Bismillah,
Pejam celik terasa cepat Ramadan berlalu. Sudah masuk hari ke sepuluh umat Islam berpuasa. Alhamdulillah, kami mengambil peluang untuk balik berbuka dengan ibu ayah.
Perjalanan pulang kami sempat singgah berbuka di masjid. Suasana yang indah, apalagi masjid diimarahkan dengan program berbuka sepanjang Ramadan.
Menurut AJK Masjid, setiap hari disediakan juadah dalam bentuk bungkusan, manakala hari minggu lauk pauj dihidang. Ia bagi memberi peluang musafir yang pulang ke kampung seperti kami singgah berbuka.
Jika dikira, hari ini Ain ada tusyen di sekolah. Namun demi mahu berbuka dan bersama ayah bonda, kami korbankan sekali tusyen tersebut. Ia dengan menilai mana yang perlu utama.
Menjengok ibu bapa yang uzur adalah tanggungjawab anak-anak. Apalagi di bulan Ramadan, amalan berbuka bersama akan menambah kemeriahan dan menghibur hati mereka. Nyatanya, kita sendiri tidak pasti, apakah akan ada lagi Ramadan tahun hadapan.
Ia samada kita atau mereka. Allahu... detik masa yang ada sesungguhnya amat berharga. Bagaimana kita mengisi masa tersebut amatlah penting. Adakah ia menambah amal atau sebaliknya.
Seringkali mengira detik waktu berlalu, maka saat itu diri merasakan alangkah bantak masa berlalu tidak dimanfaatkan secukupnya.
Soalan cepumas dari anak sewaktu sedang memandu pulang semalam; " Ummi, jika masa diputarkan kembali, apa yang mahu Ummi buat?".
Saya katakan; " Ummi mahu khatam Quran sebanyak mungkin dalam sebulan, mahu berpuasa sunat sepanjang tahun yang ada. Ini kerana bukti kita sekarang mampu lakukan, kenapa masa remaja tidak kita lakukan ini? Maks anak-anak, rebutlah peluang ini".
Puasa Ramadan, bila kita sudah terbiasa denfan puasa sunat apa yang membezakan adalah kita mahu mengisi detik yang ada dengan mengejar ganjaran pahala yang dijanjikan.
Sungguh benar bila Allah bersumpah, "Demi Masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian"
Peringatan ini untuk kita. Masa berlalu tidak mampu kita ubah. Apa yang penting masa hadapan perlu kita corakkan dan warnakan dengan lukisan hidup yang terbaik yang bakal mewarnai dan menyinari hidup di alam abadi.
Wallahuaalam
10 Ramadan 1436H
Bagan Datoh
No comments:
Post a Comment