Hari ini masih mood cuti..seperti biasa ada banyak aktiviti yang akan dilakukan bersama anak-anak untuk menghabiskan cuti secara berkualiti. Sejak pulang dari asrama anak saya sibuk bercerita kelasnya akan mengadakan lawatan ke salah sebuah rumah anak-anak yatim di Lembah Klang. Maka sibuk la dia berfikir apa yang ingin disedekahkan kepada mereka. Katanya pelajar kelasnya telah berjaya mengumpul sebanyak RM500 untuk diberi kepada anak-anak yaitm tersebut.
Memenuhi misi anak-anak, saya menghantarnya bersama kawan-kawan sekelas ke sebuah pasaraya untuk membeli keperluan mereka mengadakan aktiviti bersama anak-anak yatim tersebut esok. Bagusnya pelajar-pelajar ini melakukan sesuatu yang amat bermanfaat walaupun tidak melalui program sekolah, tetapi kerana sebelum ini sudah ada program yang bersifat amal yang dianjurkan oleh pihak sekolah maka mereka terasa perlu ada inisiatif untuk melakukan perkara yang sama. Apa yang ingin saya kongsikan adalah cara kita berfikir dan mengendalikan sesuatu perkara adakala boleh memberkan rangsangan secara tidak langsung kepada anak-anak. Saya teringat penglibatan saya dalam beberapa misi/NGO rupanya secara tidak langsung juga memberi satu impak kepada anak-anak saya sendiri untuk melakukan perkara yang sama. Maka di sini juga tidak mustahil anak-anak akan meniru perkara yang tidak baik yang kita lakukan. (sambil menunggu mereka saya mengambil sedikit waktu terluang ini untuk menyambung bicara semalam...)
Memperkatakan tentang didikan anak-anak bemrula dari rumah...saya merasakan antara perkara yang penting adalah komunikasi dan interaksi ibu bapa dan anak-anak perlu sentiasa dipastikan agar ia adalah komnikasi dua hala.. Maksudnya bukan ibu bapa sahaja yang bercakap, menegur atau memberikan maklumat, tetapi ada masanya kita perlu sentiasa mendengar apa yang ingin diperkatakan dan dikongsi oleh anak-anak. Kita lihat cabaran sekarang ini adalah budaya berfacebook, berinternet, bermain video games dan sebagainya hingga anak-anak kurang berkomunkasi dan banyak membuat hal sendiri. Realtinya,televisyen banyak mengambil masa kita dengan mengurangkan masa bersembang dan berinteraksi satu sama lain dikalangan ahli keluarga. Oleh itu kita perlu ada masa untuk beriadah, masa untuk sama-sama melakukan aktiviti dan bukan hanya membuat hal sendiri.
Sebagai ibu bapa walau sesibuk manapun kita, kita masih perlu memperuntukkan waktu bersama anak-anak. Mengkualitikan masa bersama adalah satu cara terbaik dalam mendidik anak-anak. Perkara yang paling mudah adalah dengan solat berjemaah, bertadrrus al Quran, puasa sunat bersama dan lain-lain perkata yang bermanfaat boleh kita lakukan bersama keluarga. Mendidik anak-anak boleh menjadi mudah jika anak-anak boleh mendengar kata ibu bapa. Ada banyak tips supaya anak-anak mudah mendengar kata. Salah satu tips adalah kemesraan ibu bapa dan anak-anak. Anak-anak yang wujud hubungan rapat dengan ibu bapa mudah mendengar apa yang disarankan atau apa yang dinasihati.
Oleh itu apa yang perlu dielakkan adalah ketegangan atau ketidak mesraan dalam keluarga. Ada ibu bapa yang terlalu serius hingga susah untuk memberikan senyuman, atau menegur anak-anak secara mesra. Ada juga yang susah untuk sekali sekala bergurau senda. Ada juga ketikanya ibu bapa tidak dapat membezakan antara sifat marah dan tegas terhadap anak-anak. Malah intonasi suara ibu bapa juga sentiasa nada yang tinggi. Maka apa yang berlaku, tiada kemesraan antara ibu bapa dan anak-anak, menyebabkan hubungan menjadi renggang kerana anak-anak melihat ibu bapa sukar untuk didampingi. Inilah yang menyebabkan anak-anak mempunyai kecenderungan untuk menjadikan sahabat atau rakan tempat mereka berkongsi.
Menyedari hakikat ini ibu bapa perlu menjadi sahabat yang paling akrab kepada anak-anak. Maka anak-anak akan rasa senang berkongsi masalah atau apa sahaja tanpa merasa segan atau takut. Inilah yang jarang diaplikasikan oleh ibu bapa, maka proses mendidik sebenarnya akan menjadi susah, kerana jika kita rapat dengan anak-anak ada banyak perkara kita boleh merasionalkan anak-anak bila mereka meminta atau ingin melakukan sesuatu perkara yang tidak dapat kita penuhi. Anak-anak juga tidak berahsia dengan ibu bapa bahkan menjadi pendengar setia pilihan mereka.
Sebagai ibu bapa, kita sebenarnya sentiasa belajar dalam menangani segala permasalah dan cabaran dalam membesarkan dan mendidik anak-anak. Mendidik anak-anak itu apa cara sekalipun adalah amat subjektif kepada keadaan, persekitaran, latarbelakang keluarga dan sebagainya. Namun kita tidak boleh lupa bahawa tugas mendidik itu merupakan satu tanggungjawab yang tidak boleh dilepaskan ke atas bahu sesiapa melainkan KITA yang bergelar ibu/bapa. Kitalah yang pelru mencuba segala kaedah/teknik yang sesuai. Kerana itu menjadi ibu bapa perlu bersabar,kreatif dan sentiasa mencontohi apa yang terbaik yang telah tersedia dalam Islam sebagai platform untuk kita mengaplikasikan diri menjadi ibu bapa terbaik sekaligus mencerminkan diri menjadi ibu bapa contoh buat anak-anak kita sendiri.
Wallhuaalam
Ummu Ieman Ihsan
No comments:
Post a Comment