Bismillah,
Rumahtangga hanya pinjaman sementara, bila berlaku perceraian itu adalah penamat satu perhubungan. Perceraian boleh berlaku atas banyak faktor, walau apa jua faktornya, tidak perlu membuat analisa , Mengapa? Apabila kita membuat analisa ia akan membawa kepada kekecewaan, ia membawa kepada kesedihan. Bahkan kita akan terpanggil mengingat masa silam. Lebih parah ia mengundang dendam dan amarah yang tidak berkesudahan. Apalagi bila setiap pasangan mula mencari kelemahan dan menampakkan kekurangan bekas pasangan.
Hidup ini hanya persinggahan menuju abadi. Pasangan kita hanya dipinjamkan. Maka redhalah bila Allah mengambilnya kembali. Kita akan menjadi masalah bila kita terlalu meletakkan makhluk sebagai segalanya dalam hidup. Kita mendambakan manusia melebih Pencipta. Kita adakala leka dengan tanggungjawab sebagai hamba dek kerana kita tenggelam dalam cinta pada makhluk.
Berpada mencintai manusia agar kita tidak kecewa. Lalukan tanggungjawab sewajarnya, namun jangan lupa tanggungjawab besar kita sebagai hamba. Banyak scenario berlaku, bila berlaku perpisahan ada yang tidak mampu bangkit kembali, bahkan menjadi perasaan rendah diri yang bersangatan, walhal perpisahan itu perkara lumrah. Tiada jodoh. Noktah!
Mungkin mudah untuk berkata, kerana tidak merasai. Realitinya kita perlu meletakkan satu garis pemisah dalam kehidupan, bahawa mencintai dan mengasihi manusia itu ada batasnya. Apabila kita mencintai manusia melebihi kecintaan kepada Tuhan, yakni Allah, maka dari situ akan ada perasaan kecewa bila makhluk tidak membalas kecintaan kita sewajarnya pada pemikiran kita.
Sedarilah, hidup ini semenatara, nikmati seadanya dengan mengisikan ia dengan sesuatu yang berharga untuk kita bawa ke alam sana. Ia lebih berbaloi dari kita bersedih, bermuram durja hidup sengsara hingga tidak mampu melihat cahaya. Memetik kata-kata kenalan saya yang menyatakan
"sampai bila mahu bersedih, menyesali nasib diri, kini masa untuk bangkit menikmati saki baki kehidupan yang ada, optimis dengan masa depan".
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment