Bismillah,
Rezeki itu ditangan kuasa Allah. Kita sebagai makhluk hanya mampu berusaha dan berikhtiar. Ramai yang kecewa bila meletakkan harapan agar memperoleh rezeki yang melimpah ruah namun ia tidak berlaku demikian. Ada masa rezeki yang tidak ditunggu namun ia datang tidak semena. Bahkan yang ditunggu tidak juga kunjung tiba.
Umpama pelajar yang meminta permohonan melanjutkan pelajaran, tidak disangka memperoleh tawaran walhal yang diminta tempat lain. Ini semua adalah rezeki. Ada yang mendapat keputusan cemerlang mengharapkan tawaran yang baik namun tidak berjaya. Ada yang keputusan biasa-biasa tetapi berjaya menempatkan diri mereka. Sama juga dalam hal memohon pekerjaan. Ia semua bergantung kepada rezeki.
Saya teringat pengalaman interview. Sahabat saya bertuah kerana tidak ditanya bahkan tidak dipersoal satu persatu kenapa dan mengapa berkait pengajian dan pengalaman. Namun apabila tiba giliran saya panel yang berlainan menyoal saya disoal pelbagai soalan bahkan banyak perkara dan isu ditimbulkan maka saya begitu redha bahawa semua itu adalah bergantung kepada rezeki kita. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.
Lalu yang hampa dan sering mempersoalkan serta mempertikaikan kenapa rezeki tidak berpihak kepada kita, perlu yakin serta percaya ada hikmah yang terbaik. Jika lambat rezeki yang kita mahu, mungkin Allah menyimpan yang terbaik buat kita. Jika tidak di dunia pasti di akhirat sana yang lebih besar ganjarannya. Bersabar dan berdoa serta jangan berputus harap dengan rahmat Allah. Biar bagaimana rezeki yang diperoleh bersyukurlah kepada Allah.
Wallahuaalam.
No comments:
Post a Comment