Bismillah,
Salah satu cabaran kita dalam mengerjakan ibadat haji adalah cabaran emosi. Apabila mengenangkan insan tersayang yang akan ditinggallkan maka kita akan dihambat perasaan risau. Kita rasa bimbang meninggalkan anak-anak jika mereka masih kecil. Kita takut meninggalkan tugasan pada staf. Kita tidak harap orang menjaga harta kita semasa kita bermusafir. Pendek kata hati akan berkecamuk berfikir nasib insan dan harta benda yang bakal ditinggalkan.
Itulah kekuatan yang perlu ada bila kita mahu menjadi tetamu Allah. Kita perlu berserah kepadaNya semata. Bila fikir ibadat, maka kita buang dahulu hal-hal dunia. Semasa kita menunaikan haji, jangan fikir hal-hal yang ada di tanah air. Focus kepada ibadat. Berserah diri sepenuh hati untuk Allah. Kita mahu membersihkan jiwa, mahu dekat kepadaNya.
Ada yang meninggalkan anak kecil yang masih menyusu pasti akan sangat terasa rindunya, bagi yang ada anak atau ibu bapa yang sakit pasti teringat-ingat keadaan mereka. Bumi Makkah dan Madinah adalah tempat mustajab doa, doalah agar semua yang kita tinggalkan berada dalam keadaan selamat.
Bayangkan jika nyawa diambil Ilahi kita tetap pergi tinggalkan segala. Maka begitulah juga haji. Ia ibarat kita pergi dan tidak pasti akan kembali atau tidak. Maka mohonlah kemaafan saat berpergian. Maafkan segala kesilapan, hilangkan segala dendam. Agar bila kita beribadat, kita tenang serta kita memperoleh haji yang mabrur. Ibadat diterima dan dosa disucikan oleh Allah.
Wallahualam
No comments:
Post a Comment