Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada mukmin

"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman (mukmin), jiwa dan harta benda mereka dengan memberikan syurga kepada mereka, disebabkan mereka berjuang di jalan Allah, …. Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan dan itulah kemenangan yang seagung-agungnya". (At-Taubah: 111)

Perjalanan kehidupan seseorang menuntut kepada suatu perjuangan yang terkandung didalamnya nilai pengorbanan. Seseorang pejuang sudah pasti mengimpikan suatu kejayaan yang memerlukan pengorbanan. Seiring dengan pengorbanan itu sudah pasti perlukan ketabahan, keyakinan, semangat dan matlamat kejayaan yang jelas dan jitu demi memastikan kejayaan yang dimiliki akan membuahkan kebahagiaan kepada si pejuang. Sesungguhnya kehidupan adalah memberi bukan sekadar menerima...ia juga untuk dimanfaatkan sebagai bekalan kehidupan abadi.

“Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kebodohanku, sikapku yang melampaui batas dalam urusanku, dan semua dosaku yang Engkau lebih mengetahui mengenainya daripada diriku sendiri. Ya Allah, ampunilah kesungguhanku, kelalaianku, kesalahanku dan kesengajaanku yang semua itu ada pada diriku.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Saturday, September 28, 2013

Apabila jodoh menyapa : Elakkan sengketa dalam rumahtangga


Bismillah...

Pejam celik pejam celik ia terasa seperti masih baru, tanpa sedar ia bakal melakar sejarah 18 tahun usia perkahwinan. Selari dengan masa anak-anak juga sudah makin membesar dan menjengah dewasa. Banyak yang telah dilalui dalam meredah cabaran berumahtangga. Ia ibarat pelangi indah yang terlakar yang berselang seli dengan hujan dan kemarau. Semua ini memberi pengalaman buat kita semua dalam meneraju bahtera rumahtangga.



Perhatikan bagaimana saat baru mendirikan rumahtangga semuanya indah. Senyuman tidak lekang dari bibir, kemesraan terpancar dan perjalanan masa terasa cepat. Peliknya kenapa bila perkahwinan menjengah ke usia setahun, lima tahun maka ada yang sudah mula terasa hambar. Kemesraan hilang, keindahan sebuah kehidupan menjadi suram, rumahtangga yang dulunya diibaratkan syurga dunia bertukar menjadi neraka jadian. Dimanakah silapnya? Adakah kerana masa yang berlalu atau kita sebenarnya yang berubah? 

Bagi menjadikan rumahtangga sentiasa bahagia dan ceria bahkan ia makin utuh bukanlah satu kepayahan untuk memperolehinya. Kebahagiaan itu boleh dikekalkan dan dibajai sentiasa jika kita suami isteri saling menghargai dan juga boleh menerima kekurangan dan kelemahan. Suami isteri juga perlu sentiasa upgrade diri, perbaiki setiap kelemahan agar menambah value pada yang ada. Sifat manusia itu adakala lupa, maka seringlah jadikan nasihat dan ingatan itu sebagai satu perkara yang perlu. Tetapi ia perlu dibezakan dengan leteran atau kritikan. 

Komunikasi merupakan salah satu punca yang membawa kepada permasalahan dalam rumahtangga, jika ia diambil berat maka persengketaan dapat dielakkan. Cara berhubung, menyampaikan maklumat dianggap remeh oleh setengah pasangan, lalu emosi tercalar, perasaan terguris akan meninggalkan bekas jika diri tidak mahu memaafkan kesilapan pasangan. Kerana itu hidup mencari bahagia perlu banyak berlapang dada dan menerima pasangan seadanya. 

Wallahuaalam.

No comments:

Post a Comment