Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada mukmin

"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman (mukmin), jiwa dan harta benda mereka dengan memberikan syurga kepada mereka, disebabkan mereka berjuang di jalan Allah, …. Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan dan itulah kemenangan yang seagung-agungnya". (At-Taubah: 111)

Perjalanan kehidupan seseorang menuntut kepada suatu perjuangan yang terkandung didalamnya nilai pengorbanan. Seseorang pejuang sudah pasti mengimpikan suatu kejayaan yang memerlukan pengorbanan. Seiring dengan pengorbanan itu sudah pasti perlukan ketabahan, keyakinan, semangat dan matlamat kejayaan yang jelas dan jitu demi memastikan kejayaan yang dimiliki akan membuahkan kebahagiaan kepada si pejuang. Sesungguhnya kehidupan adalah memberi bukan sekadar menerima...ia juga untuk dimanfaatkan sebagai bekalan kehidupan abadi.

“Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kebodohanku, sikapku yang melampaui batas dalam urusanku, dan semua dosaku yang Engkau lebih mengetahui mengenainya daripada diriku sendiri. Ya Allah, ampunilah kesungguhanku, kelalaianku, kesalahanku dan kesengajaanku yang semua itu ada pada diriku.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Saturday, March 5, 2016

Pergi Tak Kembali



Bismillah,

Kehilangan orang tersayang pastinya suatu perkara yang sukar dalam hidup. Apalagi bila bergelar wanita. Mungin kehilangan secara perceraian tidak sama dengan kehilangan disebabkan kematian. Ada yang bercerai pastinya banyak kemarahan dan dendam yang belum surut. Manakala yang berpisah nyawa pastinya akan membawa kasih sayang dan kenangan pergi bersama. 

Di ruangan ini saya mahu berkongsi tentang wanita yang bergelar balu apabila kehilangan suami disebabkan kematian. Moga dengannya kita semua beroleh ibrah. Semoga dengan perkongsian ini kita bersyukur dengan apa yang Allah beri. Kita belajar menjadi isteri yang lebih menghargai suami jika pasangan kita masih ada. Ditakdirkan suami sudah pergi dahulu, kita belajar untuk mendidik hati agar reda dengan segala ketentuannya.

Kisah 1

Wanita ini telah pun dikurniakan enam orang anak sewaktu pemergian suaminya diusia beliau awal 3oan. Suami yang pergi walau pada awalnya sudah ada penyakit kronik, namun kerana baru berusia 40 pada waktu itu pastinya dia tidak menyangka akan menjadi balu di usia yang muda. 

Lebih parah bila dia sendiri tidak bekerja, waktu itu bersawah dan menoreh getah adalah pekerjaan utama. Sewaktu suaminya dipanggil Ilahi beliau disahkan mengandung dua bulan. Tidak dapat digambar perasaannya. Mengandung dalam keadaan terpaksa menyara anak-anak, dalam masa yang sama terpaksa mengurus diri agar diberi kesihatan anak dalam kandungan. 

Sepanjang mengandung biar kehilangan suami, dia jarang mengeluh serta jarang menitiskan airmata di hadapan orang lain. Tidak juga dia mengunkit-ungkit peristiwa lalu dengan bertanya kenapa Allah berikan ujian ini untukknya. Sehinggalah sampai masa beliau melahirkan. Beliau terpaksa dikejarkan ke hospital kerana mengidap darah tinggi yang kronik. Anak yang dikandung pula terpaksa dilahirkan lebih awal. 

Kelahiran satu-satunya anak lelaki pastinya menjadi pengubat rindu pada suami tercinta. Namun pemberian Alla tidak lama. Ia sekejap sahaja bagi mengubat gundah dan hati yang lara merindui si suami. Genap 40 hari anak lelaki dipanggi Illahi meneman si ayah di alam sana. 

Sekali lagi si ibu cukup tabah, Air susu mashi menitis, hatinya masi menangisi kehilangan suami.  Namun tidak pernah dia merungut, mengadu kesedihan diri. Tidak pernah juga dilihat dia mengenang kisah lama. Apa yang ada pada beliau adalah kecekalan dan ketabahan yang memletakkan pendirian pada diri, hidup perlu diteruskan. Masih ada enam mulut yang perlu diberi makan. Dia tidak mampu untuk bersedih berlamaan, walau hakikat kehilangan itu perit. Sedihnya hanya Dia yang tahu. Namun dia berjaya menutup semua itu dengan mengadu pada Dia. 

Kini sudah di hujung usia. Dia menikmati saat yang ada, menelusuri jalan hikmah dengan lebih dekat kepadaNya. Menjadu balu hingga hujung usia dengan harapan bertemu suami tercinta di taman syurga.


Kisah 2

Detik awal perkahwinan pastinya sangat indah. Apalagi bila cinta yang disemai bermula ditangga menara gading. Banyak kenangan dipintal bersama, menjadi tali pengikat menuju melafaz akad. Adat bermula perkahwinan, banyak impian dianyam bersama, mahu sehidup semati hinggu hujung nyawa. Ibarat kasih berpisah tiada.

Allah Maha Mengetahui. Setiap sesuatu yang diberi dia boleh mengambilnya kembali. Suami tercinta, tidak tahu kenapa sebabnya demam batuk yang berpanjangan. Rupanya bila diperiksa, kanser yang menjadi trauma pada semua. Seperti mimpi rasanya, baru semalam bercanda berkongis bahagia, hari ini suami koma tidak lagi bersuara. Baru beberapa purnama hidup bersama, hari ini seperti diragut segalanya.

Kanser tahap 4 yang dialami, tiada ubatnya. Suami pergi dalam koma hanya dua minggu disahkan sakit. Diri pula disahkan berbadan dua. Gelap gulita terasa dunia yang dipijak. Matahari yang cerah dilihat kelam.  Pandangan menjadi kabur, tidur tidak lena kerana diganggu mimpi. Trauma kehilangan menjadi lebih parah bila semuanya perlu ditanggung sendirian. Hidup pula di ibukota penuh mencabar. 

Kenangan bersama suami menjadi penawar. Tidur berbantalkan pakaian peninggalan. Mimpi berulam airmata. Anak dalam kandungan menjadi peneman bagi berkonsi cerita. Paling parah bila masa bersalin ada yang bertanya jika mahu menyerahkan sebagai anak angkat. Lebih menambah sedih bila diri sendiri yang terpaksa mengazankan. 

Benarlah kehilangan mengajar diri untuk reda. Allah lebih tahu apa yang terbaik. Melihat mata anak mampu mendamaikan jiwa. Ia seperti melihat anak mata suami. Kasih yang tiada galang ganti. Diri semakin tabah. Membesarkan anak akhirnya menjadi agenda utama, anak menjadi penguat diri untuk lebih tabah menerus kehidupan.


Kisah 3

Kesihatan adalah kekayaan. Ia agenda kehidupan bagi semua yang prihatin. Namun apa jua perancangan manusia, Allah miliki sebaik perancangan. Suami yang dilihat sihat walfiat dimaklumkan meninggl dunia kerana serangan jantung. 

Si isteri seperti tidak percaya, usia suami belum cecah 35, tidak merokok pula. Masakan boleh terkena. Itulah hakikat hidup. Walau di usia muda, jika sampai saat nya ia tidak akan terlambat walau sesaaat, tidak juga tercepat walau sesaat. 

Menerima kenyatan suami telah tiada memberi impak yang besar pada mental dan fizikal. Miliki anak yang masih kecil, terasa bebanan besar yang perlu ditanggung. Apalagi suami pergi tanpa pesanan. Semua terpaksa diurus. Jika sebelum ini segalanya suami, tapi kini terpaksa memikul sendirian. Apalah nasib ketentuan Tuhan.

Pada peringkat awal dek kerana tidak dapat menerima kenyataan maka mental menjadi penat berfikir hingga terpaksa dirujuk kepada psikatarist. Namun lama kelamaan bila banyak mendapat sokongan keluarga, belajar menerima kehilangan sedikit demi sedikit, akhirnya diri mula pasrah. reda menapak di kalbu, bahawa ini semua adalah pelajaran. Iman perlu dibaja agar mendekati tuhan. Kehilangan mengajar diri untuk lebih banyak mengadu padaNya. 

Hari ni sudah belasan tahun masa berlalu. Bahagia mula terasa bila nikmat iman makin bertapak. Menyedari nyawa hanya pinjaman, kita yang hidup perlu bersedia, menuju mati yang tidak pasti dengan bekalan mencukupi.



Kisah 4

Malang tidak berbau. Sewaktu bersama keluarga menaiki kereta ditimpa aksiden di jalan raya. Mendapat berita dari doktor bahawa kaki terpaksa dipotong. Dari cukup segala anggota tiba-tiba menjadi insan kurang upaya. 

Jika sebelum ini anak istimewa diberi oleh Allah bagi menguji ketabahan ayah bonda. Kini diri sendiri pula menerima ujian yang sama. Pasrah diri bila diuji. Suamilah tempat menangis saat kehilangan. Pendek kata suami menjadi kaki kedua membantu semuanya. 

Panas tidak hingga ke petang. Satu ketika si isteri mendapat berita suami kemalangan sewaktu pulang bekerja. Pitam seketika saat mendapat perkhabaran. Tidak boleh meneriman kenyatan. Sudah hilang anggota badan, suami pula pergi meninggalkan, anak-anak perlukan perhatian, apalagi yang dianugerah anak istimewa.

Sakit mahu bermula, tapi segalanya tetap perlu difikirkan. Melihat mata-mata anak-anak yang memerlukan menyedarkan diri, sampai bila mahu bersedih. Jika satu hilang anggota, anggota lain masih ada. Akal masih boleh berfikir, jalan bagi meneruskan kehidupan perlu diusahakan. 

Bermula menjadi surirumah sepenuh masa, berubah menjadi insan bersemangat waja. Menjayakan apa sahaja yang menghasilkan rezeki halal diusahakan. Anak-anak dipastikan belajar, ilmu perlu diberikan sebagai bekal. Ujian Allah yang bertimpa-timpa bagi menghapus dosa. 

Hari ini ternyata, anak-anak membesar dengan kejayaan tersendiri. Puas hati dengan kejayaan peribadi. walau tiada suami di sisi, walau ujian hadir tidak bertepi. Semangat kental pada diri, pertolongan tidak henti dari yang empati, doa yang berterusan pada Ilahi. Hari ini mentari lebih bersinar menyinari kehidupan. 



Kesimpulan

Hakiktnya ujian berbeza-beza. Kita tidak tahu saat diri sendiri diuji. Menyebut perkataan tabah dan sabar pastinya mudah. Namun Allah memberikan pada kita semua apa yang boleh kita bawa, apa yang mampu kita hadapi. Membaca kisah derita orang lain pastinya tidak sama dengan yang menghadapinya. Oleh itu jadikan segala kisah sebagai ibrah. Sayangi dan hargai insan yang masih ada bersama. Syukuri nikmat ini, kerana bila Allah mengambilnya jangan kita sesali. 

Ibrah buat diriku sendiri
Wallahuaalam.


No comments:

Post a Comment