Travelog Haji
Pengalaman haji adalah satu pengalaman yang indah.
Hanya yang melaluinya yang lebih tahu. Ia pengalaman tersendiri bagi tiap individu.
Saya memang dari dulu berazam untuk bawa bonda bersama menunaikan haji. Ia bagi memberi kepuasan dan kemudahan untuk beliau beribadat.
Kali pertama bonda menunaikan haji pada tahun 1990. Waktu itu beliau duduk lama di Mekah, sebelum puasa hingga habis musim haji.
Waktu itu juga beliau terpaksa masak sendiri, berjalan jauh untuk ke masjid. Namun beliau sangat seronok kerana dapat menunaikan haji bersama-sama ahli keluarganya.
Dek kerana itu saya mahu memberi peluang bonda untuk duduk lebih hampir dengan masjid. Peluang untuk kami berkhidmat pada ibu yang banyak berkorban dan berjasa. Ia suatu yang tidak dapat kami balas sampai bila-bila.
Alhamdulillah saya suami dan bonda mendapat panggilan haji setelah tahun tang sebelumnya kami tidak berjaya. Kegembiraan berganda juga buat kami apabila abah, mak dan dua makcik suami juga berjaya memdapat tempat. Abah pula sebagai mahram bagi mak, Wak Kom dan Lek Ham.
Abah sudah pergi haji, jadi pada tahun tersebut, beliau niat haji untuk kakaknya yang meninggal dunia terlebih dulu.
Mereka berempat bersama TH Muassasah jadi jarak tempat tinggal kami agak jauh. Abah dan mak tidak dapat bersama kami kerana abah terpaksa mengurus kakak dan iparnya. Lebih-lebih lagi tiga bulan sebelum haji mak dan abah turut menunaikan umrah.
Pembiayaan Abah percuma dari seorang jutawan, manakala mak ditanggung oleh kami. Untuk kos haji Abah percuma duit arwah, manakala untuk mak, sebahagiannya kami bayarkan.
Waktu itu hotel kami sangat dekat dengan masjid. Hinggakan jika mahu buang air saya akan balik ke bilik.
Biarpun jarak tempat tinggal agak jauh. Ada masa kami akan berkunjung ke hotel abah untuk menjengok mereka.
Bahkan jika ada keperluan serta cenderahati untuk di bawa balik ke Malaysia, sayalah wakil pembeli untuk mereka, sementelah saya pandai tawar menawar.
Setiap kali pergi ziarah abah dan mak, kami terasa sangat insaf, bahkan terasa beruntung mereka ini kerana pahala mereka lebih banyak dari kami, ini kerana mereka berjalan jauh untuk sampai ke masjid.
Satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah bila kami kembali dari Mina dengan menaiki bas, kami lihat ramai yang berjalan di kiri kanan jalan.
Lalu kami turun dari bas dan membuat keputusan berjalan kaki balik ke hotel. Ma sya Allah, ia jarak yang sangat jauh untuk ke masjid. Kami cuba membayangkan orang yang tinggal jauh dari masjid seperti jemaah dari India, Indonesia, Pakistan dan banyak lagi, hotel mereka sangat jauh dari Masjidil Haram, namun mereka boleh berulang alik untuk beribadat. Bahkan tidak pelik mereka ada lebih banyak masa untuk beriktikaf di masjid.
Kami bersyukur diberi Allah tinggal dekat dengan masjid, Ia satu kemudahan untuk beribadat, jika kami mengambil peluang sewajarnya.
Ia kisah 2004, hampir sedekas masa. Kini ia sangat berbeza. Saya bersyukur kerana Allah sentiasa murahkan rezeki kami untuk menjadi tetamunya.
Ia bukan kerana kami banyak duit, tidak sama sekali. Bezanya kami setiap tahun kami berazam menaja ibu bapa, adik beradik kami yang tidak mampu untuk ke tanah suci.
Jika impian tuan puan mahu ke Tanah Suci, namun impian belum dimakbulkan tuhan, mintalah padaNya, banyakkan memberi, tidak rugi.
Allah akan beriksn sesuatu yang di luar akal fikiran kita. Berjiwa besar untuk memberi manfaat kepada orang lain, bukan semata untuk kepentingan diri, pasti apa yang dikehendaki cepat diperolehi. Itulah kuasa memberi.
Ada banyak kisah menarik dan pengalaman indah yang tersimpan. In sya Allah moga ada kesempatan kami dapat membawa anak-anak pula bersama untuk haji yang seterusnya. Amin.