Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada mukmin

"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman (mukmin), jiwa dan harta benda mereka dengan memberikan syurga kepada mereka, disebabkan mereka berjuang di jalan Allah, …. Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan dan itulah kemenangan yang seagung-agungnya". (At-Taubah: 111)

Perjalanan kehidupan seseorang menuntut kepada suatu perjuangan yang terkandung didalamnya nilai pengorbanan. Seseorang pejuang sudah pasti mengimpikan suatu kejayaan yang memerlukan pengorbanan. Seiring dengan pengorbanan itu sudah pasti perlukan ketabahan, keyakinan, semangat dan matlamat kejayaan yang jelas dan jitu demi memastikan kejayaan yang dimiliki akan membuahkan kebahagiaan kepada si pejuang. Sesungguhnya kehidupan adalah memberi bukan sekadar menerima...ia juga untuk dimanfaatkan sebagai bekalan kehidupan abadi.

“Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kebodohanku, sikapku yang melampaui batas dalam urusanku, dan semua dosaku yang Engkau lebih mengetahui mengenainya daripada diriku sendiri. Ya Allah, ampunilah kesungguhanku, kelalaianku, kesalahanku dan kesengajaanku yang semua itu ada pada diriku.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Tuesday, October 20, 2015

Erti memberi bagi yang mengerti


Bismillah,

Benarlah insan yang mencari bahagia dalam hidup caranya tiada lain, iaitu dengan memberi. Berilah terlebih dahulu dan kita akan mengecapi nikmatnya. 

Apa yang mahu diberi? Banyak yang kita boleh memberi, iaitu;


  1. Kasih sayang
  2. Tenaga,
  3. Idea dan buah fikiran
  4. Harta benda
  5. Duit ringgit
  6. Sokongan moral
  7. Pujian
  8. dan lain-lain bentuk pemberian.

Segala pemberian yang ikhlas dari sanubari tanpa mahukan pembalasan atau tanpa rasa menunjuk-nunjuk akan menerbitkan rasa kepuasan dan kebahagiaan kepada si pemberi. Benarlah tangan yang di atas itu lebih mulia dari yang di bawah, apa lagi bila memberi, tangan kanan menghulur tangan kiri tidak tahu.

Ramai yang tanpa sedar lokek memberi, walhal itulah tali hayat kita di alam fana nanti. Saat kita menikmati hidangan lazat pernahkah kita terasa mahu memesan lebih agar boleh memberi pada yang dirasakan tidak mampu membayar harganya.

Bila kita masuk ke tandas, atau terserempak dengan tukang cuci, tukang jaga, tukang sapu atau sewaktu dengannya, adakah kita terasa mahu menghulur seberapa yang ada? 

Sewaktu di depan pagar sekolah saat mengambil anak, pernahkah kita terdetik menghulurkan pada pak/mak guard yang setia menjaga keselamatan dengan imbuhan yang tidak seberapa.

Pendek kata untuk memberi banyak caranya. Soalnya adakah hati kita bersedia. Adakah kita ada sifat prihatin. Adakah hati tidak merasa resah bila sehari kita tidak memberi. 

Saat insan memohon pertolongan adakala kita menolak mentah-mentah dengan alasan pelbagai, tanpa kita sedar, Allah menghantar mereka untuk memberikan kita pahala. 

Memberi indah bila kita menghayati, ia bukan kerana kita memiliki tetapi ia kerana kita menyedari apa ertinya memberi. Semoga Allah jadikan insan PEMBERI sehebat Saidina Ali dan Sadatina Fatimah hingga kisah mereka disebut di dalam al Quran. Moga dengan menjadi pemurah ia menjadi asbab kita ke syurga. Ameen.

Wallahuaalam.



No comments:

Post a Comment