Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada mukmin

"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman (mukmin), jiwa dan harta benda mereka dengan memberikan syurga kepada mereka, disebabkan mereka berjuang di jalan Allah, …. Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan dan itulah kemenangan yang seagung-agungnya". (At-Taubah: 111)

Perjalanan kehidupan seseorang menuntut kepada suatu perjuangan yang terkandung didalamnya nilai pengorbanan. Seseorang pejuang sudah pasti mengimpikan suatu kejayaan yang memerlukan pengorbanan. Seiring dengan pengorbanan itu sudah pasti perlukan ketabahan, keyakinan, semangat dan matlamat kejayaan yang jelas dan jitu demi memastikan kejayaan yang dimiliki akan membuahkan kebahagiaan kepada si pejuang. Sesungguhnya kehidupan adalah memberi bukan sekadar menerima...ia juga untuk dimanfaatkan sebagai bekalan kehidupan abadi.

“Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kebodohanku, sikapku yang melampaui batas dalam urusanku, dan semua dosaku yang Engkau lebih mengetahui mengenainya daripada diriku sendiri. Ya Allah, ampunilah kesungguhanku, kelalaianku, kesalahanku dan kesengajaanku yang semua itu ada pada diriku.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Thursday, January 31, 2013

Perlukah Bersaing?


Seringkali kita dengar orang berkata, hidup perlu bersaing secara sihat baik apa sahaja yang kita buat.. terutama dalam kerjaya yang diceburi...lebih-lebih lagi kerjaya berbentuk perniagaan. Betulkah begitu? Saya kurang bersetuju dengan konsep persaingan. Pada saya menyebut perkataan itu kurang memberi rasa positif pada diri. Kerana mahu bersainglah maka akan timbul sifat irihati, dendam, tidak puas hati dan pelbagai lagi. Persaingan juga menyebabkan hubungan menjadi renggang. Persaingan juga menyebabkan jiran bermasam muka dan tidak bertegur sapa. Persaingan juga menyebabkan adik beradik menjeruk rasa.. 

Maka dalam hidup kita, jika kita bersaing kita akan sentiasa lelah. Lelah dan penat kerana mahu menghambat apa yang orang lain capai. Termengah nafas kerana mahu mengejar apa yang telah orang lain cipta. Semput nadi kerana mahu miliki apa yang orang lain miliki... jadi kita tidak perlu bersaing dengan orang yang telah berjaya atau miliki kejayaan.. Cukuplah jadikan mereka sebagai kayu ukur untuk kita capai apa yang mahu kita capai. Cukup ia sebagai gambaran kepada kita bahawa kalau kita mahu kita juga mampu memiliki.. cuma jangan kerana MAHU itu kita meninggalkan apa yang penting dan perlu diberi lebih keutamaan dalam hidup ini. 

Bagi yang berniaga.. tiada istilah bersaing..namun perlu bersama-sama meneroka dan berkongsi apa yang boleh agar sama-sama mengecapi kejayaan.. bagi yang berjiran pula bukan mahu menunjuk siapa lebih kaya antara kita..  bagi yang bersaudara..tiada apa yang membezakan kita..kerana kita dari uri yang sama...
Wallahuaalam

Wednesday, January 30, 2013

Penderaan Mental dan Fizikal


Setiapkali menatap gambar ini hati merasa sakit dan geram. Kenapa seorang yang bergelar manusia sanggup melakukan perkara yang melampaui batasan. Mungkin inilah gejala kesakitan dalam diri yang tidak nampak pada mata kasar. Seseorang yang mendera kanak-kanak, wanita atau sesiapa sahaja memang jiwa mereka sakit. Lalu kesakitan itu ditunjukkan denga cara menyakiti orang lain atau menjadikan orang lain sebagai mangsa.

Sebagai ibu bapa, tiap kali kita mahu memukul anak-anak cuba fikir terlebih dahulu, adakah kita memukul kerana mahu mendidik atau pukulan itu kerana mahu melepaskan perasaan marah yang bersarang di hati. Saya sendiri percaya, jika kita boleh mendidik dengan tutur kata ia sudah memadai. Kerana itu rumah kami tiada rotan. Anak-anak jarang sekali didedahkan dengan pukulan. Adakala pukulan yang berterusan akan menambah kedegilan. Begitu juga dengan leteran.

Bila berdepan dengan anak-anak, kita perlu faham anata bercakap-cakap dengan berleter. Segelintir ibu bapa suka memilih cara berleter dibanding teknik bercakap-cakap dengan anak-anak. kerana itu jangan pelik anak-anak memilih kawan-kawan mereka sebagai tempat mereka mengadu. Kenapa demikian? kerana ibubapa memilih unutk tidak mahu menjadi rakan baik kepada anak-anak, setia mendengar keluahan mereka.

Perlu juga kita ingat bahawa penderaan bukan sekadar bentuk fizikal, tetapi ia juga dalam bentuk penderaan mental. Penderaan ini pasti lebih dahsyat. kerana penderaan mental ini juga ramai yang teraniya. Sekali sekala, kita perlu muhsabah diri sendiri... kita mungkin secara tidak sengaja mendera perasaan dan emosi sendiri.. bagaimana boleh jadi demikian?..Mudah sahaja..kita mendera emosi dan perasaan kita bila kita tidak mengisi kekosongan dan kelompongan yang ada dalam diri dengan dekat kepadaNya.
Wallahuaalam

Tuesday, January 29, 2013

Bila Silaturrahim Terpahat Kukuh Segalanya Indah


Kerinduan pada kampung halaman seringkali mengamit diri untuk pulang.. namun dek kerana ada sahaja halangan maka impian tidak kesampaian. Namun sesungghunya Allah itu Maha pengasih dan Penyayang. Ia mempermudahkan dan memberi dengan banyak cara. Bila memikirkan kembali perjalanan sesuatu perkara maka kita merasa bersyukur denganNya.. Sungguh Allah mengetahui gerak hati.. memang agak lama saya tidak pulang ke kampung halaman sendiri.. tetapi kerinduan saya tetapi terubat.. adik beradik sejak dua bulan yang lalu silih berganti berkunjung ke rumah. Kebetulan mereka menghantar anak-anak yang sambung belajar di IPT di sekitar Lembah Klang. 

Inilah ukhuwwah..ia lebih bernilai dari segalanya. Tiap kali Allah menguji dengan pelbagai perkara, namun  Dia memberikan hikmah dari ujian itu dengan pemberian kasih sayang. Bagi yang mungkin jauh hubungan dengan adik beradik, ipar duai.. cubalah mencari titik temu.. cubalah memeterai kasih sayang dengan banyak berlapang dada dan memaafkan kesilapan yang ada. Pengalaman sendiri boleh saya katakan biarpun kehidupan semasa kecil penuh liku dan cabaran kerana bergelar yatim, namun ia mengukuhkan ikatan kami adik beradik. Kemesraan dan kasih sayang antara kami begitu utuh. Kami berkongsi segala-gala baik duka dan derita. Bukan tidak ada percikan fitnah atau cetusan perkelahian namun ia cepat tersiram dengan toleransi dan saling bertolan ansur. Ibu banyak mendidik kami untuk meletakkan perhubungan mengatasi segalanya. Ternyata ia amat berbaloi dengan anugerah kasih sayang dan kebahagiaan keluarga.. yang mana perumpamaaan menyatakan..air dicincang tidak akan putus.. Moga Allah memberkati dan merahmati kaum keluarga kami... Ameen



Monday, January 28, 2013

Sekali air bah..sekali pasir berubah


Sekali air bah..sekali pasir berubah.. mungkin ada betulnya bila memperkata soal kasih sayang.. soal hati.. tetapi pokok pangkalnya juga bergantung kepada diri sendiri.. Minggu lepas saya didatangi 2 orang berbeza situasi dan keadaan..mungkin kerana harapan dan impian juga berbeza. Seorang hamba Allah bila diceraikan suami lebih mahu memberi masa membesarkan anak-anak serta menutup pintu pada perkahwianan baru. Manakala seorang hamba Allah yang seorang lagi pula amat membutuhkan perkahwinan yang baru serta sanggup berkongsi suami dek kerana merasakan ada cabaran yang lebih besar jika masih menyandang status ibu tunggal. Biarpun bekas suami meminta unutk kembali tetapi hati telah tertutup untuk si dia... 

Sebenarnya pada hemat saya kehidupan kita banyak berkisar kepada apa yang kita mahu.. ibu saya bergelar ibu tunggal diusia 36 tahun apabila ayah saya meninggal.. Beliau memilih utk tidak berkahwin semula biarpun ramai yang mahu menyunting baik suami orang dan juga duda..bahkan ada bujang terlajak yang mahu mencuba nasib. Namun semua tidak berjaya kerana impian ibu mahu membedarkan anak-anak hingga berjaya.. Dalam pada itu boleh dikatakan hampir tiada fitnah kerana ibu amat menjaga maruah diri.. pun begitu bagi ibu tunggal yang diberi rezeki unutk bertemu jodoh semula.. maka jika rasa ia terbaik buat diri dan anak-anak..maka tidak salah berkahwin smeula dan membina kehidupan baru.. 

Kebahagiaan pasti akan dikecapi..walau dimana kita berada walau apa keadaan yang kita pilih..kerana bahagia ada dalam diri sendiri ...

Saturday, January 26, 2013

Wajarkah Dasar 'Streaming' Dilakukan Di Sekolah

Saya kadang-kadang tidak pasti dan ada juga masanya keliru antara pencapaian pelajar dan juga target sekolah. Mungkin rata-rata sekolah mahukan pencapaian yang cemerlang. Maka sudah pasti untuk memastikan kecemerlangan pelajar maka pelbagai strategi akan dilakukan. Di sekolah anak saya sendiri, pelajar aliran sains agama hanya terdaapt 2 kelas sahaja. Untuk masuk ke aliran agama ini pelajar haruslah mendapat 9A dalam PMR. Untuk tahun ini pelajar yang 2 kelas ini sekali lagi dibuat streaming berdasarkan peperiksaan akhir tahun. Ini bagi memastikan satu kelas yang terbaik itu pelajar berjaya memperoleh 12A+. Maka adalah pelajar yang merasa tertekan kerana guru-guru seperti mahu memberi tumpuan kepada pelajar yang lebih bagus prestasi mereka. Pelajar yang berada di satu kelas lagi merasa seperti tersisih. 

Kadang-kadan dalam mengejar target, emosi pelajar perlu diambil kira. Guru-guru juga tidak boleh fokus hanya kepada pelajar yang dirasakan mampu meraih 12A+ berdasarkan pencapaian akhir tahun. Mungkin ada kewajaran unutk memberi tekanan kepada pelajar agar berusaha gigih, tetapi ia perlu diambil kira banyak perkara. ini termasuk jumlah pelajar keseluruhan. Jika ini berlaku disekolah harian, maka tidak pelik ada pelajar yang tidak mahu ke sekolah serta tidak berminat ke sekolah hanya kerana merasakan cikgu mengamalkan favorotisme. Bagi sekolah berasrama penuh yang rata-rata pelajar sudah terbukti cemerlang, mengamalkan dasar streaming pada saya agak kurang wajar... Hakikatnya kita mengejar kecemerlangan dengang mengira jumlah A+..tanpa melihat sisi lain seperti kemahiran dan minat pelajar yang sebenar. 

Di sekolah rendah anak saya sendiri, yang menjadi sekolah rendah terbaik di daerah KS. Murid-murid memang pandai-pandai hingga apabila di streaming beza antara satu pelajar hanya 0.0 % sahaja. Lalau berlaku persaingan yang amat sengit hingga tiap kali peperiksaan akhir tahun semua yang berada di kelas hadapan berdebar. Ada yang memang betul-betul cemerlang, ada yang mengharapkan rezeki. Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berada di kelas terbaik. Walau apa sekali pun anak kita.. mereka bukan perlu cemerlang satu perkara..tapi pastikan akhlak merekaj uga terbaik.. Solat mereka sempurna.. Pesan saya kepada anak-anak.. terutama yang bakal menduduki peperikasaan penting.. kita bukan sekadar mengutip berapa banyak A+.. tapi dalam perjalanan itu kita mahu membawa amal terbaik untuk dipersembahkan kepada DIA.. A+ itu lebih penting unutk ibadat kita... 

Wallahuaalam.    

Friday, January 25, 2013

Apa itu Alim Ulama



Konsep   boleh ditakrif dengan berbagai difinasi yang berlandaskan latar belakang kesarjanaan atau disiplin ilmu masing-masing. Perkataan ulama’ itu adalah kata jamak dari perkataan “’Arab iaitu ‘Alim. Kemudian lahir pula perkataan ‘Alamah iaitu orang yang benar-benar mengerti atau mengetahui dengan mendalam hakikat sesuatu. (Muhamad Ismail, 1961:26.)
Menurut Dato’ Dr. Harun Din, dalam al-Quran karim terdapat dua kali sahaja perkataan ulama’ itu digunakan. Kedua-duanya merujuk kepada yang mendalami pengetahuan agama. Yang mendalami agama Islam diistilahkan dengan al-ulama’. Ada alif dan lam. Ini bererti bahawa ulama’ adalah istilah khusus yang dimaklumi bahwa hanya diguna pakai untuk yang mengetahui dan mendalami tentang agama Islam sahaja. Di dalam bahasa arab ada banyak istilah selain ulama’ yang diguna bagi merujuk kepada bidang masing-masing. Contohnya (khabir atau khubara’ untuk pakar yang lain dari bidang agama), Muhtarif atau muhtarifun, Fanni atau fanniyyun yang merujuk kepada technician, Mahandis arkitek, Tabib akhsai pakar perubatan.
Seperkara lain yang patut disebut bahawa perkataan ulama ialah perkataan jama’. Kalau untuk seorang disebut alim mufrad. Akan tetapi sudah menjadi penggunaan yang menyeluruh dipakai ulama’ untuk merujuk kepada seorang seperti imam Syafie adalah ulama’ terbilang. Dibolehkan demikian kerana hakikatnya seorang alim dalam Islam memiliki dan mendalami berbagai bidang ilmu, ilmu bahasa Arab dengan segala cabangnya ilmu al-qawafi, badi’ maani, bayan, nahu saraf, usul feqh, ulum hadis, hadis, tafsir, ulum tafsir, ilmu al-adab al-arabi, arud, tarikh, mantiq, al-falsafah dan berbagai ilmu. (Dr. Harun Din, 2004: 7-8.)
Nizam Sakamat Sakjeha merumuskan pengertian ulama’ pada tanggapan masyarakat umum adalah mereka yang berat sangkaan mereka, amat ikhlas dalm melaksanakan tuntutan al-Quran dan al-Sunnah. Amat prihatin dan berusaha keras untuk menegakkan yang hak dan memerangi kebatilan, mereka adalah orang yang tidak mungkin tenggelam dalam hawa nafsu. Nizam Sakamat Sakjeha Nasaih wa Taujihat al-Mufakkirin wa Ulama’ al-Islam liljamaat wal ahzab al-Islamiah: 4
Menurut Jamal Mohd Lokman, menjelaskan secara estimologinya ulama’ membawa maksud “orang yang mengerti atau orang yang berilmu pengetahuan”, iaitu mengetahui hakikat sesuatu dengan penuh keyakinan. Jamal Mohd. Lokman Sulaiman, 1999:37.
Abi Talib dan Ismail Abdul Halim, Istilah ulama’ disandarkan kepada individu yang mengetahui mengenai al-Quran dan al-Sunnah serta memahami kedudukan hukum dan sumber hukum Islam yang berpandukan kepada sumber tersebut. (Abi Talib dan Ismail Abdul Halim, 1982:2. )
 Haji Yahya, di dalam Encyclopedia Sejarah Islam, para ulama’ ialah golongan penting kerana mereka merupakan pakar dalam bidang agama khususnya dalam bidang tafsir, feqah, hadis, Usuluddin dan segala cabang ilmu Islam. (Mahyuddin Haji Yahya, 1989:1708).
Al-Imam Abi Al-Qasim Jara Allah Mahmud Umar bin Muhammad al-Zamakhsyari, Ulama’ ialah mereka yang mengetahui mengenai sifat Allah, keadilannya,ketauhidannya, sifat yang harus dan yang tidak harus keatasnya, maka mereka membesarkannya, membesarkan kekuasaanya. Orang yang ilmunya bertambah maka bertambah takut ia kepada Allah SWT. (Al-Imam Abi Al-Qasim Jara Allah Mahmud Umar bin Muhammad al-Zamakhsyari, 1995:592-593.)
Menurut Syed Qutb mereka yang mengkaji al-Quran yang penuh keaijaiban dan mereka yang mengenal Allah dan mengetahui hakikat Allah, mengetahui kesan penciptaan Allah, mengetahui kesan kekuasaan Allah, dan bertaqwa kepada Allah, dan menyembah Allah dengan sebenar penyembahan. Ulama’ ialah orang yang mengetahui sifat Allah dan kebesarannya. Siapa yang bertambah ilmuya maka ia bertambah takut kepada Allah.( Syed Qutb, 1994:2943.)
Prof. Dr. H. Abdul Karim Amrullah (Hamka), Orang yang takut kepada Allah ialah orang-orang yang berilmu. Berdasarkan kepada ayat Fatir: 28. di pangkal ayat Allah mengguna perkataan “Innama”. Menurut ahli nahu bahawa huruf “innama” itu ialah adaatu hasr yang ertinya “alat untuk membatas”. Sebab itu ertinya yang tepat dan jitu ialah “ hanya orang-orang yang berilmu jua yang akan merasa takut kepada Allah. Kerana kalau tidak ada ilmu tidaklah orang akan takut kepada Allah. Kerana timbulnya satu ilmu setelah diselidiki. Maka jelaslah bahawa pangkal ayat tadi Allah telah berfirman “tidakkah engkau lihat” maka kalau tidak dilihat tidaklah akan tahu. Kalau sudah dilihat dan diketahui dengan sendirinya akan mengertilah bagaimana kebesaran Allah , kekuatanya dan keagunganya, merasa dirinya kerdil di hadapan kekuasaan Allah, dengan ini akan menimbulkan takut . Kalau takut telah timbul nescaya timbullah ketundukan , lalu segala perintahnya dilaksanakan dan larangannya dihentikan. .(Prof. Dr. H. Abdul Karim Amrullah (Hamka), 1984: 300-301. )
Menurut Ibn Kathir Tidak lain orang yang merasa takut kepada Allah itu hanyalah ulama’ yang telah mencapai matlamat ma’rifat, iaitu mengenali tuhan menilik hasil kekusaannya dan kebesarannya. Maha besar, maha kuasa, yang maha berilmu yang mempunyai sifat kesempurnaan dan yang mempunyai Asma’ al-Husna. Apabila makrifat bertambah sempurna dan ilmu terhadapnya bertambah matang, ketakutan kepadanya bertambah besar dan bertambah banyak.
Imam Malik berkata” ulama’ bukanlah kerana banyak menghafaz riwayat hadis, bahkan ilmu ialah Nur yang dinyalakan tuhan dalam hati”.Hamka: 301Menurut al-Syaukani ulama’ ialah mereka yang takut kepada Allah dan mengetahui bahawa Allah berkuasa atas sesuatu. Dan ulama’ ini bukan mereka yang banyak menghafaz hadis tetapi mereka yang memiliki ilmu dan takut dengan Allah SWT. (Muhammad Bin Ali Muhammad al-Syaukani: 459. )Begitu juga al-Qurtubi menyebut bahawa ulama’ ialah seorang yang takut kekuasaan Allah dan yakin Allah berkuasa membalas atas maksiat yang di lakukan. Daripada Ibn. Abbas berkata ulama’ ialah yang mengetahui tentang tuhannya yang Rahman dan tidak syirik kepada Allah, dan menghalalkan apa yang dihalalkan Allah dan menghalalkan apa yang dihalalkan Allah dan memelihara peringatan Allah dan mengetahui bahawa semua yang dilakukan di bawah pengetahuannya. (Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Ansari al-Qurtubi, juz 7:343-344.)Dari Ibn Abi ‘Umrah dari ‘Akrimah dari Ibn Abbas katanya ulama’ ialah orang alim yang mengenal Allah dan tidak syirik kepadanya dan mengharamkan apa yang diharamkan dan memelihara wasiatnya”
 
Ahmad bin Saleh al-Misri dari Ibn Wahab dari Malik katanya” Sesungguhnya alim ialah bukan orang yang banyak meriwayat ,sebenarnya alim ialah ilmu yang dimilikinya bercahaya. Allah menjadikan bercahaya dalam hatinya. Tetapi mereka takut kepada Allah bukan semata-mata banyak mengetahui riwayat( ilmu) Sebaliknya ia mengetahui kefarduan dan mengikut kitab sunnah dan apa yang dilakukan oleh sahabat radhiallahuahum dan selepas dari mereka “ ”al-Imam al-Maraghi ketika menafsirkan ayat dalam surah al-Fatir, Ulama’ ialah orang yang takut azab Allah dengan banyak melakukan kepadanya. Dengan ilmu yang mereka pelajari datanglah keyakinan, jika dibuat maksiat akan dibalas dengan siksa, demikian kalau dibuat baik maka mereka akan dibalas dengan syurga.Menurut Ibn Abbas bahawa ulama’ ialah yang mengenal Allah dan takut kepadanya. (Muhammad Bin Ali Muhammad al-Syaukani, Tahqiq Dr. Abdul Rahman Umairah, Fathu al-Qadir, juz 4: 463)Berkata Rabi’ Bin Anas “Siapa yang tidak takut kepada Allah maka ia bukan ulama’” (Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Ansari al-Qurtubi, juz 7:343-344.)Dari Ibn Abi ‘Umrah dari ‘Akrimah dari Ibn Abbas katanya ulama’ ialah orang alim yang mengenal Allah dan tidak syirik kepadanya dan mengharamkan apa yang diharamkan dan memelihara wasiatnya” (Imam Hafiz Jamaluddin abu al-Fida’ Ismail ibn Kathir al-Qudsi al-Dimasyqi, juz 3/ 4: 553-554.)
al-Hassan al-Basri ulama’ ialah orang yang takut kepada Allah dan cenderung melakukan apa yang Allah suka dan menjauhkan apa yang Allah murka” (Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Ansari al-Qurtubi, 7/20: 343-344)Sheikh Abul Aziz Badri ulama’ sebagai pewaris nabi iaitu yang menyambung kembali perjuangan dan dakwah para nabi. Ulama’ yang menjadi pewaris para nabi ialah ulama’ yang tidak takut kepada pemerintah yang zalim. Tidak takut kepada pihak yang kejam kerana kepatuhan mereka hanya kepada Allah SWT. (Sheikh Abul Aziz Badri, 1988:53. )Berkata Ahmad bin Saleh al-Misri dari Ibn Wahab dari Malik katanya” Sesungguhnya alim ialah bukan orang yang banyak meriwayat ,sebenarnya alim ialah ilmu yang dimilkinya bercahaya. Allah menjadikan bercahaya dalam hatinya. Tetapi mereka takut kepada Allah bukan semata-mata banyak mengetahui riwayat( ilmu) Sebaliknya ia mengetahui kefarduan dan mengikut kitab sunnah dan apa yang dilakukan oleh sahabat radhiallahuahum dan selepas dari mereka “ (Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Ansari al-Qurtubi, 343-344.)
Ibn. Masud berkata ketakutan kepada Allah petanda seorang itu alim. Yang berilmu bukanlah kerana ia banyak meriwayatkan hadis akan tetapi yang amat takut kepada Allah. Di tanya Saad bin Ibrahim siapakah yang paling alim di kalangan penduduk Madinah? Jawabnya orang yang paling takut kepada Allah.Ali Bin Abi Talib pernah berkata seorang alim ialah seorang yag tidak pernah melakukan maksiat, tidak jemu mengingatkan dirinya dan manusia sekalian akan azab allah swt dan tidak membelakangi al-quran. (Al- Imam al-Qurtubi, juz 14:243)
Kesimpulannya
Secara umumnya perkataan ulama’ itu membawa satu pengertian yang luas, disandarkan kepada seorang yang memahami konsep agama secara syumul dan mendalam serta menzahirkanya dalam bentuk praktikal dan amalan hidup seharian. Apabila ulama’ dikaitkan dengan Islam ia berhubung rapat dengan Allah. Tidak cukup sekadar ada ilmu tetapi tidak takut kepada Allah SWT, begitu juga sebaliknya.
’ dikenali dengan ilmunya dan keteguhan pendiriannya. Mereka terpelihara daripada terjebak ke dalam perkara-perkara yang syubahat. Ulama’ dikenali dengan jihad, dakwah, pengorbanan dari segi waktu, harta benda, nyawa dan kesungguhan mereka di jalan Allah.Ulama’ dikenali dengan ibadah dan khusyuk mereka kepada Allah. Ulama’ dikenali dengan jauhnya mereka dari keburukan dunia dan pujuk rayunya. Ulama’ dikenali dengan pengakuan oleh umat Islam dan jumhurnya dari kalangan ahli hak.Di antara perkara yang menunjukkan alimnya ulama’ dan kelebihannya ialah mengenai pengajiannya, fatwanya dan juga karangannya. Adapun pangkat dan jawatan atau yang seumpama dengannya, bukanlah dikira sebagai tanda yang menunjukkan kepada ilmunya. Ulama’ tidak ditentukan dan tidak dipilih melalui cara pengundian, tidak juga dengan cara penentuan jawatan. Sebagaimana di antara kalangan alim ulama’ dalam tarikh ummah terserlah dan nyata sebutannya (masyhur), menjadi imam atau pemimpin kepada ummah sedang dia (alim ulama’) tidak mengenal dan menjawat kedudukan atau memegang jawatan. Seumpama Imam Ahmad dan Syeikh Islam Ibnu Taimiah sebagai dua contoh dalam tarikh yang panjang bagi ummah ini.
Ini tidak bermaksud setiap orang yang mempunyai jawatan dalam ilmu pengetahuan bukannya dia seorang yang alim, bahkan yang dimaksudkan di sini ialah kedudukan dan jawatan bukanlah dikira sebagai tanda yang menunjukkan ke atas ilmu, oleh itu kita dapati di sana ada di antara kalangan para ulama’ yang dilantik oleh hakim(kerajaan) menjadi pemerintah, qodhi, mufti dan seumpama dengannya, bahkan kadang-kadang kita dapati pada zaman pemerintahan yang zalim tetap ada para qadhi yang adil dan para mufti yang boleh dipercayai.
Memiliki segulung ijazah bukanlah jambatan mendapat gelaran sebagai ulama’, apatah lagi jika tidak terpancar dari dirinya kehidupan ilmu. Ulama’ bukan sahaja ada ilmu malahan ia memberi sumbangan kepada masyarakat, perkembangan dakwah dan kemajuan negara. Mereka adalah yang dianugerahkan Allah dengan ilmu pengetahuan, kemahiran serta pengalaman yang meluas dan mendalami dalam hukum halal, hal ehwal Islam dan mampu melakukan istinbat hukum dengan sumber-sumber hukum yang betul dan asli; alquran dan al-Sunnah, ijma’ dan qias dan lain-lain sumber yang muktabar, dengan lain perkataan ulama’ dalah pakar rujuk agama yang berkemampuan (dari segi ilmu) dan disiplinnya. Golongan ini juga mampu memahami , mengoalah serta menganalisa maqhasid syariah. Mereka adalah ahlul zikri yang boleh mengolah dan menganalisis kepentingan-kepentingan agama, nyawa, jiwa, akal dan intelektual, harta, nasab dan keturunan. Mereka juga mempunyai keperibadian yang mulia, dan dispilin yang tinggi dalam kehidupan. Mereka tidak boleh berpura-pura atau double standard sebaliknya ikhlas dan jujur samaada dalam kehidupan mahupun dalam pandangan, idea serta nasihat mereka. Ulama’ sebenar tidak bersikap berat sebelah tidak menggunakan ilmu untuk kepentingan diri dan kumpulan tertentu sahaja.
Kedudukan mereka sebagai ulama’ adalah satu pengiktirafan masyarakat. Jadi golongan ulama’ bukanlah merupakan golongan yang sewenang-wenangnya menggelar diri mereka ulama’. Pengiktirafan masyarakat amat penting kerana ilmu, sahsiah dan cara hidup mereka diakui. Ulama’ dahulu tidak mendapat apa apa sijil tetapi mereka diiktiraf oleh masyarakat sebagai al-Allamah (seorang berilmuan pengetahuan tinggi). Kualiti ilmu dan penyampaian ilmu membuahkan pengiktirapan masyarakat kepada mereka.Dari semua kutipan dan penjelasan di atas menunjukkan bahawa ulama’ adalah merujuk kepada mereka yang mengetahui dan mendalami pengetahuan agama. Dengan pengetahuan ini menjadikan mereka patuh kepada hukum Allah. Amat takut kepada kemurkaan di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.
Keistimewaan Ulama’
Firman Allah SWT
“Allah menyatakan bahawasanya tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia, yang menegakkan keadilan. Para Malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyatakan yang demikian itu). Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha perkasa lagi Maha Bijaksana). (Surah al-Imran, 3:18) 
Ayat ini menerangkan kedudukan ulama’, dalam soal menguatkan akidah, kedudukan ulama’ adalah amat tinggi, selepas kedudukan para malaikat. Menurut Ibn. Hajar para ulama’ yang beramal dengan ilmunya pada hakikatnya wali Allah. (Al-Zawajir 1/88) Ini satu darjat ketinggian yang amat nyata dengan kedudukan yang penting itu para ulama’ sebenarnya bukanlah satu golongan yang tersisih dan diketepikan dari permasalahan hidup umat manusia dalam apa jua bentuk.
Banyak hadis yang menyatakan tentang ilmu dan ulama’. Ilmu yang diperolehi oleh ulama’ adalah diturunkan oleh Allah SWT. Ayat dan perkataan “Orang yang di kurniakan ilmu dan beberapa darjat”. Menunjukkan Allah mengurniakan ilmu dan kepandaian yang amat luas kepada manusia, ilmu itu lebih maju dan teratur daripada pengetahuan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada lain-lain makhluk seperti malaikat.
Di antara Hadis Rasulullah SAW . “ Ya Allah berilah rahmat kepada penggantiku. Para sahabat bertanya wahai Rasulullah siapakah pengganti-pengganti baginda. Jawab baginda “ Mereka itu orang yang datang selepas ku meriwayatkan hadis-hadis ku dan mengajarkannya kepada umat manusia”.
Ibn. Abbas menyatakan darjat ketinggian para ulama’` di atas orang mukmin biasa adalah sekira-kira 700 tahun perjalanan dan jauh di antara satu darjat dengan darjat yang lain adalah 500 tahun. (Azzawajir 1/89) 
Ulama’ adalah petunjuk kepada hamba dan menara petunjuk kepada sebuah Negara, dan teras ummah dan sumber hikmah, mereka adalah kemarahan syaitan dengan mereka menghidupkan hati ahli kebenaran dan mematikan hati penyelewing. Perumpamaan mereka di bumi seperti bintang di langit yang memberi penunjuk kepada orang di lautan dan daratan. Apabila bintang terpadam maka ia boleh mengeliru perjalanan. (Imam Abu Bakar Muhammad bin Hussin Bin Abdullah Al-Ajiri, Takhrij wa ta’liq Sopian Nur Marbu Banjari al-Makki, 1996:13.)
Apabila ulama’ tidak ada maka manusia tidak akan tahu bagaimana hendak menunaikan satu kefarduan dan bagaimana hendak menjauhkan perkara yang diharamkan, bagaimana hendak menyembah Allah. Jika ulama’ mati maka waktu itu akan melahirkan kejahilan dan merupakan satu musibah kepada manusia. Imam Abu Bakar Muhammad bin Hussin Bin Abdullah Al-Ajiri, Takhrij wa ta’liq Sopian Nur Marbu Banjari al-Makki, 1996:13.)
Ulama’ mempunyai kaitan yang rapat dengan ilmu, dengan sebab itu apabila ulama’ meninggal ilmu pun hilang. Kata-kata Ka’ab Bin Mani’c seorang tabiin yag masyhur telah berkata” Wajib keatas kamu memelihara ilmu sebelum ia hilang, kerana hilang ilmu kerana hilang ahlinya”. (Imam Abu Bakar Muhammad bin Hussin Bin Abdullah Al-Ajiri, Takhrij wa ta’liq Sopian Nur Marbu Banjari al-Makki, 1996:34.)
Hadis yang diriwayatkan daripada Muaz Bin Jabal :
“Belajarlah ilmu maka sesungguhnya mempelajari ilmu kerana Allah adalah untuk menakutkan dan menuntut ilmu adalah ibadah dan mempelajarinya adalah tasbih dan berbahas dengannya adalah jihad dan mengajarnya bagi orang yang tidak mengetahui adalah sedekah dan mengajar ahli keluarganya mengenai halal dan haram adalah satu usaha untuk mendekatkan diri dengan Allah kerana ia mengajar kepada benda halal dan haram dalam menakutkan kepada Allah dan menjadi rakan ketika kesunyian dan menjadi dalil ketika senang dan susah dan menjadi perhiasan ketika keseorangan dan menjadi rakan ketika berdagang dan Allah angkat darjat mereka dikalangan mereka dan menjadikan mereka pemimpin yang menjadi ikutan orang lain. Kerana Ilmu menghidupkan hati yang buta dan memberi cahaya kepada yang gelap dan memberi satiap tenaga kepada yang lemah dan telah mencapai hamba ketahap yang merdeka dan menduduki bersama raja-raja dan mencapai darjat yang tinggi di dunia dan juga akhirat. Dengan ilmu ia boleh taat kepada Allah SWT, dengan ilmu ia menyembah Allah dengan ilmu ia menghubungkan tali sillturrahim, dengan ilmu ia dapat mengetahui yang halal dan yang haram dan menjadi perintis kepada amal. (Imam Abu Bakar Muhammad bin Hussin Bin Abdullah Al-Ajiri, Takhrij wa ta’liq Sopian Nur Marbu Banjari al-Makki, 1996:35-36.)
Luqman Hakim pernah berkata kepada anaknya
Wahai anakkku duduklah dengan ulama’ dan rapatkan kedua lutut kamu sesungguhnya Allah menghidupkan hati dengan ilmu seperti menghidupkan bumi dengan turunnya hujan” (Muhammad Ibn. Abdul Bar bin Asim al-Namari, 1994:43.)
Nasihat Luqman juga
“Jangan kamu duduk bertengkar dengan ulama’ maka kelak kamu akan hina dan jangan kamu bertengkar dengan orang yang bodoh maka mereka akan memaki kamu sebaliknya kamu sabar bagi orang yang yang lebih tinggi ilmu daripada kamu dan orang yang lebih rendah ilmu daripada kamu. Maka hendaklah kamu bersama dengan ulama’ dan sabar bagi mereka dan mengambil daripada mereka ilmu” (Muhammad Ibn. Abdul Bar bin Asim al-Namari, 1994:43.)
Malik bin Anas berkata
“Jangan ambil ilmu daripada 4 golongan ini,
a. Orang yang terkenal bodoh
b. Oran yang terkenal dengan ikut hawa nafsu.
c. Orang yang menyeru kepada hawa nafsu.
d. Lelaki yang ada kelebihan dan tidak tahu apa yang diucapkan. ”
(Muhammad Ibn. Abdul Bar bin Asim al-Namari, 1994:91-92.)
Ciri-Ciri Ulama’
1.Sentiasa tawaduk dengan ilmunya
2.Dia tidak menuntut kemuliaan disisi pemerintah dengan ilmunya
3. Katakan Wallahua’lam jika tidak tahu.
Daripada Abdullah Ibn Masud
“Wahai manusia apabila ditanya dari perkara ilmu yang kamu tahu maka kamu jawab, jika kamu tidak tahu maka katakanlah Allah a’lam. ” (Muhammad Ibn. Abdul Bar bin Asim al-Namari, 1994:92.)
4.Dan tiada menjadikan ilmu tadi sebagai barang dagangan
5. Tidak menjadikan ilmunya untuk mendekatkan dunia dan menjauhkan orang faqir
6.Tawaduk dengan orang faqir dan orang yang saleh
7.Apabila ia berada di dalam majlisnya maka ia sabar atas orang yang lambat faham dengan hal ehwal agamanya sehingga ia menjawab dengan lembut dan beradab.
8. Ulamak mesti beramal dengan ilmunya
Sabda Rasulullah SAW “ Sedahsyat-dahsyat manusia yang diazab di hari qiamat ialah seoang alim yang tidak bermanfaat imunya”. (Muhammad Ibn. Abdul Bar bin Asim al-Namari, 1994:92.)
Kata Fudhail bin ‘Iyyad,
Awal ilmu ialah diam, kemudian mendengar, kemudian hafal kemudian beramal dan menyebarkan .
Begitu juga dengan kata-kata Ibn. Mubarak
“awal imu ialah diam, kemudian memperdengar, kemudian memberi faham, kemudian menghafaz kemudian beramal” (Muhammad Ibn. Abdul Bar bin Asim al-Namari, 1994:46.)
9. Apabila disoal kepadanya perkara yang provokasi yang akan menimbulkkan fitnah di kalangan orang muslimin maka ia minta elak dan minta supaya soalan ini ditanya kepada orang yang lebih aula daripadanya
10. Ulama’ ia tidak akan bertengkar dan memperbodohkan orang lain.
11. Mengajar orang lain kepada tuhannya dan memperingatkan bagi mereka yang lupa. Mengajar bagi mereka yang jahil dan meletakan hikmah kepada ahlinya. (Imam Abu Bakar Muhammad bin Hussin Bin Abdullah Al-Ajiri, Takhrij wa ta’liq Sopian Nur Marbu Banjari al-Makki, Akhlaq al-Ulama’, 1996/1417, t.tpt, hlm, 50-53)
12.Sentiasa bersyukur kepada Allah SWT .
13. Sentiasa berzikir kepada Allah .
14.Hatinya sentiasa bermunajat dengan Allah .
15.Haya bergantung kepada Allah dan tidak takut kepada lain daripada Allah.
16. Sentiasa beradab dengan Quran dan Sunnah .
17. Tidak berlumba dengan ahli dunia dalam menuntut kemuliaan.
18.Berjalan atas muka bumi dengan tunduk dan patuh.
19. Sibuk hatinya menuntut kefahaman dan iktibar.
20. Sentiasa menyebut nama Allah bersama bersama orang berzikir
21.Lidahnya sentiasa menyebut nama Allah
Imam Abu Bakar Muhammad bin Hussin Bin Abdullah Al-Ajiri, Takhrij wa ta’liq Sopian Nur Marbu Banjari al-Makki, Akhlaq al-Ulama’, t.tpt 1996/1417,hlm:13,
22.Sentiasa dahagakan ilmu.
Kata-kata Ibn. Masud”Dua perkara yang tidak pernah kenyang iaitu orang yang ada ilmu yang sentiasa menambahkan rida Allah dan ahli dunia yang berusaha menghimpunkan harta.
Kata-kata Masruq seorang Tabiin di zaman Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Ali dan Saidina Osman “ Tanda seorang yang berilmu ialah orang yang takut kepada Allah dan tanda orang yang jahil ialah orang yang kagum dengan ilmunya” Imam Abu Bakar Muhammad bin Hussin Bin Abdullah Al-Ajiri, Takhrij wa ta’liq Sopian Nur Marbu Banjari al-Makki, 1996:64.)
23.Tidak berkompromi dengan maksiat yang dilakukan oleh pemerintah.
Daripada Ummu Salamah berkata” Bersabda Rasulullah SAW” Adalah atas kamu pemimpin, kamu kenal mereka dan kamu engkar, maka sesiapa yang ingkar maka ia telah melepaskan diri dan siapa yang benci maka ia selamat, dan tetapi siapa yang ridha dan mengikutnya maka dijauhkan oleh Allah kepadanya oleh Allah”. Maka dikatakan Wahai Rasulullah Apakah kamu perangi mereka tetapi baginda menjawab “tidak , selagi mereka solat”. Sahih Muslim: 1854
24.Orang alim musuh iblis
“Sabda Rasulullah SAW Seorang faqih begitu susah atas iblis, berbading dengan 1000 orang jahil” Kitab Ilmu Turmizi
25.Para ulama’ hendaklah mempunyai iltizam qiadi atau iltizam kepimpinan, kerana ulama’ adalah pemimpin masyarakat dan ummah seperti para Rasul SAW . Firman Allah “ Dan ingatlah ketika nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimah (perintah suruhan dan larangan) maka nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. Allah berfirman: “….Sesungguhnya aku akan melantik mu menjadi pemimpin bagi umat manusia..” (al-Baqarah,2:124)
Dengan demikian ulama’ bukan sekadar mengetahui tentang hukum hakam yang terbatas, bukan orang yang mengaji kitab feqah dan bukan juga ditentukan oleh serban dan jubah besar. Prof. Dr. H. Abdul Karim Amrullah (Hamka), Tafsir al-Azhar, , Bandung: Yayasan Latimojong, cet. Pertama, juz 22/30, 1984, hlm. 302-303.
Sebab itu ulama’ yang layak memimpin mereka mestilah meniru sikap dan akhlak nabi, maka barulah layak mereka menjadi pemimpin.
“Para ulama’ adalah pewaris nabi-nabi dan sesungguhnya para nabi tidak meninggalkan wang emas atau perak, tetapi mereka meninggalkan ilmu, sesiapa yang mengambilnya maka sesungguhnya ia telah mengambil habuan yang cukup”. (Imam Abu Bakar Muhammad bin Hussin Bin Abdullah Al-Ajiri, Takhrij wa ta’liq Sopian Nur Marbu Banjari al-Makki, Akhlaq al-Ulama’: 19) 
Sebab itulah para ulama’ mereka yang layak mewaris nabi kerana nabi hanya meninggalkan ilmu dan mereka yang boleh memahami apa yang nabi tinggal ialah ulama’.
26. Keikhlasan dan ketakwaan kepada Allah
Kata Imam Ghazali : Maka inilah dia perjalanan ulama’ dan juga adat mereka pada menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran, kurangnya mereka bergaul dengan pihak pemerintah dan akan tetapi mereka
menyerahkan kepada kuasa Allah Taala untuk mengawasi mereka, mereka redho dengan ketetapan Allah Taala
supaya dianugerahkan kepada mereka syahadah di jalanNya. Ketika mereka mengikhlaskan niat kerana Allah maka kalam-kalam mereka memberi kesan pada hati yang keras maka dengannya lembutlah hati dan hilanglah kekerasannya.
27. Bertolak ansur tolak ansur. Tidak fanatik dengan pandangannya sahaja. Contoh Imam-Imam mazhab boleh dijadikan ukuran.
Diriwayatkan bahawa Imam Shafie telah mengatakan “Seluruh manusia dalam bidang fiqah adalah keluarga Abu Hanifah” Beliau juga melaku kan solat subuh dekat kubur Abu Hanifah, beliau tidak melakukan qunut, beliau berbuat demikian kerana menghormati Abu Hanifah yng negatakan qunut tidak ada dalam solat subuh dan untuik mengajar pengikutnya supaya bertolak ansur kepada mazhab berkenaan. (Mohd. Radzi Othman dan O.K. Rahmat, 1996:61)
Kiyai Hasyim Asyaari, daripada Nahdatul Ulama, sebuah organisasi kaum tua mengatakan umat Islam agar jangan taksub kepada setengah mazhab atau setengah hukum di dalam soal furuk. Yang utama bagi umat Islam ialah membela Islam dan berjuang menentang orang yang menolak al-Quran. Berjihad menghadapi musuh adalah wajib. Adapun takasub pada satu mazhab dan satu qaul ini tidak disukai oleh Allah. Apatahlagi sehingga mendorong kepada berebut-rebut dan berdengkian. (Umar Hasyim , 1982:232-233
 Dipetik dari ulasan Us Idris Ahmad

Thursday, January 24, 2013

Sabar yang nyata


Setiap kali mendengar masalah yang dicurahkan, maka setiap kali itu saya katakan bahawa penyelesaian hanya kembali kepada fitrah kita sebagai hamba. Tanyalah Dia pasti ada jawapannya yang bakal memberikan kebahagiaan buat kita. Sabarlah dengan ujian. Adakala payah juga bercakap dengan segelintir individu yang merasa sudah melakukan terbaik dan seperti tidak sabar malah amat tertunggu-tunggu bila Allah akan menjawab segala doa. 

Seseorang yang ikhlas beramal pastinya tidak terlalu menunggu.. bahkan sepi yang terasa adalah satu keindahan.. kesedihan yang mendatang adalah satu kebahagiaan yang tersirat.. Maka bila terjatuh dalam permasalahan yang memberi simpang bercabang dan depannya berliku-liku.. maka yakinlah.. saat kita pasrah denga segala musibah dan ujian.. maka saat itu kita melihat..disitulah penyelesaian.. Maka kembalilah menyakini Allah dengan jujur dan ikhlas..ia bukan semata melalui ungkapan..kejujuran terungkap dari bahasa badan yang mengajak diri untuk terus beramal dan berharap hanya padaNya. Sabar yang nyata dari bicara hamba tanpa mengira bila..tanpa bertanya kenapa.. tanpa mengulas bagaimana... Moga lapanglah hati mu.. pasrah mu berpanjangan..Allah melindungimu dari bisikan syaitan.. memiliharamu dari kejahatan .. 

Menghayati Maulidur Rasul 1434/2013M


Salam Maulidur Rasul buat semua,
Harapan dengan datangnya hari yang mengingatkan kita kepada kelahiran baginda Rasulullah akan meningkatkan juga ibadat kita. 12 Rabiul awal jatuh pada hari Khamis tahun ini. Kita disunatkan berpuasa sempena hari Khamis bahkan sunat melakukan puasa hingga ke Hari Isnin. Rygi sekiranya kita sekadar bercuti, menghabiskan masa dengan menonton TV bersantai, membeli belah, dan apa sahaja aktiviti tanpa kita meraikannya dengan menambahkanb amalan ibadat sebagai menunjukkan rasa syukur kepada Allah serta memperbanyakkan amalan berselawat kepada Nabi Muhammad. 

Kita lihat ramai yang begitu ceria dan berseronok untuk menyambut maulidurrasul dengan membuat perarakan serta membawa pelbagai sepanduk. Ia bagus untuk mengingatkan betapa Rasulullah itu masih hidup dalam sanubari kita semua walau jasad baginda tidak didepan mata. Pun begitu dalam menyambutnya jangan kita leka hingga membuat perkara dosa. Selawat pula bukan semata-mata menunggu hari kelahiran baginda iaitu setiap kali tiba 12 Rabilulawal, tetapi biarlah ia menjadi amalan yang konsisten sepanjang masa, walau di mana sahaja. Moga lidah kita sentiasa basah dengan selawat, hait kita sentiasa berdetik untuk berselawat. Moga di akhirat kelak kita semua deberikan syafaat oleh baginda Nabi Muhammah s.a.w. Ameen. 

Tuesday, January 22, 2013

Atasi Kerenah Birokrasi

Ramai sahabt saya merungut tentang amalan birokrasi yang sering berlaku hingga menyrbabkan kerja mudah menjadi susah. Sebenarnya saya juga mengalami perkara yang sama. Semua itu memang menuntut kesabaran yang tinggi. Adakala jika sabar itu tiada pasti perasaan marah yang membuka-buak mampu dilepaskan ibarat bom atom. Cuba kita tanya diri kita sendiri, adakah kita tanpa sedar melakukan perkara yang sama kepada orang lain? Contohnya menyusahkan perkara yang sepatutnya mudah bila beruurusan. Adakala tanpa sedar kita payah untuk bertimbang rasa, mengalah dalam perkara yang sepatutnya dan tidak bertegang urat dalam hal yang tidak perlu. 

Ada orang yang begitu 'strict' atau 'particular' serta 'banyak songeh' melebihi orang atasan mereka. Soalnya wajarkah kita bersikap demikian. Tidakkah islam itu mengajar kita untuk mempermudahkan, pastinya Allah akan mempermudahkan kerja kita juga. 
Wallahuaalam


Wednesday, January 16, 2013

Melepasi Imigresen Akhirat


Kerenah birokrasi ada di mana-mana. Bahkan dikebanyakan tempat dan juga situasi. Bila ini berlaku ia mendidik diri untuk bersabar dengan kerenah, ia juga mengjahar kita betapa perlunya kita mempunyai sifat terpuji. Dengan kata lain jika orang lain memayahkan kita maka kita perlu berazam pada diri untuk tidak melakukan sedemikian kepada orang lain.

Tips Membina Semangat yang Hilang

Tiap kali bila kerja menimbun maka kita seperti 'lost' tidak tahu mana yang perlu disiapkan dulu. Ada ketikanya kita hilang semangat bila kerja yang sudah sedaya mungkin dilakukan terbaik,tapi ia dicemuh oleh boss. Motivasi atau semangat akan hilang dengan pelbagai sebab,terutama bila kerja bertimbun kita dengan sendiri ada rasa ingin menangguh dengan alasan tidak mampu berfikir dan memberi keutamaan mana dulu yg perlu disiapkan.

Perkara ini berlaku kepada ramai, contoh anak saya sendiri mengadu(semlm telefon,hari ini cal lagi mengadu perkara yg sama) ada 12 subjek homework perlu disiapkan,Alih-alih semua tidak terbuat. Saya berikan beliau tips;
1. Jangan fikir kerja itu banyak,ringankan fikiran dengan membuang rasa bebanan tersebut
2.Pilih sama ada mahu yang senang atau buat yang susah dahulu.
3.Letak keinginan yang tinggi utk menyelesaikan tygasan
4.Perlu buat pengorbanan.(Berletih dan berpenat demi mendapatkan ganjaran)
5.Percaya kita mampu melakukan
6.Doa Allah beri kekuatan dan kemudahan

Wallahuaalam.Selamat Mencuba
Sent from my BlackBerry® wireless device via Celcom Mobile.

Monday, January 14, 2013

Mencari Murrabi

Mengenal erti murabbi bukan mudah. Sekali dilihat dari riak wajah tutur kata didepan ramai bagusnya dia,hebat dan tinggi ilmunya. Cemerlang kerjanya. Semua orang sekeliling percaya dia memiliki segala kepandaian.pendek kata dia dilihat unggul dengan segala sijil yang diperoleh hingga habis darjah.

Sungguh biar tinggi ilmu, maka akhlak dan syaksiah perlu lebih hebat dari ilmu. Kerana ilmu yang bermanfaat itu mendidi si pelaku bertingkah laku dengan sewajarnya. Hebat pada nama,gah pada pencapaian apalah makna jika gagal dalam perhubungan kemanusiaan. Unggul dengan kecemerlangan tapi akhlaknya buruk maka malang buat dirinya.
Ternyata menjadi murrabi belum cukup dengan ilmu semata, tetapi ia perlu menjadi faqih dan tawaduk dengan segala pemberian tuhan.
Wallahuaalam
Sent from my BlackBerry® wireless device via Celcom Mobile.

Cekal Seorang Srikandi

Tabahnya dia kerana kesukaran
Sabarnya dia kerana rintangan
Kuatnya dia kerana cabaran
Semangatnya dia kerana impian
Biar suratan bukan sebagaimana harapan
Kecekalan menjadi azimat perjuangan
Tahu dan faham dia
Tiada yang mudah meraih kejayaan
Srikandi terbilang
Tetap bertahan walau kehabisan kudrat
Kerana percaya sifat MustahilNya
Tiada yang boleh menggagalkan
Segala usaha dan ikhtiar
Seluruh tawakkal srikandi
Utuh kepadaNya

Nukilan
Ummu ieman ihsan
Hospital Sg Buloh
Sent from my BlackBerry® wireless device via Celcom Mobile.

Bila Dia Menguji Kita

Hidup ini penuh warna,jika kita mampu menghayatinya kita pasti akan dapat menikmati keindahan warna warna tersebut. Perumpamaan ini sama dengan ujian dan rintangan yang terpaksa kita lalui.

Saat kita berdepan dengan rintangan itu,kita terfikir mengapa kita yang terpilih.Apabila kita terpaksa mengharungi kepayahan kita akan tertanya apakah dosa yang telah kita lakukan.

Kepedihan mengharungi rintangan itu akan dapat kita rasai saat kita hampir kepadaNya, ia waktu kita dekat denganNya. Masa itu jika kita mampu menghayati kemanisan rintangan dan ujian itu,maka kita bersyukur kerana Allah memilih diri kita untuk merasai semuanya,mengalami perjalanan mengharungi rintangan dan ujian, maka saat kita melepasi kita mampu melihat warna pelangi. Kita berjaya mengilap kekuatan dan kesabaran diri.

Oleh itu, bila dia menguji,percayalah ada sesuatu yang menanti kita diakhir cerita, ada sinar bahagia menanti kita dihujung jalan. Maka bersabarlah untuk saat ini, berkorbanlah apa sahaja kerana percaya dan yakin Allah ada bersama kita saat kita mengingatinya. Ujian yang diberi sekadar mengingatkan kita INSAN yang sering lupa...
Wallahuaalam
Sent from my BlackBerry® wireless device via Celcom Mobile.

Sunday, January 6, 2013

Best ke masuk asrama?



Sekiranya orang bertanya seronok ke sekolah asrama maka saya akan menjawab ya.Tidak terkira pengalaman dan kenangan di sekolah asrama.Daripada zaman homesick sehinngalah ke zaman senior year semuanya mempunyai pahit manis dari tahun ke tahun.Sekolah asrama juga banyak mendidik saya untuk menjadi insan yang lebih baik dari segi pelbagai aspek.menjadika kita lebih matang dalm membuat sebarang keputusan. Ini kerana di asrama kita yang menetukan cara kehidupan kita sendiri.
Di sini juga saya belajar membuat keputusan berdasarkan kesilapan yang lalu. Antara perkara yang paling saya suka mengenai sekolah asrama adalah kerana saya mempunyai banyak ikon yang boleh dicontohi selain dripada kedua ibu bapa saya, semangat untuk mnecapai kejayaan bersama-sama, sentiasa mengambil berat antara satu sama lain dan yang paling istimewa adalah hubungan silaturrahim antara satu sama lain yang mana mereka yang bersekolah di asrama sahaja yang akan faham betapa kukuhnya persahabatan itu. 
Mungkin ada yang mengatakan bahawa meraka yang bersekolah di asrama tidak open minded kerana terkurung di dalam sekolah. Ada benarnya hal itu tetapi yang akan menentukan kehidupan kita di luar sana adalah jati diri yang kukuh. Sekiranya kita mempunyai jati diri yang kukuh walau kita berada di mana-mana sekalipun insyaallah kita akan mampu bertahan. Perkara inilah yang diterapkan di sekolah asrama.

Dari cacatan Anis Najwa

Thursday, January 3, 2013

Wahai Guru...Jadilah Murabbi


Salam Jumaat, moga Jumaat kali ini memberi lebih keberkatan buat kita semua. 
Sesuai dengan tahun baru dan sekolah telahpun bermula, ibu bapa sibuk mempersiapkan anak-anak. Manakala guru-guru juga sibuk mempersiapkan diri untuk mengajar anak-anak didik. Saya pasti pelajar saya yang bergelar pendidik penuh semangat dan bermotivasi untuk hadir dan mencurahkan ilmu kepada pelajar-pelajar mereka. 

Pesanan saya dari dulu, termasuk mengingatkan diri sendiri. Apabila mahu menjadi pendidik dan mentarbiyyah anak-anak didik maka sudah pasti kita akan berdepan dengan pelabagi cabaran dan beban tugas. Apapun janganlah kita merungut atau putus asa, kerana ganjaran menjadi pendidik ini besar pahalanya. Faktanya ramai yang boleh menjadi guru, tetapi berapa ramai yang mampu mendidik dan memegang title "murabbi". Berapa kerat dikalangan guru-guru sanggup dan ikhlas membimbing pelajar-pelajar mereka, terutama mereka yang prestasinya lemah. Berapa ramai guru yang sanggup memikul tugas 'extra' mendekati pelajar yang bermasalah? Memahami kenapa mereka menjadi begitu? Berapa ramai yang sanggup bersusah payah menambah ilmu di dada sebagai bekal sedang dalam asa yang sama perlu bekerja?

Sudah pasti bukan mudah menjadi murabii jika kita berkita dan hanya mahu makan gaji semata. Maka kerana itu orang yang faqih berbeza dengan orang yang berilmu.... Mana satu anda pilih?
Walaahuaalam.


Wednesday, January 2, 2013

Pantun Perpisahan


Tuan puteri pergi ke Rasah,
pulang semula sebelah pagi,
kita bertemu akhirnya berpisah,
diizin tuhan bersua lagi;

inang2 padi pak daik,
bunga padi tak sama bentuknya,
sungguh dikenang budi yg baik,
takkan dilupa selama-lamanya;

batang selasih permainan budak,
berdaun sehelai dimakan kuda,
bercerai kasih bertalak tidak,
seribu tahun kembali juga.


Dipetik dari FB

Tuesday, January 1, 2013

Kembara Alam Persekolahan 2013: Kembali ke asrama


Tiap kali awal tahun bermula, maka seperti biasa drama airmata akan berlaku terutama bila menghantar anak-anak ke asrama. Cuma kali ini rasa hiba lebih memuncak apalagi kedua anak akan menghadapi peperiksaan penting. Sepanjang perjalanan masa dipenuhi dengan bercerita tentang bagaimana mahu struggle untuk mencapai yang terbaik serta bagaimana mahu mengatasi segala cabaran. 

Sungguh apabila membesarkan anak-anak dan memberikan pendidikan kita akan melalui fasa demi fasa. Fasa anak ke tadika, ke sekolah rendah, kemudian naik ke sekolah menegah dan seterusnya fasa universiti. Pastinya ibubapa dan anak-anak akan mengalami situasi yang berbeza. Setiap anak pula berbeza tahap dan ragamnya. Kita sebagai ibu bapa perlu sentiasa memberi semangat kepada mereka untuk berusaha agar berjaya. Moga mereka pergi dengan harapan dan kembali dengan kejayaan. Ammen.

Ubat Hati

Pesan Ibrahim Khawwas:
Baca Quran dengan makna
Solat malam
Duduk dengan orang soleh
Banyakkan puasa
Panjangkan zikir
Sent from my BlackBerry® wireless device via Celcom Mobile.