Bismilllah,
Wanita amat sinonim dengan kecantikan. Bahkan itulah isu yang hangat. Bagaimana mahu cantik, makan apa untuk kurus, kosmetik apa untuk kulis licin mulus, apakah cara untuk kekal langsing, tip awet muda dan pelbagai lagi persoalan tentang cantik.
Wanita juga sangat obses dengan semua ini hingga membawa kepada tekanan, rendah diri, malu, tersisih dan pelbagai lagi masalah emosi yang berkait.
Tidak salah untuk kekal cantik. Bahkan kecantikan itu sendiri satu anugerah. Namun jangan kerana mahu cantik kita tewas dengan perasaan negatif. Jangan kerana mahu cantik kita korban segala demi untuk memilikinya.
Ada yang sanggup menahan lapar dan ikat perut berjimat demi membeli kosmetik dan mekap yang mahal. Ada yang sanggup pokai demi memastikan pakaian sentiasa 'trendy'. Ada yang rela berhabis demi membeli ubat yang dijanjikan dapat menguruskan badan. Bahkan ada banyak perkara yang tidak masuk akal dibuat demi untuk cantik seperti membuat pembedahan dan menggunakan ubat yang membahayakan.
Cantik ! Istilah ini perlu kita fahami. Lain di mata lain tafsirannya. Maka jangan terlalu obses dengan semua ini.
Cantik tapi tidak sihat, tiada maknanya. Maka kita perlu meletakkan kesihatan di tempat teratas. Wajar untuk kita memberi definisi yang betul kepada perkataan cantik.
Cantik itu banyak perkara tentangnya. Cantik rupa paras, cantik akhlak, cantik budi bahasa, cantik peribadi. Maka sebolehnya kita mahu cantik yang sempurna, bukan semata rupa paras tapi akhlaknya juga.
Ditakdirkan kita tiada rupa paras yang konon di mata zahir itu cantik, maka janganlah gundah gulana seolah tiada lagi harapan dalam hidup hingga membawa pada tekanan dan masalah emosi. Bawa bertenang.
Insan yang cantik akhlak dan amalannya tidak dapat menandingi insan yang hanya miliki kecantikan rupa paras. Ia tiada bermakna sekiranya Allah tidak mahu memandang dirinya. Sama juga dengan yang cantik tapi akhlak dan budi bahasanya teruk.
Rasionalkan diri bila kita ditakdirkan bukan berwajah seperti artis seleberiti (jika benar artis selebriti itu cantik). Bagaimana caranya? Fikirkan bahawa hidup ini singkat, dan kita menuju hidup yang panjang dan abadi di alam sana.
Jangan membazir duit membeli kosmetik yang mahal hingga tiada berbaki untuk bersedekah. Elakkan membeli pakaian baru setiap kali demi menjaga status walau duit tidak berapa ada hingga lupa untuk menabung. Lama mengadap cermin membelek wajah hingga habis masa untuk membaca Al Quran, lebih baik berzikir dan mengadu kepada Allah kerana amal yang sedikit berbanding mengeluh dengan keadaan wajah yang kusam dan kulit yang hitam.
Hidup ini perlu kembali kepada matlamat yang benar. Perlu seimbangkan. Benar, tidak salah menjaga kecantikan, namun perlu tahu apa dan untuk apa? Kecantikan bukan untuk diperaga pada orang lain hingga membawa kepada ujub dan takbur dengan apa yang Allah beri. Kecantikan untuk disyukuri dan membawa diri hampir pada Ilahi.
Wallahuaalam.
No comments:
Post a Comment