Salah satu syarat untuk berjaya baik dunia mahupun akhirat adalah dengan jalan ilmu. Persoalannya semakin kita mencari semakin terasa kerdilnya diri, jahilnya diri. Maka pencarian itu sentiasa tidak akan berkesudahan. Itulah yang saya alami lebih-lebih lagi apabila kita juga ingin menyampaikan kembali apa yang telah kita baca. Adakala pembacaan itu tidak sama kefahamannya antara kita dengan orang lain.
Mungkin ada juga yang membaca labih banyak, bahkan lebih arif dari kita, tetapi ilmu itu payah untuk dikongsi disebabkan kekangan-kekangan tertentu. apa yang saya fikir selama ini saya bukanlah orang terbaik untuk berkongsi, kerana ilmu yang cetek serta kurangnya kemahiran yang ada pada diri. Namun berbekalkan pesanan " berkongsilah walau satu ayat" maka itulah yang memberikan kekuatan dan semangat untuk berkongsi apa sahaja yang diraskan baik serta boleh memberi manfaat. Sama juga apabila saya berkongsi tentang kebaikan, amalan-amalan yang perlu dilaksana, ibadat yang perlu disempurna. Ternyata mungkin ada pastinya lebih baik dari diri ini. Bahkan saya juga mungkin tergolong dalam kalangan orang yang ada ketikanya lalai dan leka. Namun setidaknya apa yang diperkata, apa yang dibaca menguatkan minda, mengingatkan diri agar sentiasa kembali semula ke jalan yang benar saat diri tergelincir dariNya.
Maka dalam persoalan ilmu, semuanya adalah milik Allah. Adakala diliha seperti tinggi ilmunya namun praktikalnya pula kurang. Ada yang praktikalnya begitu banyak, tetapi dia tidak mahu belajar dan merasakan diri sudah betul semuanya, maka rugilah dia tidak mempertingkatkan diri menyempurnakan apa yang telah dikerjakan.
Ilmu milik Allah, kenapa demikian? Kerana hanya Allah yang berhak memberikan ilmu serta memberikan hidayah kepada setiap apa yang ingin dimiliki oleh insan, jika tidak kerana Allah maka kita akan sering terkapai-kapai, kita akan sentiasa lemas dalam pencarian. Untuk kita sentiasa cinta mendampingi ilmu, maka seringlah meminta kepadaNya saat kita solat. Mohon Allah cerahkan hati, lapangkan jiwa menerima hikmah dariNya. Mohon Allah memberi kita ilmu yang bermanfaat serta mampu kita berikan kembali kepada insan lain untuk sama-sama diamalkan.
Memetik kata-kata Imam asy-Syafie yang dipetik dari Kitab Al-Baihaqi, Manaqib asy-Syafi'i yang menunjukkan betapa pentingnya ilmu. "Ilmu itu tidak baik dan tidak indah kecuali dengan tiga perkara, iaitu taqwa kepada Allah, bersesuaian dengan Sunnah, dan melahirkan rasa takut kepada Allah”.
wallahuaalam.
No comments:
Post a Comment