Bismillah,
Kerjaya ia adalah cita-cita atau impian sewaktu kecil yang diungkap sewaktu tadika atau sekolah rendah bila ditanya guru-guru, besar mahu jadi apa? Realitinya bila diri meningkat dewasa dan masuk ke alam universiti, apa yang diimpikan tidak menjadi kenyataan. Kenapa demikian?
Ia ada banyak faktor. Jika dulu mahu jadi doktor tapi masa sekolah kita tidak ambil jurusan sains. Mahu jadi guru sekolah tapi akhirnya kita sekadar menjadi pekerja kilang kerana tiada kelulusan. Banyak juga cita-cita sekadar menyebut mahu BERJAYA tanpa spesifik menyatakan berjaya dalam apa? Akhrinya kita tidak menjadi apa-apa. Hidup menjadi tiada matlamat. Sekadar buat melepaskan makan minum.
Lalu apa jadi dengan impian kerjaya hebat sebelum ini? Mahu jadi orang kaya raya dan berjaya. Pudar sudahkah impian? Terlambat sudahkah mengejar cita-cita yang belum kesampaian? Adakah kesilapan masa lalu boleh diubah semula?
Jawapannya, yang lepas itu pengajaran. Banyak perkara boleh diperbetulkan jika kita mahu berubah dan bangkit menyusun semula strategi membina matlamat. Ingat, ada ramai yang berada di tangga kerjaya yang hebat, namun apabila di buang kerja dan sebagainya, akan ada dua keadaan. Ada yang putus asa dan terperuk dalam masalah, namun ada yang mengambil sesuatu yang positif dan belajar sesuatu yang baru dari pengalaman silam dan keadaan yang berlaku. Mereka berjaya mencipta kerjaya yang cemerlang lebih baik dari sebelumnya.
Maka di mana anda sekarang? Ayuh mulakan reformasi diri. Cipta kerjaya hebat. Masih belum terlambat memulakan sesuatu. Buat dan bertindak! Jangan persiakan bakat. Cungkil dan gilap apa yang ada dalam diri anda. Permata itu akan bersinar.
Wallahuaalam
No comments:
Post a Comment