Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada mukmin

"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman (mukmin), jiwa dan harta benda mereka dengan memberikan syurga kepada mereka, disebabkan mereka berjuang di jalan Allah, …. Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan dan itulah kemenangan yang seagung-agungnya". (At-Taubah: 111)

Perjalanan kehidupan seseorang menuntut kepada suatu perjuangan yang terkandung didalamnya nilai pengorbanan. Seseorang pejuang sudah pasti mengimpikan suatu kejayaan yang memerlukan pengorbanan. Seiring dengan pengorbanan itu sudah pasti perlukan ketabahan, keyakinan, semangat dan matlamat kejayaan yang jelas dan jitu demi memastikan kejayaan yang dimiliki akan membuahkan kebahagiaan kepada si pejuang. Sesungguhnya kehidupan adalah memberi bukan sekadar menerima...ia juga untuk dimanfaatkan sebagai bekalan kehidupan abadi.

“Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kebodohanku, sikapku yang melampaui batas dalam urusanku, dan semua dosaku yang Engkau lebih mengetahui mengenainya daripada diriku sendiri. Ya Allah, ampunilah kesungguhanku, kelalaianku, kesalahanku dan kesengajaanku yang semua itu ada pada diriku.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Wednesday, May 16, 2012

Cabaran Mengajar dan Belajar


Setelah balik dari Turkey, batuk-batuk dan selesema serta kepenatan masih terasa. Namun hari pertama tiba sudah terpaksa berkejar ke kelas untuk memastikan kelas terakhir bersama pelajar semester ini dapat dikongsikan perkara yang penting. Masa amat pantas berlalu sekejap sahaja sudah penghujung semester. Selesai peperikasaan bermula akhir bulan ini maka semester baru akan bermula. Namun dalam keadaan pelajar-pelajar seronok kerana semester akan berakhir, saya dikejutkan dengan seorang pelajar yang tidak hadir ke kelas sudah dua kali berturut-turut. Saya dimaklumkan bahawa pelajar ini diserang "mild stroke" gara-gara stress dengan sambung belajar.

Mengetahui hal ini saya merasa amat simpati kepada beliau. Memang diakui sambung belajar sambil bekerja sudah pasti banyak beban dan komitmen terpaksa dipikul. Sementelah pekerjaan sebagai guru zaman ini penuh dengan cabaran dan tidak sama dengan dulu. Ada yang berjaya hingga ke penyudah, ada yang terkandas dipertengahan jalan oleh pelbagai sebab. Namun masing-masing ada cerita dan pengalaman tersendiri.

Saya sendiri melalui dan merintis jalan yang sama hinggalah ke tahap PhD, memang ia amat sukar, lebih-lebih lagi kita yang bergelar ibu. Adakala kesukaran itu hanya Allah yang boleh membantu kita. Tidak ada pertolongan hamba, tidak dapat dirasa oleh orang yang hampir dengan kita. Saya teringat kata-kata seorang pensyarah yang banyak membantu saya sewaktu misi terakhir menghantar tesis PhD, katanya "Phd is a Lonely Journey". Saya amat bersetuju dengan beliau kerana beliau telah melalui proses yang sama.

Berbalik kepada permasalahan dan cabaran sewaktu belajar dan bekerja hingga memberi tekanan kepada diri boleh di atasi jika kita mampu menjadi lebih tenang, tidak panik, tidak melihat sesuatu tugasan sebagai satu perkara yang besar. Selain itu perlu banyak berkongsi dengan rakan-rakan sepengajian. Pengalaman sendiri, rakan adalah sokongan terbaik begitu juga keluarga saat kita berdepan dengan cabaran. Jika ada masalah jangan dipendam, berusahalah untuk melihat sesuaut perkara itu dengan positif. Selain itu banyakkan berdoa kepada Allah agar diberi kesabaran dan kekuatan dalam memikul segala tanggungjawab baik di tempat kerja mahupun pelajaran.

Ingatlah, untuk mencapai sesuatu yang berharga itu perlukan satu pengorbanan yang besar. 

No comments:

Post a Comment