Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada mukmin

"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman (mukmin), jiwa dan harta benda mereka dengan memberikan syurga kepada mereka, disebabkan mereka berjuang di jalan Allah, …. Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan dan itulah kemenangan yang seagung-agungnya". (At-Taubah: 111)

Perjalanan kehidupan seseorang menuntut kepada suatu perjuangan yang terkandung didalamnya nilai pengorbanan. Seseorang pejuang sudah pasti mengimpikan suatu kejayaan yang memerlukan pengorbanan. Seiring dengan pengorbanan itu sudah pasti perlukan ketabahan, keyakinan, semangat dan matlamat kejayaan yang jelas dan jitu demi memastikan kejayaan yang dimiliki akan membuahkan kebahagiaan kepada si pejuang. Sesungguhnya kehidupan adalah memberi bukan sekadar menerima...ia juga untuk dimanfaatkan sebagai bekalan kehidupan abadi.

“Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kebodohanku, sikapku yang melampaui batas dalam urusanku, dan semua dosaku yang Engkau lebih mengetahui mengenainya daripada diriku sendiri. Ya Allah, ampunilah kesungguhanku, kelalaianku, kesalahanku dan kesengajaanku yang semua itu ada pada diriku.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Wednesday, September 5, 2012

Membangun Jiwa Merdeka


Menyambut ulangtahun kemerdekaan dan membangun jiwa merdeka adalah dua hal yang saling berkaitan. Ulangtahun kemerdekaan mengajak kita mengingati kembali sejarah perjuangan kemerdekaan, termeterinya perlembagaan dan membebaskan kita dari belenggu penjajahan.

Membangun jiwa merdeka adalah sifatnya sepanjang zaman. Di awal kemerdekaan kebencian kita kepada penjajah amat luar biasa. Tetapi selepas merdeka kekaguman kita kepada ilmu Barat dan kemajuan orang-orang Barat agak luar biasa juga sifatnya.

Membangun jiwa merdeka memberi erti bagaimana pembebasan belenggu pemikiran Barat supaya kita mampu membangunkan negara merdeka berasaskan Acuan Kita Sendiri. Jiwa merdeka tidak menolak menfaat berbanding dalam ilmu dan ketrampilan masyarakat Barat dan Timur tetapi harus mampu membangun negara sendiri berasaskan nilai-nilai dan etika yang dapat diterima oleh semua.

Membangun jiwa merdeka mesti bermula dengan membangun pemikiran terlebih dahulu. Umat Islam umpamanya sering mengalami sindrom penjajahan pemikiran ( al qhazwul fikr) termasuk di negara kita. Walaupun penjajah telah lama pergi tetapi pendewaan terhadap bahasa penjajah, model pentadbiran penjajah dan sistem ekonomi dan gaya hidup penjajah menjadi ukuran untuk maju dan membangun.

Dalam masyarakat Malaysia yang merdeka asas-asas ketamadunan di kalangan masyarakat sama didukung oleh prinsip agama atau pedoman tamadun, budaya dan tradisi harus mampu diolah supaya landasan perubahan berasaskan Acuan Kita dijadikan landasan memberikan imej dan jatidiri baru supaya makna kemerdekaan itu dikecapi.
 
Dalam tradisi yang mendukung tamadun Islam umpamanya faktor rahmah alamiah dijadikan pedoman bagaimana umat manusia mampu membebaskan diri dari belenggu kejahilan berasaskan nilai dan etika yang sifatnya sejagat. Islam dan tamadunnya bukan hanya untuk orang Islam saja.

Tamadun Andalusia umpamanya menjadi sumber penting bagi Eropah membebaskan diri mereka dari belenggu kejahilan dan zaman kegelapan. Ilmu Islam yang disuluh oleh al Quran menjadikan fikir dan zikir jalan seiring, menjadikan akal dan budi sepadu dan menjadikan hasil pemikiran dan wahyu jalan bersama.Kalau tidak masakan Andalusia mampu bertahan lebih 700 tahun. Asas ilmu Islam ini jugalah yang meletakkan Eropah maju sehingga ke hari ini.

Membebaskan belenggu kejahilan umat Islam kini memerlukan pemerkasaan ilmu kembali. Bersikap reflektif terhadap tamadun silam Islami amat dituntut. Bersikap nostalgik semata-mata terhadap kejayaan silam hanya menjadikan kita pengkagum yang lesu. Tetapi sikap reflektif terhadap faktor-faktor kejayaan silam dan mengambil iktibar dari jatuh-bangun tamadun membawa kita merenung kembali dengan rasa insaf yang tinggi tanpa ilmu dan penguasaan teknologi pada hari ini kita akan terus dijajah dalam bentuknya yang baru.

Penjajahan bentuk baru boleh mengambil bentuknya yang pelbagai. Ada penjajahan yang bentuknya sains dan teknologi. Ada penjajahan yang bentuknya menguasai sumber dan sistem maklumat. Ada penjajahan yang bentuknya kebudayaan popular dan hiburan yang melampau. Dan ada penjajahan dalam bentuknya pola gay dan lesbian , biseksual, transseksual(LGBT) yang membenarkan seks bebas berkembang tanpa bendungan.

Membangun jiwa mereka pastinya dengan dukungan ketamadunan berasaskan ilmu dan binaan sahsiah yang baik.
Tanpa kekuatan ini manusia akan terus dalam pencarian diri dan pencarian sistem yang fitrahnya amat utama untuk membangun diri manusia dan kemanusiaan.

Islam dalam bentuk kesilaman melakukan integrasi ilmu supaya ulum naqliah (wahyu) dan ulum akliah (pemikiran) dapat ditemukan dalam nilai dan etika yang sifatnya mendukung kemajuan. Hari ini manusia sedang tercari-cari makna kemerdekaan itu. Apakah kemerdekaan memberi erti hidup yang lebih bebas tanpa pedoman hukum dan syariat sehingga yang hak dan batil bercampur, makruf dan mungkar saling mengukuh dan yang benar dan salah menjadi kabur.

Justeru membangun jiwa merdeka dengan merintis jalan perhambaan terhadap benda dan kebendaan sekiranya kebendaan menjadi metlamat hidup manusia. Sikap nafsu nafsi yang haiwani bukanlah landasan yang baik bagi menyuburkan jiwa merdeka ini. Melainkan manusia kembali kepada dirinya yang fitrah supaya rahmah dan nikmah Allah disyukuri dan hubungan baik sesama insan dijadikan metlamat kehidupan.
 
Kembalinya manusia kepada aqidah tauhid adalah jalan terbaik menemukan diri dengan Allah. Inilah sebenarnya rukun kemerdekaan yang paling unggul bagi manusia kerana bila manusia merasakan dirinya hamba dan Pencipta itu adalah Khaliq maka barulah manusia mampu memiliki jiwa kehambaan yang tinggi mendukung maksud taat, patuh, akur dan tunduk.
Itulah namanya kemerdekaan jiwa insan.

Oleh Prof.Datuk Dr. Sidek Baba 

No comments:

Post a Comment