Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada mukmin

"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman (mukmin), jiwa dan harta benda mereka dengan memberikan syurga kepada mereka, disebabkan mereka berjuang di jalan Allah, …. Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan dan itulah kemenangan yang seagung-agungnya". (At-Taubah: 111)

Perjalanan kehidupan seseorang menuntut kepada suatu perjuangan yang terkandung didalamnya nilai pengorbanan. Seseorang pejuang sudah pasti mengimpikan suatu kejayaan yang memerlukan pengorbanan. Seiring dengan pengorbanan itu sudah pasti perlukan ketabahan, keyakinan, semangat dan matlamat kejayaan yang jelas dan jitu demi memastikan kejayaan yang dimiliki akan membuahkan kebahagiaan kepada si pejuang. Sesungguhnya kehidupan adalah memberi bukan sekadar menerima...ia juga untuk dimanfaatkan sebagai bekalan kehidupan abadi.

“Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kebodohanku, sikapku yang melampaui batas dalam urusanku, dan semua dosaku yang Engkau lebih mengetahui mengenainya daripada diriku sendiri. Ya Allah, ampunilah kesungguhanku, kelalaianku, kesalahanku dan kesengajaanku yang semua itu ada pada diriku.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Showing posts with label kompas jiwa. Show all posts
Showing posts with label kompas jiwa. Show all posts

Tuesday, December 29, 2015

Impian 2016



Bismillah,

Sudah dua minggu ia terfikir-fikir di minda. Lalu penulis suarakan pada anak-anak. Tidak ada perkataan kalau, cuma mahu memastikan bagaimana merealisasikan agar ia menjadi kenyataan.

Ia bermula bila penulis merasakan satu kepayahan dan menuntut masa apabila perlu menghantar anak ke perpustakaan. Pertanyaan juga menerjah di minda apabila terfikir alangkah baik jika ada disekitar tempat tinggal.

Maka bermulalah satu impian mahu mengadakan perpustakaan awam. Kebetulan ada tanah kosong, ia sudah terbiar belasan tahun. Jika tanah itu tidak dimanfaatkan alangkah rugi. Ia berdekatan dengan sekolah rendah dan menengah. Bersebelahan surau dan KAFA. Tempat yang amat strategik.

Maka bermulalah impian penulis mahu membuat kerja amal bagi merealisasikan impian ini. Ia tidak boleh berserorangan sahaja, perlukan team atau pasukan. Semuanya tidak mustahil bukan? Apabila ada impian pasti ada perancangan.

Allah maha mendengar apa yang ada dalam hati. Perkara yang baik pasti dipermudahkan. Amin.


Tuesday, December 1, 2015

Melakar Bahagia; Kita saling memerlukan


Bismillah,

Apabila seseorang merasa diri mereka sudah hebat, maka mereka tidak lagi perlukan orang lain. Tanpa orang lain di sisi mereka tahu yang mereka tetap dan akan berjaya.

Ada satu lagi situasi di mana, manusia merasakan tidak perlu kepada orang lain sehinggakan mereka hanya mengharap pada Allah semata-mata. Keadaan ini disebabkan mereka sedar manusia tidak dapat membantu dan menolong mereka. 

Supaya kita faham hakikat kehidupan, ada ketika kita perlukan orang sekeliling kita, namun ada ketika kita perlukan hanya Allah. Pun begitu, kita tetap perlukan insan lain agar mendoakan kesejahteraan kita.

Jadi, adakah kita perlukan orang lain?

Hakikatnya kita insan memang saling perlu dan memerlukan. Tiada yang hebat hidup tanpa insan lain. Walau kaya sekalipun jika jatuh sakit, tetap perlukan pertolongan. Hatta jika kematian, kita masih perlukan orang untuk mandikan, kafankan, kuburkan. Malah mendoakan agar ruh diampunkan.

Apapun, keperluan kepada orang lain itu bergantung kepada situasi. Ada masa kita perlukan ruang untuk menyendiri. Beruzlah dan mendekati Rabbi.

Wallahuaalam


Monday, October 26, 2015

Reformasi Diri Siri 1



Bismillah,

Mengubah diri atau dengan kata lain membuat reformasi pada diri sendiri adalah sama konsep dengan hijrah diri. Ia maksud yang hampir sama, yang membezakan mungkin pendekatan yang berbeza.

Dalam konteks membuat reformasi pada diri sendiri ia memerlukan individu membuang terlebih dahulu perasaan negatif yang ada dalam diri. Perasaan negatif seperti sering menyalahkan diri sendiri,  merasa diri sebagai mangsa keadaan, selalu menerima kritikan,terasa seperti tidak disayangi dan pelbagai lagi bentuk perasaan negatif.

Sangkaan buruk terhadap sesuatu ini menyebabkan diri terperangkap dalam masalah. Kesannya akan menyebabkan berlaku low self esteem. Rasa rendah diri dan merasakan diri tidak lagi dapat bangkit. Bila perasaan sakit maka secara tidak langsung ia memberi kesan kepada kesihatan fizikal.

Bagi membuang perasaan negatif (suu' zon) dalam diri, individu perlu hadirkan perasaan ceria dan gembira. Mula bertindak melakukan perkara yang kita suka dan bukan kerana orang lain suka. Belajar mengatakan tidak pada sesuatu yang perlu. Tidak ada kata-kata mahu mengambil hati walhal diri tidak ikhlas. Ini kerana kesannya akan membuat perasaan tidak gembira.

Bahkan kita tanpa sengaja akan mengharapkan balasan dari kebaikan yang diberi. Harapan akan membawa kepada kekecewaan bila tidak dipenuhi. Maka belajar untuk berbuat sesuatu tanpa mengharapkan apa-apa. Ini dapat mengelakkan diri terasa hati, kecewa, putus asa dan sedih.
Apabila tiada lagi perasaan negatif maka lebih mudah elemen postif dapat diterapkan dalam diri.




Tuesday, October 20, 2015

Erti memberi bagi yang mengerti


Bismillah,

Benarlah insan yang mencari bahagia dalam hidup caranya tiada lain, iaitu dengan memberi. Berilah terlebih dahulu dan kita akan mengecapi nikmatnya. 

Apa yang mahu diberi? Banyak yang kita boleh memberi, iaitu;


  1. Kasih sayang
  2. Tenaga,
  3. Idea dan buah fikiran
  4. Harta benda
  5. Duit ringgit
  6. Sokongan moral
  7. Pujian
  8. dan lain-lain bentuk pemberian.

Segala pemberian yang ikhlas dari sanubari tanpa mahukan pembalasan atau tanpa rasa menunjuk-nunjuk akan menerbitkan rasa kepuasan dan kebahagiaan kepada si pemberi. Benarlah tangan yang di atas itu lebih mulia dari yang di bawah, apa lagi bila memberi, tangan kanan menghulur tangan kiri tidak tahu.

Ramai yang tanpa sedar lokek memberi, walhal itulah tali hayat kita di alam fana nanti. Saat kita menikmati hidangan lazat pernahkah kita terasa mahu memesan lebih agar boleh memberi pada yang dirasakan tidak mampu membayar harganya.

Bila kita masuk ke tandas, atau terserempak dengan tukang cuci, tukang jaga, tukang sapu atau sewaktu dengannya, adakah kita terasa mahu menghulur seberapa yang ada? 

Sewaktu di depan pagar sekolah saat mengambil anak, pernahkah kita terdetik menghulurkan pada pak/mak guard yang setia menjaga keselamatan dengan imbuhan yang tidak seberapa.

Pendek kata untuk memberi banyak caranya. Soalnya adakah hati kita bersedia. Adakah kita ada sifat prihatin. Adakah hati tidak merasa resah bila sehari kita tidak memberi. 

Saat insan memohon pertolongan adakala kita menolak mentah-mentah dengan alasan pelbagai, tanpa kita sedar, Allah menghantar mereka untuk memberikan kita pahala. 

Memberi indah bila kita menghayati, ia bukan kerana kita memiliki tetapi ia kerana kita menyedari apa ertinya memberi. Semoga Allah jadikan insan PEMBERI sehebat Saidina Ali dan Sadatina Fatimah hingga kisah mereka disebut di dalam al Quran. Moga dengan menjadi pemurah ia menjadi asbab kita ke syurga. Ameen.

Wallahuaalam.



Thursday, October 15, 2015

Tip Kejayaan : Restu Ibu Ayah


#spiritualmotivation
#restuibubapa

Kelmarin sewaktu program motivasi bersama ibu bapa, pada akhir sesi saya meminta anak-anak datang dan memeluk ibu ayah memohon restu, moga Alah memudahkan mereka bagi menghadapi peperiksaan.

Merakam peristiwa itu menyebabkan saya juga hampir menitiskan airmata.
Teringat kenangan masa pesekolahan, ayah sudah tiada, ibu sibuk bekerja mencari sesuap nasi bagi menyara kehidupan keluarga. Bertuahlah bagi yang masih punya ibu dan ayah. Hargai mereka ketika masih ada.

Benarlah dalam kehidupan kita ibu bapa merupakan pendorong utama. Doa mereka sentiasa bersama mengiringi kita dalam apa jua yang kita lakukan. Ibu bapa tidak pernah putus mendoakan kejayaan anak-anak.

Semoga kita sebagai anak tidak lupa untuk membuat yang terbaik dalam hidup dan membalas jasa kedua ibu bapa selagi mereka masih bernafas, selagi mana mereka masih ada buat apa sahaja yang mampu membahagiakan mereka


Wallahuaalam

Sunday, October 11, 2015

Merakam peristiwa



"Capture the moment" atau dengan kata lain merakam peristiwa. Itulah detik semalam yang dirakam.
Semalam selesai program motivasi keibubapaan dan pecutan akhir peperiksaan di SMA AsSaadah. Ia program kerjasama Al Ihsan Training and Motivation dan Yayasan Peramah bersama pihak sekolah bagi membantu kecemerlangan pelajar.

Oleh kerana ia program tajaan maka pihak sekolah amat berbesar hati bahkan pihak PIBG juga turut merasakan saya dan team perlu diraikan. Pengetua menyarankan kepada seorang ajk agar memberkan bunga kepada kami, kebetulannya beliau yang dipanggil Mokku memiliki nursery.

Saya pada mulanya menolak, namun kata mereka ambillah sebagai cenderahati dan tandamata datang ke tempat mereka. Jamu mata dan  melihat-lihat, kata Mokku pada saya. Lalu sewaktu tengahri break untuk proram, saya singgah ke teratak Mokku bersama pengetua dan Tuan kadi yang membuat perasmian penutup untuk program motivasi tersebut. (Gambar di atas, pengetua bersama Tuan Kadi)

Bila sampai di kawasan rumah Mokku, lamannya penuh dengan pasu dan bunga-bunga, termasuk pokok herba dan pelbagai orkid, bougenvilla serta rose. Semuanya cantik belaka. Saya yang merupakan peminat setia flora dan fauna tidak mampu menolak.

Pada mulanya menolak namun akhirnya saya memilih jua. Orkid adalah pilihan kerana ia senang dibawa untuk naik kapal terbang. Pada mula saya memilih yang sudah besar dan berbunga, namun terfikir ia bukan semata susah dibawa bahkan, ia lebih baik dijual kepada pelanggan.

Lalu saya katakan pada Mokku, bagi yang kecil sahaja, tidak perlu besar, nanti saya tanam sendiri. Tanpa berlengah diambil empat anak orkid berbeza warna, diberikan pasu dan juga sabut kelapa termasuk besi untuk digantung nanti, terpana saya dibuatnya. Saya katakan cukup sahaja dengan bunganya.

Tapi itulah insan yang tidak lokek mahu memberi apa sahaja, ia sebagai tanda penghargaan buat saya. Tidak cukup dengan itu diambil bougenville yang bergantung cantik warna warni dihulurkan kepada saya, kata Mokku ini untuk mereka berdua. Ma sya Allah tidak terkata-kata dari saya, hanya ucapan terima kasih dapat saya katakan.

Ditanya lagi apa yang saya mahu maka saya ambil sepohon pokok durian belanda untuk diberikan pada ibu, ditanam ditanah pusaka. Lalu ditambah satu menjadi dua oleh Mokku. Katanya tidak cukup satu. Pulang saya ke Kuala Lumpur sarat muatan. Orkid dan bougenville serta rose jepun diisi kotak menaiki udara.

Benarlah, ia momen yang dirakam. Bunga ini sebagai tanda. Segala pemberian dibalas pemberian. Ia pengalaman kali pertama yang bakal tersimpan menjadi memori. Benarlah kita adalah apa yang kita beri.

Wallahualam

(Mokku didalam gambar bertudung peach)

Sunday, September 13, 2015

Wanita penghuni syurga


Bismillah,

Alhamdulillah, bersyukur kita dilahirkan dalam iman. Moga kita kekal dalam iman dan kekal dalam ajaran Islam yang benar.

Wanita penghuni syurga, itulah idaman semua. Bahkan orang kafir seperti Yahudi dan Kristian juga mahu masuk syurga. Apalagi diri kita. Dalam buku 10 Tokoh Idola Muslimah ada beberapa wanita yang telah diberi jaminan oleh Allah bakal menjadi penghuni syurga, bahkan mereka itu seorang wanita hebat dimata semua insan.

Menjadi wanita penghuni syurga sudah pasti ia tidak mudah bagai dikata. Pastinya ada ujian dan cabaran yang ditempuh. Calon syurga pastilah hebat karakter dan sifatnya. Pendek kata hampir sempurna segenap perkara. 

Wanita hebat cabarannay juga hebat. Bagaimana kita mahu berimpian mahu menjadi wanita hebat jika ujian dan cabaran yang sedikit kita sudah mula putus asa. Bagaimana mahu menjadi penghulu syurga jika kita kerap tewas dengan ujian kesabaran. 

Lihat bagaimana cekalnya Asiah Muzahim yang bersuamikan manusia paling zalim sepanjang zaman. Tak lain Firaun yang cukup terkenal dengan raja yang zalim. Namun sabanrya Asiah mendidik hati dan jiwa, mendekati Tuhan saat terbeban dengan suami yang tidak beriman. Ada dikalangan kita yang keluh kesah saat suami tidak kenal sejadah, jauh dari agama. Maka tirulah watak Asiah, sabar dalam iman. Maka Allah menjaga dirinya dari Firaun yang maha zalim.

Ambil iktibar dengan Maryam binti Imran, sabarnya beliau saat difitnah. Kuatdan cekal membawa diri dan kandungannya, hingga Allah memberikannya putera yang dilantik menjadi Nabi, Isa Al Masih. Lalu saat dugaan fitnah datang pada kita, jangan cepat melatah. Bersabar dengan bersolat, mengadulah padaNya. Dia Maha Mendengar. 

Wanita penghuni syurga, sudah pasti dirinya dekat dengan Rab al Aalamin, semakin diuji semakin teguh iman, semakin banyak beribadat bahkan hati semakin pasrah dan redha kerana tahu dan faham, hidup ini hanya memastikan ibadat yang sempurna, akidah yang suci, amalan yang diterima untuk mencari redhaNya.

Wallahuaalam.

Sunday, June 21, 2015

Jurnal Ramadan : Memilih yang halal


Bismillah,

Hari pertama puasa Ramadan cuaca sangat nyaman. Kebetulan kami berada di ACA Singapore 2015 untuk hari pertama. Berada dalam bilik seminar ia tidak terasa seperti berpuasa. Makanan yang terhidan juga kami tidak terasa terliur. Cuma apa yang ralat kali pertama dalam seminar akademik ada sajian arak untuk yang bukan Islam.

Sewaktu pulang ke hotel kami menggunakan MRT. Sepanjang laluan balik ke hotel memang banyak bazar yang menjual makanan. Pada mulanya kami mahu membeli makanan yang tersedia dijual, tetapi bila melihat dan memikirkan kebersihan serta halalnya maka kami membuat keputusan untuk membeli makanan di restoran yang terbukti halal dan sedap makanananya.

Berpuasa di rantau orang tidak susah jika kita tidak memilih dan paling penting menghayati konsep ibadah puasa itu sendiri. Ia perlu ada dalam mindset bahawa puasa untuk mendidik hati dan jiwa serta fizikal. Maka kita boleh santap apa sahaja yang ada. Paling penting ia tidak mudarat dan memberi tenaga pula untuk beribadat mengerjakan terwaih pada malamnya.


Lauk pauk hidangan di Singapura hampir sama sahaja dengan yang ada di Malaysia. Cuma ada beberapa makanan yang agak unik pada hemat saya yang boleh dirasa, contoh tauhu gorengnya sangat sedap serta lain dari yang lain.

Berpuasa di Singapura, nikmatnya dengan rezeki dari Allah, malamnya di Masjid Khalid ada moery bubur kacang dan air bandung.

Wallahuaalam.

Jurnal Ramadan : Puasa di Perantauan


Bismillah,

Allhamdulillah, syukur ke hadrat Allah kerana dengan limpah kurnia serta rahmat dariNya maka kita sekali lagi beroleh kejayaan untuk bertemu dengan Ramadan. Moga Ramadan kali ini menjadi ramadan terbaik dalam kehidupan dengan amal ibadat yang diterima Allah Azzawajalla.

Ramadan kali ini membawa kami di Kota Singa. Ia merupakan pengalaman pertama menyambut puasa disini. Namun ia bukan kali pertama merasai berpuasa di tempat orang, ini kerana kami pernah berpuasa beberapakali di Mekah. 

Lain tempat lain suasananya. Pada hari akhir Syaaban warga Singapura sudah ramai membeli belah untuk persediaan Ramadan. Bahkan banyak gerai-gerai untuk jualan hari raya juga memenuhi dataran berhampuran Geylang Road. 


Kedatangan kali ke-2 ini kami memilih hotel di Geylang Serai atas cadangan rakan pensyarah yang juga bakal sama-sama menghadiri konferens. Ternyata ia satu pilihan yang tepat kerana di sini ramai warga Islam dari pelbagai bangsa, syurga makanan kerana ada banyak restoran halal yang sedap belaka dan lebih penting ada masjid yang berdekatan. 


Pada solat terawih malam pertama Ramadan adalah Masjid Khalid yang terletak di Jalan Joo Chat. Ia hanya 30 meter dari hotel yang kami diduduki. Ternyata ramai yang hadir dari pelbagai bangsa, bukan hanya Melayu Singapura bahkan adajuga warga asing yang bekerja di sini hadir untuk sama-sama berterawih. 20 Rakaat itu dipenuhi dengan ayat-ayat surah lazim oleh Imam. Jika di Malaysia banyak masjid mengambil Imam hafiz.

Selesai solat belum ada Morey kerana esoknya berpuasa. Namun malam sangat meriah. Gerai serta kedai makan penuh dengan pelanggan. Manakala gerai-gerai juga sibuk dengan pelanggan yang keluar membeli belah waktu malam. 
Suasana sambutan Ramadan di Singapura ternyata sangat meriah. Lampu bergemerlapan sepanjang jalan Geylang. Ia sungguh luar biasa walau ia hanya minoriti. Adat budaya serta kepentingan agama masih terjaga.

Wallahuaalam.

Sunday, June 14, 2015

Ujian untuk yang bersabar



Bismillah,

Hidup akan sentiasa diuji, tiada yang sunyi dari cabaran. Selagi bernafas, selama memikul tugas insan. Allah akan menguji insan dengan cara berbeza demi mengingatkan insan agar dekat kepadaNya dan meminta serta berharap hanya padaNya.

Sebelum meninggalkan bumi Malaysia, saya sudah dikhabarkan suami tentang anak rakan baiknya yang kritikal di ICU kerana mengidap kanser. Ia agak menyedihkan buat kami. Beliau hanya milik dua orang anak. Anak yang mengidpa kanser suudah berumur 19 tahun sebaya anak sulong kami.

Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Sewaktu di Brunei menjalankan kursusu work life balance, saya dimaklumkan suami yang anak sahabatnya sudah meninggal dunia. Itulah lumrah hidup. Kita insan hanya mampu berikhtiar, Allah jua yang Maha Merancang dan menentukan segalanya. kehilangan insan tersayang bukan sekadar ratapan namun sudah pasti ia akan terselit kenangan abadi bersama insan yang pergi menuju perjalanan akhir untuk hidup yang hakiki dan abadi.

Hari ini di kelas Kaunseling Kelompok, seperti biasa saya meneruskan sesi bersama pelajar. Ia tujuk yang sama iaitu 'work life balance'. Ternyata dihujung perbincangan baru saya ketahui bahawa salah seorang pelajar saya anaknya mengidap leukimia. Mendengarkan kisah maka boleh saya katakan pelajar saya ini sangat kuat dan tabah orangnya. Mengharung kedukaan dan cabaran saat menjaga dan merawat anak tunggalnya dengan penuh positif dan optimis dengan apa yang jalaninya.

Mengenang kepada apa yang berlaku kepada orang-orang yang dekat dengan diri kita, sesungguhnya membawa diri terasa kerdil di sisi Allah serta syukur yang tidak terkira mengingatkan betapa ujian snediri lebih kecil dibanding orang lain. Maka saat menerima ujian bersabarlah hati. Tenanglah wahai diri. Saat kita mengeluh payah, masa kita menyatakan susah ada orang lain yang ada sekeliling kita lebih susah dan teruji.

Anggaplah besar atau kecil ujian hidup sebagai kasih sayang Allah pada hambaNya, yang mahu sentiasa meletakkan Allah, Rabb sekalian Alam sentaisa dalam diri, Saat susah atau senang Allah sahaja tempat bergantung harap. Hanya Dia tempat meminta. Allah Al Mustaan.

Wallahuaalam
#menujuRamadhan


Saturday, November 19, 2011

MENJADI SEORANG YATIM ADALAH HIKMAH BUKAN KEBETULAN


Menjadi seorang anak yatim di usia yang kecil sebenarnya memberi banyak hikmah dan pengajaran buat diri. Pengalaman sepanjang perjalanan merentas liku kehidupan memberi seribu erti buat diri. 

Ada ramai yang mengeluh kenapa diri dipilih menjadi yatim? Kenapa tidak sipolan atau sipolan. Bahkan ada juga yang mengatakan kalaulah aku masih beribu dan berbapa. Atau juga mengandaikan jika ibu atau bapa masih ada sudah pasti ini tidak akan berlaku...

Wahai diri yang yatim..bertuahnya kamu kerana menjadi yatim itu satu hikmah. Lihat kepada junjungan besar Rasulullah s.a.w. Baginda dilahirkan yatim saat diri lahir ke dunia dan pada usia yang masih kecil lau bergelar pula yatim piatu. 

Bagi kita mungkin merasa...alangkah malangnya.. Sebenarnya menjadi yatim itu ada hikmah yang besar andaikata diri boleh memahami hakikat kejadian dalam hidup, ia mampu memberi manfaat yang jelas andai diri mampu menjadikan yatim itu sebagai jambatan yang membolehkan diri merentas satu fasa kehidupan yang bersandarkan pada realiti bahawa:

a)      kehidupan amat singkat.
b)      menyayangi manusia sekadarnya kerana meletakkan Allah ditangga pertama
c)      menjadi diri sendiri dan sentiasa berdikari
d)     menyedari siapa diri walau diberi seribu kehidupan..
e)      melihat dari mana kita dating dan ke mana kita akan pergi.
f)       menyedari bahawa kejayaan bermula dari diri sendiri.

Sesungguhnya diriku bersyukur diuji labih awal dengan kehilangan, Ini bukan bermakna penulis gembira dengan ketiadaan ayah di sisi, namun ia memberikan dorongan bahawa diri perlu mengenal Siapa aku? Bagaimana mengilap potensi yang ada bagi membina identiti  Muslim yang sebenar.
Wallhuaalam.