah ayah yang dipelihara bertahun-tahun lamanya dalam perigi. 
Dari saya kecil hingga dewasa, bila datang pemeriksa masukkan ubat, mati juga si kaloi. Ajal si ikan, ajal si tuan belum tahu.
Itulah kehidupan. 

Monday, March 14, 2016

DA'EI 'ILMU

DA'EI 'ILMU

Sahabat yang pertama diperintah menjalankan kerja da'ei adalah Mus'ab b Umair r.a. Semasa Perjanjian Aqabah 1, beliau diarah untuk Pergi ke Yathrib bersama kumpulan 12 untuk mengajar ilmu Tauhid. Beliau kembali dengan 72 orang untuk memetrai Perjanjian Aqabah II yang menandakan permulaan hijrah Umar Islam ke Madinah al-Munawwarah.
Begitulah besarnya sumbangan da'ei Mus'ab r.a.
Mus'ab r.a. menyertai Perang Badr dan kemudian Perang Uhud dimana beliau syahid sebagai pemegang Panji-panji Perang.
Pada saat kaum muslimin kucar-kacir, Mus'ab r.a tetap teguh. Pada sa'at itu Ibnu Qami'ah dapat menebas tangan kanan Mus'ab sementara dia (Mus'ab) membaca;

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ الرُّسُلُ ۚ
"Dan Muhammad hanyalah seorang Rasul, sebelumnya telah berlalu beberapa Rasul..." (Aali 'Imran: 144).

Selanjutnya Mus'ab r.a. memegang panji dgn tangan kirinya , Ibnu Qami'ah menebas pula tangan kirinya dan tangan . Selanjutnya Mus'ab memeluk panji ke dadanya dgn kedua bahunya sambil membaca ( ayat Aali 'Imran:144). Kemudian Ibnu Qami'ah menyerang Mus'ab ketiga kalinya dgn tombak.

Ibn Sa'ad berkata, "AbduLlah bin al-Fadhl berkata Mus'ab r.a. terbunuh dan panjinya dipegang oleh seorang malaikat dalam wujud Mus'ab r.a. Di petang harinya Nabi saw berkata kepadanya;
"Majulah wahai Mus'ab ! " Maka malaikat itu menengok kepada beliau dan berkata kepada Nabi s.a.w, 'Aku bukan Mus'ab.' Maka Nabi saw mengetahui bahwa dia adalah Malaikat yang membantunya.

Di sisi jasad Mus'ab r.a. Nabi saw menitiskan air mata.

Khabbab bin al-Arat berkata '...Dia (Mus'ab r.a.) gugur di medan Uhud dan meninggalkan selembar kain. Jika kami menutupi kepalanya dgn kain itu maka dua kakinya terlihat dan jika kami menutupi kakinya maka kepalanya terlihat, akhirnya kami menutupi kepalanya dgn kain tersebut, sedangkan kakinya kami tutupi dgn daun idzkhir.

Ibrahim bin Abdulrahman bin 'Auf menceritakan: Ketika Abdulrahman bin 'Auf menghadapi makanan utk berbuka puasa, tiba2 ia berkata: 'Mus'ab bin Umair seorg sahabat yg jauh lebih baik drpku ketika terbunuh syahid, tidak didapatkan (kain) kafan utknya, selain kain kemul jika ditutupkan kepala terbuka kakinya dan bila ditutupkan kakinya terbuka kepalanya. Kmdn kami telah diberi kekayaan dunia yg seluas2nya, maka kami khuatir kalau2 amal kebaikan kami telah dibayar kontan di dunia (sudah tidak dapat lagi diakhirat). Kemudian Abdulrahman menangis dan meninggalkan makanan yg dihidangkan itu.'
(HR Saheh Bukhari)
.
~Dipetik dari perkongsian Prof Saifuddin Mashudi


Sent from my iPhone

Sunday, March 13, 2016

Membina imej diri positif



Bismillah,

Apabila turun padang berkongsi ilmu maka ia peluang untuk bertemu ramai orang dari pelbagai latar belakang. Ia pada hakikatnya banyak menambah pengalaman diri sendiri. Lebih ramai yang kita temui maka sudah pasti banyak yang kita bakal pelajari.

Sifat, karekter, personaliti dan pelbagai lagi berbeza-beza dikalangan individu, ada yang seperti sombong, tidak senyum namun bila didekati mereka amat ramah. Ada yang terlebih cakap hingga kita tidak sempat mahu mencelah. Bahkan ada juga yang apabila kita bersuara kurang memberi respon. Pendek kata, lain padang lain belalang, lain orang lain latar belakang.

Bagaimana pembawaan kita bila bertemu ramai orang amat penting. Terutama dalam hal imej diri. Watak dan personaliti kita mestilah seiring antara dalaman dan luaran. Dalaman akan menonjolkan luaran. Maka yang terbaik adalah mengambil sikap terpuji dengan mengamalkan sikap merendah diri atau low profile. Jadikan diri ibarat pepatah " ikutlah resmi padi, semakin tunduk semakin berisi".

Jika tidak kenali  tidak mengapa, jika tidak disapa pun tidak apa-apa. Berilah salam saat bersua. Jika tiada yang menyambutnya, kita tetap memperoleh pahala. Jadilah diri sendiri sebagai mana lirik lagu "Kun Anta". Kehebatan diri tidak berkurang bila rendah diri dan tidak menunjuk-nunjuk. Apa yang ada pada diri kita semua adalah pinjaman. Elakkan riak dan ujub kerana ia membakar amalan kebaikan.

Siapa kita, dari mana kita datang dan ke mana kita akan pergi selepas ini akan menjadi dorongan kepada kita bagi sentiasa menonjolkan imej diri yang positif. Mulakan hari dengan senyum dan sentiasa bersangka baik dengan manusia.

Wallahuaalam.


Monday, March 7, 2016

Kisah rawatan gigi

Kisah rawatan gigi

Hari ini temu janji Ain dengan doktor gigi terpaksa ditunda ke minggu hadapan. Kecewa juga pada mulanya. Tapi apa nak dikata, doktor EL.

Ain pula sejak kemalangan setahun lalu giginya sudah sakit kembali. Dia juga asyik bertanya bila doktor nak pasang braces. Sejak dari tingkatan dua sampai sekarang belum ada tindakan apa-apa.

Alasan gigi masih baru, kena ukur dahulu. Hinggakan pelajar yang praktikal pun dah terima ijazah. Janji tinggal janji.

Malangnya dah habis belajar rekod rawatan Ain pula tidak dirujuk kepada individu yang sepatutnya. Empat tahun bukanlah masa yang singkat.

Dua minggu lepas saya maklumkan semua, cukuplah tempoh menunggu. Saya buat keputusan untuk ke klinik swasta di Sg Buloh.

Klinik pertama kami sampai 3pm, sudah tutup. Pergi klinik kedua, katanya boleh buat temu janji, tapi doktor akan ke umrah. Sebulan lagi baru boleh jumpa doktor.

Saya pandang wajah Ain. Kata saya tak mengapa kita pergi balik ke Fakulti Pergigian UiTM. Sekurangnya untuk rawatan. Alang-alang sudah dekat.

Sampai sana memang agak teruja melihat bangunan tersergam serba baru. Di kaunter pendaftaran saya maklumkan A-Z.

Katanya datang semula untuk daftar, sebab doktor dan pelatih ada seminar, tapi rekod Ain memang ada sejak 2012.

Part yang kena datang semula tu yang tiba-tiba rasa penat. Saya kata tak mengapa saya nak lihat mana bilik rawatan.
Kebetulan waktu saya masuk ke bilik ada rawatan ada jururawat yang bertugas.

Sempat la saya bertanya khabar apa kisah dengan rekod anak saya. Berapa lagi kami perlu tunggu? Atau saya perlu memilih klinik yang lain.

Tanpa berlengah, jururawat terus memberikan tarikh temujanji. Hari yang dimaksudkan adalah hari ini. Katanya terus rujuk doktor pakar, tidak perlu lagi bertemu doktor pelatih.

Malang, hari yang dijanjikan doktor pula EL, saya tanya, tak bolehkah gantikan dengan doktor yang lain? Katanya tidak boleh, perlu beri tarikh baru.

Saya fikir jika seminggu lagi perlu tunggu, kesian Ain. Saya buat panggilan ke kauntar pendaftaran, mereka maklumkan buka sehingga 3.45pm.

Alhamdulillah, Saujana-Hospital UiTM, Sg Buloh melalui tol tidak jauh. Sempat kami sampai dan buat pendaftaran.

Alhamdulillah, kami terus dirujuk untuk pemeriksaan.
Allah tu Maha Pemurah, siapa yang sabar setelah berikhtiar ada ganjarannya. Doktor pakar dari Iraq bernama Dr Amar, baik orangnya.

Saya mula tak perasan beliau foreigner, cakap mulanya BM/BI, ada translator. Kemudian petugas yang ada melihat kami menyatakan elok saya berkomunikasi dalam BI lebih mudah jika saya faham.

Bermula saya story perjalanan Ain dari kandungan hingga dewasa. Segala doktor pakar yang telah kami bawa Ain dari pakar mata, pakar ENT, pakar surgeri, dan pergigian ni antaranya.

Doktor Amar mendengar segala kesukaran yang dihadapi, apalagi Ain menunggu hampir 4 tahun untuk rawatan. Terus beliau buat x-ray, dan memutuskan Rabu depan akan buat rawatan akar bagi Ain. Hari yang sama juga Ain akan bertemu doktor untuk urusan braces.

Allahu, layanan baik Dr Amar tidak dapat saya nyatakan betapa terharunya saya. Kami sempat berkomunikasi dalam bahasa Arab setelah saya katakan saya boleh sikit faham Arab bagi menyatakan betapa berterima kasihnya saya pada beliau.

Menurut Doktor Amar mereka ada ribuan pesakit setahun. Maka saya perlu membuat panggilan setiap bulan agar petugas dapat membuat follow up. Perkhidmatan pula dapat dipercepatkan.

Selesai kes Ain, tiba giliran saya. Biasala, bukan kritikal, alang-alang jumpa doktor gigi, tak salah saya buat pemeriksaan. Di kaunter saya bertanya berapa bayaran, kata mereka jika dengan pelatih tak perlu bayar, jika doktor pakar kena bayar tapi separuh dari harga di klinik swasta. Saya kata okaylah tak kisah janji perkhidmatan bagus.

Selesai pemeriksaan saya diminta untuk membuat xray. Lama sudah rasanya tidak ambil xray. Kali terakhir sewaktu saya membuat xray untuk tulang belakang.

Keputusan xray agak mengecewakan. Kata doktor ada abnomaliti pada tulang gerham gigi. Terkedu saya. Namun doktor Amar menyatakan saya tidak perlu risau cuma perlu buat pemeriksaan setiap 6 bulan sekali selama dua tahun bagi mengesan tumbesaran. Selain itu sel juga akan diambil untuk tujuan mengenalpasti sama ada sel atau tulang.

Hingga temujanji rabu ini, saya akan sentiasa berdoa agar kami dimudahkan segala urusan. Dijauhkan segala musibah.Amin.

Sekalung penghargaan buat warga petugas Fakulti pergigian UiTM.

Saturday, March 5, 2016

Pergi Tak Kembali



Bismillah,

Kehilangan orang tersayang pastinya suatu perkara yang sukar dalam hidup. Apalagi bila bergelar wanita. Mungin kehilangan secara perceraian tidak sama dengan kehilangan disebabkan kematian. Ada yang bercerai pastinya banyak kemarahan dan dendam yang belum surut. Manakala yang berpisah nyawa pastinya akan membawa kasih sayang dan kenangan pergi bersama. 

Di ruangan ini saya mahu berkongsi tentang wanita yang bergelar balu apabila kehilangan suami disebabkan kematian. Moga dengannya kita semua beroleh ibrah. Semoga dengan perkongsian ini kita bersyukur dengan apa yang Allah beri. Kita belajar menjadi isteri yang lebih menghargai suami jika pasangan kita masih ada. Ditakdirkan suami sudah pergi dahulu, kita belajar untuk mendidik hati agar reda dengan segala ketentuannya.

Kisah 1

Wanita ini telah pun dikurniakan enam orang anak sewaktu pemergian suaminya diusia beliau awal 3oan. Suami yang pergi walau pada awalnya sudah ada penyakit kronik, namun kerana baru berusia 40 pada waktu itu pastinya dia tidak menyangka akan menjadi balu di usia yang muda. 

Lebih parah bila dia sendiri tidak bekerja, waktu itu bersawah dan menoreh getah adalah pekerjaan utama. Sewaktu suaminya dipanggil Ilahi beliau disahkan mengandung dua bulan. Tidak dapat digambar perasaannya. Mengandung dalam keadaan terpaksa menyara anak-anak, dalam masa yang sama terpaksa mengurus diri agar diberi kesihatan anak dalam kandungan. 

Sepanjang mengandung biar kehilangan suami, dia jarang mengeluh serta jarang menitiskan airmata di hadapan orang lain. Tidak juga dia mengunkit-ungkit peristiwa lalu dengan bertanya kenapa Allah berikan ujian ini untukknya. Sehinggalah sampai masa beliau melahirkan. Beliau terpaksa dikejarkan ke hospital kerana mengidap darah tinggi yang kronik. Anak yang dikandung pula terpaksa dilahirkan lebih awal. 

Kelahiran satu-satunya anak lelaki pastinya menjadi pengubat rindu pada suami tercinta. Namun pemberian Alla tidak lama. Ia sekejap sahaja bagi mengubat gundah dan hati yang lara merindui si suami. Genap 40 hari anak lelaki dipanggi Illahi meneman si ayah di alam sana. 

Sekali lagi si ibu cukup tabah, Air susu mashi menitis, hatinya masi menangisi kehilangan suami.  Namun tidak pernah dia merungut, mengadu kesedihan diri. Tidak pernah juga dilihat dia mengenang kisah lama. Apa yang ada pada beliau adalah kecekalan dan ketabahan yang memletakkan pendirian pada diri, hidup perlu diteruskan. Masih ada enam mulut yang perlu diberi makan. Dia tidak mampu untuk bersedih berlamaan, walau hakikat kehilangan itu perit. Sedihnya hanya Dia yang tahu. Namun dia berjaya menutup semua itu dengan mengadu pada Dia. 

Kini sudah di hujung usia. Dia menikmati saat yang ada, menelusuri jalan hikmah dengan lebih dekat kepadaNya. Menjadu balu hingga hujung usia dengan harapan bertemu suami tercinta di taman syurga.


Kisah 2

Detik awal perkahwinan pastinya sangat indah. Apalagi bila cinta yang disemai bermula ditangga menara gading. Banyak kenangan dipintal bersama, menjadi tali pengikat menuju melafaz akad. Adat bermula perkahwinan, banyak impian dianyam bersama, mahu sehidup semati hinggu hujung nyawa. Ibarat kasih berpisah tiada.

Allah Maha Mengetahui. Setiap sesuatu yang diberi dia boleh mengambilnya kembali. Suami tercinta, tidak tahu kenapa sebabnya demam batuk yang berpanjangan. Rupanya bila diperiksa, kanser yang menjadi trauma pada semua. Seperti mimpi rasanya, baru semalam bercanda berkongis bahagia, hari ini suami koma tidak lagi bersuara. Baru beberapa purnama hidup bersama, hari ini seperti diragut segalanya.

Kanser tahap 4 yang dialami, tiada ubatnya. Suami pergi dalam koma hanya dua minggu disahkan sakit. Diri pula disahkan berbadan dua. Gelap gulita terasa dunia yang dipijak. Matahari yang cerah dilihat kelam.  Pandangan menjadi kabur, tidur tidak lena kerana diganggu mimpi. Trauma kehilangan menjadi lebih parah bila semuanya perlu ditanggung sendirian. Hidup pula di ibukota penuh mencabar. 

Kenangan bersama suami menjadi penawar. Tidur berbantalkan pakaian peninggalan. Mimpi berulam airmata. Anak dalam kandungan menjadi peneman bagi berkonsi cerita. Paling parah bila masa bersalin ada yang bertanya jika mahu menyerahkan sebagai anak angkat. Lebih menambah sedih bila diri sendiri yang terpaksa mengazankan. 

Benarlah kehilangan mengajar diri untuk reda. Allah lebih tahu apa yang terbaik. Melihat mata anak mampu mendamaikan jiwa. Ia seperti melihat anak mata suami. Kasih yang tiada galang ganti. Diri semakin tabah. Membesarkan anak akhirnya menjadi agenda utama, anak menjadi penguat diri untuk lebih tabah menerus kehidupan.


Kisah 3

Kesihatan adalah kekayaan. Ia agenda kehidupan bagi semua yang prihatin. Namun apa jua perancangan manusia, Allah miliki sebaik perancangan. Suami yang dilihat sihat walfiat dimaklumkan meninggl dunia kerana serangan jantung. 

Si isteri seperti tidak percaya, usia suami belum cecah 35, tidak merokok pula. Masakan boleh terkena. Itulah hakikat hidup. Walau di usia muda, jika sampai saat nya ia tidak akan terlambat walau sesaaat, tidak juga tercepat walau sesaat. 

Menerima kenyatan suami telah tiada memberi impak yang besar pada mental dan fizikal. Miliki anak yang masih kecil, terasa bebanan besar yang perlu ditanggung. Apalagi suami pergi tanpa pesanan. Semua terpaksa diurus. Jika sebelum ini segalanya suami, tapi kini terpaksa memikul sendirian. Apalah nasib ketentuan Tuhan.

Pada peringkat awal dek kerana tidak dapat menerima kenyataan maka mental menjadi penat berfikir hingga terpaksa dirujuk kepada psikatarist. Namun lama kelamaan bila banyak mendapat sokongan keluarga, belajar menerima kehilangan sedikit demi sedikit, akhirnya diri mula pasrah. reda menapak di kalbu, bahawa ini semua adalah pelajaran. Iman perlu dibaja agar mendekati tuhan. Kehilangan mengajar diri untuk lebih banyak mengadu padaNya. 

Hari ni sudah belasan tahun masa berlalu. Bahagia mula terasa bila nikmat iman makin bertapak. Menyedari nyawa hanya pinjaman, kita yang hidup perlu bersedia, menuju mati yang tidak pasti dengan bekalan mencukupi.



Kisah 4

Malang tidak berbau. Sewaktu bersama keluarga menaiki kereta ditimpa aksiden di jalan raya. Mendapat berita dari doktor bahawa kaki terpaksa dipotong. Dari cukup segala anggota tiba-tiba menjadi insan kurang upaya. 

Jika sebelum ini anak istimewa diberi oleh Allah bagi menguji ketabahan ayah bonda. Kini diri sendiri pula menerima ujian yang sama. Pasrah diri bila diuji. Suamilah tempat menangis saat kehilangan. Pendek kata suami menjadi kaki kedua membantu semuanya. 

Panas tidak hingga ke petang. Satu ketika si isteri mendapat berita suami kemalangan sewaktu pulang bekerja. Pitam seketika saat mendapat perkhabaran. Tidak boleh meneriman kenyatan. Sudah hilang anggota badan, suami pula pergi meninggalkan, anak-anak perlukan perhatian, apalagi yang dianugerah anak istimewa.

Sakit mahu bermula, tapi segalanya tetap perlu difikirkan. Melihat mata-mata anak-anak yang memerlukan menyedarkan diri, sampai bila mahu bersedih. Jika satu hilang anggota, anggota lain masih ada. Akal masih boleh berfikir, jalan bagi meneruskan kehidupan perlu diusahakan. 

Bermula menjadi surirumah sepenuh masa, berubah menjadi insan bersemangat waja. Menjayakan apa sahaja yang menghasilkan rezeki halal diusahakan. Anak-anak dipastikan belajar, ilmu perlu diberikan sebagai bekal. Ujian Allah yang bertimpa-timpa bagi menghapus dosa. 

Hari ini ternyata, anak-anak membesar dengan kejayaan tersendiri. Puas hati dengan kejayaan peribadi. walau tiada suami di sisi, walau ujian hadir tidak bertepi. Semangat kental pada diri, pertolongan tidak henti dari yang empati, doa yang berterusan pada Ilahi. Hari ini mentari lebih bersinar menyinari kehidupan. 



Kesimpulan

Hakiktnya ujian berbeza-beza. Kita tidak tahu saat diri sendiri diuji. Menyebut perkataan tabah dan sabar pastinya mudah. Namun Allah memberikan pada kita semua apa yang boleh kita bawa, apa yang mampu kita hadapi. Membaca kisah derita orang lain pastinya tidak sama dengan yang menghadapinya. Oleh itu jadikan segala kisah sebagai ibrah. Sayangi dan hargai insan yang masih ada bersama. Syukuri nikmat ini, kerana bila Allah mengambilnya jangan kita sesali. 

Ibrah buat diriku sendiri
Wallahuaalam.


Wednesday, March 2, 2016

Apresiasi Bakat

Bismillah,



Alhamdulillah, hari ni keputusan peperiksaan SPM telah pun diketahui. Tahniah pada yang berjaya, bagi yang kurang bernasib baik in sya Allah pasti ada hikmah disebaliknya. Ia bukan satu penamat. SPM sekadar permulaan. Ibu bapa pula pasti ada yang gembira dan ada yang bersedih.

Hakikatnya berapa banyak A bukanlah satu jaminan. Bagus jika berjaya cemerlang. A perlu juga hadir bersama dengan kemahiran. Ada ramai A student namun bila memasuki bidang pekerjaan mereka tidak berjaya menjadi pekerja yang hebat. Bahkan pelajar yang dulunya biasa-biasa muncul menjadi pekerja yang lebih bagus. Mereka ini berjaya mendaki tangga demi tangga belajar dan membina kemahiran diri. Hasilnya jika mereka awalnya hanya pelajar yang memperoleh C atau D sahaja, namun mereka lebih berjaya dalam pekerjaaan. Mereka mampu mencipta nama dan kehebatan tersendiri.

Oleh itu bagi ibu bapa yang anak-anak meraih keputusan biasa-biasa, janganlah kecewa hingga melukakan hati si anak. Belajarlah bersyukur. Binalah satu kejayaan berpandukan road map yang sesuai bagi anak-anak mengikut tahap kebolehan mereka. Jika sebelum ini anak-anak dipaksa untuk menghadiri tusyen, belajar tanpa henti semata-mata mahu mengejar jumlah A, maka belajarlah untuk membuat perubahan. Tidak salah berusaha, untuk mencipta kejayaan dalam akademik, tetapi perlu juga melihat bakat yang ada pada anak-anak.

Bagi yang mendapat kejayaan yang luar biasa pula, kekalkan momentum, ciptalah lebih banyak kejayaan, banyakkan mempelajari pelbagai bidang ilmu. Dengan anugerah akal yang diberi ia perlu digunakan secara optimum dan maksimum bagi memastikan kita menjadi orang yang lebih bagus dan menguasai banyak bidang atau cabang ilmu.

Wallahualam