Sewaktu kunjungan mertua saya minggu sudah, sebelum beliau beransur untuk pulang setelah melawat ipar saya yang baru bersalin dia mengatakan "dia memang matang". Kata-kata itu ditujukan kepada anak saya yang sulong Anis Najwa. Pada saya memang ada hal tertentu anak saya sudah matang, tetapi dalam hal tertentu tidak semua nya beliau boleh menanganinya dengan penuh kematangan, terutama dalam bab-bab kasih sayang dan sifat manjanya yang melebihi adik-adiknya, walaupun berstatus anak sulong.
Cerita disebalik pujian mertua saya itu kerana minggu lepas adalah minggu para pelajar asrama SBPI diberi untuk balik rumah secara pilhan, memandangkan rumah datuknya dekat dengan sekolah tersebut, maka anak saya memilih untuk balik ke rumah datuk dan nenek mereka. Mengikut kata suami anak saya memerlukan notebook untuk memudahkan menaip kerja-kerja yang diberikan guru. Apabila mengetahui sekolah memberi kebenaran untuk membawa notebook maka ada segelintir pelajar yang membawanya ke asrama. Melihat anak saya bertungkus lumus menyiapkan kerja menggunakan PC di rumahnya dan kawannya yang turut datang berkunjung juga memiliki notebook. Maka tanya mertua saya: "mengapa tak minta Baba dan Ummi belikan satu notebook? Maka jawapan Anis Najwa adalah: "tak mengapa, kakak tidak mahu menyusahkan Baba dan Ummi". Dari jawapan itulah mertua saya mengetahui bahawa anak saya cukup matang dalam menyatakan pandangan.
Sebenarnya, itulah cara saya mendidik anak-anak. Setiap satu perkara yang mereka inginkan perlu ada bayarannya. Mungkin saya boleh belikan tetapi, saya ingin mengasuh anak-anak saya merasa hidup susah. Bagi saya bila ibu bapa itu dari kalangan berada atau sedikit senang maka bukanlah bererti anak perlu diberikan kemewahan. Bukan bermakna segala permintaan mereka perlu dipatuhi dan dilunaskan. Pernah mertua saya menegur sewaktu anak-anak saya masih kecil, katanya saya amat strict dengan anak-anak. Ya betul saya akui, tetapi saya punya prinsip tersendiri dalam mendidik anak-anak. Saya akui kita ibu bapa perlu belajar dari pengalaman sendiri, memang akan ada kesilapan, namun saya percaya bahawa apa yang saya lakukan ini adalah betul.
Anak-anak saya dididik sejak kecil perlu lebih cintakan buku dari mainan. Saya tidak memanjakan anak-anak dengan mainan, sebab itu anak-anak tidak tahu meminta mainan. Sama juga wang saku, saya pastikan anak-anak wajib membawa air mineral yang ditapis dari rumah dan hanya diberi cukup-cukup untuk membeli makanan yang mengenyangkan, kenapa demikian? Cuba anda lihat anak-anak yang dibekal duit yang banyak mudah membeli junkfood/jajan serta perkara yang tidka berfaedah yang dijual di luar pagar sekolah. Lihat sahaja pelbagai jenis aiskrim yang dijual ada yang tidak halal dan tidak bagus untuk kesihatan anak-anak.
Sepanjang Anis Najwa bersekolah rendah setiap hari saya bekalkan makanan dari rumah, saya pastikan dia kenyang makan dirumah barulah ke sekolah. Duit yang dibekalkan hanya seringgit. Waktu darjah 1 hingga darjah 3 saya hanya memberikan 50 sen. Ramai yang tidak bersetuju dengan saya, bahkan ada kawan-kawan yang mengatakan saya kedekut.
Biarlah mereka mengatakan saya kedekut dengan anak-anak kerana saya lebih tahu cara mendidik anak-anak saya. Namun hasilnya sekarang ini anak-anak saya amat prihatin apabila membeli dan memilih makanan. Jika tiada tanda halal mereka tidak akan beli bahkan segala makanan yang halal baik coklat, gula-gula saya ajar satu persatu cara memilih. Alhamdulillah anak-anak saya setiap kali mengunjungi birthday parti kawan-kawna,jika mereka dibekalkan dengna junkfood sebagai ole-ole mereka tidak akan makan jika sudah mengetahui makanan tersebut tiada tanda halal.
Itu bab makanan, belum lagi bab hiburan. Rumah saya tiada radio, anak saya mengatakan di asrama ramai kawan-kawan ada ipod. Saya kata hiburan tidak membantu kita menjadi insan yang baik, hiburan menjadi racun kepada minda. Lagu-lagu itu sering melalaikan diri, kecuali kita mendengar al Quran atau alunan nassyid. Hinggalah anak saya berjaya mendapat 9A PMR barulah saya belikan. Itupun setelah anak saya merajuk kerana memarahinya mendengar lagu-lagu melalui notebook. Maka setelah memikirkan kewajaran dan suami upload Al Quran dan nasyid barulah keinginan Anis ditunaikan.
Setiap sesuatu ada harganya itu pada saya. Dan itulah yang saya syaratkan pada diri dalam mengejar kejayaan. Contoh apabila umur enam tahun Ieman Ihsan berjaya khatam Al-Quran barulah saya belikan basikanl baru. Sebelum itu dia hanya menggunakan basikal pemberian sepupunya. Saya menggunakan taktik ini untuk mendorong Ieman mengaji dan belajar. Namun tidak semua perkara saya gunakan material untuk menarik minat anak-anak melakukan sesutu yang baik. Anak-anak tidak boleh dididik cintakan material atau duit ringgit.
Cubalah tanamkan dalam diri mereka setiap perkara yang mereka lakukan itu dengan ikhlas. sama seperti sambutan hari jadi, yang sebenarnya haram disambut. Tetapi kerana sudah menjadi amalan dan kebiasaan maka kita lakukan. Maka berlumbalah kita membeli hadiah sebagai tandan ingatan. Sebenarnya ada banyak cara untuk meraikan sesuatu sebagai tabda ingatan. Anak-anak saya pastinya ada keinginan, kita semua manusia biasa pasti ada keinginnan tersendiri. Namun kita perlu mendidik diri dan anak-anak, bahawa keinginan itu perlu disalur dengan cara yang betul dan pasti ada syaratnya supaya saat mereka mendapatkan dan memperoleh hadiah tersebut, ia adalah sesuatu yang mereka akan kenang dan manfaatkan.
Percayalah jika kita bergelar jutawan bukan bermakna kita perlu hidup dengan gaya hidup sebagaimana jutawan. Jika kita miskin tidak bermakna kita perlu merasa hina dengan kemiskinan dan sanggup berbuat apa sahaja untuk dilihat sebagaimana jutawan. Tidak penting tidak dilihat sebagai kaya raya, juga tidak perlu gusar dilihat sebagai miskin. Dunia dikejar tidak berkesudahan, jika kita diri sendiri tidak mementingkan material dan kemewahan maka InsyaAllah anak-anak kita akan mengikut acuan kita. Saya mengingatkan diri sendiri dan kalian semua: "Zuhudlah pada dunia" agar kita mampu membina integriti dan kematangan berfikir kepada anak-anak. Ia akan menjadi signal kepada mereka bahawa dunia hanyalah alat unutk mancapai tujuan akhirat.
Wallahuaalam.
No comments:
Post a Comment