Bismillah,
Hidup ini ada jatuh bangunnya, ia seperti roda. Perjalanan kita akan sentiasa diuji. Proses satu-satu perjalanan kehidupan akan menemukan kita dengan pelbagai ragam manusia. Ada yang baik hingga terjalin ikatan persahabatan. Ada juga yang sekadar kenal mesra sahaja. Kenalan akan sentiasa bertambah, namun ada yang akan terputus hubungan,terpisah dek tinggal berjauhan dan sebagainya.
Persahabat perlu disuburkan dengan perkongsian khabar berita, bila sakit berkunjung ziarah. Pun ada juga berselisih pendapat wujud jurang dalam perhubungan. Pergaduhan tercetus lalu membarah menjadi musuh. Ternyata benar, persahabatan itu ibarat menulis buku ia mengambil masa yang lama untuk disiapkan, namun masa yang singkat sahaja membakarnya menjadi abu.
Menjaga persahabatan sama seperti menganyam tikar, bagi memastikan tikar yang cantik anyaman dan yang halus ia perlu diperhalusi buatannya dari awal, maka tikar itu akan tahan lama. Begitu jua jalinan persahabatan, untuk menjadi akrab kita perlu mengenal hati dan budi, boleh saling bertoleransi ia pasti akan teruji namun dengan kefahaman dan ketulusan persahabatan pasti akan sentiasa utuh.
Mahalnya harga persahabatan perlu dibaja dan dijaga, saat terguris maafkan sahabat, bila berselisih carilah persefahaman, elakkan ungkit mengungkit. Jangan ada dengki dan hasad. Hidup ini tidak lama, hargai apa yang kita ada sementara ia masih bersama kita. Ingatlah, kawan-kawan lama ibarat emas manakala kawan-kawan baru ibarat berlian. Jika kita mendapat sebutir berlian, jangan lupa emas tersebut kerana untuk memegang sebutir berlian, kita sentiasa memerlukan tapak emas.
No comments:
Post a Comment