Hari ini penghulu segala hari, kita disunatkan membaca Surah Al-Kahfi. Ini telah terbukti dari hadith Sahih yang diriwayatkan oleh para sahabat.
Sewaktu saya membaca surah al-Kahfi, saya suka merujuk kepada tafsirannya. Sewaktu membaca saya amat tersentuh dengan ayat 17 Surah Al-Kahfi.
"...Barangsiapa yang di beri petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk; dan barang siapa yang disesatkannya, maka kamu tak akan mendapatkan seorang pemimpin pun yang dapat memberi petunjuk padanya." Al-Kahfi-17.
Ia mengingatkan kepada kita bahawa sesungguhnya hidayah itu milik Allah. Saya ingin mengaitkan ayat ini dengan cetusan persoalan dari segelintir ibu bapa... Ramai kalangan ibu bapa sering mengeluh kenapa mereka dikurniakan anak-anak yang membawa kemudharatan kepada mereka dan keluarga. Ada anak yang terjebak dengan penagihan dadah, gejala sosial, keruntuhan moral hingga mencalit nama keluarga. Padahal anak-anak ini dibesarkan dengan didikan yang baik, mereka diasuh dengan acuan agama, bahkan ibu bapa sendiri telah memberikan contoh teladan yang baik kepada anak-anak mereka. Persoalan mereka, kenapa mereka diuji dengan keadaan sedemikian?
Ayat di atas jelas kepada kita bahawa sesungguhnya hanya DIA yang mampu memberikan hidayah dan taufik kepada hambanya. Tidak usah gundah dan bersedih hati, lagikan Nabi diuji lebih lagi. Mereka menyampaikan seruan atas suruhan Allah tetapi jika ahli keluarga mereka tertutup hatinya maka siapalah kita sebagai hamba jika Allah tidak memberi hidayah kepada mereka. Lihat sahaja kepada Nabi Ibrahim, baginda mengajak bapanya tetapi gagal, lihat juga kepada Nabi Nuh, baginda menyeru anaknya tetapi sia-sia jakan itu, tengok juga kepada Nabi Luth, baginda meminta isterinya meninggalkan perkara mungkar tetapi tidak diendahkan..
Wahai ibu bapa, kita mampu untuk mendidik dan membesarkan anak-anak atas kapasiti dan kemampuan kita. Selebihnya serahlah kepada Allah. Kita mampu berdoa, jangan berputus asa dan berputus harap, kerana Allah itu Maha Pengampun. Kekuatan doa ibu bapa itu pasti suatu masa dimakbulkan olehNya. Anak-anak kita juga insan biasa, mereka boleh berubah jika mahu berubah, berilah mereka peluang, moga apabila mereka mencapai satu peringkat kematangan, dan Allah memberikan hidayah mereka pasti akan kembali kepada jalan Allah.
Sebagai ibu bapa, sentiasalah memberi, menyokong dan mendorong ke arah kebenaran Islam kepada anak-anak tanpa rasa jemu . Ibu bapa sendiri perlu sentiasa meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepadaNya agar memberi contoh teladan yang baik kepada anak-anak khususnya dan masyarakat amnya. Moga Allah memberikan kita anak-anak yang menyejukkan hati dan mendamaikan jiwa serta mampu mendoakan kita di alam barzah.Ameen
Allahuaalam
No comments:
Post a Comment