Moga-moga dengan tujuan yang suci dan bersih ini dapat melahirkan para ilmuan yang membangunkan muka bumi ini menurut apa yang telah digariskan oleh Allah S.W.T. Ini bermakna menuntut ilmu di dalam Islam bukanlah sekadar mencari habuan dunia, wang ringgit dan harta benda akan tetapi ianya merupakan suatu usaha untuk melengkapkan diri sebagai hamba Allah dan khalifah Allah S.W.T. di muka bumi ini . Para ilmuan Islam mestilah memahami bahawa mereka wajib memainkan peranan untuk menegakkan kebenaran, keadilan dan keamanan sejagat iaitu dengan cara mengembalikan sistem Islam memerintah alam ini. Para ilmuan Islam juga perlu berusaha sedaya upaya mungkin menjadikan diri mereka sebagai pekerja Islam dan penda’wah ke arah melahirkan ummah Islam yang iltizam dengan Islam dalam segenap aspek kehidupan. Allah S.W.T. berfirman dalam Al-Qur’an yang bermaksud;
" Wahai rasul, sampaikanlah apa-apa yang diturunkan kepada kamu dari Rabb kamu. Dan jika kamu tidak mengerjakannya maka tidaklah kamu menyampaikan risalahNya. Allah memelihara kamu daripada manusia, sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir". (Al-Maidah:67)
Sabba Rasulullah S.A.W. yang bermaksud;
" Aku diutus ini, untuk menjadi pengajar." (HR.Baihaqi)
Sekiranya Allah tidak membangkitkan Rasul untuk menjadi utusan kepada manusia, guru tentulah manusiaakan berada dalam kesesatan. Walaupun akal dan otak manusia mungkin mampu menghasilkan perkara serta berjaya dalam berbagai lapangan ilmu pengetahuan, namun masih ada juga hal-hal yang tidak dapat dijangkaunya, iaitu hal-hal yang di luar akal manusia seperti perkara ghaib, alam ruh, syurga dan neraka serta lain-lainnya. Untuk itulah Rasul Allah dibangkitkan di dunia ini. Mengingat pentingnya penyebaran ilmu pengetahuan kepada manusia/masyarakat secara luas agar mereka tidak dalam kebodohon dan kegelapan, maka diperlukan kesedaran bagi para mualim, guru dan ulama, untuk beriringan tangan menuntun mereka menuju kebahagiaan dunia dan akhirat. Bagi para guru dan ulama yang suka menyembunyikan ilmunya, mereka mendapat ancaman, sebagaimana sabda Nabi S.A.W.;
"Barangsiapa ditanya tentang sesuatu ilmu, kemudian menyembunyikan (tidak mahu memberikan jawapannya), maka Allah akan mengekangkan (mulutnya), kelak di hari kiamat dengan kekangan (kendali) dari api neraka." (HR Ahmad)
No comments:
Post a Comment