Pelbagai kisah tentang bagaimana mengatasi permasalahan rumahtangga telah dikongsikan. Kali ini apa yang ingin saya perkatakan adalah tentang isu “control/kongkong’ suami isteri. Seringkali kita dengar perkataan Queen Control gelaran ini diberi kepada isteri. Bahkan tidak kurang juga yang dari pihak suami yang bersifat mengongkong isteri. Banyak rungutan dari pihak isteri yang diterima mengatakan suami teramat susah untuk memberi kebenaran keluar rumah walaupun untuk ke kedai berhampiran. Itu belum lagi kisah duit ringgit dicatu hingga untuk membeli perkara yang perlu bagi isi rumah pun terpaksa berfikir dua kali. Bahkan ada isteri yang mempunyai gaji sendiri tidak dapat menikmati hasil dari penat lelah kerana sikap suami yang teramat mengongkong. Ada juga segelintir yang mengambil kesempatan mengongkong isteri tapi disebaliknya bermain kayu tiga di luar rumah.
Itu kisah suami yang mengongkong isteri, jangan lupa ada juga kisah-kisah yang timbul akibat dari isteri sendiri yang cemburu buta hingga menajdi ‘queen control’. Setiap kali si suami ingin ke mana-mana, ia perlu membuat report kepada si isteri. Bukan itu sahaja suami hingga menjadi dayus dek isteri yang begitu berkuasa serta mempunyai sikap menguasai suami yang melampau. Hingga ada yang kerana takut kepada isteri terpaksa membelakangkan ibu bapa sendiri. Ada juga suami yang mempunyai isteri yang mengongkong ini terpaksa curi-curi keluar atau berbohong apabila berbuat sesuatu perkara yang tidak dipersetujui isteri. Bukan sedikit juga kita dengar tentang suami yang dikatakan ‘pijak semut pun tak mati’ (konon-konon takutkan isteri) ini berkahwin dua. Jika difikirkan memang kelakar juga, bagaimana seorang isteri yang begitu mengongkong suami akhirnya terpedaya dengan helah suami, ini terbukti suami yang dikongkong memang bijak mencari helah dan kreatif dalam membuat cerita bohnog.
Apa yang boleh kita perhalusi tentang masalah suami/isteri yang mengongkong ini sebenarnya jika niat sekadar mendidik pasangan itu boleh dimaafkan. Kerana kita lihat ada juga isteri yang apabila suami memberikan kebebasan lalu kebebasan itu disalahgunakan. Isteri mengambil kesempatan untuk melakukan perkara yang tidak baik serta melanggar syariat Islam. Ada juga isteri yang berperangai boros, maka untuk mengatasi sikap tersebut, suami yang terpaksa mengurus kewangan. Begitu juga dengan pihak suami, ada yang apabila tidak diperhati dan ditegur maka mereka akan terbabas hingga ada masanya kehidupan seperti orang bujang, kurang mengambil tanggungjawab, tidak prihatin dengan keluarga dan pelabagi lagi.
Sifat mengongkong ini juga adakalanya terjadi kerana cemburu buta, hingga ada pasangan yang akan menelefon pejabat setiap lima minit unutk memastakan pasangan ada di pejabat. Ada yang mengonkong pasangan dengan memaksa mereka terperap di rumah sahaja kerana dibimbang jika pasangan keluar rumah maka tembelangnya akan pecah. Bagi mengatasi permasalahan ini apa yang perlu ada dalam rumah tangga adalah sifat percaya dan mempercayai. Setiap pasangan perlu memupuk nilai kepercayaan dalam rumah tangga ini dapat diterpa dengan adanya kasih saying yang ikhlas. Ia juga melibatkan kesetiaan yang perlu wujud. Jika tidak semua perkara akan membawa kepada huru hara dan perasaan tidak bebas untuk melakukan sesuatu. Individu yang merasa diri terkongkong tidak akan dapat mengecapi kebahagiaan, dan ini akan member kesan kepada suasana dalam rumahtangga kerana akan timbul pergaduhan, ketidakpercayaan, cemburu buta, tuduh menuduh dan pelbagai lagi.
Setiap individu mempunyai potensi, peluang serta berhak untuk bahagia, maka jika kita ini suka mengongkong pasangan maka ada baiknya kita menilai kesan perbuatan tersebut. Kita perlu berlaku adil dalam banyak perkara dan melihat sesuatu dengan lebih positif dan bukannya negative hingga membawa kepada perasaan buruk sangka dan curiga. Rumahtangga yang terbina di atas dasar kecintaan, kesetiaan,tolak-ansur dan kepercayaan pastinya akan melahirkan rumahtangga yang bahagia dan kekal abadi.
No comments:
Post a Comment